Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Julia tekad bangkit semula
INSIDEN tarik rambut di sebuah pusat beli-belah terkemuka negara tiga tahun lalu meninggalkan kesan mendalam pada perjalanan karier seni pelakon dan bekas anggota kumpulan X-pose, Julia Hana Kamaruddin atau Julia.
Bukan hanya menjejaskan karier malah mengaibkan nama keluarga pelakon yang popular menerusi drama bersiri Gerak Khas itu. Biarpun insiden berlaku tiga tahun lalu, kesannya masih terasa buat Julia.
Akibat peristiwa itu, Julia patah semangat untuk meneruskan pembabitannya dalam seni. Namun, dorongan daripada keluarga dan rakan membuatkan dia bangun semula malah semangat mahu berusaha gigih dan tidak kenal erti putus asa membuatkan dirinya masih membabitkan diri dalam dunia seni.
Walaupun jarang kelihatan muncul di televisyen dan layar perak, Julia berasa bertuah kerana masih mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah tempatan.
Menurut Julia, hendak diikutkan dia memang kecewa kerana akibat insiden itu ramai melabelkan dirinya bermasalah dan gadis kontroversi walaupun kejadian itu sudah berlalu.
"Orang tidak tahu bagaimana saya menanggung derita terhadap apa yang berlaku. Sehingga sekarang kesannya masih terpahat di lubuk hati. Memang sukar untuk melupakan kejadian itu.
"Saya juga terkilan apabila setiap kali keluar berita mengenai saya, pasti insiden itu dikaitkan. Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, biarlah insiden itu menjadi pengajaran buat kita semua.
"Kalau ikutkan, saya tidak mahu lagi berbicara mengenai insiden itu. Begitupun, bagaimana hendak melupakannya jika tanggapan orang luar mengenai insiden itu tetap sama. Tidak dinafikan, sehingga kini saya masih malu. Saya jarang keluar rumah jika tidak terbabit di lokasi penggambaran," katanya.
Kata Julia, hatinya tambah kecewa apabila diberitahu peguamnya yang mereka tidak dapat mengesan lelaki yang menyamar sebagai Datuk S bersama isterinya itu. Jadi, kes berkenaan tidak dapat didakwa ke mahkamah dan kes itu terpaksa tutup begitu saja.
"Saya percaya mereka sudah melarikan diri selepas mengetahui mereka bakal didakwa di mahkamah. Baik suami mahupun isterinya sama saja, penipu besar dan menyamar sebagai orang ternama. Saya hanya berharap tiada lagi insan yang terkena seperti saya.
"Pada mulanya memang saya kecewa apabila insiden ini berakhir begitu saja tanpa keadilan memihak pada diri saya. Namun, saya pasrah dengan apa yang berlaku. Mungkin ini ujian yang ditentukan Tuhan.
"Saya tidak menyimpan dendam dan boleh melupakan serta memaafkan mereka, namun parut di hati tetap ada. Boleh dikatakan ini ujian paling besar terpaksa saya tempuhi sepanjang lebih sedekad terbabit dalam dunia seni," katanya.
Julia memaklumkan, dia masih aktif berlakon tapi mungkin penampilannya tidak disedari kerana terbabit dalam beberapa drama tertentu dan memainkan peranan kecil.
Begitupun, Julia yang membawa watak Hana dalam filem Senario Asam Garam yang ditayangkan di pawagam sepanjang Aidilfitri memberitahu, dia kini lebih selesa membawa watak perempuan matang dan sopan berbanding imej seksi yang cukup sinonim dengan dirinya suatu masa dulu sesuai dengan usia mencecah 33 tahun.
Pelakon yang membintangi filem Remp-It ini agak kecewa dengan senario industri seni tanah air yang kurang prihatin mengenai bayaran artis.
"Saya masih berlakon dalam drama televisyen. Mungkin drama berkenaan tidak disiarkan pada waktu puncak disebabkan itu tidak ramai yang perasan kemunculan saya.
"Memang tidak dinafikan saingan dalam dunia seni cukup sengit. Saban hari ada saja bakat baru dan bintang realiti yang muncul. Secara tidak langsung ini turut mempengaruhi bayaran untuk setiap watak yang diberikan.
"Ada penerbit dan produksi tempatan masih membayar harga yang rendah kepada pelakon lama atau yang sudah ada nama. Situasi ini cukup mengecewakan. Buat masa ini saya perlu selektif mengenai pemilihan watak. Pemilihan watak memainkan peranan penting supaya kerja yang dilakukan berbaloi.
"Tidak dinafikan kualiti artis sekarang tidak sama seperti dulu. Cuba kita membuat perbandingan nama pelakon legenda suatu masa dahulu seperti Noorkumalasari dan Noreen Nor sehingga kini sukar mencari pengganti mereka," katanya.
Sisi peribadi Julia juga tidak pernah sepi daripada perhatian umum. Tidak cukup dengan pernah menjalinkan hubungan dengan seorang bergelar Datuk, selain menjalinkan hubungan dengan warga Inggeris, Julia dikatakan sudah berkahwin secara senyap-senyap pada pertengahan tahun lalu.
Begitupun, dia menafikan dakwaan itu, sebaliknya memberitahu memang dia mempunyai seorang teman istimewa, namun mereka masih dalam peringkat mengenal hati budi masing-masing. Perkenalan hampir enam bulan itu menerbitkan bibit cinta antara mereka. Begitupun masih terlalu awal untuk bercerita lanjut mengenainya. Malah dia berharap peminat mendoakan kebahagiaan mereka.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]