Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Azlina, Liza tidak tergugat


SEJAK dari dalam kandungan ibu lagi, pasangan adik beradik, Azlina dan Liza Aziz sudah terdedah kepada kemilau dunia glamor. Ibu mereka, Normadiah merupakan seorang pelakon, penyanyi dan penari tersohor di era industri perfileman Jalan Ampas. Begitu juga dengan ayah mereka, Aziz Jaafar yang merupakan aktor dan penyanyi yang memiliki karisma tersendiri pada era yang sama. Kerana itu, tidak hairanlah kenapa darah itu terus mengalir dalam tubuh Azlina dan Liza yang menjadikan mereka anak seni terbilang tanah air.

Memikul amanah meneruskan legasi seni tinggalan orang tua mereka tentunya menjadikan Azlina dan Liza muncul sebagai anak seni yang kental mengharungi pancaroba seni. Beruntungnya Azlina dan Liza juga ialah mereka tidak perlu menjadikan populariti ibu dan ayah untuk membina nama. Ini kerana dua beradik ini berdiri sendiri atas kemampuan dan kelebihan tersendiri iaitu vokal yang mantap dan tidak mudah diganggu gugat. Tanyalah mana-mana pencinta seni tanah air, pasti mereka akan mengakui kelunakan dan gemersik suara Azlina dan Liza.

Azlina dan Liza muncul memeriahkan gelanggang seni tanah air seawal tahun 1980-an. Selang masa berlalu, ketika industri hiburan rancak menerima kehadiran ramai bintang baru, Azlina dan Liza masih teguh berdiri biar tanpa sebarang album baru. Lebih istimewa lagi, mereka juga seringkali menjadi pilihan untuk mewakili negara dalam pelbagai acara yang melibatkan hubungan negara di peringkat global. Bagi kedua-dua mereka, menghiburkan tetamu dunia yang berkunjung ke negara ini atau sebaliknya, bukan suatu yang asing. Mendekati anak seni yang sebelum ini kurang gemar memenuhi keinginan media merakamkan wajah mereka memberi peluang kepada Hits berkongsi perkembangan terbaru Azlina dan adiknya, Liza.

Azlina yang usianya sudah mencecah 47 tahun saling tidak tumpah wajahnya mirip Allahyarham ayahnya. Dia mula menempa kemasyhuran menerusi lagu Wajahmu Di Mana-Mana, album pertama yang diterbitkan oleh Akhbar Nawab dan diedarkan oleh WEA (kini Warner Music). Sambutan yang tidak diduga terhadap album berkenaan memberi peluang kepada Azlina untuk muncul satu demi satu dengan album baru sehingga tujuh album kesemuanya. Ku Kembali yang diterbitkan pada tahun 1991 bukan sahaja merupakan album terakhir Azlina dengan WEA, malah ia juga menandakan berakhirnya kontrak Azlina dengan WEA. "Sejak itu saya tidak pernah terfikir untuk memperbaharui kontrak dengan WEA. Bukan kerana album tidak laku tetapi saya memikirkan peluang menyanyi di luar negara," kata Azlina menjelaskan rasional dia tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman.

Selain keseronokan dan kepuasan mengikuti rombongan Lembaga Pelancongan Malaysia (TDC) sekitar awal tahun 1990-an, tugas itu juga menyebabkan dia sentiasa sibuk. "Dalam setahun lebih daripada 10 persembahan di luar negara saya ikuti. Alhamdulillah sejak tahun 1991 hingga tahun 2000, saya sentiasa diundang TDC untuk menghiburkan masyarakat antarabangsa. "Meskipun tidak mendapat pulangan berjumlah ratusan ribu, ia amat memadai buat saya tambahan pula undangan yang tidak putus-putus. "Namun begitu harus diingat, tujuan saya berkelana bukan semata-mata mahu mencari wang semata-mata malah yang lebih penting mencurahkan bakti kepada negara dengan suara," kata Azlina Aziz ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Azlina, sejak mengikut rombongan kebudayaan sudah banyak negara yang dikunjungi dan semua negara ASEAN sudah dihiburkan. Di samping itu, Azlina juga pernah mengikuti rombongan TDC mengadakan persembahan di London, Birmingham, Glasgow, Manchester, Scandinavia, Copenhagen, Oslo, Stockholm, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat. Sementara itu, Liza atau nama sebenarnya Norliza Aziz, 46, pengalaman bergelar penyanyi latar Penghibur No: 1 Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad selama tujuh tahun bermula 1984 banyak memberinya pengalaman dan peluang yang sukar dinafikan. Sebelum menyertai team Allahyarhan Sudirman, Liza aktif menyanyikan lagu-lagu iklan. Namun, peluang yang ditawarkan Sudirman mengubah secara total landskap kerjaya seni Liza. Mengimbas momen-momen manis bersama Sudirman, Liza berkata, tahun demi tahun menimba pengalaman dengan penghibur masyhur itu membuatkan dia begitu yakin diri

Bagaimanapun, suatu hal yang membuatkan dia lemah apabila Sudirman berkali-kali mencadangkan Liza merakamkan suara. Cadangan Sudirman itu kata Liza, membuatkan dia mula diselubungi rasa takut dan malu. "Biar ramai yang memberitahu saya mereka sukakan suara saya, namun saya sentiasa menafikan kemampuan saya. "Keadaan ini berlaku kerana saya sering berpendapat saya tidak memiliki pakej yang baik untuk menjadi seorang artis. Badan saya tidak seramping penyanyi lain, jadi biarlah saya menjadi penyanyi latar. Itu sudah cukup menggembirakan saya," kata Liza penuh merendah diri. Pandangan peribadi Liza itu bagaimanapun ditentang sekeras-kerasnya oleh Sudirman yang terus memberi keyakinan pada Liza agar keluar dari kepompongnya sendiri demi masa depannya dalam bidang seni. "Mulanya memang saya malu untuk merakamkan album, sampaikan arwah abang Sudir berjanji nak buat album untuk saya. Tetapi Alhamdulillah pada tahun 1989, peluang saya datang bergolek," cerita Liza mengenai titik tolak permulaannya sebagai penyanyi solo.

Di bawah syarikat rakaman Rediffusion, Liza diberi kesempatan merakamkan album pertamanya, Liza yang turut menampilkan lagu Siti Payung. Selang tujuh tahun, album keduanya, Hati Ini pula menemui peminat. Album berkenaan diterbitkan oleh Ahmad Izham Omar. Sayangnya, walaupun lagu-lagu daripada album pertama dan kedua dikatakan memenuhi cita rasa peminat tetapi tanpa publisiti dan promosi ia berkubur begitu sahaja. Hati kecil Liza benar-benar terusik kerana dua albumnya itu gagal menawan hati peminat muzik. Biarpun begitu, perjuangan seni Liza tidak terhenti setakat itu. Pengalaman beraksi di Osaka, Jepun pada tahun 1995 mencetus satu lagi semangat baru buatnya.

Liza menerima tepukan paling gemuruh daripada penonton tatkala menyanyikan lagu Den Pasarmoon dalam bahasa Inggeris dan Jepun. "Saya menghafal lagu itu tak sampai sehari selepas mendapat kaset daripada Makoto Kubota yang diberikan oleh Sandy Suzuki. Pengalaman itu masih segar dalam kotak fikiran saya," kata Liza lagi. Dek kerana kehebatan vokal serta kemampuan Liza beraksi di pentas juga sekali gus memberi peluang kepada penyanyi itu untuk mengikut jejak langkah kakaknya menyertai rombongan kebudayaan TDC. "Memang seronok bersama dalam satu rombongan dan selepas itu pada tahun 2006 saya dan Azlina diundang pula oleh Zalina Azman bekas personaliti TV3 untuk menyanyi di Karachi, Pakistan dan Dubai. "Selalunya apabila menyanyi di luar negara, lagu asli yang paling mereka minati adalah Siti Payung.

Lagu itulah yang kami nyanyikan di samping lagu-lagu Inggeris terutama lagu One Thousand Million Smiles," kata Liza. Kini kedua beradik yang bagaikan kembar siam ini sering membuat persembahan bersama. Walaupun bukan itu syarat yang diberikan kepada pihak penganjur namun apa yang nyata Azlina dan Liza bagaikan irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan. "Sebenarnya, saya tidak pernah memberi syarat kepada pihak penganjur tetapi itulah rezeki," kata Azlina sambil ketawa.

Kini selain memenuhi undangan menyanyi makan malam di hotel, Azlina dan Liza kerap memenuhi undangan menyanyi di Sabah dan Sarawak. Sebuah daerah terpencil di Sabah, Matu Davo adalah sebuah daerah yang kerap mereka pergi untuk menghiburkan para peminat di sana. Walaupun terpaksa menaiki bot namun mereka dua beradik tidak pernah jemu menghiburkan para peminat di sana. "Daerah itu bagaikan rumah kedua kami, sebab dah lebih 20 tahun kami menyanyi di sana. "Bayangkan dulu kami terpaksa menumpang tidur rumah orang, tetapi kini mereka sudah ada resort," cerita Azlina lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails