Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Isteri Sham (Kamikaze) Tuntut Cerai

PETALING JAYA: Isteri kepada pemuzik dan pendakwah Sham (Kamikaze) iaitu Farazila Abdul Jabar memfailkan perceraian terhadap suaminya pada 30 Ogos lalu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dekat sini kerana konflik dalaman yang berlanjutan sejak tiga tahun lalu. Farazila, 31, berkata, keputusan itu diambil selepas pelbagai usaha untuk memulihkan rumah tangganya dengan Sham atau nama sebenarnya Shamril Mohd Salleh, 36, menemui jalan buntu. "Saya ambil keputusan untuk memohon cerai daripada Sham kerana sudah tidak boleh hidup bersamanya lagi. Kami hanya bahagia pada tahun pertama perkahwinan sahaja. "Beberapa konflik dalaman yang berlaku antara kami terlalu peribadi untuk saya dedahkan. Ia menjadi sebab utama perceraian ini," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Menara Star di sini. Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 17 Ogos 2008 secara kecil-kecilan di kampung halaman Farazila di Batu Pahat, Johor. Ditanya adakah keputusan bercerai itu turut dipengaruhi kontroversi kononnya Sham sudah bernikah lagi pada Januari lalu, Farazila berkata, ia bukan faktor utama sehingga dia mengambil tindakan itu.
"Ia (bercerai) bukan kerana cerita itu. Jika benar Sham bernikah lagi, saya sebagai isteri pertamanya reda bermadu tetapi sikap tidak bertanggungjawabnya dalam urusan rumah tangga membuatkan saya kecewa dan tawar hati. "Mengenai cerita dia bernikah lagi, tiga kali saya bertanya kepada dia untuk kepastian tetapi dia tidak mengaku dan berdolak-dalik. Malah, dia mula menjauhkan diri, tidur berasingan dan bersikap kasar terhadap saya," katanya. Farazila berkata, dia terpaksa berdiam diri selama ini walaupun maruahnya dan keluarga diperlekehkan umum sejak kontroversi Sham beristeri dua tersebar kerana disuruh mengunci mulut. "Sudah lama saya berdiam diri sejak cerita itu tersebar walaupun maruah saya dan keluarga diperlekehkan. "Kalau diperhatikan, saya langsung tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan kerana Sham tidak membenarkannya. "Saya tidak mampu bertahan lagi kerana banyak konflik dalaman antara kami yang menafikan hak saya sebagai isteri. Sebab itu, saya ambil keputusan untuk memfailkan perceraian ini," katanya.
Menerusi laporan mStar Online pada 20 Januari lalu, Sham menafikan desas-desus mendakwa dia sudah bernikah lagi secara rahsia pada 16 Januari di Pulau Pinang. Sham menganggap gosip itu sebagai fitnah yang mencalar reputasinya sebagai pendakwah baru dan menggores hati isterinya Farazila. Pada artikel mStar Online bertarikh 13 April lalu, keluarga yang dipercayai isteri kedua Sham iaitu Nurul Halimin Md Salleh, 32, terkilan apabila gitaris itu masih enggan mengakui dia sudah bernikah kali kedua. Sumber terdekat keluarga tersebut berkata Sham yang kini bergelar pendakwah bebas bersikap tidak jujur kerana sehingga kini masih menafikan pernikahan itu.

Boleh elak maksiat - Nadia

PERSONALITI TV3, Nadia Shahrul Annuar yang merupakan buah hati kepada bekas vokalis kumpulan Kerispatih, Sammy Simorangkir mengakui dia kini sedang mengulit bahagia bersama lelaki kelahiran republik Indonesia itu. Walaupun Sammy pernah terlibat dengan najis dadah serta dipenjarakan selama enam bulan, Nadia menganggap semua itu tidak menjadi masalah baginya kerana semua orang mempunyai kisah gelap sendiri.

Baru berkahwin sudah berpisah - Izreen Azminda

PERKAHWINAN mereka masih baharu, namun ujian getir menanti apabila mereka terpaksa berpisah. Itu takdir yang melanda pasangan pengantin baharu, aktres Izreen Azminda dan suaminya, jurukamera, Muhammad Riza Baharudin atau Riza. Belum pun puas bermesra sebagai suami isteri selepas dinikahkan pada 30 Ogos lepas, pasangan ini sudah pun diuji apabila terpaksa berpisah selama 13 hari dek tuntutan kerjaya masing-masing. Izreen terbang ke Seoul, Korea Selatan kira-kira 24 jam selepas majlis persandingan pada sebelah malam 31 Ogos bagi mengikuti kru produksi untuk penggambaran drama bersiri, Julia. “Pada pukul 11.30 malam 1 September (lalu) saya berangkat ke Korea Selatan. Tipu jika saya kata tidak sedih meninggalkan suami. Pertama kali kahwin dan baru mahu merasai hidup berumah tangga terpaksa 'berpisah','” ujar Izreen. Biarpun terpaksa melalui ujian getir itu, namun tanggal 30 Ogos 2012 sebenarnya telah menjadi detik istimewa dan bersejarah bagi pemilik nama Izreen Azminda Aznam. Jika pada tahun-tahun sebelum ini, aktres penuh karakter ini menyambut hari lahir dengan hanya menerima hadiah seperti coklat, bunga dan anak patung, namun pada ulang tahun ke-27 pada tahun ini, ‘hadiah’ yang diperoleh amat berbeza dan istimewa. Bak bait lagu nyanyian kumpulan Ungu, Kau Tercipta Untuk Ku yang berkumandang sejurus sebelum ketibaan Izreen bersama pasangannya, Muhamad Riza Baharudin atau Riza di Dewan Gemilang, Darulaman Golf & Country Club, Jitra, Kedah yang menjadi lokasi pernikahan mereka, nyata Riza pula ‘dicipta' Tuhan untuk Izreen. Mereka disatukan menerusi simpulan tali suci pernikahan yang mahu diikat kuat hingga nafas terakhir. Dengan dua kali lafaz penuh berkat, ijab dan kabul maka termeterai janji setia bagi membina bahtera bahagia bergelar suami isteri. “Ini hadiah ulang tahun kelahiran paling besar dan cukup istimewa bagi saya. Riza sudi mengahwini saya. Bukan mudah untuk mencari lelaki yang mahu memberi komitmen,” tutur Izreen. Pemilihan tarikh ini juga cukup istimewa bagi Izreen kerana ia ditetapkan sendiri ibunya, Azizah Hasan dan siapa lagi, kalau bukan Riza. “Saya seorang yang sangat pelupa, tidak ingat tarikh penting. Jadi ibu dan Riza memilih 30 Ogos bagi mudah saya ingat kerana ia tarikh kelahiran saya dan kini menjadi tarikh pernikahan kami,” tutur Izreen yang cukup terkenal menerusi drama rantaian Juvana dan Tentang Dhia itu.
Debaran berakhir Pasangan raja sehari itu selamat diijab kabul bapa Izreen sendiri, Mohd. Aznam Mohd. Noor tepat pukul 9.50 malam sambil bersaksikan Zakaria Abd. Rahman, 61, dan Mohamad Abdullah, 55. Dengan sembilan dulang hantaran dari Riza berbalas 11 dulang dari Izreen, termaktub juga janji setia mereka hingga akhir hayat. Wang hantaran RM19,001 berserta mas kahwin RM999 mengukuhkan lagi ikrar mereka untuk melayari bahtera rumah tangga. Mengakui begitu berdebar menanti detik bergelar isteri Riza, kata Izreen bukan sehari dua dia menanggung ‘beban’ itu, tetapi ia bermula sejak dari tarikh menerima lamaran Riza pada akhir tahun lalu. “Selagi majlis (perkahwinan) tidak selesai, selagi itu saya berdebar-debar. Dan rasa sebagai orang baharu, jika sebelum ini bujang sekarang sudah berdua dan ada tanggungjawab sebagai isteri,” tutur Izreen yang merupakan anak kedua dari tiga beradik itu. Dalam pada itu disebabkan inilah pertama kali bergelar isteri, Izreen yang begitu teruja melihat ikatan perkahwinannya itu sebagai pengalaman baharu yang amat mencabar. “Ketika Riza mula melamar dan saya menerimanya, bermakna saya sedia memikul tanggungjawab sebagai isteri. Riza seorang yang romantik bagi perempuan macam saya yang kasar dan ada kala agresif. “Saya kuat memberontak tetapi Riza tenang sahaja. Saya berharap Riza dapat menjaga saya dengan penuh tanggungjawab dan sebaik mungkin serta menyayangi saya dengan sepenuh hati,” bicara Izreen sambil menguntum senyuman manis. Riza yang cukup mesra ketika ditemui wartawan usai majlis akad nikah, pantas berkata: “Apabila tiba tarikh ini (di masa hadapan) saya kena beri dua hadiah kepada Izreen. Lagipun kami dapat meraikannya serentak sebagai ulang tahun kelahiran dan perkahwinan.” Riza pula mengakui dia juga turut dilanda debaran, terutama sejurus sebelum upacara akad nikah dijalankan. “Saya amat bersyukur kerana debaran menjadi suami berakhir dengan baik. Ini tanggungjawab Allah kepada saya,”' ujar jurukamera yang sudah enam tahun bergiat aktif dalam industri perfileman itu. Bagi lelaki berusia 29 tahun itu, ini bukan perkahwinan kali pertamanya kerana ‘masjid’ yang dibina sebelum ini tidak ke penghujung. “Saya akan menjaga Izreen seperti saya jaga diri saya dan menyayangi dia lebih dari sayang diri sendiri. Saya tidak mahu ulang apa yang berlaku sebelum ini iaitu bernikah dan bercerai. Kalau boleh biar perkahwinan ini sampai akhir hayat,” ujar Riza yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor. Mengulas mengenai sikap kasar Izreen pula, kata Riza, isterinya itu tetap menyerlah sisi kelembutan dalam dirinya dan itulah yang nyata telah berjaya memikat hatinya. “Saya nampak sifat keibuan Izreen apabila melayan kanak-kanak. Moga Izreen menjadi isteri solehah, untuk mendidik dan menjaga anak-anak saya sampai pandai dan jangan cepat marah,” seloroh Riza yang mengimpikan tiga orang cahaya mata.
Hikmah kontroversi Apabila menyebut nama Izreen dan Riza, sejarah ‘hitam’ tidak boleh lari dari diari hidup mereka dengan himpitan kontroversi. Izreen diuji gara-gara pernah mendakwa bercinta dengan aktor Johan As’ari yang bergandingan dengannya dalam drama Juvana, sedangkan Johan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu. Justeru apabila perancangan Izreen dan Riza untuk bertunang dicium media, timbul pula kontroversi pada pihak Riza. Seperti biasa laman internet menjadi medan yang kononnya cuba membogelkan kisah sebenar Riza sekali gus dilihat sebagai percubaan dalam menghalang pertunangan mereka. Kononnya dalam salah sebuah blog gosip ada individu tertentu yang didakwa menghantar emel menampilkan kenyataan pencetus daripada seorang pengurus produksi yang hanya dikenali sebagai Rafeda. Dakwa Rafeda, dia merupakan tunangan Riza dan Izreen pula dilabelkan sebagai perampas tunangan orang. Tidak cukup dengan itu, Riza juga didakwa pernah berkahwin dengan bekas isteri pelakon Badrul Muhayat, Julia Daud yang mana kes mereka juga pernah menjadi isu panas apabila Badrul meninggalkan Julia yang ketika itu sarat mengandung anak pertama mereka. Rafeda juga mendakwa dia dan Riza pernah bercuti ke luar negara dan masih menyimpan segala bukti yang berupa gambar-gambar dan rakaman video sepanjang percutian mereka itu. Rafeda turut didakwa pernah mengandung anak luar nikah daripada benih Riza, tetapi Riza telah mengambil keputusan untuk menggugurkan kandungan Rafeda kerana ketika itu Riza masih bergelar suami kepada Julia. Dari sudut pandang Izreen, kontroversi itu banyak mengajarnya supaya lebih berhati-hati pada kemudian hari dan percaya apa yang berlaku itu ada hikmah. “Ia mengajar saya menjadi lebih baik. Saya berjumpa dengan orang yang lebih baik. Fikir positif ke depan, kontroversi mengajar saya sebagai pendatang baharu dalam industri,” tutur Izreen. Menurut Izreen, ketika mengharungi kontroversi tersebut, dia menerima banyak sokongan serta semangat daripada keluarga, rakan-rakan dan peminat sekali gus dapat mengharungi tahun 2012 dengan ‘bersih’. “Tahun ini membuatkan saya boleh bernafas dengan tenang sebab tahun lepas nak buat kerja pun tidak boleh. Apa pun, tahun ini saya banyak dekatkan diri dengan penonton menerusi karakter dalam lakonan dan banyak fokus kepada kerjaya. Peminat mengenali saya dengan lakonan, bukan lagi kontroversi. “Apa yang berlaku, kita perlu selidik dahulu. Harap dengan pernikahan ini dapat menutup kontroversi lalu dan mendatang. Saya minta peminat doakan yang terbaik untuk kami,” ujar Izreen yang membintangi dua buah filem pada tahun depan iaitu Pecah dan Pak Pong. Riza yang turut menjadi ‘watak utama’ dalam pakej kontroversi itu sudah tidak mahu lagi mengingatinya kerana telah menjelasnya sebelum ini dan meminta pihak terbabit tampil dengan bukti. “Tiada pun pihak yang tampilkan bukti. Nyata perkara ini fitnah dan tidak wujud sebaliknya sengaja diada-adakan. Kami harus saling mempercayai,” ujar Riza yang terlibat dalam penggambaran drama bersiri 13 episod, Monumen Cinta untuk slot Lestari selepas ini.

Wartawan... berhati-hatilah - Fouziah Gous

BANYAK fakta yang tak betul tentang kematian bapa Fouziah Gous yang menghembuskan nafas terakhir pada 11 Ogos lalu. Ketika itu umat Islam sedang sibuk membuat persiapan ketibaan Syawal yang mulia. Berita pemergian Allahyarham Mohd. Gous Ghulam pada usia 75 tahun itu cukup sedih buat seorang anak. Tapi apa yang dikesalkan apabila berita pertama kematian bapanya itu yang ditulis oleh seorang wartawan (bukan dari Kumpulan Utusan) tidak tepat. Fouziah mengakui keadaan emosi tidak stabil untuk bercerita tentang kehilangannya waktu itu secara terbuka. “Saya tertanya-tanya kenapa wartawan itu tergesa-gesa untuk menulis berita kematian arwah sehingga membuat andaian sendiri dalam artikelnya. Berani menambah fakta yang tak betul sehinggakan emosi saya kacau bilau. Kenapa tak berhati-hati sebelum menulis sesuatu cerita, apalagi yang melibatkan cerita kematian? “Macam mana kalau mereka di tempat saya? Dahlah, orang kesayangan tinggalkan kita, bila baca balik artikel itu, saya kecil hati. Arwah meninggal dunia bukan kerana sakit kencing manis dan darah tinggi, tapi sakit tua. “Keadaan antibodi arwah terlalu lemah untuk memungkinkan dia mendapatkan rawatan selanjutnya, takut dia tak terima. Arwah dah lama sakit dan memang saya tak sangka dia pergi meninggalkan kami sekeluarga seminggu sebelum hari raya. Apa pun, kami sekeluarga reda. Arwah pergi dengan keadaan cukup tenang," katanya mengimbas peristiwa sedih dalam hidupnya itu. Jenazah Allahyarham Mohd. Gous Ghulam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 14, Puchong selepas Asar selepas mengadu sesak nafas pada sebelah pagi 11 Ogos lalu. Ketika itu, Fouziah ada penggambaran drama di Ijok, Selangor dan bergegas pulang selepas dimaklumkan keadaan bapanya oleh salah seorang ahli keluarganya. Dalam perkembangan berkaitan Fauziah turut menyatakan kekesalan apabila ada kenyataan yang dibuatnya berhubung isu perkahwinan turut menjadikan dia mangsa salah faham. “Saya memang ada cakap nak berkahwin tapi saya tak cakap dengan siapa saya akan berkahwin. Yelah, soal jodoh mana boleh kita cakap sembarangan bukan? Jadi bila ada (wartawan) yang menulis seolah-olah dia tahu sepenuhnya tentang saya, itu yang buat saya jadi keliru. Siapa sebenarnya Fouziah Gous ni? “Wartawan itu sedaplah, sebab berita apa yang dia nak dari saya, dia dapat. Tapi saya yang menanggung kesan jangka panjangnya. Saya berterusan diajukan persoalan tentang perkahwinan dan itu yang buat saya sedih," dedahnya tanpa berselindung. Ibu ratu hatiku Pun begitu, pelakon filem Dua Hati Satu Jiwa ini cukup bertuah kerana dilema yang dialami itu mendapat perhatian ahli keluarganya yang lain terutama ibu, Sajadi Ibrahim, 58. Baginya, wanita itu cukup memahami keadaan yang dialaminya tambahan pula dengan situasi kehilangan pada hari ini. “Kami berdua memang rapat, semua benda buat sama-sama. Masak, kemas rumah, tidur pun sama. Kami sentiasa berkongsi masalah, apa saja. Saya kena kuat untuk dia, tambahan ayah dah tak ada. Kalau boleh saya tak mahu tengok ibu rasa sedih. Saya nak tengok dia ceria sentiasa. “Sebab itu, saya ambil cuti dua minggu (selepas arwah meninggal dunia). Duduk di rumah 24 jam. Kalau keluar rumah pun sekejap saja, macam beli barang rumah lepas itu balik. Tapi bila keadaan dah terkawal, saya minta kebenaran ibu untuk kerja, tunaikan apa-apa yang terbengkalai," katanya menutup perbualan petang Rabu lalu.

Wabak Oppa Gangnam Style

DI MANA-MANA kini orang memperkatakan tentang lagu Oppa Gangnam Style dendangan penyanyi rap yang berisi, Psy. Video muzik (MV) lagu ini dengan trade mark tarian kelakar seumpama orang menunggang kuda yang turut menampilkan pengacara terkemuka Korea, Yoo Jae Suk, pelawak Noh Hong Chul, anggota 4Minute, Hyuna serta dua anggota Big Bang, Daesung dan Seungri - sehingga kini telah ditonton lebih 69 juta kali hanya dalam tempoh sebulan lebih ia dimuat naik di YouTube. Menariknya, berpuluh-puluh parodi yang meniru mahupun mempersendakan MV itu turut mendapat sambutan pelayar Internet di seluruh dunia. Bukan sahaja di Korea, video parodi turut dihasilkan peminat K-Pop antaranya di Amerika, Jerman dan Sepanyol. Video parodi Suasana Raya Gangnam Style yang dibuat oleh sebuah keluarga di Malaysia turut mencatat puluhan ribu kali tontonan. Berhantunya rentak tari dan lagu ini membuatkan ia turut mendapat perhatian artis antarabangsa yang sama ada memberikan komen mereka dalam akaun Twitter masing-masing seperti Robbie Williams dan Katy Perry bahkan ada yang membawakannya dalam konsert seperti dilakukan Nelly Furtado di Filipina. Sejak dipasarkan pada 15 Julai lalu, lagu ini telah menjuarai carta Billboard Korea K-Pop Hot 100 dan Billboard YouTube Music Chart bahkan iTunes Music Video Chart mengatasi Justin Bieber (As Long as You Love Me) dan Katy Perry (Wide Awake). Ia merupakan pencapaian terbaik oleh artis Korea setakat ini. Di Korea sahaja, ia mencatatkan 745,000 muat turun dalam minggu pertama dan kekal di tangga teratas dalam Gaon Single Chart untuk lima minggu. Sehingga 23 Ogos lalu, Oppa Gangnam Style telah dimuat turun sebanyak 2,545,837 kali di Korea dan menduduki tangga ke-44 dalam iTunes Amerika Syarikat.

Erry Putra diugut bunuh

JARANG kita dengar cerita panas mengenai pelakon yang begitu popular dengan drama bersiri Nora Elena ini. Siapa lagi kalau bukan Erry Putra. Bahang populariti dia juga semakin melonjak sekarang ini apabila dia muncul dengan watak antagonis dalam drama bersiri Naziha. Nak dijadikan cerita, disebabkan wataknya dalam drama itu, agaknya ada yang menyimpan dendam terhadap pelakon yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini. Ia dibuktikan apabila Erry sendiri membuat pengakuan bahawa dia telah diganggu oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya beberapa hari lepas. Paling mengejutkan, dakwa Erry, nyawanya turut diancam apabila lelaki tersebut mengugut untuk membunuhnya. Menggali hal ini dengan lebih mendalam, Pancaindera mendapatkan Erry untuk menjelaskan situasi yang sebenar. Khabarnya, Erry telah diganggu oleh seseorang yang tak dikenali baru-baru ini. Apa cerita ni? Ya, memang betul. Kejadian tu baru saja berlaku beberapa hari lepas. Saya memang tak tahu siapa dia tapi yang pasti dia memang psiko. Apa yang dia buat? Dia hantar macam-macam mesej melalui sistem pesanan ringkas (SMS) pada saya termasuk menghubungi saya setiap masa. Saya pun hairan juga, macam mana dia boleh dapat nombor telefon saya. Dari hari pertama dia buat hal, saya memang langsung tak ambil peduli. Memang malas nak layan. Macam mana pula reaksi lelaki psiko tu bila Erry tak layan dia? Banyak kali dia hubungi dan hantar SMS tetapi saya tak balas atau layan, dia mula bengang. Kemudian dia mula hantar SMS mengarut dan maki-hamun saya macam-macam. Pun begitu, saya masih tak layan dia. Bagi saya buat apa nak layan orang tak betul macam ni. Tapi paling saya tak sangka, dia turut dapat nombor pembantu peribadi saya dan beberapa kawan saya yang lain. Mereka pun kena maki dan diganggu oleh orang yang sama. Alasan dia, sebab mereka semua sebelahi saya. Itu yang saya hairan tu. Khabarnya Erry juga menerima ugutan bunuh daripada lelaki itu. Apakah Erry tidak risau? Risau memanglah risau. Memang lelaki ni sengaja nak cari fasal. Itu saya tak nafikan. Sebab tu saya tak layan. Dia telefon saya setiap masa. Pagi, petang, siang dan malam. 24 jam tak henti. Rimas juga saya dan buat masa sekarang saya perlu berhati-hati. Sudahkah Erry membuat laporan polis untuk jaminan keselamatan? Kebetulan, saya ada kawan yang bekerja di sebuah syarikat telco dan saya minta bantuan dia untuk menyekat nombor telefon lelaki psiko tu. Jadi dia dah tak boleh ganggu saya lagi. Bukan saya tak nak buat laporan polis, tapi saya rasa selagi saya tak terima gangguan atau kecederaan fizikal daripada dia, rasanya lebih baik saya berdiam diri dulu. Tidakkah Erry bimbang dia akan membuat tindakan yang di luar jangkaan? Bukan tak nak ambil serius. Tapi saya akan mengambil langkah berhati-hati. Kalau ikut hati, memanglah kalau boleh saya nak cari siapa dia. Tapi malas nak layan. Sekarang ni tawakal sajalah. Apakah mungkin lelaki psiko yang Erry maksudkan tu sebenarnya orang yang dekat dengan Erry. Mungkin kawan-kawan Erry juga? Saya tak berani nak buat tuduhan melulu. Tapi saya tak rasa kawan-kawan yang cuba nak dajal. Memang lelaki ini psiko. Yang boleh saya beritahu, dia ni macam orang dari pantai timur berdasarkan loghat bahasa yang dia gunakan. Pernah dapat ugutan seperti ini sebelum ini? Tak pernah. Ini kali pertama. Kalau orang telefon atau SMS kacau-kacau tu biasalah. Ini sampai buat ugutan bunuh...siapa yang tak cemas kan. Agaknya dia ni terbawa-bawa dengan watak saya dalam Naziha kot sebab tu dia simpan dendam. Tak tahulah, mungkin tanggapan saya salah. Saya ada bercadang nak tukar nombor yang baru. Tapi sayang juga sebab nombor ni dah lama saya guna dan memudahkan kerja saya. Tak apalah, berhati-hati sajalah lepas ni.

Jep Sepah dah besar kepala?

JOYAH tahu, ramai peminat di luar sana yang memang suka dengan pelawak Jep Sepah. Sejak dia masuk program realiti Raja Lawak lagi. Tapi, Joyah ada terdengar gosip yang kurang menyenangkan mengenai pelawak ni. Betul ke Jep dah tak macam dulu. Sekarang dia didakwa dah besar kepala? Iyalah income daripada RM5,000 sebulan kini sudah mencecah puluhan ribu ringgit! Joyah tak mahulah dedahkan siapa yang buka mulut pasal hal ni. Cukuplah sekadar anda tahu yang ia datang daripada orang dalam sebuah produksi. Khabarnya, sejak Jep terlibat dalam sebuah drama bercorak komedi dengan produksi berkenaan, egonya semakin menyerlah. Jep didakwa banyak menyusahkan tenaga pekerja produksi dengan sikapnya itu dan turut mempertikaikan pemilihan lokasi penggambaran. Pernah sekali, Jep dikatakan menolak bulat-bulat lokasi yang dah dipilih sebab tempat itu katanya 'kurang sesuai.' Padahal, nak cari lokasi tu bukannya senang. Pendek kata ada sajalah tak kena di matanya. Agaknya Jep banyak songeh sebab dia pun khabarnya sekarang tengah bercinta dengan produser drama tu. Eh terlepas cakap pula! Satu lagi, khabarnya, disebabkan dia ada hubungan dengan produser tu, Jep menerima layanan dan bayaran lebih berbanding Shuib walaupun Shuib adalah pelakon utama drama komedi itu. Aik...macam tak adil pula kan? Kata kawan baik Joyah. Ha...Joyah ada juga terfikir, dulu Jep kata Mamat yang banyak menimbulkan masalah. Tak berdisiplin dan macam-macam. Sekarang penyakit tu dah berjangkit ke? Mengata dulang paku serpih...tu je yang Joyah boleh cakap...harap-harap Jep sedarlah. Sebab langit tidak selalu cerah dan jangan mudah lupa diri!

Diana Danielle rela berdiam diri

WAJAH manis gadis ini sentiasa menjadi perhatian. Setiap kali muncul di mana-mana acara pasti Diana Danielle menjadi tumpuan memandangkan ada sesuatu yang menarik mengenai dirinya. Kurang senang berkongsi cerita-cerita peribadi, dia sebenarnya cukup berahsia tentang banyak perkara. Selagi dia mengunci mulut, selagi itu pelbagai soalan bermain di fikiran sebilangan besar pemuja wanita kacukan ini. Kematangan Diana semakin terserlah sejak kebelakangan ini. Mungkin juga faktor ‘lama’ dalam industri membuatkan dia cukup masak dengan perjalanan hidup sebagai anak seni. Semakin dia berhati-hati menempuh hidup sebagai orang terkenal, semakin banyak dia diasak dengan pelbagai persoalan yang merumitkan kepala. Ya, dia pernah dilemparkan dengan pelbagai cerita kurang enak, tetapi itu langsung tidak menimbulkan kudis pada dirinya. Sudah tentu cerita Diana paling menarik perhatian peminat. Dikatakan bercinta dengan pelakon kacak Farid Kamil, sebenarnya tidak ramai yang tahu apakah yang berlaku antara mereka berdua. Harus diakui pasangan ini cukup bijak menyimpan cerita cinta mereka. Tidak seperti sesetengah pasangan yang terang-terangan mengakui isi hati mereka, Diana lebih suka menolak ke tepi isu itu dan mahu membiarkan cerita kejayaan dihebahkan kepada umum. “Antara saya dan Farid biarlah kami sahaja yang tahu apa yang terjadi. Saya kurang gemar bercerita perihal cinta, kerana itu adalah hal peribadi saya. “Selama tiga tahun berkawan saya memang selesa dengannya. Tidak ada apa yang boleh kami kongsikan kepada umum selain mahu peminat berdoa yang baik-baik untuk kami. “Mungkin orang jarang lihat saya bersamanya dalam satu-satu majlis. Kami juga jarang beriringan di karpet merah mana-mana acara besar sehingga membuatkan orang semakin nak tahu apa yang jadi. “Apa-apa pun saya serahkan segala-galanya pada takdir. Tidak ada orang yang mahukan perkara buruk terjadi dalam perhubungan, begitu juga saya. Semoga segala-galanya aman," terang Diana. Melihatkan raut wajah manisnya, Pancaindera dapat rasakan yang pelakon filem Jiwa Taiko itu kurang gemar diasak dengan soalan peribadi. Namun, dia masih mampu menjawab segala-galanya dengan baik menyerlahkan lagi sisi profesionalisme gadis ini. Bagi Diana, dia cukup menjaga hubungan selama ini. Tidak rela orang bercakap hal buruk tentang dirinya, itulah yang menyebabkan dia rela membiarkan isu peribadi reda begitu sahaja. Selektif MENJADI taruhan setiap kali filem baru muncul di panggung tidak menjadi masalah besar buat Diana. Dia yakin pemilihannya sebagai pelakon bukan sekadar populariti yang diraih sebaliknya kepercayaan pengarah terhadap bakat seninya. Melihatkan senario industri perfileman tempatan memang tidak dinafikan Diana sering kali menjadi perhatian dan didambakan oleh kebanyakan penerbit untuk melariskan filem mereka. Tapi hakikatnya pelakon yang sedang sibuk dengan penggambaran filem Kami Histeria ini begitu selektif memilih peranan dalam kebanyakan filem yang ditawarkan disebabkan banyak faktor. “Saya tidak perlu berlakon sampai seratus buah filem atau drama untuk terus kekal dalam industri ini. Bagi saya setiap filem yang dihasilkan itu perlu kuat dari segala sudut. Penilaian itu bermula daripada kekuatan skrip, para pelakon dan pasukan produksi itu sendiri. “Memang saya meletakkan standard untuk menilai lakonan sendiri setiap kali filem saya muncul di panggung. Pelakon lain saya tak peduli sebab itu bergantung kepada kemahuan setiap individu. “Kenapa perlu bekerja keras semata-mata mahu berlakon banyak filem kalau tidak menjaga kualiti? Sebab itu sejak awal tahun lalu, saya hanya memilih untuk lebih banyak berehat dan memberi tumpuan kepada keluarga. “Bukan bermakna saya berlagak atau terlalu memilih. Kualiti kena jaga. Tahun-tahun sebelum ini pun saya memang sudah bekerja keras. Jadi biarlah saya berehat panjang sedikit sebelum terlibat dalam hal yang besar," tegas Diana lagi. Satu perkara yang menarik untuk dikongsikan bersama peminat, Diana tidak akan bekerja lebih dua bulan secara terus menerus jika terlibat dalam mana-mana filem. Cuma filem Hanyut yang arahan U-Wei Haji Shaari adalah produksi paling lama yang pernah disertainya. “Hampir dua bulan setengah saya memberikan tumpuan kepada filem Hanyut. Sejujurnya memang saya anggap itu perkara paling mencabar yang pernah saya lakukan sepanjang bergelar pelakon. “Memang tak sabar menunggu tayangan filem Hanyut dan Azazil. Kedua-dua filem ini membuatkan saya puas hati dan berbangga," katanya lagi. Sibuk KESIBUKAN menghabiskan baki kerja yang tertunggak sehingga hujung tahun ini sememangnya membuatkan Diana gusar. Pelbagai perancangan telah diatur terutama impian untuk menyambung kelas lakonan ke luar negara dan meneruskan pengajian seperti mana yang diharapkan. “Jangan ambil tahu hal pelajaran saya! Saya tahu apa yang saya lakukan dan di mana tempat belajar saya. Saya tak suka kalau ada orang yang berlebih-lebih hal pelajaran saya. “Buat masa ini saya mahu menyambung pengajian secara online memandangkan itu lebih mudah dan fleksibel untuk saya. Boleh belajar di rumah bila-bila masa mengikut kesesuaian," jelasnya. Bagi Diana, dia sebenarnya menyasarkan tahun ini sebagai tahun untuknya belajar dan memberikan tumpuan kepada bidang muzik yang amat diminatinya. Setelah berjaya popular dengan lagu Radio bergandingan dengan Imran Ajmain dan Nabil Raja Lawak, membuatkan Diana berazam untuk bergelar penyanyi profesional sedikit masa lagi. “Sehingga hari ini saya sudah tulis lebih 10 buah lagu. Impian nak jadi penyanyi tak pernah padam dan saya sudah merancang untuk mengeluarkan single tidak lama lagi. “Penat sebenarnya nak beri tumpuan pada lakonan. Tahun lepas contohnya, saya berlakon dalam enam buah filem. Memang cukup penat kalau nak dikenang. Daripada berehat kosong baik saya beri tumpuan dalam bidang nyanyian. “Setidak-tidaknya itu membuktikan yang saya serius dalam setiap pekerjaan. Tak mengapa lambat asalkan ada," katanya tertawa. Pelaris MENJADI duta kepada produk kecantikan NanoWhite sememangnya memberikan seribu makna buat dirinya. Diam tak diam sudah empat tahun Diana menjadi pelaris kepada produk berkenaan yang terbukti berkesan kepada pelanggan setia. Mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan, Diana menganggap tugas menjadi duta produk bukan satu tugas mudah yang boleh dipandang ringan. Kepercayaan orang terhadap dirinya akan membuatkan produk itu lebih cepat diterima ramai. Namun keberkesanan produk tersebut perlu didahulukan “Bila orang pilih kita dan bayar kita untuk menjadi jurucakap produk mereka, itu merupakan satu tanggungjawab yang besar. Saya tidak akan ambil tugas ini kalau sesuatu produk itu memang tidak berkesan. “Ada orang mendahulukan wang ringgit bila mereka dilantik menjadi duta produk. Saya pula tidak meletakkan perkara itu di hadapan memandangkan situasi sebegini perlu sama-sama dapat manfaat dan faedah. “Jangan sesekali mengejar wang ringgit tetapi pada akhirnya memakan diri sendiri," kata Diana lagi.

Fizo Omar Mahu Eksport Serunding Ke Luar Negara

PETALING JAYA: Pelakon Fizo Omar berhasrat untuk mengeksport serunding daging resepi milik keluarganya ke peringkat antarabangsa sebagai salah satu usaha memperkenalkan makanan itu kepada masyarakat luar. Fizo, 27, berkata, dia yakin makanan yang popular ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri itu boleh dibawa ke luar negara dan dikomersilkan. "Buat masa ini saya menyasarkan untuk mengeksport serunding jenama saya itu ke negara seperti Singapura, Brunei dan Indonesia dan jika semuanya berjalan lancar barulah ia diperluaskan ke tempat lain," katanya kepada mStar Online. Tambah Fizo, sepanjang Ramadan lalu juga dia turut menjadi pemborong dan mengedar di beberapa kawasan selain menjual sendiri serunding daging di gerai yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman, (TAR) Kuala Lumpur. Dalam pada itu, Fizo teruja apabila serunding daging tersebut berjaya dijual sebanyak 2,000 kilogram pada bulan Ramadan sahaja bersamaan dengan 100 ribu paket. Fizo memberitahu kejayaan setiap paket yang dijual dengan harga RM15 (250 gram) dan RM30 (500 gram) itu adalah bukti permintaan terhadap makanan itu tinggi dan menguntungkan. "Saya sendiri terkejut kerana 100 ribu paket berjaya dijual dan atas dasar itu juga ia telah menaikkan semangat saya untuk memasarkan serunding daging ini ke peringkat lebih tinggi," katanya. Sementara itu, Fizo memberitahu selain pelan mengeksport serunding daging ke luar negara, dia juga bakal muncul dengan buku resepinya sendiri iaitu Air Tangan Fizo yang menghimpunkan resepi kegemaran pelakon muda itu. Malah kata Fizo, dia juga merancang untuk mengeluarkan beberapa jenis produk makanan dibawah labelnya pada masa akan datang. "Saya melihat industri makanan sangat sesuai dengan saya dan sebab itu saya cuba buat perkara yang berkaitan makanan tambahan pula ia berpotensi untuk berkembang dengan cepat. "Tetapi itu bukan alasan untuk berpeluk tubuh dan menunggu kejayaan datang kerana banyak perkara perlu dilakukan sebelum boleh berjaya," katanya. Dalam perkembangan lain, Fizo memberitahu bakal muncul dengan filem Minyak Dagu arahan Azahari Zain, Azazil (Khanir Bhatia) selain bakal muncul dengan drama bersiri berjudul Julia untuk slot Akasia di TV3.

Terima Anak, Syarat Siti Nordiana Kahwin Lagi

PETALING JAYA: Penyanyi Siti Nordiana memberitahu hanya akan menamatkan zaman jandanya apabila bertemu dengan lelaki yang boleh menerima kehadiran anak lelaki tunggalnya iaitu Mohammad Ryyan Nakhaie, empat tahun. Siti Nordiana yang lebih mesra dengan sapaan Nana memberitahu, dia meletakkan perkara itu sebagai kriteria utama dalam mencari jodoh kerana keutamaannya kini adalah kepada anaknya itu. "Secara dasarnya saya sudah bersedia untuk kembali berumah tangga dan ciri-ciri yang saya cari adalah lelaki tersebut kena menerima anak saya dan bukan semata-mata diri saya sahaja. "Tambahan pula tanggungjawab lelaki itu nanti bukan mudah kerana perlu membesarkan anak saya dan sebab itu saya mahu calon suami saya itu nanti benar-benar bersedia," katanya kepada mStar Online. Nana sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Allahyarham Faizal Yusop sebelum bercerai pada tahun 2009. Dalam pada itu, Nana mengakui dirinya sedang berkawan dengan seorang lelaki namun memberitahu hubungan mereka masih dalam peringkat awal. Nana berkata, dia mahu mengenali hati budi lelaki tersebut terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. "Saya pernah gagal dalam perkahwinan dan kali ini saya mahu meneliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan tambahan pula saya mencari seorang lelaki yang boleh menjadi bapa kepada anak saya. "Barangkali lelaki yang saya sedang berkawan itu adalah orangnya atau pun mungkin tidak, Nana mahu cari yang terbaik," ujarnya. Bercerita lanjut mengenai jejaka tersebut, Nana, 28, memberitahu dia sudah lama mengenalinya dan dia juga sedang berusaha memikat hati Ryyan. "Dia sebaya dengan Nana dan belum pernah ada pengalaman dengan kanak-kanak jadi dia kini sedang membiasakan diri dengan situasi baru dan setakat ini semuanya berjalan dengan lancar. Jika ada jodoh Nana terima dengan seadanya," ujarnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails