
AMBOI, belumpun popular, belum lagi ternama seperti Erra Fazira, Maya Karin atau pun Lisa Surihani tetapi Kak Pora perhatikan pelakon baru yang membawa watak utama dalam filem Ratu The Movie, Ainur Syakina Azman atau Eina sudah berani buat kenyataan pedas terhadap orang lain menerusi media massa. Filem itu diarahkan Prof madya A Razaik Mohaideen.
Eina ni `berani mati’ betul apabila membuat pelbagai dakwaan kononnya syarikat pengurusannya tidak betul dan ada penyelewengan. Anak saudara penyanyi terkenal era 1980-an dan guru vokal, Juliza Adzlizan itu mendakwa itu dan ini terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Alternate Pictures, Latiff Mohaideen yang juga Penerbit Eksekutif filem Ratu The Movie. Malah, dituduh kononnya latiff ada hubungan istimewa dengan pelakon baru lain yang juga bintang Ratu The Movie, Bkay. Penulis skrip filem itu, Shukor Mohaideen pula didakwa berpacaran dengan Shulaila Sidik Mohamed (Sue). Bkay dan Sue, dua-duanya pelakon filem Ratu The Movie.
Setahu Kak Pora, Bkay bukan hanya menggalas tanggungjawab sebagai pelakon malah, dia juga bertugas sebagai Pengurus Koordinator Operasi, Wayang Studios International. Jadi, dah memang kerjanya berurusan dengan Latiff, selaku majikannya. Salah ke? Apabila bekerja dah tentulah kena ada hubungan baik dengan majikan. Yalah, kalau tengok orang tu baik atau rapat sikit, mulalah nak tuduh ada hubungan sulit. Itu dah mentaliti lapuklah...
Kak Pora lihat Bkay punya hubungan baik dengan wartawan, selalu juga Kak Pora lihat Bkay di Balai Berita tapi Bkay tak kenal Kak Pora. Kalau tak puas hati sebab wartawan sering memberi ruang publisiti kepada Bkay sekalipun, janganlah sampai menaburkan fitnah dan cerita bukan-bukan. Entahlah, mungkin Eina rasa tercabar apabila kehadirannya macam ada dalam tiada, sedangkan dia diangkat sebagai Ratu dalam filem itu. Tapi, kalau dah awal-awal tunjuk perangai macam ni, tipislah harapan nak maju ke depan. Pengarah dan produser lain mesti tak kuasa nak ambil pelakon `bermulut lancang’ macam ni, mendatangkan masalah!
Kak Pora pelik juga, hanya Eina seorang saja yang melalak bagai nak rak, sedangkan pelakon lain yang turut menjadi pelakon penting dalam filem Ratu The Movie tak merungut apa-apa pun. Yalah, kalau betul pihak pengurusan Alternate Pictures buat hal dan bersikap pilih kasih, Kak Pora percaya pelakon lain pun tentu berbulu dan tak puas hati.
Kalau tak puas hati, elok berbincang dulu dengan pihak pengurusan dari hati ke hati. Awak tu dah sain kontrak dengan syarikatpegnurusan, jadi kena hormatilah perjanjian dalam kontrak. Kalau betul sangat apa yang didakwa Eina itu, buat saja laporan polis atau saman saja pihak berkenaan. Itupun kalau Eina beranilah!
Apabila membaca dakwaan Eina mengenai kontraknya sebagai artis residen yang dianggap berat sebelah apabila syarikat pengurusan mengenakan potongan (artiste fees) yang terlalu tinggi dan tidak masuk akal, Kak Pora ketawa sendiri. Setahu Kak Pora, kebanyakan syarikat pengurusan akan membuat potongan hingga 30 peratus, malah ada syarikat yang memotong sehingga 40 peratus. Itu perkara biasa, nak jadi artis ni buatlah kaji selidik sikit. Ingat mereka (syarikat pengurusan) cari projek kerja secara sukarela ke, sekarang semuanya pakai duit!
Eina sebelum ini juga bakal berdepan tindakan saman daripada pengurusan Gua Tempurung, Perak selepas membuat kenyataan dalam akhbar Harian Metro.
Difahamkan, pengurusan Gua Tempurung tidak berpuas hati dengan kenyataan Eina yang disifatkan sebagai memburuk-burukkan lokasi berkenaan sehingga menjejaskan kunjungan pelancong.
Kak Pora tabik betul, usia baru mencecah 15 tahun tapi dah lantang bersuara. Kalau Eina tu artis popular atau artis gred A tak apalah, ni dah tentu ramai yang belum mengenali Eina. Kalau berani pun, biarlah bertempat. Berlakon pun baru dua filem, Ratu The Movie dan Ada Sesuatu Yang Tertinggal, tu belum keluar pun lagi, lagaknya mengalahkan primadona. Kasihan Eina ni...
Sebenarnya Kak Pora dah dengar cerita lagak Eina ni dari dulu lagi. Seorang teman Kak Pora pernah `naik hantu’ dengan Eina ni. Ketika itu, Eina dan empat lagi pelakon baru yang membintangi drama 5 Jingga terbitan 8TV terbabit dengan sesi fotografi di Berita Harian. Eina dan empat pelakon ni macam tiada budi bahasa, datang sesi fotografi tetapi wartawan yang mahu menemubualnya langsung tidak ditegur.
Yalah.... ikut adab, masuk rumah orang, bagilah salam. Ini tidak, wartawan tu tercongok tunggu mereka bersiap, jangan kata nak tegur, senyum pun tidak. Teman Kak Pora tu `naik angin’, lebih-lebih lagi dengan Eina ni. Katanya, baru setahun jagung dalam industri filem, tapi gayanya memualkan. Memerhatikan karakternya, teman Kak Pora tu dapat menilai Eina ni terkejar-kejar glamor, bukannya berlandaskan minat atau bakat.
Solekannya dah tebal macam pelakon opera Cina dan apabila bercakap, tangannya membelai-belai rambut yang panjang mengurai sambil badannya terliuk-lentok sana sini. Memang mual tengok gelagatnya, kan tu namanya 'berangan'. Jadi, apabila timbul cerita si Eina ni, teman Kak Pora tu tak terkejut, dah dapat agak... Biarlah Eina terjun dengan labu-labunya.