Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Terima cinta seberang - Kilafairy
PEMBABITANNYA dalam bidang seni hiburan tanah air masih lagi baru, tetapi nama pelakon Kilafairy tidak pernah berhenti daripada meniti di bibir peminat seni. Kehadirannya cukup berkesan. Pelbagai cerita dan kontroversi menarik sering diulit bersama dirinya.
Nampak gaya semuanya serba tidak kena buat gadis cantik molek ini. Dikatakan pernah 'menghilangkan' diri daripada industri hiburan pada tahun lalu sebagai langkah meredakan gosip-gosip panas tentang dirinya selain menghabiskan pengajian di kolej, pemilik nama sebenar Syakila Nisha Jangir Khan, 21, baru-baru ini sekali lagi dihimpit kontroversi.
Antaranya, hubungan Kilafairy dengan seorang pelakon Indonesia iaitu Hardy Hartono selain dikecam. Pasangan ini dikatakan tidak menghormati bulan Ramadan setelah memuat naik rakaman video di Instagram dengan memakai baju seksi sehingga menampakkan pangkal paha. Sekeping lagi foto dengan simbol seolah-olah menyerupai tanda salib, juga menyebabkan Kilafairy turut diselar oleh peminat.
Namun, anak kepada penyanyi popular era 80-an iaitu Rohana Jalil ini bagaimanapun mengambil pendekatan berdiam diri tentang kontroversi yang melandanya.
Wanita yang cukup petah dalam berbicara ini memang sangat gigih dan berani melawan segala kontroversi yang melanda dirinya. Tidak perlu gusar atau takut itu kata-kata yang dikeluarkan oleh Kilafairy dan dengan prinsip itulah dia masih kuat bukan sahaja bergelar pelakon tetapi juga penyanyi.
Bagi Kilafairy, dia lebih suka berdiam diri jika ada kemelut yang melanda diri kerana tidak mahu segala isu yang timbul dipanjangkan.
"Buat apa kita nak besar-besarkan isu itu jika ia tidak mendatangkan sebarang faedah. Sebab itu, saya suka menutup mulut dan tidak membalas balik jika ada yang berkata tentang diri saya.
"Bagaimanapun, saya terima segala kritikan dan ambil semua itu sebagai pengajaran untuk teruskan perjuangan dalam dunia seni," akui Kilafairy yang juga masih memiliki kekuatan sebagai wanita dan tahu erti menghormati orang lain.
Seperkara yang menarik Kilafairy luahkan kepada Hits semasa pertemuan dengannya adalah tentang gosip cinta bersama lelaki seberang. Mengakui dia mengenali Hardy sejak dua tahun lalu, namun luahan perasaan cinta itu tidak pernah terungkap daripada kedua belah pihak.
Memang penafian demi penafian dilakukan oleh Kilafairy tentang kisah cintanya dengan aktor tersebut dan hanya menyifatkan hubungan mereka sebagai kawan biasa sahaja.
"Rasa cinta memang tidak pernah diluahkan. Lagipun, kami berkenalan secara tidak sengaja apabila dia (Hardy) meminta no pin BBM (Blackberry Messenger) saya melalui jurusolek setelah melihat wajah saya di dada akhbar.
"Buat masa sekarang, saya tidak pernah ada apa-apa perasaan terhadap dirinya memandangkan saya dan dia sendiri tinggal di dua negara yang berbeza dan masing-masing sibuk dengan kerjaya," katanya.
Bagaimanapun, anak bongsu daripada dua beradik ini tidak menolak sekiranya dirinya ditakdirkan bertemu jodoh dengan aktor tersebut.
"Saya tidak menolak sekiranya jodoh saya bersama dia, tetapi berharap bukanlah dalam jangka masa terdekat ini," katanya yang enggan terlalu memikirkan tentang percintaan di kala usianya yang masih muda.
Tambah Kilafairy, jika Hardy datang ke Kuala Lumpur dan kebetulan mempunyai kelapangan, mereka akan bertemu.
"Apa salahnya untuk berjumpa. Kami pun tidak bercinta. Perkenalan kami pun saya sifatkan kerana hal kerjaya. Mungkin dengan berkenalan bersama Hardy, saya dapat mengembangkan bakat di Indonesia. Siapa tahu?" luahnya yang memilih dan selesa berkawan dengan Hardy kerana menampakkan dia seorang yang matang dalam berfikir dan membuat keputusan.
Lakonan, nyanyian selari
Ketika anda menatap berita ini, Kilafairy sebenarnya berada Melbourne Australia. Sepanjang Disember depan pula dia ke Paris.
Meskipun begitu, Kilafairy memberitahu dia mahu kerjaya seninya iaitu berlakon dan menyanyi bergerak selari walaupun sibuk dengan urusan peribadi.
"Sebab itu saya akan memilih setiap tawaran yang saya terima. Biar semuanya seimbang supaya jadual saya dapat diatur dengan baik," katanya semasa pertemuan yang jauh di pinggir kota iaitu ketika mengikuti penggambaran telefilem terbaharunya, Hajah Bakhiliah.
Biarpun mampu tersenyum dengan tawaran yang datang silih berganti, Kilafairy tidak rambang mata, sebaliknya meletakkan pendidikan di tangga teratas dalam carta hidupnya.
Misinya, pelajaran perlu ditamatkan. Malah dia mahu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi supaya menjadi anak seni berilmu.
Tambah Kilafairy, harapannya agar dia akan diberi lebih peluang menjiwai pelbagai watak, bukan sekadar penggoda atau jahat kerana enggan dicap pelakon stereotaip.
"Selama empat tahun saya berada dalam industri dan sepanjang itu gelaran simbol seks terus melekat pada saya.
"Mungkin selama ini tiada lagi lakonan saya yang benar-benar memberikan impak dan dapat mengukuhkan nama saya, tapi saya percaya semua itu perlukan masa.
"Banyak tawaran lakonan terutama filem memerlukan saya tampil seksi dan ada babak di ranjang, tapi saya terpaksa tolak dengan baik untuk mengikis persepsi ini.
"Sekarang pun saya cuba mengubah penampilan contohnya mengurangkan solekan dan berpakaian lebih sedap mata memandang," jelasnya yang memilih bulan November untuk membuat lagu yang difikirkan akan lebih rancak dari lagu Pasti nyanyiannya sebelum ini.
Menurut Kilafairy, lagu tersebut akan menonjolkan kuasa wanita kerana itulah konsep lagu yang ingin dibuat olehnya sebelum ini. Paling menarik, lagu tersebut akan dibuat oleh salah seorang bekas pelajar Akademi Fantasia 3, Aidil.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]