Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kontroversi, seksi dan Raja Ilya

HAMPIR dua tahun Pancaindera memujuk wanita bernama penuh Raja Ramilah Begum Raja Mohamad atau Raja Ilya ini untuk menjadi penghias kulit. Bagaimanapun pelakon filem Tamil berjudul Appalam yang diadaptasi daripada filem Papadom itu sentiasa memberi alasan kononnya dia tidak mahu menonjolkan diri. Semuanya gara-gara penyebaran gambar 'panas' wanita berusia 28 tahun ini yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab. Kejadian mengaibkan itu telah memaksa Raja Ilya menyembunyikan diri buat sementara waktu. Apa pun itu cerita lama. Kini Raja Ilya sudah bersedia untuk menjejak kembali langkahnya sebagai anak wayang yang terhenti seketika. Malah Raja Ilya yang terbaharu juga kelihatan semakin optimis tentang hala tuju karier seninya. Lebih penting lagi, Raja Ilya menetapkan pendirian untuk tidak mengulas kembali sejarah hitamnya yang hampir menenggelamkan impian bergelar pelakon disegani. "Yang lepas itu, lepaslah. Cerita lama itu dah basi. Saya tidak berminat nak ungkit semula," kata Raja Ilya yang merasakan kehidupan masa hadapan adalah fokus utamanya pada hari ini. Mengulas faktor yang mendorong dia bangkit semula dan kembali aktif di pentas lakonan, Raja Ilya mengakui sudah bosan menyembunyikan diri. Terlalu menjaga hati orang sekeliling sehingga mengetepikan perasaan sendiri, itu yang menyebabkan dia bertegas untuk kembali. Drama bersiri Mana Hilangnya Juwita di Astro Ria merupakan lakonan pertamanya sejak keluar dari persembunyian sekitar pertengahan tahun lalu. Ratu filem Tamil antarabangsa?Bagaimanapun hasrat Raja Ilya untuk tidak menimbulkan sebarang kontroversi selepas menjadikan profesion lakonan sebagai kerjaya utama terbantut. Terbaharu Raja Ilya dihimpit dengan satu lagi kontroversi apabila dikatakan mengeluarkan kenyataan berani mengatakan namanya lebih dikenali di arena filem dan drama Tamil antarabangsa berbanding tempatan. Kenyataan tersebut diterbitkan di sebuah portal hiburan hingga menimbulkan rasa kurang senang kepada sesetengah pihak. Kesannya pelakon drama Kiah Spy itu dilabel perasan hebat. Bagaimanapun wanita yang berketurunan Malayalam, Arab dan Melayu itu menyangkal yang kenyataan tersebut keluar daripada mulutnya. Menafikan dirinya seorang yang bersikap defensif, Raja Ilya menegaskan bahawa kenyataannya itu dibuat hasil persepsi penulis portal hiburan berkenaan. "Takkanlah saya sengaja beri kenyataan panas sebegitu untuk tarik perhatian? Mana mungkin saya sengaja cipta topik untuk jadi bahan di saat kemunculan semula saya. "Penulis itu sememangnya telah salah faham tentang apa yang diceritakan oleh saya," tegasnya. Mengulas sama ada Raja Ilya mempunyai masalah dengan penulis daripada portal hiburan berkenaan, pantas dia menggeleng. Sekali lagi, Raja Ilya menjelaskan bahawa populariti yang diraih dalam industri filem dan drama Tamil tanah air sama seperti pelakon Erra Fazira yang dikenali sebagai primadona Melayu. Nama Raja Ilya dikenali di kalangan pemain industri filem dan drama Tamil tanah air kerana dia merupakan satu-satunya pelakon Melayu yang boleh berkomunikasi bahasa Tamil dan Hindi selain pelakon filem Estet, Jasmine Micheal. Disebabkan tiada persaingan seperti pelakon drama atau filem Melayu menyebabkan Raja Ilya semakin masyhur di kalangan peminat drama Tamil selepas membintangi drama berjudul Tup Periyum Pulli, Agguran dan Puthiyal. Mengulas tentang langkahnya ke peringkat antarabangsa Raja Ilya berkata, dia bakal menjalani penggambaran di Madras, India untuk menjayakan sebuah filem komedi Tamil, bulan depan. Filem berjudul Briyani itu bakal diarahkan oleh pengarah Venkat Prabhu dan turut dibintangi pelakon utamanya Karthi bersama pasangannya, Hansika Motwani. Biarpun hanya sebagai pelakon sokongan namun itu sudah memberi kepuasan maksimum buat Raja Ilya. Seksikah saya?Pelakon filem Janin ini juga pernah dikaitkan dengan cerita pakaian seksi sewaktu menghadiri sebuah majlis anugerah baru-baru ini. Gaun labuh berwarna coklat yang telus di bahagian paha dan belakang menjadi perhatian kerana keberaniannya memakai fesyen sebegitu. "Ada orang kata baju saya itu sangat menjolok mata tapi bagi saya tidak. Malah saya menyukai baju itu kerana fesyennya unik. Baju itu seperti 'seksi dalam sopan' sebab terbuka di bahagian belakang dan paha. "Namun begitu ada orang cakap saya sengaja tarik perhatian orang ramai dengan pakai baju sebegitu. Memang tidaklah," katanya yang cukup mengagumi hasil kerja pereka baju Raffiey Nasir. Pemegang watak antagonis Haliza dalam drama Dahlia terbitan Global Station itu juga tidak rela memalukan dirinya dengan mencipta kontroversi murahan sebegitu. Lantaran itu Raja Ilya enggan mengambil pusing persepsi masyarakat sekeliling asalkan pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik melalui filem Appalam di Malaysian Tamil Award 2011 ini tahu batasnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails