Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sofea Jane gemuruh


DIVA memang hormat betul dengan pelakon tersohor Sofea Jane kerana kredibilitinya selama ini. Diva juga suka Sofea sebab dia tidak sombong walaupun sudah mempunyai kelasnya tersendiri dalam industri seni. Malah, yang membuat Diva kagum apabila pelakon senior sepertinya yang kalau setakat nak berlakon macam makan kacang, masih ada rasa cemas dan memerlukan fokus untuk melunaskan kerjanya.

Kisahnya, baru-baru ini teman Diva menghubungi Sofea untuk membuat fotografi. Tidak menolak fotografi tersebut, Sofea sebaliknya rancak memberitahu dia sedikit cemas berlakon untuk teater Natrah yang cuma dipentaskan dua jam.

"Walaupun durasinya cuma dua jam, kerja tetap kerja. Cemas juga saya sebab kita harus memberikan yang terbaik untuk kerja yang sudah dipertanggungjawabkan. Saya tidak kisah untuk buat fotografi, tapi terus-terang saya katakan, saya mahu beri tumpuan kepada teater ini dan tidak mahu terganggu sehingga saya hilang fokus. Tapi kalau ada masa, apa salahnya," lebih kurang begitu jawab Sofea kepada teman Diva.

Hai, tak sangka, pelakon hebat sepertinya pun ada rasa gemuruh untuk berlakon sedangkan lakonan sudah sebati dengan dirinya. Alangkah bagus kalau pelakon-pelakon baru mencontohi dedikasi pelakon seperti Sofea.

Shila sudah pandai bercinta?


DIVA mengikuti perkembangan anak dara ND Lala yang seorang ini. Manakan tidak, dari kecil lagi dia sudah terbiasa dengan dunia hiburan dan hinggalah kini sudah ada album sendiri. Daripada gaya anak-anak dia kini sudah berperwatakan gadis remaja yang semakin cantik. Sama cantik dengan ibunya.

Teman Diva yang suka muzik punk pun sudah pandai gosip, katanya, dia dapat cerita yang Shila sudah pandai main cinta. Tak sangka Diva, teman yang seorang ini turut mengushar anak dara ND Lala itu.

"Aku dengar cerita yang Shila sekarang sedang mula-mula berbunga dengan seorang pegawai perhubungan awam yang tidak jauh dengannya. Setahuku, lelaki tersebut baik orangnya putih-putih berkaca mata. Comel juga kalau betul mereka bersama-sama. Saya setuju sahaja. Tapi adalah sikit berbaur cemburu sebab aku pun suka tengok Shila tu," ujar teman punk Diva.

Ewah Shila, sudah pandai main api nampaknya. Tetapi Diva rasa okey sebab lelaki tersebut pun sudah pasti kenal ibu dan ayah Shila yang selalu dengan anak mereka. Silap-silap mereka pun minta lelaki tersebut tengok-tengokkan anak mereka.

Bagi Diva tak salah mahu bercinta sesama teman dalam industri. Diva pun suka tengok seorang teman Diva yang merupakan pegawai perhubungan sebuah label yang main cinta dengan seorang wartawan sekarang. Bahagia nampaknya.

Korban kasih Fizz Fairuz


Saat 2009 menutup tirai bulan hadapan, genap lapan tahun Fairuz Zainal Abidin atau Fizz Fairuz menjadi anak seni. Dunia lakonan bukan lapangan baru bagi anak kelahiran Raub, Pahang ini.

Sudah lama. Dia juga sudah pernah menjadi salah seorang krew produksi yang antaranya sebagai pembancuh air untuk para pelakon.

Tetapi hari ini, rezeki lebih memihak kepadanya. Daripada seorang krew biasa, pintu yang dibuka sutradara Singapura bernama Bromo menerusi drama 40 episod, Mentari Production menjadi titik tolak buat Fizz menonjol bakat.

Karakter antagonis mahupun protagonis, semua berjaya di tangannya. Komedi yang dibawa pelakon berusia 30 tahun ini juga berjaya menghambur tawa. Biar banyak yang memuji kredibiliti lakonannya, Fizz dengan rendah diri berkata masih banyak ilmu yang mahu digalinya.

Sebagai seorang pencinta seni yang sering kecanduan mengejar ilmu seni, duit bukan ukuran buatnya berlakon. "Yang saya pentingkan adalah ilmu seni itu sendiri.

"Kerana itu saya tidak pernah putus asa atau berasa mahu berundur sepanjang lapan tahun saya membina nama. Susah pun saya redah kerana saya percaya saya mampu bertahan dalam industri ini. Masih panjang perjalanan saya dan masih banyak ilmu yang saya cari," ujar Fizz yang saya temui petang sehari sebelum Aidiladha.

Dia kemudian memberitahu, sepanjang lapan tahun membina nama, hanya dua tahun kebelakangan ini kerjayanya tampak menyerlah. Enam tahun lamanya dia merangkak, antaranya mengambil tawaran yang hanya bernilai RM300 sehari dan melakukan kerja 40 episod untuk memperoleh RM4,000.

Tetapi itu tidak pernah melelahkannya. Sebagai balasan keikhlasan dan cintanya pada seni, harga khidmat Fizz Fairuz kini disifatkan olehnya dalam nada seloroh, "Berbaloi-baloi."

Kemudian Fizz menyambung: "Bagaimanapun masih ada kompromi untuk harga tawaran murah yang saya terima."

Resap roh arwah ayah

Menjadi salah seorang pelakon lelaki masa kini yang diakui kredibilitinya, setiap karakter, dilakonkan dengan ikhlas. Kata Fizz, jika bersetuju bekerja dalam sesebuah produksi, dia tidak memilih karakter, sebaliknya memilih jalan cerita.

Kerana bagi peminat sukan bola sepak ini, dengan jalan cerita yang baik, barulah dia boleh menonjol dalam setiap karakter yang diberi. Paling dielakkan oleh Fizz adalah terbabit dalam cerita yang tidak memberi moral kepada khalayak.

"Saya akui, dulu saya tidak selektif. Tetapi sejak kebelakangan ini, saya sedikit selektif. Saya mahu kerjaya lakonan ini mampu memberi moral yang baik kepada khalayak, bukannya hanya sekadar hiburan semata-mata," tuturnya yang memberitahu peningkatan paling ketara yang berlaku sepanjang menjadi pelakon adalah penghayatannya menjadi semakin baik.

Lewat ketelitiannya memilih jalan cerita itulah membuat nama Fizz naik. Hampir semua karakter menjadi, habuannya sehingga ada yang mahu meludah mukanya kerana meluat dengan persembahannya di dalam beberapa drama.

Terbaru, seorang mak datin mengajak dia berkahwin lari di luar negara kerana terpersona dengan kenaifan dan kewibawaan yang dibawa lewat peranan Aidil dalam siri drama fenomena, Nur Kasih yang baru berpenghujung Jumaat lalu.

"Memang lucu bila ada seorang wanita yang mengaku dirinya datin mengajak saya berkahwin di luar negara gara-gara watak Aidil. Dia menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pengarah produksi dan meminta saya menghubunginya," kata Fizz ketawa.

Terdiam sejenak, Fizz yang ditanya tentang impak karakter Aidil terhadap dirinya dan khalayak ternyata mempunyai kisahnya tersendiri.

Karakter Aidil, lelaki penyabar dan berhemah tinggi itu sebenarnya diserap daripada karakter arwah bapanya, Zainal Abidin yang pulang ke Rahmatullah pada tanggal 6 Mei 2008 lalu. Malah pengorbanan yang dilakukan Aidil terhadap keluarga dan adik-beradiknya juga adalah perjalanan realiti kehidupannya.

"Mak dan kakak saya menangis bila lihat saya bawa watak Aidil. Pengorbanan yang Aidil lakukan dalam Nur Kasih hampir sama dengan pengorbanan saya secara realiti

"Saya mengambil sifat-sifat arwah abah untuk menjayakan watak Aidil, sehingga membawa Aidil selama lima bulan untuk 26 episod ini sering mengundang sebak kerana teringatkan arwah ayah yang penyabar dan berhemah tinggi," katanya yang merupakan anak kelima daripada sembilan beradik tetapi menjadi anak lelaki yang bertanggungjawab menjaga keluarga kerana masih solo.

Malah kata Fizz, jika mahu mengaitkan erti pengorbanan sempena Aidiladha, pengorbanan cinta dan dedikasinya terhadap keluarga adalah pengorbanan tersuci daripada seorang anak, adik dan abang dalam keluarga besarnya itu.

Tetapi satu yang diminta Fizz yang kini sibuk menjalani penggambaran drama Jangan Bunuh Matahariku di Cameron Highlands, jangan khalayak terlalu taksub dengan Aidil di dalam kehidupan seorang Fizz Fairuz.

Sebagai pelakon, dia hanya menjayakan karakter yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Justeru, apabila Nur Kasih tamat tayangannya, dia juga sudah mengembara lebih jauh daripada karakter Aidil.

"Kini saya mempersiapkan diri untuk membawa karakter Leftenan Hassan untuk filem Bravo 5. Saya teruja kerana ini adalah sebuah filem patriotik yang memberi moral terbaik buat khalayak menerusi perjuangan seorang askar yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk agama, bangsa dan negara," katanya yang juga akan terbabit untuk sebuah drama terbitan RTM kelak.

Tidak suka berjanji

Mengenali dirinya sendiri, dua perkara menjadi prinsip Fizz. Dia tidak suka berjanji dan tidak gemar memasang sasaran kehidupan. Kata Fizz, kehidupan harus mengalir sendiri di atas usaha gigih. Justeru, janji hanya akan memakan diri sendiri jika tidak ditepati.

Hal ini dibicarakan saat topik kami beralih tentang perancangan kehidupannya dengan teman wanita, pelakon manis, Almy Nadia.

Mengakui wanita amat penting dalam kehidupan seseorang lelaki, itu adalah lumrah kehidupan. Tetapi mahu memintal janji atau menyasarkan usia untuk berkahwin, itu bukan stail Fizz.

"Sebab itu saya tak ada sasaran mahu berkahwin. Mungkin jauh lagi perkahwinan buat diri saya. Saya tidak mahu berkahwin dalam keadaan yang tidak bersedia. Saya juga tidak mahu berkahwin dan kemudian terpaksa bercerai berai.

"Dalam masa yang sama, saya tidak suka berjanji. Kalau saya berjanji pada diri sendiri misalnya saya ingin berkahwin pada usia 35, tapi saya tidak isi janji itu, saya bersalah. Jadi saya biarkan semuanya mengalir," akuinya yang memaklumkan mujur Almy begitu memahami paksi dirinya.

Tetapi itu tidak bermakna Fizz tidak merencana masa depannya dengan baik. Secara perlahan-lahan wang tabungan bekerja keras sebagai pelakon dilaburkan dalam dua bentuk perniagaan yang berbeza.

Sejak setahun lalu, di bawah payung Kasih Tania Enterprise, dia dan abangnya mengusahakan perniagaan lembu dan kambing. Sementara masih di dalam proses akhir sebelum dilaksanakan adalah sebuah restoran yang dijalankan di kampung kelahiran ibunya di Ketari, Bentong, Pahang.

"Jika ada rezeki lebih, saya juga mahu membuka sebuah rumah produksi," katanya ringkas tetapi terkesan berkobar-kobar.

Transformasi Shila


SESI fotografi Selebriti dengan gadis ini berjalan meriah. Lama tidak ketemu, gadis jelita ini kelihatan semakin berisi. Namun bukan itu persoalannya, sebaliknya penyanyi ini tampil segar dan ranggi dengan gaya tersendiri.

Barangkali, mungkin ia imej baru yang cuba ditampilkan penyanyi berusia 19 tahun ini. Malah, menyentuh album terbarunya pula, Shila: Bebaskanlah turut mengalami transformasi.

Menurut Nurshahila Amir Amzah (Shila), album terbaru itu menjadi karya eksperimennya. Tidak mahu terus terikat dengan konsep lama yang jelas tidak membuka mata pendengar, dia mencuba sesuatu yang baru.

“Saya cuba melakukan sesuatu untuk album ketiga ini. Jadi, saya mengetengahkan beberapa perubahan besar terhadap muzik saya.

“Dulu, saya sendiri rasa pelik dan tertanya-tanya mengapa sebelum ini orang tidak mengenali saya walaupun sudah ada dua album. Bagaimanapun, tidak adil untuk menyalahkan mereka, lalu dengan inisiatif sendiri serta nasihat daripada mereka yang lebih berpengalaman, saya melakukan transformasi dalam muzik mahupun imej,” katanya.

Akui Naib Juara One In A Million (OIAM) ini, pengalaman menyertai program realiti terbitan stesen 8TV itu mematangkan dirinya terutama dalam mempertingkatkan kemampuan sebagai penyanyi serta penguasaan pentas.

“Alhamdulillah, ia menjadi pengalaman terbaik untuk saya memperbaiki konsep lagu. Syukur juga, album ini diterima peminat yang rata-ratanya menyukai konsep ini.

“Ramai juga yang memuji bahkan penerbit album, Ahmad Izham Omar juga terkejut mendengar vokal dalam album itu yang berubah-berubah.

“Bagi saya mungkin cara penghayatan pada setiap lagu membuatkan ia kedengaran berbeza. Saya berpuas hati dengan album ini.

“Selain itu juga, ada satu lagu di mana liriknya saya tulis sendiri berjudul Kaku Aku. Ia mengisahkan pengalaman rakan saya yang mengadu tidak tahan dikongkong teman lelaki mereka.

“Bagi menghormati kelompok peminat urban yang mula mengikuti perkembangan karier nyanyian saya sebaik menyertai OIAM pula, dua lagu Inggeris dimuatkan - Hell No dan Whisper My Name,” katanya yang mengumpulkan 12 lagu untuk album ini.

Bagi yang sudah mendengar album ketiga Shila, mereka pastinya terhibur dengan barisan pelbagai lagu rancak serta balada.

Tambah Shila, sesuai dengan peringkat umurnya yang masih remaja, dia cuba mendendangkan lagu sesuai dengan kehidupannya kini.

“Adakalanya, saya berfikir mengapa saya tidak menyanyikan lagu-lagu menceritakan mengenai kehidupan yang sering diketengahkan penyanyi remaja antarabangsa seperti Britney Spears, Katie Perry atau Miley Cyrus.

“Jadi, untuk itu saya tampilkan album ini. Menurut maklum balas yang diterima, alhamdulillah ramai menyukainya dan ia sudah cukup untuk saya.

“Saya juga beruntung album ini mendapat kerjasama komposer terkenal seperti Audi Mok, Ahmad Izham, Aubrey Suwito, Kieran Kuek, Eka Shereen, Mahfuz, Pot Amir dan Shazee.

“Turut memberi sumbangan ialah komposer Indonesia, Audius Mtawarira, Tegan Rogers dan Andy Love serta penyanyi Malaysia yang mencipta nama di luar negara, Che’nelle,” katanya.

Landasan Imran


RASA kesal dan terkilan terhadap sikap sesetengah stesen radio swasta tempatan yang seakan tidak menerima lagu ciptaannya, menggesa penyanyi muda kelahiran Singapura, Imran Ajmain untuk menembusi kaedah lain bagi mempromosikan karyanya kepada umum.

Alternatif terbaru artis naungan Metadome Sdn Bhd ini adalah menerusi laman sesawang Facebook yang kini umpama satu kemestian kepada ramai anak muda dan golongan bekerjaya.

Gagal mendapat perhatian daripada radio masih boleh diambil positif, tapi apabila mereka menyatakan lagu terbaru ciptaannya umpama lagu lama dan langsung tidak bersesuaian dengan konsep stesen mereka yang kononnya ‘urban’ benar-benar menguji kredibilitinya sebagai penyanyi dan komposer.

Bagaimanapun, Imran yang pernah popular menerusi lagu Seribu Tahun sebelum ini tetap melahirkan rasa bertuahnya apabila masih diterima baik di Malaysia. Malah, album terbarunya, Punca dan Tindakan yang memuatkan lagu Selamat Ulang Tahun Sayang dan lagu duetnya bersama Diana Danielle, Radio mendapat tempat di hati pendengar tempatan.

“Sebelum ini lagu saya diterima baik, mungkin kerana single ketiga, Jika Engkau Pergi, yang mengangkat susunan muzik ala 60-an dianggap lapuk dan tidak sesuai dengan pendengar masa kini. Melodi dan lirik lagu ini ciptaan saya sendiri dan Sulu Sarawak membantu menyusun lirik. Manakala susunan muziknya pula digarap oleh Eddy Marzuki.

“Oleh kerana ia tidak dimainkan di radio, saya mengambil langkah untuk menjadikan ruang peribadi Facebook saya sebagai platform untuk peminat mendengar dan menilai lagu itu. Alhamdulillah, setakat ini saya memang bergerak aktif dalam berinteraksi dengan lebih 5,000 peminat di Facebook.

“Melihat usaha itu berhasil, pihak syarikat pengurusan bersetuju untuk membuka satu laman khas iaitu JikaEngkauPergi.com untuk terus mempromosikan lagu itu. Terdapat muzik video lagu itu, di belakang tabir dan pelbagai peraduan istimewa yang disediakan buat peminat saya di laman web itu.

“Peminat yang mengunjungi laman saya ini cukup aktif berkomunikasi. Malah mereka juga bebas meninggalkan pandangan bagi memantapkan lagi karya dan kerjaya seni saya.

“Segala perkembangan terkini dan maklumat terbaru mengenai kerjaya seni saya juga dikemaskini setiap hari oleh saya sendiri. Jadi peminat boleh berbual dan mengetahui ke mana saja jadual persembahan saya,” katanya.

Dia melihat ia sebagai satu kaedah promosi berkesan memandangkan hari ini penggunaan Internet sangat relevan. Oleh itu, sebaik mungkin dia cuba manfaatkan. Jika tiada aral melintang, laman web ini katanya, akan dilancarkan tidak lama lagi.

Bagi penyanyi yang baru-baru ini memenangi anugerah bagi kategori vokal terbaik dan ciptaan asli terbaik di World Championship of Performing Art (WCOPA) menerusi lagu Jika Engkau Pergi ini mengharapkan agar peminat tempatan sudi menghargai lagu terbarunya itu.

Selain sibuk mengingatkan agar peminatnya tidak lupa untuk melayari lama web JikaEngkauPergi.com, Imran juga teruja apabila lagu ciptaannya itu mula diperdengarkan di stesen radio Era.

Intipati Sari Yanti


BIARPUN bergelar anak seni yang dilimpahi cahaya glamor, dia tetap menguruskan rumah tangga seperti kebanyakan suri lain. Mengemas, membasuh dan menguruskan makan minum suami, semua dilakukan sendiri tanpa campur tangan pembantu rumah.

Baginya, tidak rugi berbakti kepada suami kerana kepada jejaka itulah segala kasihnya tertumpah. Walaupun ada ketikanya sehari suntuk di lokasi, tanggungjawab sebagai isteri tidak pernah diabaikan.

Malah, sejak mendirikan rumah tangga Januari lalu, Sari Yanti Mohamad Nazari, 25, lebih selektif dalam kerjaya. Seboleh mungkin dia cuba mengelak tawaran yang menuntut masa panjang demi suami tercinta, Mohd Eddy Casmady Che Hussein.

“Jangan salah faham, Eddy tidak pernah mengongkong,apa lagi minta Sari mengutamakan dirinya. Mungkin kerana kami berkawan sebelum Sari menceburi bidang ini, dia sangat memahami corak kerja Sari.

“Cuma sebagai isteri, Sari rasa bersalah andai melebihkan kerja. Sari perlu tahu tanggungjawab sebagai isteri dan jika terpaksa memilih, pasti Sari utamakan suami. Bagi Sari, keluarga jadi keutamaan, malah tiada apa yang boleh gantikan suami.

“Setakat ini Sari tiada masalah membahagikan masa antara kerja dan rumah tangga. Cuma, Sari akui tidak boleh menerima tawaran penggambaran yang memakan masa hingga berbulan-bulan lamanya. Sari kena fikirkan Eddy, kasihan dia andai hari-hari Sari di lokasi.

“Alhamdulillah setakat ini Eddy gembira, malah tidak pernah sekali pun dia merungut atau mengungkit kesibukan Sari. Ada juga penggambaran sehingga jam 6 pagi, tetapi tak jadi masalah kerana kebetulan dia bekerja di luar Kuala Lumpur,” kata pelakon bermata galak ini.

Aktres yang sinonim dengan watak pelajar dan remaja ini bertuah apabila bebas daripada kontroversi, bahkan sepanjang pembabitannya dalam industri, tidak pernah dia dikaitkan dengan cerita liar. Pendek kata, semuanya 'bersih' hinggalah selamat mendirikan rumah tangga Januari lalu.

Sambil berseloroh Sari berkata, barangkali dia jarang menghadiri majlis hiburan menyebabkan media kurang berminat menulis mengenai dirinya.

“Bukan tiada undangan, tetapi Sari tidak dapat hadir kerana terikat dengan jadual penggambaran. Bila jarang bercampur, kuranglah cerita mengenai Sari. Apapun, Sari bersyukur tidak dikaitkan dengan cerita negatif.

“Mungkin juga kerana Sari tidak berahsia dengan media. Dari awal pembabitan, Sari mengaku ada teman lelaki dan bila ada yang cuba mengorek cerita, Sari jelaskan buah hati Sari itu orang biasa dan bukan daripada kalangan teman industri.

“Bila tarikh perkahwinan makin dekat, Sari jemput media. Jadi, tiada apa yang boleh disensasikan. Sari tidak pernah putus berdoa dijauhkan daripada cerita negatif, lebih-lebih lagi bila sudah berkeluarga. Sari tidak mahu gara-gara khabar angin yang bukan-bukan, ada hati yang terluka,” katanya.

Mengulas sisi peribadinya, andai tidak terbabit dengan penggambaran, anak kedua daripada tiga beradik ini gemar menghabiskan masa di rumah dan sesekali pulang bertemu keluarga di kampung.

“Eddy 'sporting' orangnya. Jika dia sibuk dan tidak dapat menemani Sari, dia akan izinkan Sari pulang ke kampung atau ke rumah saudara mara. Kebetulan, ramai sepupu Sari menetap di Kuala Lumpur, jadi kerap juga berkumpul dan habiskan masa bersama.

“Dua bulan lalu Sari kerap pulang ke Kuala Pilah kerana membantu keluarga melakukan persiapan perkahwinan kakak. Dulu dia bertungkus-lumus bantu Sari, tiba pula giliran Sari menolongnya,” kata Sari yang mula mencuri perhatian ramai menerusi komersial Hotlink.

Menyingkap perkembangan terkini, Sari baru saja selesai penggambaran kesinambungan musim ketiga siri Kisah Kaisara arahan Nyon Othman yang bersiaran secara eksklusif di laman sesawang Kotex.

Masih mengekalkan pelakon sama, penggambaran 10 episod siri popular dilema Kaisara dan rakannya ini mengambil masa dua minggu.

“Tidak banyak beza, cuma kali ini isu dan permasalahan wanita dikupas dengan lebih mendalam. Malah apabila disiarkan di laman sesawang, kami lebih bebas berbicara soal haid dan dilema remaja, malah boleh menyebut perkataan Kotex.

“Setiap episod ditayangkan selama 15 minit. Apabila lama terbabit dengan siri ini, Sari tidak lagi fikir soal impak watak atau sambutan penonton, sebaliknya yang lebih penting adalah maklumat yang mahu disampaikan.

“Jika di televisyen penyampaian informasi terhadap permasalahan datang bulan agak terhad tetapi bila menggunakan laman sesawang sebagai medium siaran, ia lebih terbuka.

“Selesai Kaisara, Sari terbabit pula dengan penggambaran Juanna musim baru. Sari juga ada menerima tawaran sebuah drama panjang tetapi masih dalam pertimbangan kerana jadualnya bertindih dengan penggambaran Juanna,” kata anak jati Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini.

Selain itu Sari turut terbabit dengan telefilem Keabadian Cinta arahan Kabir Bhatia. Menariknya, kali ini Sari memegang watak gadis buta di samping pelakon berbakat besar, Remy Ishak.

“Sebelum ini Kabir ada panggil berlakon di bawah arahannya tetapi Sari terpaksa tolak kerana terikat dengan produksi lain. Sari sangat berbesar hati dapat bekerja dengan Kabir yang terkenal dengan karya kreatif dan memikat.

“Konsep Keabadian Cinta tidak jauh berbeza dengan filem Cinta tetapi kali ini Kabir mengetengahkan tiga cerita yang berkait antara satu sama lain. Selain Sari dan Remy, telefilem ini dijayakan Eizlan Yusof, Tiz Zaqyah, Cheryl Samad dan Gavin Stenhouse.

“Menghidupkan watak gadis buta bukan mudah malah pengalaman itu jauh berbeza daripada produksi yang pernah Sari jayakan sebelum ini. Biarpun sukar Sari cuba yang terbaik malah sangat bertuah kerana Kabir dan Remy banyak membantu.

“Sari gembira kerana ramai pengarah mula percaya kemampuan diri ini dengan memberi watak lebih matang dan sesuai dengan status Sari. Tidaklah lagi terikat dengan watak remaja, pelajar sekolah atau kolej semata-mata,” katanya.

Berpeluang menjayakan beberapa babak filem Impak Maksima dan Jalan Lama membuka keinginan aktres ini untuk serius memahat nama di layar perak.

Pun begitu, dia tidak terlalu ghairah mengharap lantaran sedar banyak kekurangan perlu diperbaiki, khususnya aspek persembahan.

“Sari ada dalam bidang ini secara tidak sengaja selepas menjayakan komersial. Yang Sari ada sekarang adalah pada paras sederhana dan pengalaman pun tidak sebanyak mana.

“Soal mampukah Sari dibawa ke layar perak, terpulang kepada penilaian mereka yang melihat lakonan Sari. Jika ada tawaran, Sari akan berusaha sebaik mungkin,” katanya merendah diri.

Lulusan Diploma Pengurusan Perniagaan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ini pernah memasang cita-cita mengusahakan perniagaan, namun hasrat itu belum mampu direalisasikan kerana menumpukan sepenuh masa terhadap bidang lakonan.

Katanya, apabila yakin dan ada perancangan rapi, baru dia berani mengambil apa saja risiko untuk menceburi bidang itu.

“Satu lagi perkara yang ingin Sari lakukan adalah menganjurkan program kesedaran bersama remaja dan pelajar sekolah.

“Sari mahu menyuntik kesedaran remaja, khususnya pelajar perempuan, terhadap penyakit berbahaya termasuk kanser yang meragut banyak nyawa.

“Sari tertarik untuk mendekati golongan ini, mungkin kerana mereka dekat di hati berikutan watak yang Sari bawa sebelum ini. Ini adalah perancangan jangka panjang dan tanggungjawab sosial Sari terhadap masyarakat,” katanya.

Nas Ahmad tinggalkan Melodi!


BAGAI nak luruh jantung Zubir apabila menerima perkhabaran terkini, personaliti terkenal TV3, Nas Ahmad atau lebih popular dengan gelaran Abang Rambut Ketak ditamatkan perkhidmatannya sebagai penerbit Melodi! Zubir dimaklumkan lagi, tugas Nas Ahmad sebagai wartawan penyiaran yang mengendalikan segmen popular Melodi, Terjah bakal ditamatkan apabila dia hanya muncul di Melodi sehingga penghujung bulan ini saja.

Memang menjadi lumrah, seorang penerbit rancangan TV tidak akan kekal selama-lamanya pada satu-satu program saja, tapi Nas belum sampai setahun bergelar penerbit Melodi, dia sudah menerima nasib tidak baik sedangkan beliau adalah tulang belakang yang menaikkan rating Melodi selama ini dan dalam masa sama melakukan revamp ke atas program itu baru-baru ini, sekali gus menubuhkan Skuad Melodi!

Daripada sumber yang menceritakan perkara ini, TV3 sudah menemui pengganti Nas sebagai penerbit Melodi yang baru dan akan memulakan tugasnya bermula bulan depan. Persoalannya sekarang, apa kesalahan Nas sehingga dia tidak dibenarkan lagi bersama Skuad Melodi?

Maklumat lain yang Zubir peroleh, ada yang mendakwa Nas merajuk sebab itu dengan tiba-tiba dia mengambil keputusan meletakkan jawatannya sebagai penerbit Melodi. Tapi, jika benar, Nas merajuk dengan siapa? Sepanjang mengenali Nas secara dekat, dia adalah seorang kakitangan TV3 yang amat berdedikasi dan komited dengan tanggung jawabnya menyajikan hanya yang terbaik dan sensasi untuk Melodi.

Apa yang Zubir sedia maklum, ibu Nas baru saja meninggal dunia, tapi takkan disebabkan kematian ibunya membuatkan Nas berubah sikap, merajuk dan berlaku kemurungan dalam kerjayanya?

Pun begitu, perkhabaran Nas Ahmad 'disingkirkan' dari Melodi TV3 adalah satu berita gembira kepada musuh-musuhnya dalam industri hiburan. Pasti mereka bertepuk tangan kerana tiada lagi si mulut laser yang akan melakukan segmen Terjah mencungkil kehidupan peribadi mereka yang sentiasa diselubungi cerita sensasi dan kontroversi panas!

Namun, Zubir mengharapkan tenaga kreatif TV3 seperti Nas Ahmad sewajarnya diberi peluang membuktikan dia mampu menggegarkan lagi dunia hiburan dengan paparan isu eksklusif yang menjadi ‘makanan’ Nas Ahmad setiap minggu. Walau apapun keputusan TV3 mahupun daripada Nas sendiri, sebagai rakan seperjuangan dan sahabat karib, Zubir sentiasa mendoakan yang terbaik untuk dirinya, all the best bro, kita terjah yeeahh!

ZUBIR: Di Indonesia ada kumpulan muzik bernama Ada Band, sekarang di Malaysia muncul pula kumpulan Dengar Band, siapa tiru siapa?

Benarkah gadis seksi kakak Heliza?


Aksi mesra gadis seksi bersama pemuda masih menjadi tanda tanya, adakah dia kakak Heliza?


Imej bertudung bintang AF5 cuba dicemari penyebaran foto gadis seksi didakwa saudara kandung

AWAL minggu lalu, Zubir menerima kiriman emel daripada seseorang bertanyakan soalan: "Betul ke ni kakak Heliza AF5?", sekali gus menyertakan 15 keping gambar termasuk bintang Akademi Fantasia 5 (AF5), Nur Heliza Helmi atau Heliza, 24, bersama seorang gadis cantik yang didakwa sebagai kakak kandungnya.

Zubir sebenarnya tidak pernah bertemu atau mengenali kakak Heliza, namun suatu ketika dulu, pemenang tempat keempat konsert akhir AF5 itu memang pernah memaklumkan kepada Zubir, dia mempunyai seorang kakak yang bertugas sebagai pramugari bersama penerbangan AirAsia. Justeru, apabila Heliza bergambar bersama seorang gadis jelita yang lengkap berpakaian seragam pramugari AirAsia, rasanya mungkin itu kakak kandung Heliza yang pernah diceritakannya.

Pun begitu, di samping foto Heliza bersama kakak dan keluarganya, diselitkan juga beberapa keping gambar seorang gadis berpakaian seksi sedang bersantai di tepian pantai sambil ditemani seorang pemuda. Melihatkan kepada kemesraan gadis dan pemuda berkenaan, bolehlah melabel mereka sebagai pasangan kekasih. Namun, persoalannya sekarang, adakah gadis yang berpakaian menjolok mata itu kakak kandung Heliza?

Entahlah Zubir tak berani jadi hakim. Telahan Zubir, mungkin pelanduk dua serupa. Namun, berdasarkan bentuk muka kakak Heliza yang bujur sirih bersama hidung mancungnya, dibandingkan pula bentuk wajah gadis seksi berkenaan, ia mempunyai sedikit persamaan. Tapi, zaman moden ini segala kemungkinan boleh berlaku, Zubir pula bukan pakar dalam bidang pengecaman wajah!

Sekiranya gadis seksi itu bukan kakak kandung Heliza, ternyata ada pihak yang cuba mencalar imej Heliza yang bertudung litup itu. Entah siapa-siapa yang mempunyai wajah persis kakak Heliza, kebetulan pula dia mengenakan pakaian seksi sedang bersantai bersama kekasih, terus saja mereka menuduh dan melabel itulah kakak Heliza yang sangat jauh cara penampilannya berbanding adik yang sentiasa menerapkan imej wanita muslimin.

Namun, sekiranya benar gadis berpakaian menjolok mata itu kakak Heliza, Zubir sekadar berkongsi rasa simpati kerana niat untuk mencalar nama baik Heliza sebagai penyanyi dan pelakon popular, akhirnya tercapai. Peminat pasti mengata, adik bertudung litup, sentiasa berpakaian sopan, tapi kakak, masya-Allah!

Justeru, nasihat Zubir, berhati-hatilah dengan setiap apa yang kita lakukan di luar sana, lebih-lebih lagi jika mempunyai anggota keluarga yang bergelar artis atau selebriti popular. Orang kata kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Tapi, harapan Zubir biarlah isu gambar seksi itu hanyalah pelanduk dua serupa.

Pun begitu, Zubir mengharapkan penjelasan daripada Heliza yang kini mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Biologi dan Kimia di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Adakah gadis seksi itu benar-benar kakak kandungnya? Atau mungkin juga gadis jelita berpakaian seragam AirAsia itu sekadar kenalan rapat Heliza, hanya kau yang mampu memberi jawapannya Heliza...

Namun, sekiranya Zubir tersilap percaturan mendakwa gadis berkenaan sebagai kakak Heliza, biarlah awal-awal lagi Zubir susun jari minta maaf!

ZUBIR: Betulkah Halim Othman yang bertugas sementara sebagai penyampai HotFM, tidak mahu ditemubual wartawan! Hairan, kan?

Putri Mardiana, Wan Cromok bercinta?


Foto aksi mesra Mardiana dan Wan Cromok kiriman peminat.


Pelakon utama filem Santau dikatakan pernah menjalin hubungan intim dengan pengarah drama

TIDAK sabar Zubir menunggu tayangan filem sensasi, Jalang terbitan De’Baron Sdn Bhd dengan kerjasama Primeworks Studios Sdn Bhd ini yang bakal menjengah pawagam mulai 26 November ini. Mendengar judulnya saja mampu mengundang minat orang ramai memenuhi pawagam untuk melihat sejauh mana kehebatan bakat baru, Rosyasmin Mohamad Khanif atau Yasmin, 21, beraksi sebagai perempuan jalang bernama Maria yang aktif melakukan aktiviti pelacuran bertaraf elit.

Siapa Yasmin Khanif? Zubir tidak pernah mendengar namanya sebelum ini. Jauh sekali menonton lakonannya. Mudah-mudahan dengan kemunculan pertamanya di layar perak menerusi Jalang, ia mampu mengangkat namanya di persada seni tanah air. Pun begitu, dalam masa sama, Zubir sudah terdengar ura-ura cerita kurang enak perihal Yasmin yang dikaitkan dengan ahli keluarganya. Tapi tunggu, masih di peringkat ‘penyelidikan’.

Sebenarnya minggu ini Zubir bukannya hendak bercerita perihal Jalang mahupun Yasmin. Sebaliknya mengenai seorang lagi aktres baru, Putri Mardiana Zainal Abidin, 28, yang bakal meletup dengan filem sulungnya, Santau terbitan MIG Productions, bakal menjengah di pawagam bulan depan.

Terus terang Zubir katakan, memang Zubir tidak pernah kenal siapa Putri Mardiana, tapi sekurang-kurangnya Zubir berbangga kerana semakin ramai muka baru mendapat kepercayaan produksi gergasi seperti MIG mendukung watak utama menerusi filem terbitan mereka. Sekurang-kurangnya nama mereka pasti menjadi bualan peminat genre filem berkenaan, sekali gus mendapat perhatian pihak media massa seperti Zubir sendiri.

Pun begitu, nama Putri Mardiana menjadi perhatian Zubir selepas dia meledak dengan kisah perceraiannya bersama bekas suami, Shahnaz Norwawi apabila ikatan perkahwinannya terlerai pada Ramadan, baru-baru ini.

Akui Mardiana, sejak pertengahan tahun lalu, rumah tangganya dengan lelaki yang berjawatan perunding kejuruteraan mekanikal di Singapura itu bermasalah. Justeru, disebabkan merajuk dia melarikan diri selama enam bulan mencari ketenangan bersama keluarganya di Sitiawan, Perak.

Namun, itu cerita peribadi Mardiana, Zubir tak mahu ambil pusing lagi. Perkara yang dah lepas, biarkan berlalu pergi, jangan pandang belakang. Zubir sebenarnya lebih kagum dengan pencapaian Mardiana di bidang lakonannya apabila dia berjaya mengharumkan nama negara menyahut cabaran bertanding pada World Championship of Performing Arts 2009 di Los Angeles hingga meraih pingat emas kategori lakonan terbuka, baru-baru ini.

Pun begitu, ku sangka panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari apabila sekeping foto aksi mesra Mardiana bersama seorang lelaki yang dikenali sebagai pengarah drama, Mohd Ridzuan Mat Husin atau lebih popular dengan panggilan Wan Cromok, akhirnya jatuh ke tangan Zubir selepas dikirimkan seorang peminat dunia seni menerusi MMS, Khamis lalu.

Zubir difahamkan, Mardiana dan Wan Cromok pernah bergelar pasangan kekasih, namun adakah ikatan percintaan itu masih terjalin hingga ke hari ini, tak dapatlah dipastikan. Pun begitu, menurut sumber yang rapat dengan pasangan berkenaan, Mardiana dan Wan Cromok dikatakan pernah bercinta selama beberapa bulan, namun adakah masih berterusan hingga ke hari ini, hanya empunya diri yang lebih mengetahui.

Kita tunggu saja penjelasan daripada Mardiana, sama ada dia ingin mengaku itu gambarnya ketika bercinta dengan Wan Cromok atau mengambil jalan selamat mengakui itu sekadar foto superimpose (teknik pertindihan). Tapi, menurut cerita sumber sama, selain gambar berkenaan, ada beberapa keping lagi gambar Mardiana bersama Wan Cromok sedang bercuti di sebuah pusat peranginan terkenal! Zubir tak sabar nak melihatnya!

Sebelum ini, pernah tercetus desas-desus menyebut Wan Cromok dikatakan juga bekas kekasih dan rakan kongsi perniagaan kepada penerbit dan pelakon terkenal, Darling Ngasri. Namun, disebabkan tiada jodoh, ikatan percintaan itu terlerai begitu saja. Kini, Darling sudah pun bergelar isteri kepada Nur Azlin Rahmat yang dinikahinya Mei lalu. Wan Cromok juga yang membujang, siapa tahu mungkin jodohnya bersama Mardiana.

Takut pisang berbuah dua kali


Maria Farida tidak serik berkahwin lagi tetapi sering dihantui peristiwa hitam 10 tahun lalu

BUKAN serik nak berkahwin lagi, sebaliknya pelakon jelita, Maria Farida tidak mahu pisang berbuah dua kali. Kegagalan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta hampir sedekad lalu cukup membuatkannya berhati-hati dalam memilih pasangan hidup. Apatah lagi berkahwin bukan soal main-main, ia membabitkan masa depan.

Lebih bahagia bersama satu-satunya permata hati, Mizan Ashley, 12, pelakon kacukan Melayu-Filipina itu bagaimanapun tidak menolak jika ditakdirkan bertemu jodoh. Cuma di kala hidup bersendirian selepas sekian lama, Maria tidak mahu kebahagiaan yang dimiliki hari ini direntap dengan permasalahan rumah tangga.

Masih cantik seperti dulu, pelakon yang kini tampil menerusi filem Jalang itu mengakui: “Bukan saya tak percaya pada lelaki selepas rumah tangga saya dulu berkecai di tengah jalan, tetapi saya belum bertemu lelaki yang sesuai. Bohonglah, kalau tiada lelaki yang mahu mendekati, tetapi rasanya mereka hanya sesuai dijadikan kawan, bukan pasangan hidup.

“Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali, saya tak mahu merana selama-lamanya. Ada kalanya rasa serik masih menebal dalam diri saya, apatah dulu saya berdepan dengan konflik rumah tangga yang mencengkam jiwa. Jika ditakdirkan hidup sendiri lebih baik, saya reda. Jika bertemu jodoh dengan lelaki bertanggungjawab, punya kerjaya dan bukan suami orang, itu sudah memadai. Saya tak pilih nak berkahwin dengan lelaki kaya, berharta atau berpangkat, cukuplah ada kerjaya dan pendapatan tetap.

“Paling penting, lelaki itu menerima saya dan anak saya seadanya. Saya sudah melalui kesulitan dulu apabila mempunyai suami yang tidak bekerja, habis duit simpanan saya ketika bergelar model dan pelakon dikeluarkan untuk menyara hidup, saya tak sanggup lagi melalui keperitan itu. Alhamdullilah, selepas terlepas cengkaman bekas suami dulu, saya kembali berlakon semula dan hari ini, rezeki saya tak putus-putus sehingga ada yang terpaksa ditolak.”

Maria berkata, dia tidak pernah menyesali takdir apabila mengambil keputusan meninggalkan dunia lakonan ketika namanya sedang berada di puncak. Ketika itu, dirinya mahu mendirikan rumah tangga dan berhasrat menumpukan perhatian pada suami dan anak-anak.

“Suatu percaturan yang silap apabila saya berhenti berlakon dulu, tetapi saya tak pernah kesal. Saya terlalu letih bekerja, maklumlah saya sudah bergelumang dalam dunia seni sejak berusia 16 tahun. Dari seorang model, akhirnya saya ke layar perak, jadi saya sudah merasai perit jerih sebagai anak seni.

“Jadi bila berkahwin, saya rasa ada baiknya saya memberikan tumpuan pada suami dan anak. Saya tidak mahu lagi sibuk di lokasi penggambaran sehingga awal pagi, sedangkan suami dan anak terbiar di rumah. Bagaimanapun, saya sangka panas hingga ke petang, tapi hujan di tengah hari, percaturan saya silap. Ketika berkahwin, saya tukar nombor telefon dan berpindah ke rumah lain, jadi saya terputus hubungan dengan kawan-kawan.

“Peringkat awal mahu kembali semula berlakon memang susah, ramai yang tak dapat mencari saya, tetapi kini, selepas hampir 10 tahun berlalu, saya semakin selesa. Saya bersyukur bakat yang dikurniakan Tuhan memberi saya peluang meneruskan hidup seperti insan lain.

“Kini, anak pun sudah meningkat dewasa dan hikmahnya, biarpun rumah tangga menemui kegagalan, tetapi Tuhan menghadiahkan saya seorang anak sebagai peneman hidup,” katanya yang baru selesai penggambaran drama 20 episod, Rias Mutiara dan filem komedi romantik, Datin Ghairah.

Tiga filemnya, selain Jalang, My Spy dan Senario The Movie Episode 2: Beach Boys juga bakal berada di pawagam serentak dalam masa terdekat.

Secara jujur, Maria berkata, dia sering ditawarkan watak antagonis dalam lakonan, termasuk watak wanita elit dan golongan datin. Mungkin disebabkan perwatakan dan rupa paras yang kelihatan sombong menyebabkannya diberikan watak sedemikian.

Terbaru, menerusi Jalang, arahan Nazir Jamaluddin dan terbitan De’Baron Sdn Bhd, Maria melakonkan watak Puan Sri Salina, isteri Tan Sri Jamaudi yang mempunyai skandal dengan seorang wanita pelacur kelas atasan, Maria.

“Saya akui watak Datin atau Puan Sri sudah sinonim dengan saya. Saya tidak kisah membawa apa saja watak asalkan ada kelainan dan mencabar kemampuan. Watak ibu, anak dara atau remaja, asalkan menarik, saya akan terima. Bagi saya, bila ditawarkan bermakna penerbit serta pengarah percaya saya mampu galas tanggungjawab itu.

“Jalang adalah filem kelapan saya sejak bergelar anak seni. Bila melakonkan watak Puan Sri Salina, mungkin orang luar menilai watak biasa saja, tetapi kelainan kali ini, apabila saya berdepan dengan konflik hidup setelah suami mempunyai perempuan simpanan dan wanita itu adalah seorang jalang.

“Kesudahan cerita, watak saya tersangkut pula dengan orang kanan suami dan menjalinkan hubungan sulit hingga ke ranjang. Memang sukar kerana saya juga seorang `jalang’ yang menduakan suami dalam filem ini.

“Saya melihat filem ini mempunyai mesej berguna dan jangan sesekali menghukum seseorang, terutama golongan pelacur atau jalang, hanya Tuhan yang mengetahui segala-galanya,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails