Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Bahagia bersama anak-anak - Raja Azura

MACAM anak dara. Begitulah yang terlihat pada susuk tubuh dan penampilan pengacara serba boleh, Raja Azura. Memang tidak dinafikan Raja Azura yang juga mesra disapa Kak Engku sangat menitik beratkan soal kesihatan diri walaupun sudah mempunyai tiga orang anak. "Kesihatan itu penting untuk kita kekal bertenaga. Lagi pula, kerjaya seperti saya memerlukan banyak tenaga," kata wanita berusia 41 tahun ini. Ditanya mengenai rahsia kecantikan, Raja Azura menafikan bahawa dia menggunakan suntikan ataupun sebarang ubat-ubatan untuk kelihatan 'segar' dan awet muda. Apa yang penting, pandai menjaga pemakanan. "Saya pasti itu yang membuatkan kita akan kelihatan cantik. Selain itu, kita juga perlukan senaman dan rehat yang cukup untuk minda yang cergas," katanya lagi. Kini, Raja Azura yang sudah bergelar seorang ibu tunggal sudah bangkit semula untuk membina kehidupan baru bersama tiga orang anaknya yang semakin membesar. Mengenai perkahwinan yang dibina atas dasar cinta pada 10 Mac 2001 dan akhirnya runtuh pada 28 September 2010, semuanya sudah menjadi lipatan sejarah buat diri Raja Azura. "Semua orang tahu bahawa kami sudah tidak sehaluan dan cerita perceraian itu juga adalah sesuatu yang memeritkan buat saya," kata Raja Azura yang pernah diasak pelbagai persoalan ketika kisah perceraian bersama bekas suami dan mendapat perhatian pelbagai pihak. Namun, pelakon dan penyampai Sinar FM itu tenang dan matang menyusun setiap kata-kata untuk menjawab soalan yang diajukan media. Pernah merahsiakan kisah perceraian bersama suami, Adzmin Osman, 40, daripada diketahui anak-anak, Raja Azura yang mesra disapa Kak Engku mengakui perkara tersebut demi kebahagiaan anak-anak. "Sudah tentu saya tidak mahu anak-anak terabai, bahkan perceraian ini masih kami rahsiakan daripada pengetahuan anak-anak. Saya masih merahsiakan perceraian kami dari anak-anak kerana tidak mahu emosi mereka terganggu. "Mereka masih terlalu kecil untuk faham dan mengetahui situasi kami," beritahu Raja Azura. Secara peribadi, Raja Azura mengakui dia sudah dapat menerima hakikat perceraian yang berlaku itu serta dia dan bekas suami tetap berkawan baik sampai sekarang. Ternyata pemilik nama sebenar, Raja Azura Tengku Ahmad Tajuddin adalah seorang wanita yang gigih dalam menjalani kehidupan dan bersyukur kerana tugas Adzmin sebagai bapa tidak diabaikan sebegitu sahaja. "Hubungan Adzmin dengan anak-anak cukup rapat. Selepas bercerai, kami buat hak penjagaan anak-anak bersama dan dia memang berjumpa dengan anak-anak sebulan sekali. "Mungkin orang tidak akan percaya dengan hubungan rapat kami walaupun sudah bercerai. Kalau ada masa dan cuti, kami memang akan keluar bersama anak-anak. "Saya bertuah kerana Adzmin adalah bapa yang baik dan bertanggungjawab. Dia juga pastikan keperluan anak-anaknya mencukupi dari segi pendidikan dan keperluan lain. "Terus terang, tiada siapa pun yang dapat memisahkan kasih sayang sejati kami yang ikhlas daripada hati itu," luahnya. Ditanya sama ada dia merancang untuk rujuk semula dengan bekas suami, Raja Azura yang tampil langsing hanya menyerahkan pada ketentuan Tuhan. "Kalau mula-mula kami bercerai dulu, memang saya ada menaruh harapan untuk rujuk semula. Tetapi sekarang saya hanya boleh kata, kalau ada jodoh, adalah. Saya juga bahagia dengan kehidupan solo bersama anak-anak," jelas Raja Azura. Sibuk uruskan 'anak-anak' lain Sudah mempunyai tiga orang anak, kini Raja Azura juga dilihat sibuk menguruskan anak-anak barunya. Anak-anak baru yang dimaksudkan adalah peserta-peserta sebuah program realiti, Bintang Mencari Bintang (BMB) terbitan TV3 yang telah dipilih Raja Azura untuk mengembalikan zaman kegemilangan arena lawak tanah air terutama golongan pelawak wanita. Dalam program tersebut Raja Azura telah tampil sebagai satu-satunya mentor wanita dan memilih untuk mendidik dua kumpulan iaitu Kelawak yang dianggotai Syed Atiq Wan Long dan Muhd. Maaruf Zamani Lim serta kumpulan wanita tunggal, Awok yang menggandingkan Ain dan Fiza. Merupakan satu-satunya sifu wanita, Raja Azura mengakui dia sedang menggalas tugasan besar kerana mempunyai duo wanita yang harus digilap dan diasah dalam membuat komedi dan menyanyi sekaligus dapat melahirkan lebih ramai penghibur. Bagi Raja Azura selaku mentor, sebelum program BMB bermula dia memang menginginkan wanita akan menjadi salah satu peserta. Ini kerana dia menyimpan hasrat agar peserta BMB dapat menjadi pelapis dalam industri seni tanahair memandangkan dunia komedi tempatan kurang penyertaan golongan wanita dan didominasi oleh lelaki. Mengakui penampilan Awok dalam pentas BMB adalah kerana bakat, Raja Azura berharap agar penonton tidak cepat mengutuk atau menilai tetapi terus memberikan peluang kepada wanita untuk beraksi. "Jangan cepat menyampah. Tengok dulu sampai habis. Memang dalam sesuatu benda, tidak mudah untuk kita puaskan hati orang. "Setiap cerita yang kita lakonkan perlu bersesuaian dan ada pengajaran selain menghiburkan orang terutama penonton," ujarnya. Langsung tiada pengalaman membuat persembahan komedi, sebaliknya suka membuat lawak dalam kalangan rakan-rakan, Awok buat permulaan sudah tentu berasa agak kekok. "Bagaimanapun, saya harap ia tidak menjadi satu halangan buat mereka untuk tampil dengan persembahan yang terbaik. "Saya akan curahkan segala ilmu dan pengalaman yang dimiliki agar dapat melahirkan penghibur yang berkualiti," kata Raja Azura.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails