Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Yasmin Hani Akui Sering Kecundang Cinta


WANITA seksi berambut perang bernama Marilyn Monroe antara bintang Hollywood paling terkenal hingga ke hari ini.

Bintang legenda yang pernah menjadi model dan aktres itu disahkan mati di kediamannya di Brentwood, Los Angeles, Amerika Syarikat pada awal pagi 5 Ogos 1962 berusia 36 tahun.

Marilyn dilaporkan berkemungkinan membunuh diri dengan mengambil Chloral Hydrate dan Nembutal berlebihan kerana gagal menangani tekanan.

Di sebalik cerita negatifnya, mungkin ramai muda-mudi sekarang tidak tahu sifat sebenar diri aktres seksi itu kerana kematian tragisnya banyak mengaburi personaliti sebenarnya.Biarpun tidak mengenali peribadi pelakon tersohor itu, aktres jelita Yasmin Hani menganggap Marilyn sebagai seorang ikon, diva dan lambang wanita yang cantik.Walaupun semua orang mengaitkan Marilyn dengan simbol seks, tetapi bagi Hani sifat feminin yang dimiliki Marilyn sukar ditandingi oleh mana-mana wanita.Sudah hampir 50 tahun Marilyn pergi, belum ada lagi bintang Hollywood yang dapat menandingi aura atau gelaran simbol seks yang diberi kepadanya.

“Kecantikannya membuatkan ramai yang tergila-gilakannya tetapi pada masa yang sama ramai yang tidak tahu bahawa dia sebenarnya tidak gembira dengan kehidupannya dan lebih mementingkan diri orang lain berbanding diri sendiri,” kata Hani atau nama sebenarnya Yasmin Hani Richardson.

Begitu mendalam Hani menyelami diri Marilyn walaupun begitu jauh jarak usia antara dia dan wanita dambaan jutaan lelaki itu yang berusia 84 tahun seandainya dia masih hidup.

Di sebalik cerita duka Marilyn yang selalu kecundang dalam percintaan, kebetulan juga Hani pun telah banyak kali dilanda kekecewaan akibat putus cinta dengan insan bernama lelaki.

Pelakon filem Duyung dan Dua Hati Satu Jiwa itu berkata, dia juga pernah hampir dikahwinkan dengan seorang jejaka.

Waktu itu usianya baru mencecah 20-an dan baru hendak berjinak-jinak dalam dunia penyiaran. Cinta pertamanya itu disulami dengan cintanya kepada karier setelah mengendalikan program Muzik@Ria di Astro.

“Nasib baik saya baru melalui proses merisik dan belum sempat bertunang. Apabila memikirkan yang diri saya akan berhadapan dengan alam perkahwinan pada usia muda, terus saya meminta untuk putus kerana terlampau banyak peluang kerja yang menanti.

“Ikutkan, saya tidaklah terlalu kecewa sehingga frust tetapi saya pernah alami perasaan putus cinta sebegitu dalam hubungan saya dengan teman lelaki yang lalu,” jelas aktres peramah ini.

Jelas Hani lagi, waktu dikecewakan oleh lelaki, dia lebih suka terperap di rumah dan ibunya, Kamariah Ismail menjadi tempat dia mengadu.

“Apabila bertemu dengan rakan-rakan, saya juga melarang mereka daripada memasang lagu-lagu yang sentimental bagi mengelakkan rasa sedih,” jelas wanita berusia 31 tahun itu yang sekali lagi mengalami saat putus kasih tahun lalu.

Jika ditanya tentang pengalaman putus cinta, usah dicakap berapa kali. “Cukuplah dikatakan beberapa kali.....,” kata Hani jujur.

Kadangkala, ibunya ada juga bertanyakan tentang bilakah dia akan menamatkan zaman bujang.

“Lama-kelamaan, ibu saya memahami dan lebih banyak memberikan kata semangat. Dia selalu beri saya semangat supaya tidak putus asa. Kata ibu, jangan kenang orang lepas, cari saja yang lain....,” kata Hani yang berpijak pada bumi nyata.

Kata aktres kacukan Inggeris dan Melayu ini, dia redha, andai jodohnya datang pada usia 35 tahun sekalipun.“Sesungguhnya Tuhan telah menetapkan bila jodoh saya sampai dan memberi jalan untuk saya mengukuhkan karier terlebih dahulu,” katanya.

Kini bila melihat ramai rakan sebaya sudah pun mendirikan rumah tangga, jiwa anak ketiga daripada empat beradik itu tidak sabar untuk mempunyai anak.

“Biarlah masa menentukan…,” kata Hani.

Keluarga Mahu Ammar Berundur Dari Industri Seni


BANYAK perkara yang dilalui oleh pelakon dan model Ammar Alfian Aziz selepas insiden ugut bunuh wartawan hiburan di Facebook baru-baru ini.

Ammar akui, sepanjang bergelut dengan masalah itu, ramai wartawan yang mencarinya. Namun disebabkan kekangan waktu sibuk dengan penggambaran drama Atilia, dia tidak dapat melayan semua panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Walaupun begitu, dia tidak mampu membendung perasaan sedih dan kasihannya apabila kekasihnya, Puteri Sarah turut menjadi mangsa keadaan.

“Apabila media tidak mendapat saya, mereka mencari Sarah. Jadi, saya tak sanggup melihat dia menjadi mangsa sehingga rasa bersalah dan mahu cepat-cepat menyelesaikan masalah ini,” kata Ammar.

Malah kedua-dua ibu dan bapanya yang berada di Johor Baru menasihatkan pemuda berusia 22 tahun itu berhenti dari industri seni ini.

Bukan tidak mahu menolong anak sendiri, mereka juga tidak mahu campur tangan dalam masalah yang dihadapi oleh Ammar itu.

“Mereka menasihati saya untuk menjaga diri-sendiri. Tetapi, saya menjelaskan kepada mereka supaya bersabar dan mahu selesaikan perkara ini dengan sebaik mungkin.

“Saya juga tidak akan berundur dari industri ini. Saya sudah memohon maaf dengan wartawan-wartawan hiburan dan mahu sama-sama menjernihkan keadaan,” katanya selepas sidang media khas memohon maaf secara terbuka kepada wartawan hiburan anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) di PWTC, Jumaat lalu.

Segala-galanya telah memberikan pengajaran kepada pelakon drama Tari Tirana itu. Dia dihentam teruk oleh rakan media disebabkan sikap kurang ajarnya itu sewaktu sidang media lalu.

Disebalik padah yang diterima, Ammar mengaku dia berasa ‘fobia’ untuk meluahkan perasaan di Facebook yang sebelum ini dianggap sebagai laman peribadinya.

“Sekarang, Facebook bukan laman peribadi lagi dan saya sudah kurang aktif melayari laman web itu. Ini semua sudah cukup memalukan saya.

“Sebagai pengajaran, selepas insiden itu, saya banyak menghabiskan masa di gimnasium. Di situlah tempat saya meluahkan perasaan gembira dan marah.

“Tak guna saya nak buat perkara yang tidak berguna selepas hal ini berlaku. Dari dulu lagi saya sudah selalu ke gimnasium selain mengisi masa dengan berenang dan bermain bola keranjang,” jelasnya sambil tersenyum.

Rutin hariannya juga padat dengan penggambaran drama dan sekali-sekala dengan peragaan. Boleh dikatakan waktu petang sehingga malam kerjanya hanya tertumpu di set penggambaran.

Janji Umie pada anak angkat


BIARPUN hanya anak angkat, tetapi kasih sayang Umie Aida terhadap Mohd. Dzulhelmy, 16, dan Mohd. Daniel Firdaus, 17, ibarat ibu terhadap anak kandungnya sendiri.

Ini kerana, dua anak angkat itu telah dibelanya sejak dari kecil, malah pelakon berusia 37 tahun itu menganggap keduanya seperti anak daripada darah dagingnya sendiri.

Menurut Umie, dia tidak dapat menyembunyikan rasa terkilannya kerana Mohd. Dzulhelmy dan Mohd. Daniel Firdaus tidak dapat menyaksikan saat dia diijabkabulkan Ahad lalu di Mekah.

Ahad lalu, pelakon yang juga adik pengarah Erma Fatima dinikahkan dengan pasangannya Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan di Mekah tanpa disaksikan oleh kedua anak angkatnya itu.

"Saya memang rasa terkilan kerana dua anak angkat saya itu tidak dapat pergi ke Mekah bersama-sama bagi menyaksikan hari yang cukup bersejarah dalam hidup saya.

"Bukan mereka tidak mahu menyertai rombongan ini tetapi disebabkan ada masalah berkaitan pasport keduanya maka rancangan itu dibatalkan pada saat-saat akhir. Saya berjanji kepada mereka berdua selepas ini saya akan membawa mereka menunaikan umrah bersama-sama saya.

"Kalau panjang umur dan ada rezeki mungkin mengerjakan haji pula," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, Selangor sebelum berlepas ke Mekah baru-baru ini.

Rasa sebak Umie itu dapat dilihat daripada air mukanya yang agak murung dan sempat memeluk dua anak angkatnya sebelum berlepas ke Mekah bersama kira-kira 20 anggota rombongannya.

Sementara itu, Mohd. Dzulhelmy dan Mohd. Daniel Firdaus yang ditemui Hits turut tidak dapat menyembunyikan rasa sedih mereka kerana tidak dapat menyertai rombongan ibu angkat mereka.

"Kecewa memanglah rasa kecewa kerana tidak dapat pergi tengok sendiri ibu saya diijabkabulkan di Mekah. Apa hendak buat bukan rezeki kami untuk turut serta dalam rombongan ini

"Apa pun kami berharap agar semuanya akan berjalan lancar dan kami akan menantikan kepulangan ibu kami nanti dan juga majlis resepsi yang akan diadakan pada 28 Mac ini," ujar Mohd. Dzulhelmy dalam nada perlahan.

Sepanjang berada di Mekah selama lima hari di Mekah dan dua hari di Madinah mulai 11 Mac lalu, Umie akan mengadakan majlis kenduri kesyukuran secara sederhana bersama anggota-anggota rombongan yang terbabit.

Jelas Umie, dia bersyukur bukan sahaja dapat melangsungkan majlis pernikahannya di Mekah, tetapi berasa terhutang budi kerana suaminya, Khairuddin Abu Hassan turut bersetuju membiayai perbelanjaan anggota-anggota rombongannya itu.

"Dua perbelanjaan tiket penerbangan, makan minum dan penginapan di Mekah dan Madinah itu ditaja oleh bakal suami saya (kini suami) di mana ia sebagai salah satu daripada wang hantaran perkahwinan kami.

"Saya amat bersyukur kerana bukan sahaja dapat bernikah di Mekah tetapi pada masa sama membawa anggota-anggota keluarga saya mengerjakan umrah selepas majlis akad nikah dijalankan," katanya lagi.

Majlis resepsi Umie dan pasangannya itu akan diadakan di Hotel One World, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor pada 28 Mac ini di mana dijangka seramai 1,200 tetamu akan dijemput pada majlis tersebut.

Sam tunjuk 'taring'


DILAHIRKAN dalam keluarga berdarah seni, Shaheizy Sam atau lebih dikenali sebagai Sam, bukanlah nama yang asing dalam dunia lakonan tanah air.

Ibunya, Kathy Fauziah, kakaknya, Zizie Izette merupakan pelakon drama dan filem yang cukup popular.

Begitu juga dengan abangnya, Jeff yang pernah mencipta nama sebagai penyanyi bersama kumpulan A To Z yang popular pada tahun 1990-an.

Justeru, apabila Sam menampilkan dirinya sebagai pelakon drama televisyen dan kini semakin popular pula di layar perak, ia memang tidak menghairankan para peminat.

Bukan setakat bakat lakonannya yang bersahaja, malah sokongan daripada keluarganya selama ini juga banyak mencetuskan kejayaan buat dirinya.

Selepas lebih lima tahun bergelar pelakon, Sam mula memperlihatkan 'taring' bakatnya menerusi filem Adnan Sempit lakonannya yang berjaya mengaut kutipan tiket RM7.8 juta.

Filem terbitan MIG Productions Sdn. Bhd. yang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara pada bulan lalu itu mencatat rekod baru dalam industri perfileman tempatan.

Sam mungkin boleh berbangga kerana filem genre aksi komedi arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri itu merupakan filem Melayu yang mengutip kutipan tiket tertinggi.

Sebagai pelakon utama Adnan Sempit, pelakon muda ini tidak dapat menyembunyikan rasa bangganya kerana watak Adnan lakonannya dalam filem itu mendapat sambutan luar biasa daripada para penonton.

Namun, gelaran hero filem Melayu baru dengan kutipan tiket RM7.8 juta itu tidak mengalpakan Sam. Sebaliknya, dia mengambil cabaran itu dengan menggalasnya sebaik mungkin sambil merendah diri dengan pencapaian dalam filem tersebut.

"Kejayaan filem ini bukanlah terletak atas bahu saya sahaja, tetapi ia juga atas kehebatan pengarahnya (Ahmad Idham), krew dan sebagainya.

"Kami dalam satu kumpulan. Mungkin, sebagai pelakon watak utama dalam filem ini tumpuan banyak diberikan kepada saya.

"Keluarga saya terutamanya emak saya banyak memberi dorongan dalam bidang lakonan," katanya ketika ditemui selepas majlis doa selamat mula penggambaran Adnan Sempit The Series di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Drama bersiri sebanyak 26 episod itu akan ditayangkan menerusi saluran 132 di Astro Warna sekitar April ini.

Adnan Sempit The Series yang juga diterbitkan oleh MIG Productions Sdn. Bhd. merupakan kesinambungan daripada jalan cerita filem Adnan Sempit.

Sam sekali lagi diberi kepercayaan melakonkan watak Adnan dalam drama bersiri itu bukan di bawah arahan Ahmad Idham tetapi ia akan diarahkan oleh Ismail Hashim.

Namun, kata peminat pelakon Al Pacino ini, dia tidak akan memandang enteng drama bersiri yang akan dilakonkannya itu.

Ini kerana, kata Sam Adnan Sempit The Series bukan sebarang drama bersiri tetapi dia menggalas jalan cerita yang berasaskan daripada filem Melayu paling box-office setakat ini.

"Bukannya senang mahu memikul peranan itu kerana bagi yang sudah menonton filem Adnan Sempit mereka tentunya menjangkakan jalan cerita yang lebih menarik dan detail dalam drama ini.

"Cabaran berlakon dalam drama bersiri ini juga berbeza. Saya mengambil masa 20 hari menjalani penggambaran filem Adnan Sempit sedangkan penggambaran drama bersiri ini mengambil masa lebih sebulan," tegasnya.

Justeru, dia menganggap dengan menggalas watak hero dalam Adnan Sempit dengan kutipan tiket RM7.8 juta bukanlah mudah.

Pelakon filem Sama Tak Serupa, Bohsia Jangan Pilih Jalan Hitam, Syurga Cinta, Jangan Pandang Belakang Congkak, KL Drift 2, Niyang Rapik dan Ngangkung ini terpaksa membuktikan populariti watak Adnan dapat terus dipopularkannya menerusi drama bersiri tersebut.

Selain semakin menonjol di layar perak, Sam juga tidak menyangka penampilannya dengan watak komedi dalam Adnan Sempit mahupun Adnan Sempit The Series berjaya menarik perhatian para penonton.

"Bukannya senang untuk melakonkan aksi-aksi komedi dalam filem atau drama Adnan Sempit. Ini kerana, sebagai pelakon orang mahu ketawa melihat lakonan saya dalam filem itu.

"Saya risau kalau orang tidak ketawa nanti watak lakonan saya itu nampak bodoh pula. Apa pun saya seronok kerana dapat melakonkan watak itu dengan sedaya upaya saya," jelasnya.

Sementara itu, pengarah Adnan Sempit The Series iaitu Ismail Hashim atau Bob turut tidak menafikan terpaksa menggalas cabaran yang bukan kepalang mengarahkan lanjutan cerita daripada filem yang mencatat kutipan tiket 'pecah panggung' itu.

Menurut Bob, antara cabaran yang perlu dilaluinya ialah agar para penonton saluran Astro Warna tidak kecewa menonton Adnan Sempit The Series sewaktu ia ditayangkan kelak.

Jelasnya, para penonton tentunya menjangkakan suatu kelainan apabila menonton drama bersiri dengan setiap episod mengambil durasi tayangan sekitar 60 minit itu berbanding versi filem Adnan Sempit.

"Para penonton Astro bukan sahaja membayar bil langganan, malah untuk menonton Astro Warna mereka sekali lagi terpaksa membayar yuran langanan yang berbeza. Jadi jangkaan dan harapan para penonton tentunya tinggi.

"Sebab itu, perlu ada banyak elemen yang menarik dalam setiap episod drama bersiri ini. Kami contohnya akan 'meletupkan' sekitar empat buah motosikal tajaan Modenas dalam adegan-adegan lasak yang akan dipaparkan kelak," ujarnya.

Adnan Sempit The Series yang mula menjalani penggambaran pada 27 Februari lalu di sekitar Lembah Klang turut dilakonkan oleh Intan Ladyana yang melakonkan watak Nadia dan Norliana Samsudin (Wawa).

Sebagai pengarah muda di MIG Productions Sdn. Bhd., Bob menaruh keyakinan tinggi jalan cerita dan populariti filem Adnan Sempit dapat membantu menarik para penonton menonton drama bersiri tersebut.

"Daripada sekitar 800,000 penonton yang telah menonton Adnan Sempit, saya harap separuh daripada jumlah itu menonton drama bersiri ini pun okay.

"Saya yakin mampu menarik ramai penonton berdasarkan drama bersiri Jangan Tegur Lagi arahan saya episod akhir yang ditayangkan di TV3 bulan lalu ratingnya mencecah 2.9 juta penonton mengalahkan slot Buletin Utama," katanya lagi penuh optimis.

Tidak takut tua-Amy Mastura


Amy Mastura yakin rezeki dalam bidang seni tetap ada

KETIKA usianya sudah mencecah 38 tahun, Amy Mastura tetap yakin rezekinya dalam bidang seni tetap ada. Memang betul sebagai seorang artis, apabila tiba pada usia seperti itu, peluangnya untuk berlakon, menyanyi atau terbabit sebagai pengacara mungkin sukar, lebih-lebih lagi dengan kemunculan ramai bakat baru yang silih berganti.


“Tapi rezeki ada di mana-mana. Sesuatu rezeki yang diterima, akan saya lakukan sepenuh hati. Insya-Allah, pada masa sama saya berharap rezeki lain akan datang menyusul.


“Saya tak risau orang nak kata saya sudah senja. Rezeki adalah kuasa Tuhan. Kita hanya perlu berusaha selagi terdaya,” katanya dalam sidang media yang mengumumkan dirinya sebagai duta kempen 1Malaysia, Jom Lebih Sihat yang dianjurkan Unilever Malaysia dan Lifebuoy.

Selain Amy, Unilever Malaysia juga memilih bekas pelumba basikal negara, M Kumaresan dan selebriti, Loo Aye Keng untuk sama menjadi duta 1 Malaysia, Jom Lebih Sihat.

Amy, yang kali terakhir muncul dengan album ketujuh berjudul Happy pada Mei tahun lalu, berkata dia tidak berasa ralat kalau namanya sudah mula dilupakan sebagai penyanyi.

Sehubungan itu, katanya, setiap peluang yang ada di depan mata akan dimanfaatkan sebaik mungkin. Saya tak kisah apabila orang tak ingat saya sebagai penyanyi. Amy Mastura tetap orang yang sama. Saya tak rugi apa-apa. Saya masih menerima undangan menyanyi.

“Selagi ada tawaran depan mata, saya bereskan saja. Kalau tanya saya apa perancangan lima tahun lagi, saya sendiri tak mampu memberi jawapan pasti. Saya hanya melalui kehidupan ini mengikut alirannya saja,” katanya yang baru saja merakamkan lagu lagu Better World Song bersama Nora dan seorang penaung sebuah badan bukan kerajaan untuk projek kemasyarakatan.


Isteri kepada Alvin Tham Sufian ini juga bukan asing dalam dunia lakonan. Amy pernah membintangi filem Puteri Impian, Puteri Impian 2, Senario Lagi, Trauma dan Bintang Hati (2004).


Filem terbarunya berjudul Damping Malam arahan Ahmad Idham. Menariknya, dalam filem itu dia yang memegang watak Ku Khalira bergandingan sekali lagi dengan Idham yang mana kali terakhir mereka berlakon bersama menerusi filem Kuala Lumpur Universiti (KLU).


“Sudah sudah 10 tahun kami tak bertemu dalam mana-mana karya. Tapi akhirnya kami bertemu kembali dalam filem Damping Malam. Dalam KLU pun kami tak banyak bertembung atau beraksi dalam satu babak.


“Damping Malam juga menjadi filem seram pertama saya. Mujur saya tak lemah semangat orangnya. Filem ini tidak ada hantu, sebaliknya hanya istilah pendamping yang meminta sesuatu habuan seperti yang dijanjikan. Tawaran filem ini saya terima pada Februari,” katanya yang pernah merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM14) pada 1999 menerusi Puteri Impian.


Selain filem, ibu kepada dua orang anak ini juga giat menjalani latihan teater muzikal Gamat 2.


“Untuk teater Gamat kali ini saya ditemani Ziana Zain dan Misha Omar. Seperti mana saya seronok berlakon untuk kali kedua dalam teater Gamat ini, saya juga berharap Ziana dan Misha akan merasai pengalaman yang sama,” katanya yang memegang watak Ibu Gamat.

Sementara itu, bercakap mengenai pemilihannya sebagai Duta 1 Malaysia, Jom Lebih Sihat, Amy berkata biarpun menampilkan tiga kaum berbeza tetapi semuanya mempunyai matlamat yang sama iaitu mendidik rakyat negara ini supaya tidak mengabaikan kesihatan selain boleh bekerjasama membantu golongan yang memerlukan bantuan.


“Tak kira bangsa atau agama, kita boleh sama-sama membantu mereka yang kurang berupaya. Kalau tak dapat tolong daripada segi kewangan, kita boleh bantu meningkatkan kepentingan kesihatan. Kalau sihat, tak perlu laburkan duit untuk ke pusat kesihatan.


“Kesihatan ini semuanya boleh bermula dari rumah. Saya, Kumaresan dan Loo Aye Keng masing-masing sudah berkeluarga dan kami tahu perihal kebersihan dan kesihatan ini wajar diterapkan kepada seisi keluarga.


“Kempen ini juga sebagai satu cara berbakti. Sambil membeli produk Lifebuoy, secara automatik kita menyumbangkan sebuku sabun untuk masyarakat kurang mampu di Malaysia. Kempen ini bermula dari awal Mac dan berlanjutan hingga Mei depan,” katanya.


Pengarah Barangan Isi Rumah dan Penjagaan Diri, Unilever(M) Holdongs Sdn Bhd, Ainul Yaqin menyifatkan pemilihan Amy Mastura, M Kumaresan dan Loo Aye Keng amat tepat kerana mereka memang dikenali dalam bidang masing-masing.


“Mereka ada peminat tersendiri. Kami yakin pemilihan mereka mampu merealisasikan apa yang kami impikan.


“Kempen ini bukan sekadar mengagihkan sabun kepada mereka yang kurang berkemampuan tetapi ia lebih kepada proses mendidik masyarakat dalam soal kesihatan. Sabun ini akan diagihkan pihak kami menerusi rakan kongsi yang akan bertanggung jawab memastikan ia sampai kepada yang memerlukan,” kata Ainul.

'Saya tak pernah ditaja Datuk'-Heliza


RENUNGAN mata bundarnya sungguh tajam. Malah, tidak keterlaluan dikatakan banyak hati lelaki cair melihatnya. Namun, ia tidak sesekali dijadikan aset buat Nur Heliza Helmi atau Heliza, 24, mengumpan lelaki berpoket tebal untuk hidup dengan limpahan emas permata.

Gosip bakal berkahwin dengan seorang lelaki berpangkat Datuk dan menjadi isteri ketiga menjadi tamparan hebat buatnya. Apatah lagi ketika ini, anak kelahiran Terengganu itu baru saja menubuhkan syarikat produksi sendiri, Heliza Helmi Production Sdn Bhd (HHP) untuk terus bernafas dalam dunia seni suara.

Tak lekang melemparkan senyuman, Heliza akui: "Saya bersyukur jika ada yang menaja saya, tetapi masalahnya tiada (berseloroh). Saya pun tak tahu daripada mana cerita mengatakan saya ditaja seorang Datuk dan sedang melakukan persiapan berkahwin dengan Datuk berkenaan boleh timbul. Memang saya sibuk tetapi bukanlah melakukan persiapan kahwin seperti yang digembar-gemburkan sebaliknya saya sibuk dengan pelancaran lagu single saya. "Saya terkejut apabila membaca satu ruang forum dalam internet mengatakan gosip seorang penyanyi dan pelakon bermata galak sedang melakukan persiapan perkahwinan pertengahan tahun ini adalah diri saya. Mulanya, saya gelisah juga, bimbang keluarga mendapat malu tetapi apa nak ditakutkan jika diri tidak bersalah. Nak sedapkan hati, saya anggap gosip adalah asam garam dalam dunia artis.

"Saya juga terkedu apabila ada yang menyampaikan cerita pada saya seorang isteri ahli kelab peminat pernah menghubungi stesen radio HotFM mengatakan suaminya bermain cinta sehingga jarang pulang ke rumah. Artis berkenaan digambarkan bermata galak dan tinggal di Sabah, jadi siapa lagi, tentu ramai yang menganggap diri saya. Saya nak menafikan cerita itu, saya tak kenal ahli kelab peminat yang dimaksudkan.

"Tidak dinafikan, saya ada kelab peminat sendiri tetapi ia hanya aktif di Kuala Lumpur, tak sampailah ke Sabah. Jadi macam mana si pemanggil mengatakan suaminya jarang pulang ke rumah sedangkan saya berada di Sabah, lagi pun saya tiada masa dengan aktiviti lain, dunia saya hanya belajar saja.

"Ketika ini, saya sibuk dengan persiapan peperiksaan tahun terakhir, saya akan menghabiskan pengajian Mei ini. Jadi, rasanya inilah masa yang sesuai untuk saya merangka strategi dengan menubuhkan HHP. Sekurang-kurangnya selepas menghabiskan pengajian sudah ada kerja menanti saya. Bagaimanapun, saya belum memikirkan lagi untuk menyambung pengajian selepas ini, mungkin saya berehat dulu dan menumpukan perhatian pada bidang seni."
Heliza juga berkata, sehingga hari ini, pintu hatinya belum terbuka mahu bercinta, malah belum ada lelaki yang benar-benar boleh menakluk hatinya. Mungkin ada yang tidak percaya, tetapi itulah hakikatnya.

"Percaya atau tidak terserahlah, tetapi empunya diri yang bernama Heliza ini sukar nak jatuh cinta. Bukan tiada yang cuba mendekati, tetapi hati saya belum terbuka nak menerima sesiapa. Mungkin kesibukan dengan jadual pelajaran, di samping jika bercuti, ada saja aktiviti nyannyian yang diaturkan membuatkan saya tiada masa nak fikir soal peribadi.

"Saya gembira hidup seperti ini, belum masanya saya bercinta lagi. Saya nak berjaya dalam pelajaran dan kerjaya terlebih dulu. Tanggungjawab terhadap keluarga lebih penting daripada segala-galanya. Saya mahu membahagiakan keluarga dan memberi limpahan kemewahan hidup pada mereka. Jadi soal lain biarlah ditolak ketepi dulu," katanya yang baru saja melancarkan HHP dan single terbarunya berjudul Panggil Namaku ciptaan Shafi Vocal Studio dan lirik ilhamnya sendiri.

Heliza berkata, HHP ditubuhkan bersama rakan kongsinya, Datuk Captain Gulzar Mohamad dan isteri, Toh Puan Atiah Alias Mohamed sejak dua tahun lalu. Toh Puan Atiah adalah peminat Heliza ketika Akademi Fantasia 5 lagi.

"Saya bersyukur Toh Puan Atiah dan suami berminat melabur dalam HHP dan menjadi rakan kongsi syarikat, sekali gus menjadikannya sebagai anak syarikat Inai Kiara Sdn Bhd. Saya dan keluarga adalah pemegang saham sebanyak 50 peratus dalam syarikat ini.

"Selain lagu single Panggil Namaku menjadi produk pertama HHP, saya juga merancang membuka pusat tuisyen di bawah HHP dan buat lagu berkonsepkan pendidikan bila menamatkan pengajian nanti. Bagaimanapun, HHP juga menguruskan events dan apa saja acara hiburan. Kami akan menerbitkan Konsert Datuk Ahmad Nawab bersama artis yang juga anak didiknya seperti Uji Rashid dan Hail Amir di Istana Budaya pada Oktober nanti. HHP selaku penerbit konsert ini.

"Masih lagi dalam perancangan awal, sepuluh artis veteran yang juga anak didik Ahmad Nawab sudah disenaraikan dan saya akan buat penampilan khas dalam konsert ini dengan menyampaikan dua lagu," katanya penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan & Sains (Biologi & Kimia), Universiti Malaysia Sabah.

Info Heliza

NAMA: Nur Heliza Helmi
TARIKH LAHIR: 3 Februari 1986
USIA: 24 tahun
ASAL: Kuala Terengganu
KERJAYA: Pelajar, penyanyi, pengacara dan pelakon
HOBI: Menyanyi dan membeli-belah
PENDIDIKAN: Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains, Universiti Malaysia Sabah
PENCAPAIAN: Tempat keempat AF5
DRAMA: Doa Ibu
FILEM: Syurga Cinta
SINGLE: Warna Sendu, Selalu Ada (featuring Aiman) dan Doa Dalam Lagu (duet dengan Mawi) & Panggil Namaku

Apa Ceritanya: 'Jodoh saya, Zamarul masih teguh'


PELAKON popular, Diana Rafar, 28, mengakui rumah tangganya bersama suami, Zamarul Hisham, 39, yang juga aktor terkenal tidak pernah bergolak gara-gara penyebaran gambar suaminya bersama seorang artis kontroversi menerusi telefon bimbit selebriti berkenaan, sebaliknya beliau kesal dan mempersoalkan apa motif sebenar artis itu memuat turun gambar dia bersama suaminya.

“Eloklah ditanya kepada artis kontroversi itu sendiri apa motif sebenar dia memuat turun gambarnya bersama suami saya ke dalam telefon bimbitnya. Apabila tersebar gosip seumpamanya di B*Pop Ahad lalu, artis kontroversi itu banyak kali mengirimkan SMS kepada saya memohon maaf sekiranya dia mengganggu perasaan saya.

“Namun, saya malas nak melayan SMS itu kerana bagi saya sedikit pun tidak pernah menyimpan perasaan marah, dendam atau sakit hati terhadap artis berkenaan. Isu gambar itu sebenarnya tidak pernah menggugat keharmonian rumah tangga saya bersama suami, malah beranggapan perkara ini terlalu remeh. Saya juga keberatan melayan pertanyaan banyak pihak kerana ia hanya membuang masa saja. “Tambahan pula rumah tangga kami kekal bahagia sekali pun diuji dengan perkara seumpama ini. Yang penting, hubungan saya dan Zamarul berjalan seperti biasa, namun saya malas nak menyebut nama artis kontroversi itu kerana Zamarul dan artis berkenaan masih berlakon sama menerusi drama Atilia. Saya tak mahu Zamarul hilang fokus terhadap lakonannya,” kata Diana yang ditemubual menerusi telefon, Isnin lalu.

Terdahulu, pada ruangan pojok, Teropong dalam B*Pop terbitan 7 Mac lalu dengan judul ‘Rumah tangga Diana Rafar, Zamarul bergolak?’, melaporkan pasangan Diana dan Zamarul baru-baru ini dikatakan diuji badai perkahwinan apabila beberapa rakan artis berjaya melihat foto Zamarul bersama seorang artis kontroversi menerusi telefon artis berkenaan, sekali gus menjadi punca Zamarul naik angin seterusnya memarahi artis itu di lokasi penggambaran.

Difahamkan, gambar itu sekadar props drama lakonan mereka, namun artis berkenaan memuat turun gambarnya bersama Zamarul ke dalam telefon bimbitnya selepas memperoleh daripada krew produksi. Mengenali Zamarul, dia memang tak suka bergambar dengan artis perempuan kecuali untuk tujuan kerja, justeru apabila dia dimaklumkan gambarnya dimuat turun dalam telefon bimbit artis berkenaan, dia memang bengang `tahap dewa', lagipun foto itu dimuat turun tanpa kebenarannya!

Pada masa sama, beberapa rakan artis lain turut bertanyakan hal berkenaan kepada Diana, namun Diana tidak melenting kerana amat memahami kerjaya suaminya itu yang sentiasa berpasangan dengan ramai artis cantik dalam setiap drama lakonannya.
“Zamarul sering berpasangan dengan ramai artis cantik. Saya memang amat memahami perkara itu. Justeru, tidak pernah timbul isu saya cemburu apabila melihat gambar Zamarul bersama artis lain,” kata Diana lagi.

Diana dan Zamarul mendirikan perkahwinan pada 16 Mei tahun lalu. Sepanjang perkahwinan, rumah tangga mereka tidak pernah berdepan sebarang masalah termasuk kewujudan orang ketiga. Justeru, apabila tersebar gambar Zamarul bersama artis kontroversi itu, bagi Diana, isu berkenaan tidak wajar dikaitkan dengan dirinya kerana ia hanya membabitkan perbalahan suaminya bersama artis kontroversi itu . Perkara ini berlaku kira-kira dua minggu lalu.

'Sedikit pun saya tak cemburu'

“Saya tak marah sikit pun, tapi saya sakit hati apabila ada pihak yang menuduh saya marah gara-gara penyebaran gambar itu! Apabila saya memaklumkan kepada Zamarul, saya melihat gambarnya bersama artis kontroversi itu dalam telefon, pada awalnya dia pelik dan terkejut. Zamarul menafikan, dia pernah bergambar bersama artis kontroversi itu di dalam telefon bimbit artis berkenaan.

“Semasa kejadian, kononnya Zamarul memarahi artis kontroversi itu di lokasi penggambaran, saya tak tahu apa-apa cerita. Saya hanya terima panggilan telefon daripada seseorang yang berada di lokasi, memaklumkan Zamarul sedang naik angin dan memarahi artis kontroversi itu. Zamarul mempersoalkan, kenapa artis itu sanggup ambil gambar props mereka dan memuat turun ke dalam telefon bimbitnya sehingga orang lain boleh melihatnya?

“Tidak lama kemudian, artis kontroversi itu ada mengirimkan SMS kepada saya. Katanya, ‘Apa you buat sis, sampai I and your husband bergaduh besar dekat set?’ Saya pula timbul rasa pelik dan musykil, kenapa saya harus dipersalahkan? Apa kena mengena dengan saya, sedangkan gambar itu foto dia bersama Zamarul?

“Namun, sebelum artis berkenaan mengirimkan SMS, dia ada telefon saya. Katanya kalau dia ada menyinggung perasaan saya, dia minta maaf. Kemudian dia bertanya lagi, sama ada saya cemburu ke dia ambil gambar bersama Zamarul? Saya hanya ketawa besar dan memberitahunya, sedikit pun saya tak cemburu,” katanya lagi.

Suami pujuk jangan risau

Daripada sumber di lokasi penggambaran drama Atilia, Diana memaklumkan dia diberitahu bahawa Zamarul mengamuk besar dengan artis kontroversi itu di lokasi! Sebaik mendapat maklumat itu, Diana terus mengirimkan SMS kepada Zamarul bertanya kenapa perlu ada pergaduhan, tapi tiada balasan.

Namun, apabila Diana dapat bercakap dengan Zamarul, suaminya mengakui memang ada berlaku sedikit perbalahan antara dia dan artis kontroversi itu. Pun begitu, Zamarul minta Diana jangan risau kerana semua perkara sudah selesai. Tapi, Diana masih ingin mengetahui apa punca sebenar Zamarul sangat marah dengan artis berkenaan.

Diana memberitahu, Zamarul menjelaskan, dia ada prinsip, kenapa artis kontroversi itu memuat turun gambar mereka ke dalam telefon bimbit tanpa keizinannya, sekali gus dapat dilihat oleh masyarakat termasuk isterinya?

“Zamarul memberitahu saya, artis kontroversi itu tidak menghormati prinsip dirinya. Itu saja yang Zamarul ceritakan kepada saya, selebihnya sumber di lokasi Atilia yang banyak bercerita kepada saya,” jelas Diana lagi.

Diana juga mengakui, hubungannya dengan artis kontroversi itu sebelum ini baik, tambahan pula dia sering membeli pelbagai produk kecantikan di spa milik Diana iaitu Dlugeno Spa di Shah Alam, Selangor.

Zamarul marah artis itu

SEMENTARA itu, kenyataan Zamarul kepada sebuah tabloid harian Selasa lalu, mengakui dia memarahi artis kontroversi itu kerana memuat turun gambar mereka berdua ketika terbabit dalam penggambaran drama Atilia.

“Rumah tangga saya dengan Diana aman. Kami juga tidak bergaduh atau bergolak seperti yang didakwa. Sebenarnya saya marah artis kontroversi itu kerana dia memuat turun gambar kami berdua di dalam satu forum.

“Prinsip saya, saya memang tidak gemar gambar saya dimuat turun di mana-mana.
“Jadi saya bertemu dengan artis kontroversi itu dan meminta dia untuk tidak lagi memuat turun gambar kami. Masalah saya dengan artis kontroversi selepas itu selesai,” kata Zamarul kepada tabloid berkenaan terbitan 9 Mac lalu.

'Memang saya pakai subang FK'-Diana Danielle


Diana Danielle akui Farid Kamil sebagai kawan rapat, bukan kekasih

AKTRES remaja yang masih berstatus pelajar, Diana Danielle, 19, mengakui pernah memakai subang berhuruf simbol ‘FK’ yang membawa maksud Farid Kamil, iaitu merujuk kepada aktor dan pengarah kacak yang ketika ini sering digosipkan menjalin hubungan cinta dengannya.

Meskipun ramai pihak dalam industri dapat menghidu keakraban mereka lebih daripada hubungan sebagai rakan artis, pelakon serta penyanyi kacukan Melayu-Inggeris itu menafikan sedang bercinta dengan Farid. Malah, Farid juga tidak pernah membuat pengakuan secara terbuka mereka adalah pasangan kekasih. “Memang saya pernah mengenakan kedua-dua subang dengan huruf FK iaitu sebelah F dan sebelah lagi K iaitu Farid Kamil. Apa salahnya saya pakai subang berkenaan kerana Farid memang kawan rapat saya ketika ini. Semua orang tahu dan saya tidak pernah menafikan perkara itu.

“Selain Farid, seorang lagi kawan baik saya ialah Nabila Adam, kalau tak pakai subang FK, sekali sekala saya juga mengenakan subang berhuruf NA - Nabila Adam,” kata Diana berterus-terang.

Diana berkata demikian ketika diminta mengulas ruangan pojok, Cerita Artis Kita (CAK) yang disiarkan Selebriti, Metro Ahad terbitan 28 Februari lalu memperkatakan mengenai hubungan cinta yang terjalin antara dirinya dan Farid apabila Diana dilaporkan pernah dilihat mengenakan subang berhuruf FK - sinonim sebagai Farid Kamil.

CAK juga melaporkan, ada sumber mendakwa menjadi saksi kemesraan Diana dan Farid di sebuah restoran popular, baru-baru ini.
Menurut cerita, Diana dan Farid menikmati makan malam di restoran berkenaan bersama beberapa teman. Biarpun rancak berbual antara satu sama lain, Diana dan Farid tidak lepas memandang antara satu sama lain. Gaya mereka tidak ubah seperti pasangan baru bercinta. Farid sangat romantik manakala Diana pula tidak lekang dengan senyuman bahagia.

Bagaimanapun, Diana dan Farid keluar restoran lebih awal daripada rakan mereka yang lain. Kata sumber, mereka beredar dari situ dengan menaiki satu kereta. Hati kecil sumber itu mengatakan ada jalinan perasaan istimewa antara Diana dan Farid, malah mereka bukan kawan biasa, malah mungkin lebih daripada itu.

Akui, Diana, pada hari berkenaan, dia dan Farid baru selesai bermain futsal di Ampang, Selangor dan sebelum pulang, dia mengakui, makan nasi lemak di Taman TAR, Ampang sambil ditemani Farid dan beberapa teman lain. Kejadian itu berlaku hampir sebulan yang lalu.

“Tak dinafikan, memang kami (Diana dan Farid) sedang berbahagia melayari persahabatan ini. Saya juga pernah mengeluarkan kenyataan sebelum ini, antara saya dan Farid, kami memang berkawan rapat. Namun, saya tak berani lagi melabel hubungan kami sudah dalam fasa percintaan kerana saya perlu lebih berhati-hati apabila memikirkan kembali kejadian yang pernah menimba perhubungan saya dengan seseorang sebelum ini.

“Pada malam itu juga, saya dan Farid pulang lebih awal berbanding kawan-kawan lain kerana saya ada kelas keesokan harinya. Saya juga tidak menafikan, saya naik satu kereta dengan Farid, dia yang menghantar saya pulang ke rumah. Saya mana ada lesen memandu untuk bawa kereta sendiri,” kata Diana tanpa berselindung.

Kenapa Diana masih mahu berselindung soal perasaannya terhadap Farid, adakah sengaja mahu meninggalkan tanda tanya?

“Saya tidak pernah berselindung apabila bercakap soal hati dan perasan, sebaliknya saya perlu lebih berhati-hati apabila memberikan kenyataan. Lagipun ini soal hati dan perasaan seseorang. Saya mahupun Farid sekadar menyerahkan persahabatan kami kepada ketentuan kerana sebagai manusia kita hanya merancang yang terbaik, tapi Tuhan menentukan segala-galanya.

“Pun begitu, saya mohon kepada semua peminat termasuk teman wartawan. Saya harap media tidak terus mensensasikan hubungan baik saya bersama Farid. Orang akan muak dan saya risau persahabatan kami terjejas dengan pelbagai spekulasi,” katanya lagi.

Mak Datin tak suka Rozita Che Wan


KALAU sebut nama Rozita Che Wan tidak lain yang dikaitkan dengannya kecuali lelaki. Selak akhbar atau melayari internet, tiada lain yang diperkatakan mengenai janda jelita itu kecuali perihal lelaki. Ada saja lelaki digosipkan dengannya.

Kak Pora dulu sewaktu awal perceraian turut dihampiri lelaki berhidung belang. Bermacam ayat digunakan untuk memikat Kak Pora tapi minta maaflah. Kak Pora memang tak layan. Maklumkah jaga kelas. Jadi, Kak Pora memang faham benar apabila Rozita memberitahu, memang ada wanita yang berdesing telinga setiap kali mendengar namanya.

Orang cantik, lelaki mana yang tidak berdebar melihat kelibatnya. Hebat penangan janda jelita itu sampaikan Kak Pora mendapat tahu kedatangannya ke lokasi penggambaran di daerah tertentu terpaksa dirahsiakan. Mungkin ada yang tidak percaya tetapi itu realiti yang berlaku kepada Rozita. Disebabkan tidak mahu menimbulkan masalah besar, pihak produksi terpaksa mengunci mulut supaya isteri mana-mana Datuk, Tan Sri atau VIP tertentu tidak mengganggu penggambaran. Bimbang benar isteri VIP tertentu jika kedatangan Rozita menggugat keharmonian rumah tangga mereka. Sampai begitu sekali mereka cemburukan Rozita. Sedangkan tak ada apa-apa pun. Tapi bila tahu Rozita ada dalam shooting sesebuah drama yang dibuat di daerah atau negeri tertentu, ada mak-mak datin jadi tak senang duduk. Tak faham Kak Pora... entah apa yang bermain dalam kepala mereka. Mungkin takut Rozita rampas suami mereka kot?

Setahu Kak Pora, Rozita sendiri jarang menghadiri acara yang disertai VIP. Bukan tiada tawaran untuk dia muncul di majlis yang dihadiri tetamu kenamaan tetapi Rozita menolak tak mahu disalah anggap oleh mana-mana isteri VIP. Agak lucu juga apabila Rozita memberitahu dia sendiri tidak kenal kebanyakan lelaki yang dikaitkan dengannya. Sebaliknya mereka pula yang beriya-iya mahu dikaitkan dengan jelitawan itu.

Pantang ditanya mengenai gosip dengan Rozita, senyum lelaki itu melebar pada hal langsung tidak pernah bersua muka. Bila difikir memang sakit hati tetapi apa boleh Rozita lakukan kecuali menahan perasaan. Nak melatah pun tak guna kerana nanti yang dipersalahkan dirinya juga. Biasalah Rozita, begitulah nasib sebagai ibu tunggal apatah lagi kau tu memang janda berhias. Nafsu lelaki tulen mana yang tak bergelora tengok kau yang cantik dan seksi tu!

Kak Pora sudah masak besar dengan stigma masyarakat. Sampai sekarang pun masih ada yang mencemuh bila Kak Pora keluar bergaya sikit. Baru pakai gaun hijau ketat nak pergi majlis anugerah, ada jiran yang dah jeling semacam aje. Habis, macam mana tu? Jangan ingat kami bergaya kerana mahu menggoda laki orang!
KAK PORA: Ada juga yang cemburu mendengar kebahagiaan pelakon Zizie Ezette dengan Datuk Bung Mokhtar...

Sudah punya pilihan hati-Diana Amir


Tak mahu gosip cinta ganggu kerjaya

HATI mana yang tidak tertawan melihat Diana Amir, orangnya seksi, manja dan boleh membuatkan jiwa lelaki cair. Apabila digandingkan dengan aktor kacak, Farid Kamil, mereka bagaikan serasi. Dari liuk lentok dan lirikan mata, jelas mereka cukup mesra, namun antara mereka tiada hubungan istimewa.

Masing-masing sudah punya pilihan hati. Bagaimanapun, apabila ditanya soal kekasih hati, Diana mahupun Farid bagaikan terkunci mulut. Ya atau tidak, sukar untuk mereka menjelaskan apa tersirat dalam hati. Soal hati tak mudah untuk dikongsi. Sudah terang lagi bersuluh, Farid kini menjalinkan hubungan cinta dengan aktres jelita, Diana Danielle. Sebaliknya, Diana pula terus berteka-teki dengan persoalan hati.

Sambil merenung jauh, Farid akui: "Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali, pengalaman putus cinta dengan Irma Hasmie mengajar saya untuk tidak mendedahkan apa yang tersirat dalam hati. Saya akui hubungan saya dengan Diana semakin rapat, mungkin juga ke arah bercinta. Itu saja yang dapat saya katakan, selebihnya saya serahkan pada takdir.

"Alhamdullilah, saya selesa dengan Diana, tetapi apa yang dapat saya katakan, jika mahu memikat hati Diana, kena pikat hati ibunya dulu (berseloroh). Saya harap peminat dan wartawan faham keadaan saya, bukan saya tidak mahu berkongsi rasa hati tetapi perjalanan kami masih jauh lagi. Saya mahupun Diana mahu menumpukan perhatian pada kerjaya seni dulu, soal hati biarlah menjadi rahsia kami. Apa yang penting, kelahiran `baby' pertama arahan saya, V3: Samseng Jalanan terbitan MIG Production yang menemui penonton di pawagam sejak 11 Mac lalu."

Farid juga berkata, penantian dan penyeksaan selama ini berakhir juga apabila V3: Samseng Jalanan menemui peminat.
Hatinya tidak tenteram hingga tidak mampu melelapkan mata berbulan-bulan lamanya apabila filem itu hampir diharamkan. Semuanya gara-gara beberapa adegan yang dianggap keterlaluan. Dan lebih tertekan apabila pandangan peribadinya mengenai beberapa babak dalam filem Adnan Sempit yang didakwa menciplak filem arahannya itu mencetuskan kontroversi.

Jujurnya, Farid enggan mengulas lagi isu menciplak karyanya itu. Cukuplah permohonan maaf dalam blognya atas keterlanjuran kata-katanya. Tidak terfikir bakal mencetuskan kontroversi dan kemarahan pihak lain, Farid akui itu hanyalah pandangan peribadinya apabila menonton filem Adnan Sempit.

Minta maaf pada wartawan

"Tidak terdetik di hati mencetuskan kemarahan orang lain, tetapi saya sedar, kejujuran ada kalanya disalah erti. Saya mohon maaf pada wartawan kerana tidak memberi kerjasama, saya tahu ramai yang mencari saya untuk meminta komen berhubung kenyataan saya itu. Saya rasa lebih baik saya mendiamkan diri daripada terus memberi kenyataan, ia boleh mengeruhkan lagi keadaan.

"Saya akui ada yang menganggap saya tidak mesra media, susah mahu dihubungi dan macam-macam lagi, tapi saya tidak berkecil hati. Bukan saya mahu menjauhkan diri daripada wartawan, tetapi ada kalanya saya terlalu sibuk hingga telefon un terpaksa diketepikan," katanya yang memegang watak Rudy dalam V3: Samseng Jalanan. Selain Farid, filem yang menelan belanja RM1.8 juta itu turut dibintangi Bront Palarae, Aqasha, Radhi OAG, Intan Ladyana, Shaharuddin Thamby, Lisa Surihani, Adam Corrie dan Wan Norazlin.

Akui Farid, walaupun dipotong sebanyak 20 peratus kerana membabitkan adegan mat rempit mengangkat tayar depan dan belakang serta babak mereka meloloskan diri daripada sekatan polis, namun ia tidak mencacatkan keseluruhan jalan ceritanya. Filem itu diluluskan Lembaga Penapisan Filem Malaysia dengan klasifikasi 18PL.

"Sebagai pengarah baru, karya saya masih banyak kelemahan terutama aspek penceritaan dan perkembangan karakter. Bagaimanapun, apa yang saya paparkan adalah luahan hati mat rempit kerana saya adalah bekas mat rempit dan pernah terbabit dalam perlumbaan haram kira-kira 15 tahun lalu. Skrip filem ini saya tulis bersama rakan baik, Soffie G.

"Jika menerusi karya saya dulu, filem Remp-It menunjukkan budaya berbahaya yang dilakukan mat rempit manakala filem V3: Samseng Jalanan pula menjadi penyelesaian pada kisah yang dipaparkan. Buat saya lebih bersemangat menghasilkan filem ini selepas mendapat tahu ibu saya menangis siang dan malam apabila mengenangkan nasib saya yang suka berlumba haram. Saya diberitahu filem ini adalah naskhah terakhir yang memaparkan kisah mat rempit.

"V3: Samseng Jalanan juga menjadi filem pertama dan terakhir saya berlakon dan mengarah kerana saya tak sanggup melaluinya lagi. Saya tak mampu melakukan dua kerja dalam satu masa, lebih lagi jika terbabit dalam filem aksi. Selepas ini, saya akan mengarahkan filem aksi, Kong-Si, karya adik saya, Fadzil. Bagaimanapun, saya tidak akan berlakon dalam filem ini, cukuplah azab saya dulu," katanya.

Mengulas tercalon dalam senarai top 5, kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009, Farid bersyukur tidak terlepas daripada senarai lima pelakon popular pilihan peminat.

“Walaupun belum pernah berjaya membolosi anugerah, saya tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya sudah tujuh tahun, saya masih di hati peminat. Kalau menang, ia bonus buat saya sebaliknya kalau tidak berjaya, saya tidak akan berputus asa mencuba lagi,” katanya.

Diana diuji sebagai minah rempit

DIANA Amir mengakui, gara-gara tersebar gambar seksi bersama seorang teman lelaki yang juga teman baiknya di internet, dirinya terus dicop berimej seksi dan suka bersosial, sedangkan dia hanyalah gadis biasa yang ringkas dan suka bergaya sederhana.

Akuinya: "Itu gambar dulu, gambar ketika saya belum bergelar pelakon lagi. Ketika itu masih muda, usia pun belasan tahun lagi Saya letih apabila terus diasak dengan pertanyaan mengenai teman baik saya itu, masih ada yang menganggapnya kekasih saya, sedangkan kami hanya berkawan biasa.

"Bagaimanapun, saya akui sedang mengenali hati budi seseorang, tapi yang pasti bukan lelaki dalam gambar itu. Dia hanyalah pemuda biasa dan tidak terbabit dalam seni. Saya mengenalinya sejak setahun lalu. Dia sebenarnya jiran yang menghuni kawasan perumahan keluarga saya di Johor Bahru."

Gadis kelahiran Birmingham, England itu berkata, dia akui pembabitannya dalam bidang seni belum terlalu menonjol berbanding pelakon baru lain. Ini disebabkan langkahnya sering tergendala kerana masih terikat dengan pengajian bidang Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, tahun lalu.

"Saya baru bernafas dalam dunia filem selepas menghabiskan pengajian pada Ogos tahun lalu. Saya mengambil keputusan berada di bawah pengurusan MIG Production selama lima tahun supaya perjalanan seni saya lebih teratur.

"Alhamdullilah, walaupun mendapat watak kecil sebagai minah rempit dalam V3: Samseng Jalanan, tetapi lakonan saya diuji dalam filem Aku Masih Dara arahan Ahmad Idham. Biarpun watak saya kecil dalam V3: Samseng Jalanan, tetapi tetap ada cabarannya. Saya melakonkan watak Noni, kekasih kepada Black lakonan Bront Palarae.

"Cabarannya saya terpaksa melalui dunia rempit, sedangkan saya tidak suka menaiki motosikal. Saya pula berpasangan dengan Bront yang tiada lesen memandu dan tidak mahir bermotosikal. Bagaimanapun, ada masanya saya rasa seronok pula, macam naik `roller coaster', walaupun bahaya.

"Saya terlalu mengagumi dengan Farid dan Bront, mereka meletakkan jiwa dalam dunia rempit. Bila bergandingan dengan pelakon hebat seperti mereka, saya dapat rasakan lakonan saya menjadi mudah walaupun inilah kali pertama saya tampil dalam layar perak.

"Biarpun kali pertama bekerja dengan pengarah muda seperti Farid, saya dapat rasakan Farid mampu mengemudi sesebuah filem dengan baik. Dia seorang yang kreatif, senang didampingi dan sering memberi ruang kepada pelakon baru seperti saya memperbaiki kelemahan dalam lakonan," katanya yang mula menempa nama dalam drama Impian di TV3.

Info Farid

NAMA KOMERSIL: Farid Kamil
USIA: 29 Tahun
TARIKH LAHIR: 5 Mei 1981
ASAL: Alor Star, Kedah
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Seni Layar (Kepujian) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
FILEM: Dayang, Chermin, Remp-It, Main-Main Cinta, Anak Mami Kembali, Lady Boss, Cinta Fotokopi, Potret Mistik, Tangkai Jering, Tujuh Perhentian, Hingga Hujung Nyawa, Kuliah Cinta, Cinta Kolestrol, Anak Halal, Apa Kata Hati, Di Kala Malam Bulan Mengambang, Evolusi KL Drift 1 & 2, I'm Not Single, V3: Samseng Jalanan, Semerah Cinta Stileto, Lagenda Budak Setan & Estet

Info Diana

NAMA PENUH: Nurdiyana Amir Hashim
USIA: 24 Tahun
TARIKH LAHIR: 22 Jun 1986
LAHIR: Birmingham, England
ASAL: Johor Bahru, Johor
KELUARGA: Anak keempat daripada tujuh beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda, Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang
DRAMA BERSIRI: Impian, Impian 2, Sari Maya, 3 Janda, Jalan Pinang Sebatang & Adamaya
TELEMOVIE: Aloy dan Lu'Lu
FILEM: V3: Samseng Jalanan & Aku Masih Dara
PROGRAM: Life Can't Wait (TV8) & Seindah Sunsilk (TV3)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails