Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Saya lebih beremosi - Ning Baizura

PUKUL 3.06 pagi tanggal 31 Januari lalu adalah satu detik gembira buat Ning Baizura apabila berjaya melahirkan seorang anak lelaki. Biarpun kelihatan cukup gembira, sebenarnya pelbagai ujian dan dugaan yang dilalui Ning Baizura semasa membesarkan cahaya mata pertamanya, Ryan Sky Dalton di depan mata. Ketika bayinya yang seberat 3.47 kilogram itu disahkan menghidap demam kuning, luluh hati Ning sebagai seorang ibu. Mana ada ibu yang tidak risau tenatng keadaan anaknya dan pasti naluri ibunya semakin berkobar tatkala kerisauan semakin mendadak walaupun baru dikurniakan seorang anak. "Alhamdullilah. Kini semuanya selamat dan Ryan Sky sihat seperti bayi lain. Memang saya tidak jangkakan Ryan Sky akan dijangkiti demam tersebut," tutur Ning. Menceritakan lanjut pengalaman itu, Ning berkata, dia telah menyewa mesin fototerapi dan dibawa ke rumahnya bagi merawat anak lelakinya itu kerana berasa lebih selesa dan senang untuk dirinya sebagai ibu memantau keadaan Ryan Sky sendiri. Hidup dalam dunia moden juga tidak menghalang Ning untuk menjalani tempoh berpantang secara tradisional selama 100 hari. "Pantang secara tradisional ini sebenarnya sangat penting untuk diamalkan bagi memulihkan kembali hasil pembedahan yang dilakukan. "Setiap pukul 2 hingga 4 petang, mak bidan akan datang ke rumah untuk mengurut saya dan saya sekarang sudah berasa selesa dan sembuh seperti sedia kala," jelas Ning. Dalam tempoh itu juga, akui Ning, dia tidak tidur bersama suaminya, sebaliknya proses berpantang tersebut diisi dengan menumpukan perhatian terhadap anak dan kesihatan dirinya sendiri. "Sepanjang proses berpantang ibu sentiasa ada di sisi. Lagipun, Omar banyak ke luar negara atas urusan kerja," ujar Ning yang melahirkan anaknya secara pembedahan. Tidak mahu 'kecoh' untuk menayangkan wajah anaknya kepada umum dan terpaksa 'menyorok' selama tiga bulan membuatkan ramai yang tidak senang duduk serta berdebar untuk menantikan wajah sebenar cahaya mata pertama dalam kehidupan Ning Baizura. Kehadiran permata hatinya itu juga membuatkan ramai orang di luar sana terutama peminat 'geram' kerana tindakan Ning yang menyembunyikan anak. Sememangnya tidak ada apa yang dapat digambarkan penyanyi soprano itu selain ukiran senyuman dengan wajah berseri-seri sejak lahirnya anak sulung yang diberi nama Ryan Sky Dalton pada 31 Januari lalu. Bertuah sungguh Ning kerana dikurniakan anak yang sungguh comel dan montel walaupun pertama kali memperkenalkan wajah Ryan Sky kepada media dan umum baru-baru ini. Difahamkan sebelum ini, Ning pernah merancang untuk menghantar gambar Ryan kepada media namun di saat akhir dia membatalkan perkara itu supaya anaknya itu diperkenalkan dalam satu majlis lebih teratur. "Berbanyak terima kasih saya ucapkan kepada pihak media yang sentiasa sabar menunggu detik indah ini sejak tiga bulan Ryan Sky dilahirkan. "Saya dan suami sebenarnya mempunyai alasan tersendiri mengapa cahaya mata sulung kami 'disembunyikan' daripada pengetahuan umum," kata isteri Omar Sharif Christopher Layton Dalton, sewaktu majlis pengenalan Ryan Sky kepada media baru-baru ini. Akui Ning, tindakan 'menyembunyikan' anak itu diambil berdasarkan nasihat dan menghormati permintaan ibunya, Stella, yang mahu Ryan Sky mendapat persekitaran tumbesaran tanpa gangguan. "Kini Ryan sudah cukup segala sifatnya. Maklumlah pada mulanya, bayi perlu banyak masa untuk berehat dan bila proses tumbesarannya sudah elok, kami telah mengambil keputusan untuk dedahkan serta tayang Ryan kepada umum," jelas Ning yang tampil anggun dalam majlis tersebut. Lebih beremosi, semakin memilih Bercerita mengenai timbulnya nama Ryan Sky Dalton, Ning memberitahu nama tersebut diambil daripada beberapa bahasa. Di sebalik nama Ryan Sky Dalton pelbagai cerita yang perlu diketahui umum. "Walaupun pada mulanya ramai yang berpendapat nama tersebut tidak sesuai dan tidak mempunyai ciri-ciri Islam, namun saya dan suami tidak perlu risau kerana kami tahu kami berada di tempat yang benar," ujarnya. Menurut Ning sendiri, Rayann adalah perkataan daripada bahasa Parsi dan Arab iaitu Ray dalam bahasa Parsi bermaksud bijaksana atau arif dan ia juga merujuk kepada haruman herba. Sementara itu, katanya, dalam bahasa Arab, perkataan Rayhaan boleh didapati dalam surah Rahman, ayat 12 dan surah Waqi'ah, ayat 89. Rayan atau Rayyan merupakan salah satu daripada pintu syurga. Berbicara lanjut tentang makna nama anaknya lagi, perkataan Sky pula membawa maksud langit jika diterjemahkan kepada bahasa Melayu dan setiap kali memandang langit pasti kita akan ingat kekuasaan Allah. Rancangan Ning yang ingin pulang ke Ireland bersama suami dan Ryan Sky sekitar Julai atau Ogos ini bertemu keluarga Omar dan anak-anak tirinya pasti satu saat yang membahagiakan buat mereka. Malah akui Ning, nama anaknya juga sebenarnya telah dipilih oleh dua orang kakak tiri Ryan Sky yang berusia 10 dan 11 tahun yang kini berada di Ireland. "Sewaktu Omar pulang ke Ireland untuk bertemu mereka saat saya hamil tiga bulan, mereka sudah merancang untuk memberikan nama kepada bakal adik mereka. "Nama Ryan itulah yang disebutkan oleh mereka. Ia macam satu keajaiban dan membuatkan kami terkejut kerana nama Ryan itu juga sudah lama kami fikirkan sebelum ini," jelas Ning lagi penuh ceria. Dalam pada itu, peranan seorang ibu sememangnya perlu dihargai kerana Ning berpendapat pengalaman pertama bergelar seorang ibu telah mengajarnya. "Tidak mudah untuk kita menjadi seorang ibu. Bagi saya, menjadi seorang ibu adalah satu tanggungjawab yang cukup besar. "Banyak cabaran yang perlu dilalui saat kita bergelar ibu. Kenangan indah, pahit semuanya ada. Susah saya hendak katakan perasaan saya sebagai seorang ibu. Nasib, semuanya saya belajar dari ibu tercinta," katanya. Menurut Ning, bergelar seorang ibu membuatkan diri semakin beremosi dan perasaan menjadi tidak stabil. "Ia bukan apa, mungkin tanggungjawab anak semakin terserlah dan saya juga sedang sibuk memulakan karier saya semula. Perasaan itu sentiasa berubah mungkin kerana adanya orang baru dalam kehidupan. "Namun saya tetap bersyukur kerana memiliki seorang suami yang cukup memahami dan banyak menolong selain ibu saya yang sentiasa memberi bantuan sepanjang masa dan berada di sisi saya," kata Ning yang kini giat menurunkan berat badannya. Melepaskan dunia popularnya sejenak demi fokus kepada Ryan, Ning memberitahu selepas ini mungkin dia menjadi seorang pemilih. "Memilih maksud saya bukan dari segi bayaran atau apa. Maksud saya ialah dari segi penyediaan bilik. Dan saya sangat mengharapkan pihak penganjur dapat memahami saya yang kini sudah bergelar ibu," jelasnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails