Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Landasan Imran


RASA kesal dan terkilan terhadap sikap sesetengah stesen radio swasta tempatan yang seakan tidak menerima lagu ciptaannya, menggesa penyanyi muda kelahiran Singapura, Imran Ajmain untuk menembusi kaedah lain bagi mempromosikan karyanya kepada umum.

Alternatif terbaru artis naungan Metadome Sdn Bhd ini adalah menerusi laman sesawang Facebook yang kini umpama satu kemestian kepada ramai anak muda dan golongan bekerjaya.

Gagal mendapat perhatian daripada radio masih boleh diambil positif, tapi apabila mereka menyatakan lagu terbaru ciptaannya umpama lagu lama dan langsung tidak bersesuaian dengan konsep stesen mereka yang kononnya ‘urban’ benar-benar menguji kredibilitinya sebagai penyanyi dan komposer.

Bagaimanapun, Imran yang pernah popular menerusi lagu Seribu Tahun sebelum ini tetap melahirkan rasa bertuahnya apabila masih diterima baik di Malaysia. Malah, album terbarunya, Punca dan Tindakan yang memuatkan lagu Selamat Ulang Tahun Sayang dan lagu duetnya bersama Diana Danielle, Radio mendapat tempat di hati pendengar tempatan.

“Sebelum ini lagu saya diterima baik, mungkin kerana single ketiga, Jika Engkau Pergi, yang mengangkat susunan muzik ala 60-an dianggap lapuk dan tidak sesuai dengan pendengar masa kini. Melodi dan lirik lagu ini ciptaan saya sendiri dan Sulu Sarawak membantu menyusun lirik. Manakala susunan muziknya pula digarap oleh Eddy Marzuki.

“Oleh kerana ia tidak dimainkan di radio, saya mengambil langkah untuk menjadikan ruang peribadi Facebook saya sebagai platform untuk peminat mendengar dan menilai lagu itu. Alhamdulillah, setakat ini saya memang bergerak aktif dalam berinteraksi dengan lebih 5,000 peminat di Facebook.

“Melihat usaha itu berhasil, pihak syarikat pengurusan bersetuju untuk membuka satu laman khas iaitu JikaEngkauPergi.com untuk terus mempromosikan lagu itu. Terdapat muzik video lagu itu, di belakang tabir dan pelbagai peraduan istimewa yang disediakan buat peminat saya di laman web itu.

“Peminat yang mengunjungi laman saya ini cukup aktif berkomunikasi. Malah mereka juga bebas meninggalkan pandangan bagi memantapkan lagi karya dan kerjaya seni saya.

“Segala perkembangan terkini dan maklumat terbaru mengenai kerjaya seni saya juga dikemaskini setiap hari oleh saya sendiri. Jadi peminat boleh berbual dan mengetahui ke mana saja jadual persembahan saya,” katanya.

Dia melihat ia sebagai satu kaedah promosi berkesan memandangkan hari ini penggunaan Internet sangat relevan. Oleh itu, sebaik mungkin dia cuba manfaatkan. Jika tiada aral melintang, laman web ini katanya, akan dilancarkan tidak lama lagi.

Bagi penyanyi yang baru-baru ini memenangi anugerah bagi kategori vokal terbaik dan ciptaan asli terbaik di World Championship of Performing Art (WCOPA) menerusi lagu Jika Engkau Pergi ini mengharapkan agar peminat tempatan sudi menghargai lagu terbarunya itu.

Selain sibuk mengingatkan agar peminatnya tidak lupa untuk melayari lama web JikaEngkauPergi.com, Imran juga teruja apabila lagu ciptaannya itu mula diperdengarkan di stesen radio Era.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails