Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Fizo 'kunci cinta' di Seoul
Terkenal dengan pelbagai tempat-tempat menarik, Korea Selatan juga dikenali kerana budaya unik yang sentiasa menggamit jutaan pelancong ke negara itu setiap tahun.
Berkongsi pengalaman kali kedua ke sana, pelakon popular Fizo atau Wan Hafizol Wan Omar, 27, memberitahu, kehadirannya ke Korea Selatan kali ini lebih bermakna kerana dapat melawat banyak tempat-tempat menarik di sekitar Seoul.
"Ini kali kedua saya ke sana. Sebelum ini mewakili Malaysia untuk perlawanan bola sepak pada tahun 2002.
"Dan kali ini saya terlibat dengan penggambaran drama bersiri Julia di sekitar Seoul," katanya.
Walaupun urusan utamanya ke negara itu lebih kepada kerja, menurut Fizo, dia tetap bernasib baik kerana lokasi penggambaran dilakukan di sekitar kawasan tumpuan ramai.
"Memang seronok apabila kita boleh bekerja dan melancong dalam satu-satu masa. Di samping itu juga saya tidak melepaskan peluang untuk melakukan aktiviti membeli-belah," katanya yang banyak membeli baju dan kasut.
Berkongsi cabaran sepanjang dua minggu berada di sana menurut Fizo, selain makanan, komunikasi juga merupakan antara cabaran utama di negara tersebut.
"Susah nak dapatkan makanan halal di sana, jadi kami memilih untuk masak sendiri. Dan saya pula memang sudah menyiapkan lima kilogram serunding sebagai persiapan sebelum berlepas ke Korea Selatan.
"Kebanyakan penduduk di sini memang kurang fasih bertutur bahasa Inggeris namun saya sangat menghormati sikap mereka yang ramah," katanya.
Selain Fizo, beberapa pelakon lain juga turut menjayakan penggambaran ini antaranya Nabila Huda, Izreen Azminda dan Iqram Dinzly. Drama bersiri Julia ini dijadualkan akan berada di Slot Akasia pada hujung bulan ini.
Curi perhatian
Terus bercerita mengenai pengalamannya di sana, menurut Fizo, antara lokasi yang paling mencuri perhatiannya ialah N Seoul Tower.
Merupakan antara lokasi romantis, N Seoul Tower terkenal kerana setiap pasangan kekasih yang mengunjungi lokasi ini akan meninggalkan kunci bagi melambangkan ikrar cinta mereka.
"Kawasan ini memang unik, bayangkan sepanjang pagar dan kawasan di situ dipenuhi dengan kunci serta nota cinta mereka. Ia memang unik dan romantik.
"Selain itu, dari N Seoul Tower saya dapat melihat sendiri keindahan bandar Seoul," katanya.
Tidak sah sekiranya jika kunjungan ke sana tidak dilengkapi dengan lawatan ke pulau popular iaitu pulau Nami.
Menurut Fizo yang pada mulanya mengenali Korea Selatan melalui drama bersiri Winter Sonata, dia sangat bertuah untuk melihat sendiri kawasan yang pernah menjadi lokasi penggambaran drama bersiri terkenal itu.
"Bayangkan kerana drama bersiri itu, kawasan itu menjadi popular. Dapat melihat sendiri keindahan yang saya saksikan melalui kaca televisyen sebelum ini memang berbaloi," katanya.
Bakal kembali ke Korea Selatan bersama keluarganya nanti, menurut Fizo sudah menjadi impiannya untuk bermain salji di negara itu.
"Saya sedang merancang untuk kembali bersama keluarga saya. Berkemungkinan besar pada musim sejuk nanti, di waktu itu boleh bermain salji," katanya.
Berat Bertambah Bukan Kerana Putus Cinta - Miera Leyana
PETALING JAYA: Pelakon Miera Leyana menafikan pertambahan berat badannya sebanyak lapan kilogram mempunyai kaitan dengan kegagalan hubungannya dengan pelakon Sharizal Jazsle.
Miera, 19, sebaliknya berkata berpunca daripada kehilangan mendadak selera makan semenjak bulan Ramadan lalu.
"Peningkatan berat badan saya tiada kaitan langsung dengan Shah kerana itu semua cerita lama. Ia sebab sikap saya sendiri yang memang kuat makan.
"Tambahan pula berat badan saya senang naik jika saya tidak menjaga pemakanan dengan baik," ujarnya kepada mStar Online.
Miera dalam pada itu mendedahkan berat badannya sebelum ini 45 kilogram dan meningkat kepada 53 kilogram.
Dalam pada itu, Miera tekad untuk menyertai pusat kecergasan bagi mendapatkan semula bentuk badan asalnya agar tidak nampak lebih besar di televisyen.
Sementara itu dia juga teruja dan berdebar masih menanti empat buah filem lakonannya iaitu Pencinta, Pecah, Lebuhraya Ke Neraka dan Dendam Orang Mati yang bakal ditayangkan pada tahun hadapan.
Isu Kahwin: Anak Datuk K Temui Rozita Che Wan
PETALING JAYA: Salah seorang anak Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K telah bertemu pelakon Rozita Che Wan secara peribadi untuk mengetahui adakah benar wanita itu mahu mengahwini bapanya.
Rozita, 38, berkata, dia terkejut apabila seorang lelaki datang menemuinya di sebuah majlis baru-baru ini bertanyakan kebenaran gosip berkenaan.
"Saya tidak mengenali Datuk K secara peribadi dan begitu juga anak beliau. Dia tiba-tiba menyapa saya di sebuah majlis tertutup dan bertanya mengenai perkara berkenaan," katanya kepada portal redcarpet.net.my.
Rozita sebelum ini pernah dikaitkan dengan Datuk K dan mereka kononnya dikatakan telah berkahwin secara senyap.
Dalam pada itu, Rozita memohon semua media dan penulis blog di negara ini menghentikan spekulasi melibatkan dirinya dengan Datuk K kerana tidak mahu melukai hati penyanyi Siti Nurhaliza.
"Saya tidak mahu menyakiti hati Siti dengan cerita-cerita yang tidak benar sebegini tambahan pula saya memang tidak berminat dengan lelaki yang sudah berkahwin," ujarnya.
Sementara itu, Rozita menjelaskan dia kini selesa hidup sendirian dan akan lebih berhati-hati mencari cinta selepas rumah tangganya hancur sebelum ini.
Rozita berkata, dia sentiasa mengambil pengajaran daripada kegagalan perkahwinannya yang lalu dan mengakui cerewet apabila melibatkan lelaki.
Malah jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan duda, dia akan memastikan lelaki tersebut tidak mempunyai anak kerana tidak mahu bergaduh dengan anak-anak tirinya.
"Saya cuma akan berkawan dengan lelaki bujang atau pun duda yang tidak mempunyai anak kerana saya tidak mahu anak-anaknya menghadapi masalah dengan saya.
"Saya tertarik kepada lelaki yang baik, tidak ego dan dapat menjaga rumah tangga dengan sempurna walaupun dia tidak sekaya mana," katanya.
Tambah Rozita, paling penting lelaki yang ingin mendampinginya mestilah boleh menerima dua anak lelakinya yang telah meningkat usia remaja.
"Anak-anak tidak meletakkan kriteria calon suami saya kerana paling penting lelaki itu dapat mengembirakan saya dan menyayangi mereka seperti anak sendiri," ujarnya.
Tidak Jatuh Talak Dalam 'Untuk Tiga Hari' - Vanidah Imran
PETALING JAYA: Pelakon Vanidah Imran menjelaskan tidak berlaku penceraian diantara dia dan suami, Rashidi Ishak berikutan dialog yang diungkapkan menerusi filem Untuk Tiga Hari.
Vanidah yang dihubungi mStar Online di sini Isnin berkata, dia dan suaminya telah meneliti skrip filem arahan Afdlin Shauki itu sebelum menerima tawaran membintangi karya berkenaan.
"Saya tidak faham bahagian mana dalam filem itu yang mengatakan Rashidi ada melafazkan cerai terhadap saya?
"Sebagai pelakon kami sangat berhati-hati dengan perkara sebegini dan tidak akan menerima sebarang watak yang menggambarkan sifat negatif suami isteri," katanya.
Vanidah mengulas nasihat Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria seperti dilaporkan sebuah akhbar pada Isnin yang menggesa dia dan Rashidi memaklumkan kepada Jabatan Agama Islam berikutan lafaz cerai yang diungkapkan dalam filem tersebut.
Dalam pada itu, Vanidah menegaskan dia tidak akan ke pejabat agama seperti mana dinasihatkan oleh Harussani kerana yakin tidak berlaku penceraian seperti yang didakwa.
Vanidah memberitahu, sebagai seorang Islam dia sedar mengenai soal agama serta hukum dan tidak akan cepat melatah dengan isu yang digembar-gemburkan.
"Saya tidak nampak sebarang sebab mengapa saya dan Rashidi perlu ke pejabat agama untuk merujuk status kami sebagai suami isteri kerana lafaz cerai tidak pernah berlaku," tegasnya.
Bagaimanapun Vanidah berkata, dia menerima nasihat daripada Harussani sebagai seorang ahli agama namun menganggap ulasan itu hanya dibuat berdasarkan kepada pandangan pihak ketiga tanpa menonton filem berkenaan.
"Saya berpendapat beliau tidak menonton filem itu tetapi hanya mendengar ulasan daripada pihak lain.
"Jika benar telahan saya itu, adalah tidak wajar pihak ketiga mahu mengheret seorang mufti memberi ulasan tanpa beliau melihat sendiri adegan yang saya dan suami lakonkan," katanya.
Vanidah berkata, sepanjang 12 tahun perkahwinan, mereka sentiasa memastikan keharmonian rumah tangga dan menjaga aib masing-masing.
"Bergelar pasangan selebriti menyebabkan ramai mata yang sentiasa memandang kami tetapi Alhamdulilah setakat ini kami bebas dari sebarang cerita-cerita yang tidak elok," katanya.
Aliff Aziz Simpan Duit, Mahu Bawa Ibu Bapa Ke Mekah Tunaikan Haji
PETALING JAYA: Penyanyi dari Singapura Aliff Aziz berhasrat untuk menghantar ibu dan bapanya ke tanah suci Mekah bagi menunaikan ibadah Haji dengan menggunakan wang hasil kerja titik peluhnya sendiri.
Pemilik nama sebenar Mohammad Aliff Aziz, 21, ini berkata, ia merupakan sebahagian perancangan besarnya dan berharap, keputusan yang dibuat untuk menetap di Kuala Lumpur (KL) bagi mengembangkan karier nyanyiannya adalah tepat agar dapat menjana pemdapatan yang lebih bagus.
"Meninggalkan keluarga di Singapura demi mengejar impian dalam hidup bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan.
"Dan sejak saya berhijrah ke KL sembilan bulan lalu, saya sudah pun memiliki misi yang tersendiri iaitu mahu mengukuhkan kerjaya dan mengumpul wang supaya dapat menghantar ibu dan bapa saya ke Mekah.
"Hasrat itu sudah lama saya simpan dan harap-harap ia akan tercapai dan semestinya ia akan menggembirakan mereka," katanya.
Tambah penyanyi yang kini popular dengan lagu Jangan Ganggu Pacarku, dia juga akan membawa keluarganya menetap di KL selepas karier nyanyian serta bidang yang baru diceburi iaitu lakonan berada di tahap stabil.
Sementara itu, kata Aliff lagi, tinggal sendiri tanpa ditemani keluarga juga membuatkan dirinya lebih berdikari dalam melakukan sesuatu perkara.
Malah penyanyi ini turut mengakui, dia dapat merasakan pemikirannya lebih matang berbanding dahulu.
"Mungkin umur saya masih muda, tetapi dapat dirasakan saya lebih matang daripada sebelum ini. Tak sangka, hidup bersendiri mampu mengajar kita menjadi lebih matang dan bijak menangani sesuatu masalah.
"Bagaimanapun, mujurlah saya memiliki kekasih seperti Anne (Anne Ngasri) yang mempunyai keluarga yang sangat prihatin terhadap diri dan karier saya. Mereka kini sudah menjadi sebahagian dalam hidup saya juga," tuturnya.
Awie & Ziana Zain Beraksi Di Kejohanan Piala Sultan Selangor 2012
PETALING JAYA: Dua penyanyi tersohor Awie dan Ziana Zain bakal membuat persembahan sempena kejuaraan bola sepak Piala Sultan Selangor edisi ke-11 yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, di sini pada 29 September depan.
Kedua-dua penyanyi itu akan menampilkan satu persembahan istimewa sebagai tanda sokongannya kepada pasukan Selangor yang akan menentang Singapura pada perlawanan itu.
Ziana Zain berkata, membuat persembahan dalam sesebuah acara sukan seperti itu diharap mampu memberi semangat kepada pasukan Selangor agar dapat menewaskan Singapura selain membangkitkan perasaan teruja penyokong-penyokong bola sepak tempatan.
"Sudah 44 tahun saya tinggal di Selangor dan semestinya undangan membuat persembahan pada acara itu adalah satu penghormatan besar buat diri saya.
"Mungkin saya bukanlah seorang yang terlalu meminati sukan bola sepak tetapi undangan ini membuatkan saya berasa seperti sebahagian daripada pasukan Selangor," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, pada Khamis.
Tambah Ziana, dia akan membawakan beberapa buah lagu popularnya pada acara itu nanti.
Sementara itu vokalis kumpulan Wings iaitu Awie pula amat berharap kehadirannya sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat kepada pasukan Selangor untuk menang selepas kalah dalam tiga edisi perlawanan sebelum ini.
"Saya yakin Selangor dapat bangkit dan merampas kembali piala kejuaraan Piala Sultan Selangor itu.
"Dan kehadiran saya mengadakan persembahan pada perlawanan tersebut harap-harap dapat menaikkan semangat mereka," ujarnya yang akan membawakan lagu Sejati dan Terima Kasih.
Perlawanan tersebut turut menawarkan hadiah berupa wang tunai sebanyak RM50,000 dan piala kepada pemenang.
Penonton juga berpeluang mengambil bahagian dalam cabutan nombor bertuah. Tiket untuk menyaksikan perlawanan ini dijual pada harga RM10.
Kejohanan tersebut telah diilhamkan oleh Sultan Selangor sendiri iaitu Sultan Sharafuddin Idris Shah melibatkan pasukan pilihan serta veteran Selangor dan Singapura bagi merapatkan hubungan antara kedua-dua pihak.
Baginda juga merupakan penaung kejohanan yang diperkenalkan sejak tahun 2001.
Sharnaaz Bangga Kemenangan Shila Amzah Di 'Asian Wave 2012'
Fikiran Fouziah Gous Masih Celaru Kerana Kematian Bapa
PETALING JAYA: Aktres Fouziah Gous mengakui kesedihan terhadap kematian bapanya Mohd Gous Agulam Dastagir pada 11 Ogos lalu menyebabkan dia hilang fokus pada kerjaya pada waktu ini.
Fouziah, 30, berkata, fikirannya masih terganggu dan sukar memberi tumpuan sepenuhnya pada komitmen lakonan walaupun selepas 20 hari berehat.
"Saya baru sahaja kembali bekerja selepas lebih dua minggu berehat di rumah kerana kematian bapa. Alhamdulillah, emosi saya makin stabil sekarang tetapi perasaan sedih itu tentulah masih ada.
"Walaupun saya sudah mula berlakon, tumpuan terhadap kerja itu tidak sepenuhnya. Fikiran saya masih bercelaru dan tidak boleh fokus berbanding komitmen yang biasa saya berikan sebelum ini," katanya.
Fouziah berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran drama Dendam Sarakit di Sri Pentas Bandar Utama, di sini, Khamis.
Dalam drama bersiri arahan Fairuz Loy ini, Fouziah bergandingan dengan Zain Hamid, Noniswara, Adam Shah dan Saiful Nizen.
Ia akan ditayangkan bermula 27 September ini pada setiap Khamis, pukul 10 malam menerusi slot Seram di TV3.
Fouziah berkata, dia terpaksa mengatasi kedukaannya dan berusaha mengembalikan rentak dan tumpuan kerana sudah terikat dengan pelbagai komitmen yang tertangguh sebelum ini susulan kematian tersebut.
"Saya terpaksa lunaskan tanggungjawab pada beberapa projek lakonan kerana ia sudah tertangguh sebelum ini apabila bapa saya meninggal dunia.
"Mahu tidak mahu, saya perlu fokus dan mencari kekuatan agar dapat bekerja seperti sedia kala," katanya yang baru pulang dari Maghribi untuk penggambaran telefilem Siapa Di Hatimu, minggu lalu.
Mengenai watak sebagai Sarakit dalam Dendam Sarakit, Fouziah berkata, cabaran terbesar untuk menjiwai karakter itu adalah kesukaran mengungkapkan dialog yang menggunakan ayat bahasa Malaysia baku.
"Sukar sebenarnya untuk mengungkapkan dialog drama ini kerana saya perlu bertutur dengan bahasa Malaysia yang lengkap seperti ayat rasmi dan baku, bukan bentuk perbualan harian.
"Lagipun pembabitan dalam drama ini yang menjalani lebih 90 peratus penggambaran di Bentong, Thailand selama 32 hari merupakan pengalaman pertama saya berjauhan daripada keluarga untuk tempoh yang panjang.
"Akibat tidak tahan menanggung rindu pada ibu, saya curi-curi peluang juga balik ke Kuala Lumpur apabila penggambaran tidak melibatkan adegan melibatkan saya," katanya.
Bapa Fouziah meninggal dunia pada 11 Ogos lalu akibat sakit tua pada usia 75 tahun.
Ning Makan Makanan Berkhasiat Untuk Hamil
KUALA LUMPUR: Petua menikmati makanan berkhasiat adalah antara sebab Ning Baizura mengandung selepas berkahwin kira-kira empat tahun lalu.
Ning berkata, apabila dibenarkan hamil oleh doktor sejak Mac lalu gara-gara komplikasi pada rahimnya, dia banyak mengambil makanan seperti tauhu, kurma, susu kambing, sayur, buah-buahan dan oat agar mendapat zuriat.
"Dua tahun lalu, terdapat sedikit komplikasi pada rahim saya menyebabkan saya perlu menjalani pelbagai rawatan. Alhamdulillah, selepas kembali sihat, akhirnya saya mengandung juga,” katanya.
Ning, 37, ditemui pada majlis pengesahan rasmi status kehamilannya di Restoran Bijan, dekat sini, Rabu.
Turut hadir suaminya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton, 37.
Dalam pada itu bercerita soal kandungan, Ning teringin untuk mendapat anak perempuan tetapi suaminya mahu anak lelak dengan alasan sudah mempunyai dua orang puteri hasil perkahwinannya terdahulu.
Bagaimanapun jika hajat itu tidak tertunai, dia tidak menolak sebarang zuriat yang bakal dikurniakan Allah. Dalam pada itu Ning menyifatkan kandungannya yang kini berusia lima bulan merupakan satu anugerah yang amat bermakna.
Dia yang popular dengan lagu Awan Yang Terpilu itu memberitahu, pada awalnya berita kandungan tersebut mendatangkan kebimbangan kepada suaminya yang masih lagi belum menerima tawaran kerja.
"Mujurlah selepas sebulan usia kandungan saya, Omar mendapat kerja di sebuah syarikat di ibu kota.
"Dan sepanjang empat bulan pertama, saya banyak berehat di rumah bagi menjaga kandungan dan akan bercuti daripada membuat persembahan pentas buat sementara waktu bermula 20 Disember depan," ujarnya.
Sementara itu, Ning merancang untuk menghasilkan sebuah album kanak-kanak sempena kehadiran cahaya mata itu selepas enam bulan bersalin yang dijangka pada bulan Februari tahun depan.
"Saya akan menghasilkan sebuah album khas buat kanak-kanak dengan menampilkan beberapa lagu popular kanak-kanak atau mungkin berkonsepkan dodoi.
"Bukan itu sahaja, saya juga akan membuka sebuah studio rakaman untuk memudahkan kerjaya nyanyian saya," tuturnya.
Raja Azura, Bekas Suami Mesra Sebagai Kawan
KUALA LUMPUR: Pengacara dan penyampai radio Sinar FM, Raja Azura berkata kemesraan dan hubungan baik antaranya dengan bekas suami, Adzmin Osman selepas dua tahun bercerai bukanlah bererti mereka akan bersatu semula sebagai suami isteri.
Aktres yang mesra disapa Kak Engku, 40, ini berkata, keakraban itu terjadi secara spontan disebabkan anak-anak mereka.
"Tiada apa yang berubah setakat ini. Memang kami masih mesra dan baik tetapi kami tidak berkahwin semula seperti didakwa.
"Kami jaga hubungan persahabatan ini demi anak-anak.
"Saya tidak nampak kemungkinan untuk kami bersatu semula dalam masa terdekat tetapi kita tidak tahu soal jodoh pada masa akan datang," katanya ketika ditemui pada pelancaran Konsert Rock & Retro Sinar di sini, petang Rabu.
Kak Engku berkata demikian sebagai respons kepada dakwaan kononnya kemesraan dia dan Adzmin seolah-olah mereka akan bersatu semula sebagai suami isteri.
Pasangan itu berkahwin pada Mac 2001 dan berpisah pada 28 September 2010.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Megat Muhammad Raziq, 10, Megat Luqman Hakim, 9 dan Puteri Mkia Maizurah, 6.
Kak Engku berkata, perasaan sayang terhadap suami itu masih wujud tetapi tidaklah sehingga untuk mereka kembali menjalinkan hubungan dalam rumah tangga.
"Banyak perkara yang perlu dibaiki jika kami mahu kembali bersama. Buat masa ini, cukuplah kami baik dan mesra sebagai kawan," katanya yang kini memberikan keutamaan kepada kerja dan anak-anak.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
