Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Umie Aida bertunang Selasa ini


SEMUA tahu yang Umie Aida kini sudah berpunya. Di jari manisnya juga sudah tersarung cincin belah rotan daripada emas putih jenama Chopard sebagai tanda sudah dirisik.

Tarikh 17 Mei lalu menjadi saksi bahawa dirinya sudah disunting ahli perniagaan yang berkulit mulus dan mempunyai senyuman manis itu.

Kini selepas hanya lima bulan menjalinkan hubungan cinta, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-16 menerusi filem Embun ini semakin pasti dengan pilihan hatinya.

Justeru, selepas berbincang dengan kedua-dua belah pihak, Umie mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan dengan lelaki impiannya.

Tarikh 29 September 2009 ini menjadi detik bersejarah buat Umie dan cinta hatinya yang dipanggil Abang itu. Bersyukur dipertemukan dengan lelaki tersebut, Umie menganggap duda beranak dua itu adalah jodoh terbaiknya.

“Alhamdulillah... ” kata Umie ringkas namun penuh makna. “Saya akhirnya menemui seseorang yang dapat menerima diri saya seadanya,” tambahnya sambil tersenyum manja.

Mungkin ramai menganggap alasannya itu terlalu klise namun tegas Umie bukan mudah bagi seseorang lelaki untuk menerima dirinya.

Bukan sahaja kerana bergelar seorang artis popular tetapi yang lebih penting dapat menerima kehadiran dua anak angkat kesayangannya.

Dan sebagai wanita, biar semoden manapun dia, Umie amat mengambil berat, menghormati dan menyayangi ahli keluarganya.

“Anak-anak dan keluarga penting dalam kehidupan saya. Orang yang menginginkan saya perlu untuk menerima hakikat tersebut.

“Dia menerima saya, anak-anak saya dan keluarga saya. Sebab itu saya katakan dia jodoh terbaik saya,” ujar Umie.

Melimpahkan rasa syukur dipertemukan dengan lelaki tersebut, Umie juga mengharapkan sikap dan sifat bakal tunang yang begitu menghormati pendiriannya terhadap anak dan keluarga akan terus berkekalan.

Malah Umie mengakui kerana sifat dan sikap itulah juga yang membuatkan pintu hatinya yang selama ini tertutup akhirnya terbuka dan bersedia untuk menerima kehadiran seorang lelaki bernama suami.

Mengambil keberkatan bulan mulia ini untuk menzahirkan sebuah komitmen dalam perhubungan dua hati, Umie tidak menyangka yang semuanya berlaku dengan pantas.

Masakan tidak, berkenalan bulan April lalu dengan ahli perniagaan bertaraf jutawan dan bergelar Datuk itu, hari ini dia sudah hampir menamatkan zaman solonya.

“Ya, saya bersyukur Syawal yang mulia ini saya menjadi tunangan orang, insya- Allah,” katanya sambil melirik senyuman.

Syawal berbeza

Umie mengakui Ramadan dan Syawal kali ini memberi erti yang amat bermakna dalam kehidupannya.

Teruja melalui bulan Ramadan, Syawal juga dirai dengan suasana sedikit berbeza. Masakan tidak, sempena Lebaran ini, Umie turut menziarah keluarga bakal mertuanya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Beraya ke sana pada hari kedua Syawal, Umie menziarah bersama anak-anak kesayangan, Mohd. Daniel Firdaus, 15 dan Mohd. Dzulhelmy, 14 serta adik beradiknya.

Menganggap dirinya bertuah kerana disayangi lelaki impian, Umie juga mengakui beruntung kerana mendapat bakal keluarga mertua yang menerima serta melayan dirinya dengan sangat baik.

Bukan itu sahaja, kehadiran lelaki berkumis itu juga memberikan satu kesan mendalam kepada diri Umie dan membuatkan hatinya tersentuh.

“Selalunya saya melalui kehidupan saya sendiri. Saya buat semua perkara dari A sampai Z. Hendak-hendaknya apabila menjelang raya.

“Tapi tahun ini berbeza kerana Abang tanpa diminta menguruskan segala persiapan terutama untuk anak-anak,” kata Umie.

Bukan sahaja yang melibatkan persiapan menjelang Hari Raya malah dia juga amat peka kepada kehendak dan persekitaran anak-anak bakal isterinya.

Tanggungjawab Umie selama ini kepada diri dan anak-anak digalas tanpa berkira. Dia, kata Umie, sangat mengambil berat dan mengambil tahu mengenai diri dan anak-anaknya.

“Dia rapat dengan anak-anak. Itu amat menyenangkan. Malah kadang kala dia melakukan aktiviti dengan mereka tanpa saya.”

Biarpun bakal bertunang Selasa ini, Umie masih belum mahu memperkenalkan buah hati kesayangannya.

Dia hanya menjelaskan bahawa lelaki yang dipanggilnya Abang itu adalah seorang yang sangat low profile dan simple.

Pun begitu dalam keterujaan meraikan Syawal bersama lelaki idaman, jauh di sudut hatinya tetap merindui seorang lelaki yang paling disayanginya, arwah ayahnya, Rahmad Ali yang telah meninggal dunia Mac tahun lalu.

“Ya, dia insan yang saya paling sayangi dalam dunia.”

Cincin Chopard dan dupleks

Bakal mengadakan majlis pertunangannya pada sebelah malam Selasa ini, Umie memilih tema biru firus+putih untuk persalinan di pihak perempuan manakala kelabu di pihak lelaki.

Disolek oleh Khir Khalid, persalinan Umie direka oleh Bill Keith dan dekorasi serta hiasan dalaman, pelamin dan khemah disediakan oleh Kem Salleh daripada Kapas.

Teruja menempuh hari-hari bahagianya, nyata keserian terpancar di wajah aktres bernama penuh Umi Kalsom Rahmad ini.

Jelas sekali kebahagiaan yang sedang dirasai apatah lagi impian bergelar isteri bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

“Insya-Allah secepat mungkin,” demikian katanya kala ditanya mengenai tarikh perkahwinan.

Sibuk merancang majlis pertunangannya sepanjang Ramadan lalu, Umie bakal disarungkan cincin pertunangan oleh bakal ibu mertuanya.

Cincin tunang bertatah berlian daripada koleksi jenama mewah kegemarannya, Chopard menjadi pilihan dan Umie juga menerima sebuah kondominium dupleks sebagai hadiah perkahwinan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails