Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kalau mampu apa salahnya-Diana Danielle


SETAKAT ini di Malaysia, ramai yang sudah tahu Diva kesayangan ramai Datuk Siti Nurhaliza dan Mawi antara artis yang sudah pasang bodyguard.

Kalau di Hollywood, perkara-perkara sebegini langsung tidak dipandang pelik. Setuju bukan?

Nah, terbaru dengar cerita Diana Danielle pun tidak mahu kalah. Wah..Pancaindera tabik jugalah sebab rasanya bukan calang-calang artis yang boleh pasang pengawal peribadi melainkan poketnya sentiasa penuh.

Tenang menjawab pertanyaan Pancaindera baru-baru ini, anak gadis tunggal Norsiah Ramli ini sedia memberi hujahnya.

“Memang benar saya ada pengawal peribadi. Pada saya itu bukan sesuatu yang aneh dan dia pun telah bekerja dengan saya sejak setahun lalu selepas saya dan mama berbincang bersama.

“Saya faham kenapa mama mahukan ia begitu. Ini kerana dia tidak dapat berada dengan saya 24 jam setiap hari dan sebagai anak perempuan tunggal, dia sedaya mungkin mahu menjaga keselamatan saya.

“Tetapi saya tidak sangka pula ada orang yang salah faham dan menjadikan ini satu isu. Saya selagi boleh tidak mahu bercakap mengenai hal ini.

“Faham faham sahajalah kalau sudah ada mata yang nampak siapalah saya untuk menghalang orang daripada bercakap-cakap, betul tak?” katanya.

Tutur gadis berusia 19 tahun ini lagi, dia jelas kurang senang dengan segelintir pihak yang memandang serong terhadap rezeki yang diraih hasil usahanya sejak mengabdikan diri dalam bidang lakonan lima tahun lalu.

Malah, ada juga mulut-mulut jahat yang mendakwa Diana sengaja menunjukkan kehebatan dan kemewahannya dengan memasang pengawal peribadi.

“Ini bukan satu kesalahan pun. Lagipun, karier sebagai pelakon banyak cabarannya termasuk pulang lewat malam. Macam-macam perkara boleh terjadi.

“Ia demi keselamatan dan saya bukannya mahu menunjuk-nunjuk. Pada saya, kalau mampu apa salahnya?” ujar Diana lagi.

Diana artis sombong?


Mencapai kejayaan pada usia yang dianggap muda, Diana tentunya tidak terlepas daripada menjadi mangsa dan dilabel sebagai artis sombong.

Selain itu, gelaran berlagak dan biadap juga pernah dilemparkan padanya saat Diana meniti jambatan untuk tiba di puncak kejayaan.

Tanpa sedikit pun melatah, Diana sempat mencelah dengan menyatakan bahawa dia sudah biasa dengan keadaan itu malah menyifatkan fitnah itu sebagai sebahagian daripada makanan yang harus ditelan saat mengusung gelaran artis dan selebriti.

“Saya percaya, artis-artis lain juga pernah menerima tohmahan begini. Baiklah, kalau ada yang katakan saya sombong atau berlagak saya minta maaf.

“Saya tidak salahkan mereka kerana karakter saya di luar memang seorang yang kurang peramah dengan orang yang tidak dikenali.

“Mungkin kerana itu mereka menganggap saya sombong. Tetapi kalau mereka yang kenal siapa Diana Danielle, mereka akan tahu saya bukanlah orang yang begitu,” katanya.

Bicara gadis yang dikatakan bercinta dengan aktor kacak Farid Kamil ini lagi, dia kerap kali rasa bersalah dengan keadaan sedemikian.

“Tak banyak bercakap pun salah, terlebih bercakap apatah lagi? Jujurnya kadang-kadang saya keliru apabila berada dalam situasi begitu.

“Apa pun, saya mahu peminat tahu bahawa saya tidak pernah sombong atau mengabaikan mereka jika mereka mendekati saya,” ujar Diana.

Inspirasi Jodie Foster & Yasmin Ahmad


Enggan digelar artis tidak berilmu, Diana yang telah menamatkan kursus asasi dalam jurusan Biosains Universiti Nottingham, Semenyih, Selangor bercadang untuk terus mendalami ilmu itu.

Kata anak kelahiran Houston, Texas, Amerika Syarikat ini, jika tiada aral melintang, dia akan melanjutkan pelajarannya ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang psikologi bermula awal tahun depan.

“Saya mahu menjadi seperti Jodie Foster dan arwah Yasmin Ahmad, ” katanya ringkas mengenai sumber inspirasinya tatkala membuat keputusan untuk mendalami bidang pilihan.

“Tetapi lokasi untuk saya menyambung pengajian tak dapat dipastikan lagi sebab ia masih belum disahkan. Kalau ikutkan hati, biarlah ia dekat dengan kediaman saya di Sunway, mudah untuk saya berurusan,” katanya.

Alim ulama tolong doakan - Radhi OAG


"SAYA betul-betul nak berubah ni," kata Radhi OAG bersungguh - sungguh pada pertemuan malam Khamis lalu.

Baguslah jika benar Radhi atau nama penuhnya, Muhammad Radhi Razali, 33, ingin melakukan anjakan paradigma dalam hidupnya dan kita semua harus memberi sokongan.

Kata bapa kepada Muhammad Rifdhi Muslim, 5, itu, selepas sah bercerai dengan bekas isterinya, Shazlin Shariff dengan talak satu pada 8 Jun lalu, banyak ujian yang datang menimpa dirinya.

Jelas anak kelahiran Sibu, Sarawak, itu, seiring dengan peningkatan usia dan kematangan fikiran, dia tidak mahu lagi mengulangi dosa-dosa semalam.

"Betul, saya dah berhenti ambil dadah sejak Februari lalu. Tetapi biasalah banyak cabaran yang perlu dihadapi. Kalau tak percaya, sekarang juga saya boleh buat ujian air kencing," ulangnya berkali-kali selepas membuat pengakuan terbuka menjadi 'pelanggan' setia najis dadah sejak berusia 15 tahun, pada Mei lalu.

Kepada wartawan ARIF NIZAM ABDULLAH dan jurugambar, ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN, Radhi menjawab pelbagai soalan berkaitan kisah hidupnya yang kini merempat, kerugian wang RM30,000, perasaan terhadap Shazlin, teman wanita baru berusia 16 tahun, mengguna nama baru Radhio dan banyak lagi.

Azmil Mustapha ICU


LAMA sungguh tak dengar cerita tentang Azmil Mustapha. Joyah pasti ramai yang akan teringatkan filem Ali Setan bila sebut sahaja nama pelakon yang sudah melakukan transformasi dalam hidupnya.

Tapi bila dapat tahu Azmil jatuh sakit ketika berada di Damsyik, Syria, Joyah terkejut. Selama ini tak pula Joyah ketahui dia ada penyakit yang berbahaya.

Azmil yang ditempatkan di wad ICU sebuah hospital di sana dikatakan sudah menjalani pembedahan pintasan koronari akibat masalah kesihatan yang dihadapi.

Bukan apa, bila Joyah banyak sangat berita yang tak berapa nak betul singgah di laman web. Ada yang kata Azmil sakit itulah, sakit inilah dan tak kurang juga yang berani mati mengatakan dia terkena serangan angin ahmar.

Bagi Joyah lebih baik kita mendoakan sahaja keselamatan dan kesihatan bapa tunggal kepada lima anak ini daripada terus membuat spekulasi yang bukan-bukan.

Tunai haji selepas nikah-Dr. Sheikh Muszaphar Shukor


MENGHITUNG waktu tujuh hari lagi ke jenjang pelamin, lelaki ini sepatutnya hanya perlu menunggu waktu akad dilafazkan dalam keadaan tenang.

Hari ini, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berada di Riyadh, Arab Saudi untuk memberi ceramah sejak Khamis lalu sebelum pulang ke tanah air, esok.

“Saya ada lapan ceramah yang perlu dihadiri sebelum majlis pernikahan. Selepas ini, saya perlu menghadiri satu lagi ceramah. Dan kita hanya ada 30 minit untuk sesi wawancara ini,” katanya ramah kepada saya ketika ditemui di Restoran Rebung, Bangsar pada petang Selasa lalu.

Begitulah sibuknya lelaki yang mesra dipanggil ‘Dr Angkasawan’ ini sejak bergelar Angkasawan Negara pertama pada 10 Oktober 2007.

Namun sibuk bagaimanapun, tiada yang lebih membahagiakan bagi dirinya dan Dr. Halina Mohd. Yunos apabila cinta yang disemai sekian lama bakal menemui titik noktah.

Tarikh 10 Oktober ini akan menyaksikan penyatuan cinta mereka menerusi majlis pernikahan pukul 11 pagi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, Kuala Lumpur.

Pada sebelah malam, kemuncak cinta pasangan sama padan itu akan terungkap pada majlis persandingan yang akan dilangsungkan penuh gilang-gemilang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Dianggap ‘Perkahwinan Gemilang Abad Ini’, kesucian sebuah cinta yang disulam sejak lapan tahun itu pastinya ingin dikongsikan Sheikh Muszaphar bersama seluruh rakyat Malaysia pada hari bersejarah itu.

“Saya secara peribadi ingin menjemput seluruh rakyat Malaysia, orang Melayu, Cina dan India hadir pada majlis pernikahan kami pada 10 Oktober ini bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang.

“Hanya menerusi jemputan ini sahaja saya dapat membalas jasa seluruh rakyat Malaysia yang sebelum ini mendoakan kesejahteraan saya ketika berada di angkasa lepas.

“Usah bimbang jika tidak mempunyai kad jemputan atau makanan dan minuman yang tidak mencukupi kerana saya menjangkakan seramai 10,000 tetamu akan hadir, ” katanya menghulur undangan ikhlas buat semua yang mahu meraikan hari bahagianya.

Sementara majlis persandingan pula dikhaskan kepada 1,000 tetamu jemputan yang terdiri daripada golongan diraja, orang kenamaan, ahli keluarga dan rakan rapat termasuk 100 angkasawan dari 35 buah negara dan 20 media antarabangsa.

Bertemakan pahlawan Melayu di istana kayangan akan menyaksikan kemunculan bintang dan bulan di dalam dewan persandingan.

“Dengan kehadiran ramai angkasawan luar negara yang turut berpakaian Melayu dan media asing, saya ingin menonjolkan ciri-ciri budaya Melayu yang tidak tolok bandingnya bermula sejak zaman dahulu kala.

“Pada malam itu, tetamu juga boleh menyaksikan acara kesenian seperti gurindam, zapin dan tarian dalam usaha membuka mata dan tarikan istimewa kepada tetamu luar negara ,” katanya.

Pada majlis memotong kek yang berkonsepkan sebuah roket, pereka fesyen terkenal Datuk Bernard Chandran akan menyediakan satu pakaian khas yang cukup istimewa.

Sempena perkahwinan itu juga, Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada persidangan Association of Space Explorers pada 5 hingga 10 Oktober ini.

Debaran tidak sama

Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha mengikat pertunangan dengan Halina yang berusia 29 tahun pada 1 Januari lalu.

Mengimbau kisah cinta mereka, Halina yang kini bertugas sebagai doktor bius di Hospital Selayang, Kuala Lumpur merupakan bekas pelajar angkasawan itu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ditanya perasaan apabila akhirnya bertemu dengan cinta sejati selepas tiga kali putus cinta sebelum ini, Sheikh Muszaphar mengakui dirinya sudah tidak sabar-sabar untuk berumahtangga.

Jelas doktor bedah ortopedik itu, apatah lagi umurnya kini sudah menjangkau 38 tahun dan memiliki sifat penyayang terhadap kanak-kanak.

“Alhamdulillah, masanya sudah tiba untuk saya menamatkan zaman bujang selepas lapan tahun berkenalan dengan Halina.

“Malah tarikh 10.10.10 merupakan tarikh yang sesuai sempena ulang tahun ketiga saya ke angkasa lepas menaiki Soyuz TMA-11 yang dilancarkan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

“Pada masa sama, kontrak saya bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) yang sudah tamat pada 31 Disember lalu turut membolehkan saya untuk berkahwin,” katanya.

Sempat diusik apakah perasaan sama yang dialami dirinya sewaktu hendak berlepas ke angkasa lepas dan majlis akad nikah nanti, Sheikh Muszaphar diam seketika sambil tersenyum.

Dia yang kini bertugas sebagai Penyelidik Utama di Institut Sains Negara, UKM berkata, dia tidak perlu risau untuk memikirkan hari bersejarah yang semakin hampir itu kerana perkahwinannya merupakan penyatuan satu ikatan cinta suci.

“Sudah tentu perasaan saya ketika ini tidak sama apabila hendak berlepas ke angkasa lepas tiga tahun lalu.

“Memang di dalam televisyen ketika itu, penonton dapat melihat wajah saya yang gementar dan tertekan tetapi sebenar ketika itu kaki saya hampir kejang kerana sudah berada dalam kapsul kapal angkasa Soyuz tiga jam sebelum berlepas.

“Ini kerana kedudukan kapsul itu yang sempit dan kecil. Lagi pun, sebelum itu saya sudah dilatih agar tidak takut dengan sebarang kegagalan walau apa pun terjadi,”katanya ketawa apabila mengenangkan memori yang paling tidak dapat dilupakan dalam hidupnya.

Diajak berkongsi cerita pula mengenai buah hatinya itu, Sheikh Muszaphar memberitahu, dia memilih seorang wanita itu sebagai calon isteri berdasarkan kecantikan dalaman yang dimiliki.

Apa yang penting, pemilihan Halina dibuat mengikut ajaran Islam yang menggaris panduan ciri-ciri memilih calon isteri kerana agama, keturunan, rupa dan harta.

“Walaupun saya kahwin agak lewat dan semua adik-beradik sudah pun berumahtangga, sebenarnya jodoh itu tidak boleh dipaksa.

“Paling utama apabila saya hendak menamatkan zaman bujang ini, hidup saya sudah stabil dan memiliki jiwa yang tenang,” kata anak kedua daripada lima beradik.

Jemputan khas

Putera Mahkota

Selepas bernikah pasangan ini akan melakukan ibadah haji pada bulan depan atas jemputan khas Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Sultan Salman.

“Sambil mengerjakan ibadah haji, kami akan berbulan di Tanah Suci,” katanya yang sudah dua kali menunaikan ibadah haji atas jemputan Putera Mahkota berkenaan.

Kata angkasawan ke-438 di dunia itu, sejak pertama kali merasai pengalaman mengerjakan haji, dia sudah menyimpan impian untuk berkunjung ke sana saban tahun.

Jelasnya, ini kerana tiada perasaan yang dapat diungkap dengan kata-kata apabila dapat melihat jutaan jemaah mengelilingi Kaabah dari istana kerabat diraja itu.

“Itulah perasaan sama yang dialami apabila bulu roma saya meremang ketika pertama kali berada di ruang angkasa lepas.

“Ia merupakan satu perasaan yang luar biasa dan mengagumkan apabila berada di Tanah Suci,” katanya yang kini berkawan rapat dengan Putera Sultan Salman yang merupakan orang Islam pertama ke angkasa lepas.

Dalam debaran menanti detik disatukan dengan tunangannya, Halina yang sudah pasti paling sibuk menguruskan banyak perkara. Seperti pasangan pengantin lain, sebagai wanita banyak perkata bermain di benak fikir Halina menjelang tarikh pernikahannya minggu depan.

Pun begitu, Halina mengakui sangat mencintai dan menerima tunangannya itu sepenuh hati. Sheikh Muzaphar adalah insan yang diyakini mampu membawa dirinya ke alam rumah tangga yang bahagia dan melahirkan zuriat mereka sendiri ketika tiba detiknya nanti.

Justeru, kata Halina dia sanggup menunggu selama lapan tahun sebelum mereka dapat disatukan.

“Kalau sayangkan seorang itu, kita sanggup buat apa saja asalkan dia bahagia,” ucap Halina ringkas namun penuh bermakna.

Bagi pemilik wajah manis ini, Sheikh Muszaphar menjadi pilihan hatinya kerana sejak bertemu lelaki itu, dia tetap lelaki yang sama dikenali lapan tahun lalu walaupun kini sudah menjadi orang terkenal dan milik masyarakat.

“Sheikh Muszaphar tidak pernah lupa memberi dorongan kepada saya dalam apa jua situasi. Itu yang membuatkan saya sanggup mengharungi apa jua cabaran bersamanya,” kata wanita kelahiran Kluang, Johor.

Menurut Halina, dia dan Sheikh Muszaphar sepatutnya sudah melangsungkan pertunangan tiga tahun lalu sebelum Sheikh Muszaphar dipilih untuk berlepas ke angkasa lepas.

Namun atas nama tanggungjawab kepada negara, mereka sanggup mengorbankan impian itu bertahun-tahun lamanya dan menangguhkan detik membina kehidupan bersama.

Untuk Dr Angkasawan dan cinta hatinya, selamat pengantin baru daripada kami di Pancaindera dan pembaca-pembaca semua.

Sarimah bahagia sendirian


SUNGGUHPUN mahligai yang dibinanya bersama lelaki bernama Amir Andrew Abdullah, 39, telah menemui titik penamatnya pada Disember 2008, Sarimah Ibrahim, 32, tidak pernah rasa kesunyian.

Dikenali sebagai seorang yang gila-gila, kelakar dan banyak cakap, kehidupan pengacara popular itu selepas bercerai sedikit pun tidak memudarkan rutin hariannya.

Sarimah dilihat menempuhi detik-detik sukar itu dengan penuh kecekalan dan tabah di samping teman-teman yang sentiasa memberi sokongan.

Ketika ditemui baru-baru ini, Sarimah menjelaskan, dia kini rasa cukup bahagia bersendirian tanpa insan bergelar suami mahupun kekasih hati.

Pada majlis minum petang yang diadakan di Restoran Delicious, Bangsar Village 2 baru-baru ini, Sarimah menjelaskan, sepanjang dua tahun memegang status janda, keluarga dan teman banyak memainkan peranan mereka.

Kata Sarimah, keluarga dan teman banyak memberikan dorongan dan sokongan agar hidup perlu diteruskan walau apa jua yang terjadi.

"Pada awal penceraian, saya akui tiada kekuatan untuk menempuhi masa mendatang.

"Namun, atas kata-kata nasihat yang diterima daripada orang sekeliling, saya temui semula kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

"Saya mula libatkan diri dengan pelbagai aktiviti seperti kelas pilates," ujar pengacara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) itu.

Namun, selepas setahun keseorangan, Sarimah sempat bermain cinta dengan seorang pemuda Melayu yang dirahsiakan identitinya.

Malangnya, hubungan yang terjalin selama dua bulan itu tidak mampu mendaki lebih tinggi apabila masing-masing mengucapkan kata putus terhadap cinta mereka.

Alasannya, Sarimah tidak sanggup melepaskan karier yang telah digalasnya selama 14 tahun demi cintanya terhadap si jejaka.

Sekali lagi Sarimah dirundung kesedihan. Akan tetapi, keruntuhan rumah tangga yang dialaminya sebelum itu dijadikan sebagai pendorong untuk melupakan kekasih amat disayanginya itu.

Pilates tenangkan Sarimah

Dalam kesibukannya memenuhi pelbagai undangan kerjaya seni, Sarimah masih mencari ruang dan waktu untuk diri sendiri.

Aktiviti yang menjadi pilihan Sarimah ialah senaman pilates. Seperti yang diketahui ramai, pilaters merupakan senaman yoga yang membantu menguatkan tubuh badan melalui pelbagai teknik latihan sama ada menggunakan mesin atau tidak.

"Sejak mula aktif menyertai kelas pilates, jiwa saya lebih tenang dan tubuh saya sentiasa segar.

"Pilates mampu menghilangkan rasa stres saya ketika bekerja. Sedikit sebanyak, saya lupa yang kini saya bersendirian.

"Saya juga masih lagi aktif dengan kelas karate yang telah lama saya sertai serta sering pergi ke gimnasium untuk mengisi kekosongan masa yang terluang," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Sarimah memberitahu, dia begitu menitikberatkan penampilannya agar kelihatan menawan di samping menjaga kesihatan tubuh badannya.

"Umum mengetahui, saiz badan kita akan kelihatan lebih besar di kaca televisyen berbanding jika dilihat secara berhadapan.

"Jadi, saya akan pastikan tubuh badan saya lebih ramping dan kecil supaya tidak nampak besar di kaca televisyen," jelas Sarimah yang juga pengacara program realiti The Biggest Loser Asia (TBLA) musim pertama itu.

Sarimah jawab kontroversi TBLA

Memandangkan TBLA musim kedua sudah pun memulakan siarannya pada 21 September lalu, ketiadaan Sarimah sebagai hos dengan digantikan Marion Caunter mula menjadi buah mulut ramai pihak.

Timbul khabar angin yang mengatakan Sarimah terlalu demand dalam meletakkan bayaran selaku hos program popular tersebut.

Apa sahaja spekulasi yang didebatkan, Sarimah mempunyai alasannya tersendiri untuk menolak pelawaan sebagai hos TBLA2.

Memetik kata-kata Sarimah, pentas hiburan di Malaysia sememangnya sebuah industri yang kecil.

Namun, negara kita tidaklah ketandusan dalam melahirkan bakat-bakat seni yang boleh dipersendakan melalui bayaran yang ditawarkan.

"Itulah situasi yang saya alami apabila pihak produksi rancangan itu datang berjumpa saya untuk menawarkan kontrak sebagai hos.

"Saya bukanlah meletakkan harga yang tinggi tapi setiap orang walau tukang cuci pun berharap mendapat bayaran yang sewajarnya," katanya menjawab kontroversi itu.

Sarimah juga menerangkan, faktor kedua yang dipertikaikan adalah mengenai prosedur pemakaian yang ditetapkan pihak produksi sebagai syarat.

"Lontaran suara peminat yang tidak mahu melihat saya memakai pakaian menjolok mata membuatkan saya membuat keputusan untuk menolak tawaran tersebut," tambah Sarimah yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Apokalips arahan Mamat Khalid.

Sementara itu, pelantun lagu Damai dan Kini Kau Tiada itu mengumumkan, dia mungkin akan dipilih semula sebagai hos program realiti nombor satu, AF musim kesembilan.

Katanya, dia tidak sabar menunggu kedatangan semula AF dengan kerenah para pelajarnya yang pelbagai.

"Diam tak diam, AF musim seterusnya akan mula menjelajah ke serata Malaysia untuk mencari pesertanya.

"Saya tidak sabar untuk sibukkan diri dengan pelbagai program sepanjang AF berlangsung kelak selain mengacara," kata pengacara itu yang menyambung semula kontrak sebagai artis eksklusif Astro selama dua tahun.

Jimmy mahu lima anak


TANGGAL 1 Oktober lalu tentu sahaja menjadi detik yang paling bermakna bagi pengacara popular berdarah kacukan, Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 31, apabila selamat menikahi gadis pilihannya, Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy, 24.

Biarpun gementar bersulam gembira, bekas pengacara Trek Selebriti itu mengakui terpaksa membuat lafaz nikah sebanyak tiga kali kerana perasaan gemuruh yang sukar dibendung.

Sebaik ikatan termeterai sebagai suami isteri, Jimmy mengakui itulah detik keramat bermulanya tanggungjawab besar dirinya sebagai ketua keluarga.

"Bergelar suami maka bermulalah cabaran dan asam garam dalam kehidupan berumahtangga.

"Saya yang lebih berusia daripada Suhaila insya-Allah lebih matang dan harap pelbagai gosip dan cerita negatif semakin berkurangan selepas ini," kata Jimmy.

Siapa sangka perkenalan empat tahun lalu antara dirinya dengan Nursuhaila di puncak Genting Highlands menjadi titik tolak bercambahnya rasa kasih di antara mereka.

Daripada seorang peminat kini Nursuhaila sah bergelar isteri kepada Jimmy.

Jimmy dan Suhaila dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Damansara, Mustaffa Kamal Abu Bakar dengan mas kahwin dan hantaran berjumlah RM31,186 di kediaman keluarga Suhaila di Bukit Rahman Putra.

Dengan tiga kali lafaz, Jimmy sah bergelar suami kepada Nursuhaila yang juga merupakan anak pengusaha kosmetik Natasya, Datin Muniroh Kassim.

Tidak mahu perkahwinan yang dibina dilambakkan dengan pelbagai spekulasi negatif terutamanya yang melibatkan harta, Jimmy mengharapkan agar para peminatnya sentiasa mendoakan yang terbaik agar jodoh mereka berkekalan hingga ke akhir hayat.

Masih belum memutuskan tentang destinasi berbulan madu, jelas Jimmy, sebelum ini pernah memasang niat untuk ke Tanah Suci menunaikan umrah bersama isterinya.

"Oleh kerana tempoh perkenalan kami secara serius agak singkat jadi saya rasa kami perlu menjalani proses saling mengenali dengan lebih mendalam selepas ini.

"Biarpun kami telah kenal hampir lima tahun tetapi secara serius ia hanya bermula pada Januari lalu.

"Banyak lagi yang perlu saya kenali tentang isteri saya. Sebagai suami saya menerima baik atau buruk isteri saya dan saya harap dia pun begitu," kata Jimmy.

Bagaimanapun, Jimmy turut menyatakan bahawa kemungkinan dia dan Nursuhaila hanya berbulan madu di Langkawi.

Ditebak persoalan tentang anak, tanpa berselindung Jimmy memberitahu dia tidak mahu berlengah untuk mendapatkan zuriat.

"Perkahwinan memang untuk menyambung zuriat. Saya pun dah tua dan insya-Allah kalau ada rezeki saya mahukan anak secepat mungkin.

"Kalau boleh saya mahukan lima orang anak iaitu empat lelaki dan seorang perempuan," katanya.

Sengaja persoalan tentang ramai anak lelaki yang diimpikannya diajukan, sambil berseloroh kata Jimmy, dia mahukan anak-anaknya nanti bermain bola bersamanya.

Jimmy turut menyimpan hasrat mempunyai kisah-kisah manis bersama isteri yang boleh dikongsikan kepada anak-anaknya kelak.

Ini termasuklah menjelajah Malaysia bersama isterinya dengan menaiki motor berkuasa tinggi dan juga mendaki puncak Gunung Kinabalu.

Hentikan kisah tidak benar-Zizie


RIAK wajah dan bahasa tubuhnya sudah cukup menggambarkan dia sedang menjalani kehidupan yang benar-benar menjadikannya seorang wanita sempurna.

Senyuman dan ketawa yang tidak lekang dari wajah mulusnya itu membuktikan pelakon kulit gebu, Zizie Ezette, 32, cukup bahagia dengan statusnya sebagai seorang isteri.

Meskipun pernikahannya dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, 51, telah mencetuskan perdebatan dan polemik, Zizie enggan ambil pusing tentang perkara itu.

Cuma, Zizie memohon kepada semua pihak agar untuk hentikan menyebar berita yang kurang manis berhubung rumah tangganya kerana tidak mahu ada pihak yang terluka lagi.

Aktres popular itu berkata demikian bagi menjawab dakwaan yang mengatakan dia kini satu-satunya isteri Bung Mokhtar selepas wakil rakyat itu dikatakan telah menceraikan isteri pertamanya.

"Cukup-cukuplah memperkatakan dan mensensasikan kisah rumah tangga kami. Jujurnya, keadaan semuanya telah dan berjalan dengan baik sekali. Saya tidak mahu cerita sebegini akan mengeruhkan kembali keadaan.

"Jika ada yang berterusan mahukan komen saya lagi selepas ini tentang madu saya, minta maaf kerana saya tidak akan menjawabnya. Saya perlu menjaga hati banyak pihak. Apa yang boleh saya katakan, semuanya dalam keadaan yang baik," katanya berkali-kali lalu mematikan terus topik hangat itu.

Zizie berkata demikian ketika ditemui pada malis rumah terbukanya yang diadakan di Taman Sering Ukay, Hulu Kelang, Selangor, malam Sabtu lalu.

Kehadiran dua orang anak Bung Mokhtar pada majlis itu sekali gus membuktikan mereka memang tidak mempunyai sebarang masalah apabila masing-masing begitu mesra antara satu sama lain.

Apabila diminta untuk bergambar bersama, Zizie dengan penuh diplomasi menolaknya dengan mengatakan biarlah dia dan suaminya sahaja yang menjadi titik tumpuan pada malam itu.

Bagi Zizie, apa yang penting buatnya kini adalah untuk meneruskan perjalanan hidupnya bersama suami tercinta yang benar-benar membuatkannya bersyukur dengan kurniaan Yang Maha Esa.

"Alhamdulillah, selepas 10 bulan mendirikan rumah tangga, terasa hidup saya begitu lengkap dengan adanya seorang suami di sisi. Tidak pernah saya membayangkan kebahagiaan yang saya kecapi seperti hari ini.

"Saya harus akui kehidupan saya sekarang memang sudah jauh berbeza ketika saya bujang dulu. Sekarang saya harus menumpukan fokus kepada suami dan menjadi seorang suri rumah sepenuh masa buat masa ini," luah Zizie jujur.

Kekok

Menyambung bicara, Zizie atau nama sebenarnya, Zizie Ezette Abd. Samad ini memberitahu kesibukannya sebagai seorang isteri membuatkannya jarang berada di ibu negara.

Ini kerana katanya, setiap dua minggu dia akan menemani suaminya pulang ke Sabah selama dua minggu.

Dua minggu lalu dihabiskan di Kuala Lumpur.

Zizie juga mengakui di awal perkahwinannya dia agak kekok dengan perubahan hidupnya terutama apabila melihat skop kerja suaminya sebagai seorang wakil rakyat.

"Sepanjang hidup saya, tidak pernah saya tahu rangkuman kerja seorang wakil rakyat itu dan saya pun memang tidak pernah ambil tahu sebelum ini.

"Namun, selepas bernikah dan memerhatikan kerja suami saya, barulah saya tahu kesibukan seorang wakil rakyat itu. Skop kerja mereka tidak ubah seperti seorang selebriti yang perlu bertemu dengan masyarakat hampir setiap hari.

"Secara tidak langsung, dunia kami berdua memang tidak banyak bezanya. Saya bersyukur dalam kesibukannya itu, dia tetap menjaga dan melayan saya dengan baik lalu membuktikan dia seorang suami yang bertanggungjawab," ujar aktres yang mula menempa nama menerusi filem Kekasih Awal dan Akhir ini bersungguh.

Rezeki

Bukan hendak meninggi diri atau mahu menggambarkan perkahwinannya adalah sempurna, tetapi bagi Zizie, suaminya itu seorang yang cukup baik dan menjalankan tugasnya sebagai suami dengan penuh dedikasi.

Mengenai cahaya mata pula, kakak kepada aktor Shaheizy Sam ini memang sudah benar-benar bersedia untuk bergelar seorang ibu.

"Saya menyerahkan segala-galanya kepada Allah untuk mengurniakan rezeki kepada kami berdua," katanya sambil menafikan dirinya kini sudah berbadan dua.

Pada majlis itu, Zizie memang menarik perhatian ramai terutama pihak media yang kagum dengan penampilannya yang semakin langsing.

Zizie hanya ketawa besar apabila ada seorang wakil media mengusiknya dengan mengatakan dia kurus kerana melakukan penyedutan lemak.

"Saya tidak akan buat perkara-perkara yang membahayakan itu. Saya kini banyak mengikuti kelas senaman dan aktiviti lasak seperti latihan angkat berat, kickboxing dan hot yoga.

"Hasilnya, saya kini menghampiri berat badan ideal saya iaitu 55 kilogram. Berbanding ketika berkahwin, berat badan saya mencecah 65 kilogram sehingga semua baju saya tidak muat lagi. Kerana itu, saya berazam untuk menguruskan badan," katanya optimis.

Kahwin bukan untuk sehari dua


HUBUNGAN cinta juara Raja Lawak 2, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil dengan buah hati pengarang jantungnya, Irma Hasmie bukan lagi satu rahsia.

Umum pun sudah mengetahui betapa seriusnya hubungan mereka berdua sehinggakan peminat mereka sendiri pun menggesa agar mereka segera berkahwin bagi mengelakkan cerita buruk terus menghimpit mereka.

Baik Nabila atau Irma, masing-masing sudah pun mengakui memang ada memikirkan soal rumah tangga dan perancangan untuk masa depan mereka berdua.

Kalau semuanya sudah lengkap serba-serbi, memang tiada masalah untuk berkahwin dengan segera.

"Tetapi, saya dan Irma mahu melengkapkan diri kami dengan mengumpul duit sebanyak yang mungkin sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin. Semuanya demi melengkapkan diri kami untuk kehidupan selepas berkahwin itu nanti.

"Perkahwinan bukan untuk sehari dua tetapi ia adalah ikatan suci yang perlu dijaga sehingga ke akhir hayat.

"Kalau ditanya kepada saya, memang saya sudah bersedia tetapi seperti mana yang saya katakan tadi, saya perlu bekerja keras untuk menyiapkan diri saya terlebih dahulu," demikian luahan jujur Nabil ketika ditemui baru-baru ini.

Anak jati Negeri Sembilan ini memang tidak berselindung tentang soal perkahwinan dan dia sendiri mengakui dia bakal menamatkan zaman bujangnya tahun depan.

Namun, dia dan Irma masih lagi belum memutuskan tarikh yang sesuai untuk hari bahagia mereka itu.

Memperkatakan mengenai perkahwinannya, seboleh-bolehnya dia mahu melakukannya secara kecil-kecilan dan melaksanakan perkara yang wajib sahaja.

Tetapi, pemuda ini cukup sedar. Dengan kedudukannya sebagai selebriti ternama, mana mungkin untuk dia mengadakan majlis sedemikian rupa.

"Susah juga apabila difikirkan tentang perkara ini khususnya senarai jemputan. Kalau kita buat majlis yang kecil, pasti akan dipersoal. Begitu juga kalau dibuat secara besar-besaran, orang akan mula mengatakan kita cuba menunjuk-nunjuk dan bersikap riak.

"Saya dan Irma pun masih belum duduk berbincang tentang perkahwinan kami kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya.

Apa yang pasti, kami berdua tidak mahu membazir dalam menyempurnakan majlis perkahwinan kami," kata Nabil bersungguh.

Menyebut tentang perkahwinan, Nabil sebenarnya memiliki satu impian yang sudah lama dipendam walaupun dia tahu memang mustahil untuk dilaksanakannya.

"Saya selalu fikir kalaulah saya ini seorang hartawan yang memiliki wang yang banyak, saya akan menjemput semua anak-anak yatim di seluruh Malaysia untuk menghadiri majlis perkahwinan saya," ujarnya lagi.

Julia tekad bangkit semula


INSIDEN tarik rambut di sebuah pusat beli-belah terkemuka negara tiga tahun lalu meninggalkan kesan mendalam pada perjalanan karier seni pelakon dan bekas anggota kumpulan X-pose, Julia Hana Kamaruddin atau Julia.

Bukan hanya menjejaskan karier malah mengaibkan nama keluarga pelakon yang popular menerusi drama bersiri Gerak Khas itu. Biarpun insiden berlaku tiga tahun lalu, kesannya masih terasa buat Julia.
Akibat peristiwa itu, Julia patah semangat untuk meneruskan pembabitannya dalam seni. Namun, dorongan daripada keluarga dan rakan membuatkan dia bangun semula malah semangat mahu berusaha gigih dan tidak kenal erti putus asa membuatkan dirinya masih membabitkan diri dalam dunia seni.


Walaupun jarang kelihatan muncul di televisyen dan layar perak, Julia berasa bertuah kerana masih mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah tempatan.

Menurut Julia, hendak diikutkan dia memang kecewa kerana akibat insiden itu ramai melabelkan dirinya bermasalah dan gadis kontroversi walaupun kejadian itu sudah berlalu.


"Orang tidak tahu bagaimana saya menanggung derita terhadap apa yang berlaku. Sehingga sekarang kesannya masih terpahat di lubuk hati. Memang sukar untuk melupakan kejadian itu.

"Saya juga terkilan apabila setiap kali keluar berita mengenai saya, pasti insiden itu dikaitkan. Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, biarlah insiden itu menjadi pengajaran buat kita semua.

"Kalau ikutkan, saya tidak mahu lagi berbicara mengenai insiden itu. Begitupun, bagaimana hendak melupakannya jika tanggapan orang luar mengenai insiden itu tetap sama. Tidak dinafikan, sehingga kini saya masih malu. Saya jarang keluar rumah jika tidak terbabit di lokasi penggambaran," katanya.


Kata Julia, hatinya tambah kecewa apabila diberitahu peguamnya yang mereka tidak dapat mengesan lelaki yang menyamar sebagai Datuk S bersama isterinya itu. Jadi, kes berkenaan tidak dapat didakwa ke mahkamah dan kes itu terpaksa tutup begitu saja.


"Saya percaya mereka sudah melarikan diri selepas mengetahui mereka bakal didakwa di mahkamah. Baik suami mahupun isterinya sama saja, penipu besar dan menyamar sebagai orang ternama. Saya hanya berharap tiada lagi insan yang terkena seperti saya.

"Pada mulanya memang saya kecewa apabila insiden ini berakhir begitu saja tanpa keadilan memihak pada diri saya. Namun, saya pasrah dengan apa yang berlaku. Mungkin ini ujian yang ditentukan Tuhan.

"Saya tidak menyimpan dendam dan boleh melupakan serta memaafkan mereka, namun parut di hati tetap ada. Boleh dikatakan ini ujian paling besar terpaksa saya tempuhi sepanjang lebih sedekad terbabit dalam dunia seni," katanya.


Julia memaklumkan, dia masih aktif berlakon tapi mungkin penampilannya tidak disedari kerana terbabit dalam beberapa drama tertentu dan memainkan peranan kecil.

Begitupun, Julia yang membawa watak Hana dalam filem Senario Asam Garam yang ditayangkan di pawagam sepanjang Aidilfitri memberitahu, dia kini lebih selesa membawa watak perempuan matang dan sopan berbanding imej seksi yang cukup sinonim dengan dirinya suatu masa dulu sesuai dengan usia mencecah 33 tahun.


Pelakon yang membintangi filem Remp-It ini agak kecewa dengan senario industri seni tanah air yang kurang prihatin mengenai bayaran artis.


"Saya masih berlakon dalam drama televisyen. Mungkin drama berkenaan tidak disiarkan pada waktu puncak disebabkan itu tidak ramai yang perasan kemunculan saya.

"Memang tidak dinafikan saingan dalam dunia seni cukup sengit. Saban hari ada saja bakat baru dan bintang realiti yang muncul. Secara tidak langsung ini turut mempengaruhi bayaran untuk setiap watak yang diberikan.

"Ada penerbit dan produksi tempatan masih membayar harga yang rendah kepada pelakon lama atau yang sudah ada nama. Situasi ini cukup mengecewakan. Buat masa ini saya perlu selektif mengenai pemilihan watak. Pemilihan watak memainkan peranan penting supaya kerja yang dilakukan berbaloi.

"Tidak dinafikan kualiti artis sekarang tidak sama seperti dulu. Cuba kita membuat perbandingan nama pelakon legenda suatu masa dahulu seperti Noorkumalasari dan Noreen Nor sehingga kini sukar mencari pengganti mereka," katanya.


Sisi peribadi Julia juga tidak pernah sepi daripada perhatian umum. Tidak cukup dengan pernah menjalinkan hubungan dengan seorang bergelar Datuk, selain menjalinkan hubungan dengan warga Inggeris, Julia dikatakan sudah berkahwin secara senyap-senyap pada pertengahan tahun lalu.


Begitupun, dia menafikan dakwaan itu, sebaliknya memberitahu memang dia mempunyai seorang teman istimewa, namun mereka masih dalam peringkat mengenal hati budi masing-masing. Perkenalan hampir enam bulan itu menerbitkan bibit cinta antara mereka. Begitupun masih terlalu awal untuk bercerita lanjut mengenainya. Malah dia berharap peminat mendoakan kebahagiaan mereka.

Debaran Ramlah Ram


UMUM mengetahui penyanyi Ramlah Ram sudah bercerai dengan Penerbit Sukan RTM, Kamal Roslim sejak Julai lalu. Meraikan sambutan raya kali ini tanpa bekas suaminya, Ramlah bagaimanapun tidak banyak merasakan perbezaannya.

Beraya di rumah ibunya yang terletak di Muar, Johor, Ramlah memberitahu, satu-satunya perbezaan raya tahun ini adalah dia tidak pulang ke rumah bekas mertuanya. “Tahun ini saya beraya sepenuhnya di rumah ibu. Perceraian itu tidak membuatkan sambutan raya saya kurang meriah.

“Apa yang berlainan cuma saya tidak pulang ke rumah mertua. Nasib baik keluarga saya juga sudah mengetahui dan mereka memahami situasi saya. Jadi tidak ramai yang bertanya mengenainya,” kata Ramlah ketika ditemui di studio Utusan, baru-baru ini.

Mahu memberi fokus kepada kariernya, Ramlah yang popular menerusi lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu kini sedang bersedia untuk Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram yang bakal berlangsung pada 9 Oktober di Hotel Impiana KLCC, Kuala Lumpur.

“Setakat ini lebih 50 peratus meja sudah habis dijual. Atas permintaan ramai di laman sosial Facebook, kami juga membuka ruangan baru yang mana peminat hanya membayar RM50 untuk berhibur tanpa menjamu selera. Cuma ruangan itu hanya akan memuatkan lebih kurang 70 peminat,” tambah Ramlah.

Persembahan itu juga hanya menjual 26 buah meja dengan harga di

antara RM200, RM300, RM500 dan RM700. Dianjurkan oleh kelab peminatnya, Ramlah Ram Group (RRG), persembahan kali ini dikirakan antara majlis terbesar dalam sejarah pembabitannya sebagai penyanyi.

Memandangkan tarikh persembahan semakin dekat, Ramlah mula membuat persediaan lebih terutama dari segi stamina. “Sekarang musim batuk dan demam. Jadi saya kena jaga dari segi pemakanan kerana ada kalanya tekak saya tidak sihat.

“Selebihnya saya hanya akan berlatih dengan band seminggu sebelum persembahan. Band saya telah berlatih selama tiga bulan. Latihan perlu dibuat rapi kerana ini merupakan persembahan paling penting saya dengan peminat.

“Lagipun saya tidak pernah menyanyi begitu banyak lagu dalam satu malam. Memang saya rasa berdebar dan risau. Tapi memikirkan saat menghiburkan peminat itu memberikan saya semangat,” ujarnya lagi.

Bakal menjemput mereka yang pernah membantu dalam kariernya, Ramlah sudah memilih seleksi lagu yang ingin disampaikan malam tersebut. Ada juga di antara lagu yang dipilih merupakan permintaan peminat di laman sosial Facebook.

“Selain daripada permintaan peminat, saya juga akan menyampaikan lagu daripada album pertama serta beberapa lagu semasa awal penglibatan saya dalam industri. Menariknya, lagu-lagu lama itu akan diberi gubahan baru dan lebih segar,” katanya yang akan menyampaikan lebih 25 buah lagu.

Bagi mereka yang berminat untuk membeli tiket persembahan Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram, anda boleh menelefon Mirul di talian 016-288 2891, Rizal di talian 012-300 9928 atau Fazli di talian 019-215 2306. Untuk keterangan lanjut, sila layari laman web www.ramlahram.com.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails