Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Fizo 'kunci cinta' di Seoul

Terkenal dengan pelbagai tempat-tempat menarik, Korea Selatan juga dikenali kerana budaya unik yang sentiasa menggamit jutaan pelancong ke negara itu setiap tahun. Berkongsi pengalaman kali kedua ke sana, pelakon popular Fizo atau Wan Hafizol Wan Omar, 27, memberitahu, kehadirannya ke Korea Selatan kali ini lebih bermakna kerana dapat melawat banyak tempat-tempat menarik di sekitar Seoul. "Ini kali kedua saya ke sana. Sebelum ini mewakili Malaysia untuk perlawanan bola sepak pada tahun 2002. "Dan kali ini saya terlibat dengan penggambaran drama bersiri Julia di sekitar Seoul," katanya. Walaupun urusan utamanya ke negara itu lebih kepada kerja, menurut Fizo, dia tetap bernasib baik kerana lokasi penggambaran dilakukan di sekitar kawasan tumpuan ramai. "Memang seronok apabila kita boleh bekerja dan melancong dalam satu-satu masa. Di samping itu juga saya tidak melepaskan peluang untuk melakukan aktiviti membeli-belah," katanya yang banyak membeli baju dan kasut. Berkongsi cabaran sepanjang dua minggu berada di sana menurut Fizo, selain makanan, komunikasi juga merupakan antara cabaran utama di negara tersebut. "Susah nak dapatkan makanan halal di sana, jadi kami memilih untuk masak sendiri. Dan saya pula memang sudah menyiapkan lima kilogram serunding sebagai persiapan sebelum berlepas ke Korea Selatan. "Kebanyakan penduduk di sini memang kurang fasih bertutur bahasa Inggeris namun saya sangat menghormati sikap mereka yang ramah," katanya. Selain Fizo, beberapa pelakon lain juga turut menjayakan penggambaran ini antaranya Nabila Huda, Izreen Azminda dan Iqram Dinzly. Drama bersiri Julia ini dijadualkan akan berada di Slot Akasia pada hujung bulan ini. Curi perhatian Terus bercerita mengenai pengalamannya di sana, menurut Fizo, antara lokasi yang paling mencuri perhatiannya ialah N Seoul Tower. Merupakan antara lokasi romantis, N Seoul Tower terkenal kerana setiap pasangan kekasih yang mengunjungi lokasi ini akan meninggalkan kunci bagi melambangkan ikrar cinta mereka. "Kawasan ini memang unik, bayangkan sepanjang pagar dan kawasan di situ dipenuhi dengan kunci serta nota cinta mereka. Ia memang unik dan romantik. "Selain itu, dari N Seoul Tower saya dapat melihat sendiri keindahan bandar Seoul," katanya. Tidak sah sekiranya jika kunjungan ke sana tidak dilengkapi dengan lawatan ke pulau popular iaitu pulau Nami. Menurut Fizo yang pada mulanya mengenali Korea Selatan melalui drama bersiri Winter Sonata, dia sangat bertuah untuk melihat sendiri kawasan yang pernah menjadi lokasi penggambaran drama bersiri terkenal itu. "Bayangkan kerana drama bersiri itu, kawasan itu menjadi popular. Dapat melihat sendiri keindahan yang saya saksikan melalui kaca televisyen sebelum ini memang berbaloi," katanya. Bakal kembali ke Korea Selatan bersama keluarganya nanti, menurut Fizo sudah menjadi impiannya untuk bermain salji di negara itu. "Saya sedang merancang untuk kembali bersama keluarga saya. Berkemungkinan besar pada musim sejuk nanti, di waktu itu boleh bermain salji," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails