Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Tilla tidak menumpang
NAMANYA mungkin belum segah mana, namun ada sesuatu mengenai gadis ini yang menyebabkan dia terus diburu.
Bertubuh lansing dan tinggi lampai, ternyata kewujudannya di dalam industri lakonan mula mendapat perhatian banyak pengarah dan penerbit. Namun kemusykilan mengenai niat sebenar gadis ini berada di dalam industri mula dipersoal apabila dia kini dikatakan intim dengan pelakon lelaki popular.
Benarkah bagai dikata ini merupakan strategi yang akan digunakan dirinya untuk mendapat perhatian segera? Tidak mahu terus ditohmah, Tilla atau Siti Nur Syatilla Amirol Melvin,21, memberitahu kedudukan sebenar hubungan yang terjalin di antara dia dan pelakon lelaki popular, Shaheizy Sam.
Di dalam kesamaran penjelasan yang cuba diberikan, gadis ini menegaskan status sebenar hubungan dia dan Sam hanyalah sebagai kawan rapat.
Tidak mahu menerangkan lebih lanjut definasi hubungan tersebut, Tilla memberitahu ia terlalu peribadi untuk dikongsi dengan umum memandangkan dia masih perlu menjaga hati banyak pihak.
Cukup saya jelaskan di sini kami berkawan baik. Saya tidak mahu menjelaskan lebih lanjut mengenai hubungan ini memandangkan ia melibatkan banyak pihak. Sebenarnya, saya perlu menjaga hati mereka," katanya ketika hadir untuk sesi fotografi bersama Utusan baru-baru ini.
Hubungan yang terjalin diakui Tilla berjalan lancar. Setelah hampir dua tahun berkenalan banyak sisi Sam yang begitu menyenangkan gadis ini.
Saya mengenali Sam sewaktu dia hadir untuk program Dewi Remaja, saya salah seorang peserta.
Jujurnya Sam seorang yang menyenangkan. Keadaan sekarang amat selesa untuk kami berdua dan tidak ada apa yang perlu diumumkan lagi memandangkan hubungan kami hanya sebagai kawan,"katanya.
Mengakui Sam pernah ke rumah keluarganya, menurut Tilla apa yang berlaku bukan seperti yang disangka. Pertemuan Sam dan keluarganya berlangsung ketika pelakon lelaki itu hadir untuk meraikan perkahwinan kakak sulungnya.
Benar Sam mengenali keluarga saya, dan pernah datang kerumah saya di Perak. Tapi ketika itu Sam hanya hadir untuk kenduri kakak sahaja.
Dia tidak datang sebagai lelaki istimewa dalam hidup saya," katanya jujur.
Cuba mengusik hati sebenar gadis ini mengenai jodoh, ternyata jawapan yang diberikan Tilla tidak menggambarkan langsung usia sebenarnya. Kematangan gadis kacukan Eurasian ini benar-benar mengagumkan.
Bercakap soal jodoh kita tahu ia di luar kemampuan kita. Bagi saya tidak ada perkataan sedia atau tidak, jika sudah sampai waktunya apa lagi yang boleh kita buat.
Buat masa ini Tilla tidak boleh cakap Sam sebagai jodoh atau bagaimana. Tidak kira dengan siapa pun jodoh saya, ia bukan sesuatu yang boleh saya pastikan ketika ini. Bagaimanapun untuk memulakan keluarga di usia semuda ini bukan sesuatu yang merunsingkan memandangkan saya memang suka kanak-kanak," katanya lebih senang bertutur menggunakan dialek utara.
Tumpang populariti
Tahu kedudukan dirinya sebagai pendatang baru, tidak pernah terlintas di hatinya untuk menggunakan persahabatan yang terjalin sebagai landasan untuk mendapatkan populariti ekspres. Bagi gadis yang berasal dari Parit Buntar, Perak ini dia tahu hanya usaha keras sahaja mampu menjamin kejayaan berpanjangan dalam industri ini.
Saya merupakan bekas peserta Dewi Remaja, sama seperti Neelofa dan Anzalna. Kami masing-masing berusaha keras untuk berada di dalam industri ini. Pada mulanya tidak terlintas dalam fikiran saya untuk menjadi seorang pelakon kerana minat saya lebih kepada dunia peragaan.
Bagaimanapun sokongan daripada ibu saya membuka mata mengenai potensi sebenar diri. Dan setelah hampir 10 bulan bergelar pelakon saya akui masih lagi mencuba memperbaiki lakonan saya," katanya.
Tidak mahu peminat melihat dia di sebalik bayangan Sam, menurut Tilla, jika benar dia mahu menggunakan persahabatan yang terjalin sebagai passport mudah untuk dikenali, sebenarnya dia mampu lakukannya sejak dahulu lagi.
Saya sudah mengenali Sam sejak dua tahun lalu, jujur saya katakan jika benar saya begitu, rasanya sejak dulu lagi saya sudah dikenali.
Mujur Sam seorang yang memahami. Memandangkan dia lebih berpengalaman dari saya dia banyak memberikan kata-kata semangat dan ini sebenarnya memberi keutamaan untuk saya meneruskan karier lakonan sehingga kini," katanya.
Ditanya sama ada dia sudah bersedia dengan tekanan yang akan diberikan peminat Sam ke atas dirinya, menurut Tilla dia percaya kebenaran akan menjernihkan keadaan. Malah dia juga percaya peminat kini cukup bijak untuk menilai bakat yang dimiliki dirinya.
Saya tahu Sam mempunyai ramai peminat dan saya akui pendedahan persahabatan ini sedikit sebanyak menyebabkan mereka memandang serong kepada saya.
Ingin saya tegaskan, kemasukan saya ke dalam industri bukan kerana mahu menumpang populariti sesiapa tetapi hanya sebagai cara untuk saya meneruskan kehidupan demi sesuap nasi," katanya.
Ning Baizura Enggan Ambil Risiko Bersalin Dalam Air
PETALING JAYA: Penyanyi Ning Baizura enggan mengambil risiko untuk mencuba kaedah bersalin dalam air walaupun ia kian menjadi 'trend' baru bagi ibu yang bakal melahirkan anak.
Ning atau nama sebenarnya Ning Baizura Sheikh Hamzah, 37, berkata dia agak takut dengan kelahiran cara itu lebih-lebih lagi ia belum lagi dipraktikkan secara meluas di Malaysia.
"Walaupun bersalin dalam air sudah menjadi satu perkara yang biasa di United Kingdom dan Amerika Syarikat, tetapi saya tidak yakin untuk melakukannya kerana di negara ini pendedahan kaedah itu masih baru.
"Difahamkan pula, ia memerlukan pelbagai persiapan rapi sebelum menempuh proses kelahiran bayi.
"Memandangkan bayi yang saya kandungkan ini merupakan anak sulung, saya dan suami (Omar Sharif Christopher Layton Dalton) enggan mengambil sebarang risiko," katanya.
Difahamkan, proses bersalin dalam air dikategorikan sebagai bersalin secara normal di mana ia menggunakan kaedah berbeza daripada biasa dan penggunaannya telah meluas di negara Eropah,Amerika,Australia dan beberapa negara Asia seperti Indonesia.
Kaedah itu juga wujud sejak tahun 1800-an dan Rusia merupakan negara pertama yang mengamalkannya serta telah diperkembangkan lagi oleh seorang doktor di Perancis pada tahun 1997. Pada tahun 1980-1990, ia mulai meluas di Eropah dan Amerika dan 2004 di Indonesia.
Berdasarkan rekod Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tiada sebarang kematian yang melibatkan kaedah bersalin di dalam air ini.
Bagaimanapun, tambah Ning, selepas mendengar pelbagai nasihat menceritakan kebaikan dan keburukan kaedah itu, Ning memutuskan dia lebih senang dan lega jika bakal anaknya itu dilahirkan secara normal.
"Apabila orang berkata tentang keburukannya di mana bayi yang dilahirkan mungkin boleh lemas walaupun peratusannya sangat kecil, saya enggan ambil risiko.
"Biarlah anak ini dilahirkan normal dan asalkan dia sihat, itu sudah lebih daripada cukup," tuturnya.
Sementara itu, Ning merancang untuk menghasilkan sebuah album kanak-kanak sempena kehadiran cahaya mata itu selepas enam bulan bersalin yang dijangka pada bulan Februari tahun depan.
12 Tahun Menduda, Ridzuan Hashim Selesa Hidup Solo
PETALING JAYA: Pelakon Ridzuan Hashim mengakui dia masih lagi sukar untuk mencari jodoh sejak menduda 12 tahun yang lalu.
Ridzuan, 48, berkata, sehingga kini, sudah beberapa kali perancangan untuk berumah tangga menemui kegagalan dan ia membuatkan dirinya lebih senang hidup solo.
"Perkara jodoh ini sukar untuk kita jangkakan. Adalah beberapa kali merancang nak kahwin tapi tak jadi.
"Bagaimanapun saya tak kata nak menduda selamanya. Cuma buat masa ini saya selesa begini (solo)," katanya.
Ridzuan ditemui pada majlis pelancaran program Panik, terbitan ntv7, di taman tema Sunway Lagoon, dekat sini, pada Rabu.
Tambah pelakon filem Bollywood, Don 2 itu, dia juga tidak menolak sekiranya jodohnya muncul dalam masa terdekat ini dan tidak meletakkan sebarang jangka masa untuk ke alam perkahwinan.
Dalam pada itu, ditanya adakah dia masih lagi berkelakuan nakal, seperti zaman mudanya dahulu yang didakwa sesetengah pihak, kata Redzuan dia tidak sedar dengan perubahan kelakuannya itu, cuma lebih senang dengan menjadi diri sendiri tanpa bersikap hipokrit.
"Entahlah, saya pun tak tahu. Nakal dalam SMS (Sistem Pesanan Ringkas)sahaja kot.
"Lagipun saya tidak ada Facebook, sebab kebanyakan orang dalam laman itu belum tentu jujur.
"Saya lebih senang jika bersemuka secara depan," selorohnya.
Sementara itu, menerusi Panik, Ridzuan telah ditugaskan untuk mengendalikan program tersebut dan ia merupakan kali pertama dia menjadi hos.
"Sesuatu yang baru buat saya kerana ia merupakan pengendalian program pertama yang pernah saya lakukan.
"Agak kekok sedikit, tetapi selepas mengacara dua episod awal, keserasian dengan program ini telah pun wujud.
"Bagaimanapun, saya menjanjikan kelainan dalam cara penyampaian saya, terutamanya daripada segi interaksi bersama penonton," ujarnya.
Panik menampilkan dua kumpulan di mana kumpulan A terdiri daripada Milea Aimilia, Ika Nabila, Juffri Rayyan William dan Ezany Nizariff manakala kumpulan B dibarisi pelakon Danny (X-Factor), Marlon (V.I.P), Anis Al-Idrus dan Shakila Khoriri.
Para selebriti tersebut diuji di mana mereka diletakkan di tempat-tempat seram yang pernah menjadi bualan masyarakat
Setiap peserta dalam kumpulan akan menjadi mangsa kurungan dalam sebuah rumah atau bangunan gelap di tiga lokasi terpilih iaitu Muzium Perang di Pulau Pinang, Bukit Cerakah, Shah Alam dan Istana Kellie's, Perak.
Program tersebut akan ditayangkan setiap Rabu bermula 2 Januari tahun depan pukul 8.30 malam di ntv7.
Belum tahap eksklusif - Yana
WANITA ini mengakui bahawa perjalanan seninya semakin berkembang dan menunjukkan peningkatan. Respons positif turut diterima dan usaha keras untuk melangkah ke dunia lakonan kira-kira empat tahun lalu sudah membuahkan hasil. Penerima Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-23 menerusi filem Adnan Sempit ini juga mengakui dia tak pernah duduk diam untuk berada pada kedudukan selesa seperti hari ini.
Demi karier lakonannya, wanita berusia 28 tahun ini korbankan masa yang ada. Dia bersedia bekerja 24 jam untuk menjayakan lima filem dalam tempoh setahun. Antara filem lakonannya ialah Wawa Semput, Adnan Sempit 3, Cerita Kita dan terbaru Strawberi Cinta selain drama Bini-Biniku Perkasa.
Jadi persoalannya di sini, tidak takutkah Yana Samsudin hilang eksklusif lantaran wajahnya kerap muncul di khalayak. Sebab kelihatannya seolah-olah Yana seorang yang tak memilih dan mengejar untuk cukupkan kouta lakonan seperti mana dilakukan pada tahun lepas?
Sebenarnya, saya belum sampai ke peringkat eksklusif. Tidaklah terlalu menjaga atau kena demand untuk dapatkan watak terbaik. Itu semua rezeki. Kalau ada, alhamdulillah. Kalau ada banyak, lagi kena perbanyakkan kalimah syukur itu.
Memang saya bekerja kuat sepanjang tahun ini, sama macam tahun lepas. Jadual kerja memang disusun rapi. Saya tak biarkan ia kosong walaupun terpaksa korbankan waktu cuti.
Saya buat itu semua untuk tujuan yang satu iaitu nak tahu respons daripada orang ramai. Baik atau tidak? Setiap kali filem yang dilakonkan saya ditayangkan, pasti saya berdebar," jelasnya berbicara landskap kerjayanya pada pertemuan petang Rabu lalu.
Ditanya adakah anak kelahiran Yong Peng, Johor ini adalah seorang yang obses mengejar populariti sehingga membuatkan dia bekerja siang malam untuk memastikan dirinya dekat di hati peminat seni tanah air, pantas Yana menggeleng.
Saya percaya kalau seseorang itu bekerja keras, pasti akan dapat imbuhannya. Begitu juga dengan artis. Tak nafikan pasti populariti akan mengiri kejayaan artis yang berjaya. Saya juga dapat rasakan aura populariti itu pada hari ini.
Tambahan pula saya seorang yang aktif di laman sosial Twitter terutama dengan YanaSuperFriend (kelab peminat). Itu saja cara saya dapat berinteraksi dengan penyokong.
Saya juga tak nafikan memang ada pro dan kontra dalam soal populariti ini. Privasi dan kehidupan harian saya turut terjejas. Nak keluar rumah pun fikir dua, tiga kali," luah pemegang Anugerah BlockBuster 2012 untuk kategori Heroin Terhebat ini.
Jepun oh Jepun
Dalam pada itu, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kepujian Seni Layar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor ini turut menyatakan kebimbangan penerimaan orang terhadap watak wanita Jepun bernama Ichigo yang dibawanya menerusi filem Strawberi Cinta.
Filem yang bakal ditayangkan pada 6 Disember itu sememangnya mencabar kredibiliti dirinya kerana perlu mempelajari bahasa Jepun selama dua bulan secara berterusan.
Saya belajar cara bercakap dan intonasi sebenar bahasa Jepun dengan seorang guru terlatih dan krew produksi yang pernah duduk di sana lebih lima tahun. Saya takut orang kutuk kalau tak cukup latihan. Apa pun, itulah cabaran utama saya menjayakan filem ini," katanya penuh yakin.
Selain Yana, Strawberi Cinta turut dibintangi pelakon Pierre Andre, Diana Amir, Along Eyzendy, Fiffy Natasha dan Gbob Raja Lawak.
Populariti tiket jadi pelakon - Marsha
DI Malaysia ini, sesiapa saja boleh jadi pelakon. Budak kecil umur lima tahun pun boleh. Sebabnya bidang ini tak ada kriteria kelayakan asalkan cantik. Jadi, tak payah juga beriya-iya masuk akademi seni lakonan untuk menjadi pelakon. Sebabnya yang jadi pelakon kebanyakannya ikut jalan pintas berbekalkan wajah dan populariti.
Apa yang penting, tawaran berlakon itu kencang. Dalam satu masa, boleh ada dua atau tiga peluang berlakon. Soal watak tak payah nak pening-peningkan kepala. Nanti sampai set penggambaran barulah fikir. Lagi pun, kan ada pengarah. Tugas fikirkan watak macam mana itu biarlah pengarah fikir. Kalau dia pengarah yang bagus, dia tak ambil segala "kayu" itu berlakon.
Pengarah kononnya adalah tempat pelakon menuntut ilmu berlakon dengan baik. Padahal memilih orang tak boleh berlakon bukan kriteria pengarah yang baik.
Maknanya semakin banyak pelakon itu berlakon, semakin hebat populariti seseorang pelakon. Pengalaman berlakon bertahun-tahun jarang jadi penyumbang sebab mereka pakai hentam saja. Berlakonlah sepuluh tahun sekalipun, tak ada peningkatan.
Itulah fenomena hari ini di mana individu yang tak ada kena mengena dalam bidang lakonan boleh jadi pelakon. Kalau orang itu glamor dalam bidang lain senanglah nak jadi pelakon. Jangan hairanlah kalau pemain bola sepak diambil jadi pelakon selepas tukang masak jadi pelakon.
Atas alasan itu juga, bilangan pelakon tak ada asas lakonan di Malaysia ini bertambah dan semakin bercambah dari hari ke hari macam cendawan tumbuh selepas hujan.
Realitinya, kita tak perlukan mana-mana selebriti seperti di atas itu jadi pelakon sepenuh masa. Itu dah masuk kes tangkap muat dan boleh mendajal pelakon sedia ada.
Kita juga tak boleh senang-senang bagi orang yang tak ada latar belakang seni berlakon. Kalau setakat artis jemputan buat penampilan istimewa tak apalah, ini siap bagi watak utama. Itu belum lagi masuk bab bagi anugerah pada pelakon bidan terjun itu. Memang haru-birulah.
Sebab itu, semua orang kena sedar bahawa gabungan selebriti dengan pelakon itu dibuat untuk kukuhkan strategi pemasaran semata-mata. Biar tinggi rating jadi bahan cerita orang ramai dan kebanggaan peminat selebriti itu.
Walhal tindakan sebegitu semakin menjahanamkan industri filem apabila mengangkat "tin kosong" di kalangan barisan pelakon terhebat sedia ada.
Itu belum lagi pelakon filem yang masih "kayu" heboh pula jadi pelakon teater. Apa mereka tahu tentang teater. Pengarah filem dan drama pun jadi pengarah teater. Aktivis teater yang ada pula jadi penonton, itu pun kalau mereka sanggup menonton.
Tak mahu jadi 'plastik'
LUKANYA bukan sedikit, sakitnya bukan kepalang saat melayan cerita-cerita kurang enak yang sering kali bertebaran bila menyebut nama Erin Malek. Dalam melalui satu fasa ke fasa yang lain, dia merawat jiwanya dengan cara sendiri.
Bukan tidak terkesan dengan tomahan yang sering dilemparkan kepadanya. Bukan tidak tersiksa jiwa melayan cerita yang tak benar. Tetapi hakikat yang harus diakui semua, itulah yang mendewasakan Erin sampai ke hari ini.
Tidak dapat dinafikan, gadis yang baru sahaja mencecah usia 18 tahun sering dipalit dengan cerita-cerita panas. Satu persatu kisah menusuk hati kecilnya tetapi tidak sampai membusuk.
Dia bangkit mempertahankan dirinya. Cuma dia kurang senang apabila orang melabelkan dirinya sebagai gadis bermasalah akibat masalah keluarga yang pernah menghiasi dada-dada akhbar beberapa tahun lalu.
Kisah tersebut sudah ditinggalkan jauh-jauh. Bagi Erin isu keluarga tidak wajar diungkit apatah lagi dihakimi oleh orang luar yang tidak selayaknya berbuat demikian.
"Biarlah saya simpan isu keluarga sebagai sejarah yang akan dikenang. Cuma saya kurang gemar bila orang menilai diri saya dan dalam masa yang sama mengaitkan isu keluarga sebagai hal utama.
"Memang ibu bapa saya telah bercerai. Saya duduk dengan ibu dan bapa saya masih melaksanakan tanggungjawab dia sebagai seorang ayah. Orang lain tidak perlu nak mengaitkan perangai saya dengan isu keluarga.
"Setiap kali ada cerita buruk orang tetap akan tulis keluarga punca saya jadi macam tu. Semua itu tak benar dan saya hanya jadi diri sendiri. Tak guna untuk saya hidup berpura-pura semata-mata nak mengaburi mata orang lain.
"Salahkah saya menjadi diri sendiri? Salahkah jika saya nak buat itu dan ini macam orang lain? Tetapi saya hairan sebab saya akan kena tempias dek kerana perkara-perkara kecil.
"Mungkin juga sebab saya public figure dan lebih senang untuk orang lain buat macam-macam cerita yang tak betul sampai menjatuhkan maruah saya.
"Saya hanya ingat pesan ibu supaya jadi diri sendiri sampai bila-bila. Tak guna nak bersikap 'plastik' untuk memperlihatkan sisi lain semata-mata nak sedapkan hati orang.
"Kalau orang dah tak suka, orang tetap akan cari salah kita," kata Erin dalam pertemuan pagi Khamis yang lalu.
Hisap ganjaTIDAK mahu terus larut dalam emosi Erin tahu semua itu adalah pelajaran berguna buat dirinya. Dia mengambil sikap enggan melayan apa sahaja cerita yang tidak berasas memandangkan itu merupakan asam garam sebagai anak seni.
Cuma apa yang dikesalkan Erin apabila ada pihak yang bersikap kurang ajar dan menjatuhkan maruah dengan menuduh dirinya kaki hisap ganja beberapa bulan lalu.
Mengimbau kembali cerita tersebut, Erin dituduh mengambil ganja akibat tidak dapat berdialog ketika dalam satu penggambaran drama untuk sebuah stesen televisyen.
Mengakui tuduhan yang dilemparkan itu cukup teruk dan sangat memalukan, dia hampir-hampir mengambil tindakan saman ke atas penyebar cerita tersebut.
"Kalau sampai tuduh saya hisap ganja dan sebar di Internet, itu memang melampau. Saya pelik kenapa mereka sanggup tulis cerita yang tak betul untuk burukkan saya.
"Budaya menulis tanpa bertanyakan apa-apa inilah yang sebenarnya mewujudkan situasi yang kurang sihat. Tambahan pula cerita yang disebar bersifat fitnah, itu memang menjatuhkan kredibiliti saya.
"Kalau ikut perasaan marah memang saya nak heret sahaja tukang sebar cerita ke muka pengadilan. Kadang-kadang ini sahaja cara nak ajar orang-orang macam ni untuk insaf.
"Tapi saya anggap penjelasan saya ketika itu sudah cukup untuk menjernihkan keadaan. Tambahan pula penat nak layan cerita-cerita macam ni," kata pelakon filem Lari ini.
Mengakui semangatnya selalu dipulihkan oleh keluarga dan teman lelakinya, Erin bagaimana pun sedar yang dia perlu menjaga tingkah laku agar tidak terus dilabel sebagai 'budak bermasalah'.
Ironinya, setiap kali timbul apa sahaja isu, ibunya akan menjadi orang pertama yang memarahinya terlebih dahulu sebelum mereka berbincang.
"Memang sejak dulu ibu akan marah saya terlebih dahulu kalau keluar cerita tak elok. Ibu akan bebel dan marah tetapi apabila situasi semakin tenang barulah saya terang apa yang berlaku.
"Saya bersyukur sebab keluarga sangat memahami apa yang berlaku. Seteruk mana saya jatuh sekalipun merekalah yang akan bagi semangat untuk saya terus berdiri.
"Kalau mereka tak beri semangat, mungkin saya tidak sekuat ini," jelasnya tanpa berselindung.
Amy Mastura Terkejut Berita Kematian Dicky
PETALING JAYA: Penyanyi popular Amy Mastura terkejut apabila dimaklumkan mengenai kematian Othman Hasan atau Dicky, seorang jurusolek yang pernah bekerja dengannya sekitar tahun 90'an.
Bercakap kepada akhbar Kosmo! dia berasa sedih dengan berita sedih itu dan tidak menyangka sama sekali apabila mendapat berita bekas jurusolek rasminya itu mati dibunuh.
"Saya tidak mampu berkata apa-apa selain sangat bersedih dengan kehilangan Dicky lebih-lebih lagi kematian dalam keadaan yang sangat menyayat hati," katanya.
Dalam pada itu, Amy berkata, Dicky berkhidmat dengannya daripada tahun 1995 hingga 2004 sebelum tidak menjalinkan lagi kerjasama kerana Dicky terlibat dalam projek lain.
Bagaimanapun kata Amy, hubungan mereka masih rapat dan kali terakhir berjumpa pada tahun lalu.
Dicky telah ditemui mati dalam keadaan tangan dan kakinya terikat oleh abangnya, Mohammed Yusof Hasan, 54, pada jam 8 malam Selasa iaitu dipercayai 24 jam selepas kematiannya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kanan Datuk Ku Chin Wah ketika ditemui berkata, polis kini sedang mencari seorang lelaki yang merupakan kenalan mangsa kerana tiada tanda-tanda pintu rumah mangsa itu dipecah masuk.
Beliau tidak menolak kemungkinan orang yang dicari polis itu adalah seorang yang sangat rapat dengan mangsa dan dikenali mangsa.
Mangsa dipercayai mati akibat kelemasan selepas mulutnya disumbat dengan secebis pakaian.
Turut ditemui di tempat kejadian adalah kondom yang telah diguna dan mangsa dipercayai telah melakukan hubungan seks sebelum dibunuh.
Siasatan awal mendapati, komputer riba dan telefon bimbit mangsa telah hilang.
Johan As'ari Minta Tidak Dituduh Bercinta Dengan Kaka
KUALA LUMPUR: Pelakon Johan As'ari menganggap pasangannya menerusi program Fear Factor Selebriti Malaysia iaitu Kaka Ashraff seperti adik dan dia selesa bergandingan dengan penyanyi itu.
Johan, 26, berkata dia berharap hubungan baik itu tidak disalah anggap oleh sesetengah pihak dengan menuduh mereka bercinta apabila program itu disiarkan kelak.
"Kami sangat serasi bergandingan dalam Fear Factor dan hubungan itu tidak lebih seperti adik-beradik. Saya juga kagum dengan semangatnya yang kental semasa mengharungi pelbagai cabaran dalam pertandingan itu," jelasnya kepada mStar Online.
Fear Factor Selebriti Malaysia bakal disiarkan pada 29 Disember ini pada setiap Sabtu pukul 9.30 malam di saluran Astro Ria (104) dan Mustika HD (134).
Dalam pada itu, Johan berkata, dia menyertai program tersebut bagi mengatasi ketakutannya terhadap ketinggian selain cuba meluahkan rasa negatif yang ada dalam dirinya kepada aktiviti lasak.
Menurut Johan, ia sedikit sebanyak dapat membantunya berfikiran lebih positif apabila berjaya melakukan sesuatu cabaran.
"Saya menyedari dengan melakukan aktiviti lasak ia sebenarnya membantu terhadap keyakinan diri kita sendiri dan menukar kuasa negatif yang ada pada diri kepada positif.
"Walaupun ada kalanya rasa seperti putus asa namun sokongan daripada rakan-rakan lain membuatkan saya lebih bersemangat untuk menghadapi cabaran," katanya.
Sementara itu, Johan berkata, dia berdebar menanti kehadiran tahun 2013 kerana empat filem lakonannya iaitu Juvana, Tokan, Pencinta dan Paku bakal menemui penonton di pawagam.
"Saya harap kesemua lakonan dalam empat buah filem itu akan digemari oleh peminat dan mendapat sambutan," katanya.
Siti Nurhaliza Risau Terjebak Dengan Penyakit Kanser
KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza meluahkan rasa takutnya terhadap pelbagai penyakit kanser terutamanya berkaitan dengan hal dalaman wanita.
Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 33, berkata, antara penyakit yang paling digeruni ialah kanser payudara dan rahim, di mana ia sebahagian daripada mahkota tubuh bagi setiap wanita.
"Jika dua organ ini tidak ada, tiadalah beza antara lelaki dan wanita. Ia adalah organ seksual dan melibatkan keyakinan diri, sama ada dengan pasangan, kawan-kawan atau komuniti sekeliling.
"Sebab itu saya begitu risau jika terjebak dengan kanser payudara dan rahim.
"Lebih-lebih lagi dengan kehidupan kita yang serba moden serta sering terdedah dengan makanan segera, penyakit-penyakit seperti ini lebih mudah menyerang kita," katanya.
Tambah Siti, walaupun belum terjebak dengan penyakit-penyakit itu, dia tetap membuat persediaan dengan menjalani ujian kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga.
Malah, katanya, setiap wanita digalakkan untuk membuat ujian kesihatan terutama berkaitan dengan hal-hal penyakit wanita sekurang-kurangnya enam bulan sekali.
"Risiko untuk mendapat pelbagai jenis penyakit, bukan sahaja berkaitan kanser payudara dan rahim, semakin meningkat dengan peningkatan usia setiap individu.
"Malah, kadar kejadian dikatakan terus meningkat dengan mendadak dari tahun ke tahun akibat gaya hidup moden.
"Bagaimanapun, apa yang berlaku sekarang ialah wanita di Malaysia segan untuk membuat pemeriksaan dan mereka hanya mendapat tahu yang mereka terkena dengan kanser selepas penyakit tersebut sudah berada di peringkat ketiga," ujarnya.
Dalam pada itu, Siti juga bertegas supaya golongan wanita perlu melakukan rutin senaman kerana ia sedikit sebanyak dapat menaikkan imun pada tubuh badan.
"Pengambilan makanan tambahan juga amat penting. Jangan pandang remeh dengan perkara itu.
"Saya percaya, dengan rutin aktiviti harian yang sangat padat, ambillah masa sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk bersenam. Buatlah apa sahaja asalkan dapat mengeluarkan peluh.
"Alhamdulillah, sepanjang melakukan pelbagai penjagaan diri, saya belum mendapat sebarang penyakit lagi, tetapi itu bukan lesen untuk kita tidak meneruskan membuat pemeriksaan doktor," nasihat Siti.
Pada 30 November lalu, Siti telah mengadakan majlis makan malam amal, Pink Jazzy Affair 2012 bersempena dengan bulan kesedaran penyakit kanser payudara, Gleneagles Kuala Lumpur.
Suki Bakal Kahwin Dengan Pengurus 12.12.12
KUALA LUMPUR: Juara program realiti One In A Million (OIAM) musim pertama, Suki mengumumkan bakal menamatkan zaman solo bersama pengurusnya, Jeremy Chong pada 12 Disember ini.
Menurut laporan akhbar Kosmo, Suki atau nama sebenarnya Low Sook Yee, 22, berkata dia teruja bakal bergelar isteri kepada Jeremy, 30, tidak lama lagi dan tarikh 12.12.12 dipilih kerana ia kebetulan sehari selepas sambutan hari jadinya pada 11 Disember ini.
“Saya berasa selesa dan selamat apabila bersamanya apatah lagi dia sentiasa menemani ketika saya mengalami kesusahan.
“Rasa tidak sabar pula menanti hari bahagia itu. Perbezaan usia saya dan dia bukan penghalang,” kata penyanyi lagu Terlalu Mencintaimu itu.
Sementara itu, pasangan tersebut akan mengadakan majlis tertutup di Pulau Pinang bertemakan perkahwinan dalam taman dan pada sebelah petangnya majlis keraian akan diadakan di atas kapal Star Cruise Libra pula.
Hampir keseluruhan majlis perkahwinan itu ditaja termasuklah pakaian pengantin, set barang kemas dan lokasi majlis.
Pasangan itu mula berkenalan pada empat tahun lalu dan mula serius setahun kemudian.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
