Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ibu Diana belum sedia terima Farid menantu


Norsiah turut tepis dakwaan gosip dia seorang pelupa, tak hargai jasa media

PEJAM celik, pejam celik, begitu pantas masa berlalu, kini satu Syawal, seluruh umat Islam menyambut kedatangan Hari Lebaran dengan penuh rasa syukur apabila membawa kemenangan selepas sebulan berpuasa melawan hawa nafsu. Keampunan dipohon, salam dihulur dan Selamat Hari Raya, maaf zahir batin daripada Zubir sekeluarga buat semua insan seni khususnya pembaca setia ruangan ini.

Pun begitu, sepanjang minggu lalu, Zubir bersama rakan sekerja, Raja Nurfatimah Mawar dan Zul Husni tak menang tangan menyiapkan bahan B*Pop, memenuhi tuntutan kerja sempena cuti panjang sambutan Aidilfitri kali ini. Insya-Allah apa yang kami sajikan ini memenuhi cita rasa pembaca semua, kita berhari raya sambil mengikuti kisah sensasi artis kesayangan ramai.

Hari ini, sekali lagi Zubir ingin bercerita mengenai kisah cinta membabitkan aktres remaja, Diana Danielle dengan aktor popular, Farid Kamil yang menjadi bualan hangat sejak akhir-akhir ini. Mereka dikatakan berkawan rapat sejak Diana putus cinta dengan anak pengarah filem jutawan, Datuk Yusof Haslam, Syamsul.

Kini perkenalan sebagai teman tapi mesra itu khabarnya sudah bertukar kepada bibit-bibit percintaan. Menerusi temu bual Zubir bersama Diana yang disiarkan B*Pop terbitan 21 Jun lalu, Diana pernah mengaku dia memang berkawan baik dengan Farid. Mereka sudah lama kenal satu sama lain sejak sama-sama berlakon dalam Evolusi KL Drift, namun selepas dia putus cinta dengan Syamsul, barulah mereka mula berhubungan.

"Terus-terang Diana beritahu abang, selepas Diana tamat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), barulah kami bersedia berkawan lebih rapat. Rasanya istilah bercinta tu tak sesuai digunakan lagi, hubungan kami masih terlalu mentah. Kami lebih selesa sebagai kawan baik saja, Diana dah serik nak bercinta macam dulu-dulu, serius!," kata Diana berterus-terang yang kini sibuk sebagai pelajar di Universiti Nottingham cawangan Malaysia di Semenyih dalam jurusan biosains.

Namun, sampai ke hari ini, Zubir belum membaca atau terdengar sebarang pengakuan daripada Farid mengenai status hubungannya bersama Diana. Farid terus mengunci mulut, mungkin tidak mahu hubungan cintanya dengan Diana mendapat liputan luas media massa seperti mana dulu dia berkasih dengan Irma Hasmie (kini bercinta dengan Nabil Raja Lawak) yang akhirnya kecundang di pertengahan jalan.

Justeru, sebelum menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Kelab Hiburan Berita Harian baru-baru ini, Zubir sempat menghubungi ibu Diana Danielle, Norsiah Ramli, individu yang bertanggung jawab mengurus karier Diana selama ini sehingga anaknya itu kini berada pada kedudukan selesa dalam industri hiburan tanah air, sekali gus bertanyakan perkembangan terbaru hubungan Diana bersama Farid. Serius sangat ke hubungan mereka?

“Dalam perhubungan antara Diana dan Farid, mama (Norsiah) tidak pernah menghalang mahupun menggalakkannya. Mereka nak berkawan, apa salahnya. Namun, mama sentiasa berpesan pada Diana, ingat kisah silam sejarah cintanya, dia perlu lebih berhati-hati. Dalam usia Diana yang masih mentah, dia seharusnya memberi fokus kepada pelajaran dan karier lakonannya, bukan soal hati serta perasaan.

“Terus-terang, ketika ini mama belum sedia terima sesiapa pun sebagai menantu! Anak mama tu masih muda. Setakat dia nak berkawan dengan sesiapa pun, ada kawan baik ke atau tidak, mama tak pernah menghalang, namun segala-galanya harus ada batasan. Dalam sebulan, sekali dua Diana nak keluar dengan Farid, mama tak ada masalah. Lagipun dia sibuk belajar, berlakon, mana ada masa nak bercinta!

“Bagi mama, kalau sekadar Diana berkawan rapat dengan sesiapapun, belum tentu lelaki berkenaan boleh jadi menantu mama! Perjalanan hidup Diana masih terlalu jauh, banyak lagi dia perlu belajar. Namun, mama tak pernah mengongkong kehidupannya, tapi segala kebebasan yang mama beri pada Diana, mama harap dia tak salah guna,” kata Norsiah berterus-terang, melerai status hubungan mesra Diana bersama Farid.

Norsiah nafi marah wartawan

Terlanjur bersembang dengan Norsiah mengenai Diana, Zubir terus teringat kepada artikel, ‘Bosan sikap ibu artis mudah lupa’ yang disiarkan ruangan pojok Normah Becok, menerusi Berita Harian terbitan 14 September lalu. Antara lain ia menceritakan perihal ibu artis yang masih belajar menimbulkan masalah kepada pihak media kerana bersikap pelupa terhadap temu janji dan sesi fotografi bersama anaknya itu, selain meninggikan suara kepada wartawan yang berurusan dengannya.

Ruangan Soseh Soseh terbitan Rap, Harian Metro hari yang sama juga, ada dipaparkan artikel, ‘Ibu pelakon tak mesra media’. Ia menceritakan mengenai sikap ibu artis cantik yang lupa diri. Ibu artis itu didakwa tak kenal wartawan sekalipun wartawan berkenaan sudah beberapa kali menulis artikel mengenai anaknya, nak ucap terima kasih, jauh sekali.

Sekalipun kedua-dua artikel berkenaan tidak menyebutkan sebarang nama, namun berdasarkan risikan yang Zubir buat dengan beberapa kenalan rapat, ibu artis yang dimaksudkan itu ialah Norsiah Ramli!

“Sumpah, mama tak pernah meninggikan suara kepada mana-mana wartawan yang berurusan dengan mama untuk mendapatkan temu janji dan tarikh fotografi dengan Diana. Selain mama, Diana juga ada pembantu peribadinya sendiri. Segala temu janji yang dibuat bersama mama mahupun pembantu peribadinya, pasti direkodkan. Mama tak pernah terlepas pandang, nak kata mama pelupa, rasanya tak mungkin.

“Sekalipun mama dah jarang menemani Diana ke sesi fotografi, mama masih kenal dengan wartawan yang pernah bekerjasama dengan Diana. Mama tak pernah berlagak sombong dengan mereka. Setiap kali selesai temu janji dan fotografi, cerita pun tak keluar surat khabar atau majalah lagi, mama terus SMS kepada wartawan berkenaan ucap terima kasih. Mama sangat-sangat menghargai jasa dan kerjasama pihak media massa.

“Mungkin artikel itu ditulis berdasarkan cerita pihak ketiga, kerjasama dengan mama dulu dan nilai sendiri. Sempena hari baik bulan baik ini, mama minta maaf zahir dan batin kepada mana-mana wartawan yang pernah tersinggung dengan pelbagai cerita yang disebarkan ini. Salam Aidilfitri juga untuk semua,” kata Norsiah yang tidak melatah sekalipun nada suaranya, jelas menunjukkan dia sedih dengan gosip berkenaan.

Berdasarkan cerita ini, Zubir teringat dengan pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta.

ZUBIR: Personaliti TV popular tempah katering dan dewan sempena majlis persandingannya Disember ini, tapi dengan wartawan, masih nak cover line, menyampah!
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails