
Azalea (kiri) dan Yasmin menggayakan rekaan baju dan aksesori yang ada di PU3 Design.
Pakaian PU3 Design mudah disuai padan, menyerlahkan keperibadian pemakai
MEMPERTARUHKAN rekaan sendiri memberi kelebihan kepada pasangan kembar, Putri Azalea Ashram Ramli dan Putri Yasmin Ashram Ramli mencatur perjalanan butik PU3 Design milik mereka yang terletak di The Curve, Kota Damansara.
Melihat kepada latar belakang gadis genit yang juga anak kesayangan bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib, pasti ramai beranggapan mereka hanya menumpang tuah keluarga.
Bagaimanapun, sesiapa mengenali pasangan kembar yang memiliki pesona seperti si kembar Hollywood, Mary-Kate dan Ashley Olsen pasti akan berbisik kagum dengan komitmen mereka mengangkat label tempatan setanding jenama pakai siap terkenal dari luar negara.
Dalam usia menginjak 27 tahun, rangkaian label pakai siap dikendali yang dulunya hanya beroperasi di sebuah kiosk kecil di The Curve, kini memiliki ruang niaga sendiri dihias indah bertemakan warna hitam dan merah jambu.
Azalea berkata, inspirasi untuk membuka perniagaan berasaskan pakaian wanita bermula selepas menamatkan pengajian di London. Oleh kerana Yasmin sendiri memiliki segulung ijazah dalam rekaan fesyen, idea menubuhkan butik pakaian dan aksesori wanita disampaikan kepada bonda tersayang, Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah yang sememangnya memiliki kepakaran mereka dan menghasilkan aksesori perhiasan wanita.
“Ibu menjadi pendorong utama kejayaan kami. Sehingga hari ini, ibu setia memantau dan memberi tunjuk ajar kepada kami malah rekaan aksesori PU3 juga sebilangan besar adalah hasil idea dan kerja tangan ibu bersama kami berdua.
“Saya masih ingat, lima bulan sebelum PU3 Design dibuka, hampir setiap hari kami bertiga bersengkang mata menghasilkan aksesori untuk stok jualan. Apabila semua tersedia, kami sendiri bagai tidak percaya melihat deretan aksesori yang dihasilkan,” katanya.
PU3 Design mengetengahkan koleksi pakaian siap tanpa berpegang kepada tema atau peralihan musim tertentu. Konsep dipilih adalah moden dan kasual malah kebanyakan rekaan dihasilkan lebih cenderung kepada aliran fesyen yang menjadi ikutan mereka berdua.
“Pasaran fesyen di negara ini tidak seperti negara empat musim. Bagaimanapun, sedikit sebanyak kami juga perlu seiring dengan arus fesyen antarabangsa dan penambahan serta pengubahsuaian perlu dilakukan supaya sesuai selera peminat fesyen tempatan.
“Antara rekaan yang menjadi ikutan ramai ketika ini adalah seluar sendat. Justeru, kami membuat perubahan dengan mengetengahkan rekaan seluar sendat yang diperincikan zip serta lipatan pada sisi seluar untuk kelainan,” katanya.
Koleksi PU3 Design mempunyai identiti sendiri yang boleh dibezakan daripada pakaian pakai siap lain. Menurut Azalea dan Yasmin, mereka selesa menghasilkan pakaian menggunakan fabrik polos dari warna terang kerana ia mampu menarik pandangan.
Sesuai dengan sasaran pasaran mereka iaitu wanita muda yang ceria serta mencintai fesyen, pakaian PU3 Design juga mudah disuai padan malah mampu menyerlahkan keperibadian pemakai supaya kelihatan seksi dan periang.
Turut ditawarkan butik PU3 adalah rangkaian aksesori perhiasan wanita seperti rantai, gelang dempak, aksesori kepala (headband), anting-anting dan cincin hasil kerja tangan Azalea, Yasmin dan ibunya.
“Keistimewaan aksesori PU3 ialah semuanya dihasilkan satu untuk setiap rekaan. Tapi kami tetap menerima tempahan pelanggan yang mahukan rekaan sama daripada koleksi terdahulu,” katanya.
Butik PU3 dedikasi Ramli untuk tiga wanita kesayangannya iaitu isteri dan dua puteri kembar melalui tahun pertama yang memeritkan dan Yasmin sendiri mengakui mereka terpaksa bekerja keras untuk berada pada tahap sekarang.
“Untuk itu, kami mengambil pelbagai langkah untuk mempromosikan pakaian PU3 dan kebetulan bekas kakak ipar, Nora Danish sentiasa muncul memperaga pakaian kami. Saat itu orang mulai sedar kewujudan PU3.
“Selain Nora, Sazzy Falak dan Yasmin Hani juga selalu berkunjung ke butik setiap kali ada koleksi baru dikeluarkan,” kata Yasmin yang turut membuka sebuah kiosk menjual coklat import, Me Luv Candy bersama rakan kongsi, Alfi Alizar.