Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Jimmy mahu lima anak


TANGGAL 1 Oktober lalu tentu sahaja menjadi detik yang paling bermakna bagi pengacara popular berdarah kacukan, Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 31, apabila selamat menikahi gadis pilihannya, Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy, 24.

Biarpun gementar bersulam gembira, bekas pengacara Trek Selebriti itu mengakui terpaksa membuat lafaz nikah sebanyak tiga kali kerana perasaan gemuruh yang sukar dibendung.

Sebaik ikatan termeterai sebagai suami isteri, Jimmy mengakui itulah detik keramat bermulanya tanggungjawab besar dirinya sebagai ketua keluarga.

"Bergelar suami maka bermulalah cabaran dan asam garam dalam kehidupan berumahtangga.

"Saya yang lebih berusia daripada Suhaila insya-Allah lebih matang dan harap pelbagai gosip dan cerita negatif semakin berkurangan selepas ini," kata Jimmy.

Siapa sangka perkenalan empat tahun lalu antara dirinya dengan Nursuhaila di puncak Genting Highlands menjadi titik tolak bercambahnya rasa kasih di antara mereka.

Daripada seorang peminat kini Nursuhaila sah bergelar isteri kepada Jimmy.

Jimmy dan Suhaila dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Damansara, Mustaffa Kamal Abu Bakar dengan mas kahwin dan hantaran berjumlah RM31,186 di kediaman keluarga Suhaila di Bukit Rahman Putra.

Dengan tiga kali lafaz, Jimmy sah bergelar suami kepada Nursuhaila yang juga merupakan anak pengusaha kosmetik Natasya, Datin Muniroh Kassim.

Tidak mahu perkahwinan yang dibina dilambakkan dengan pelbagai spekulasi negatif terutamanya yang melibatkan harta, Jimmy mengharapkan agar para peminatnya sentiasa mendoakan yang terbaik agar jodoh mereka berkekalan hingga ke akhir hayat.

Masih belum memutuskan tentang destinasi berbulan madu, jelas Jimmy, sebelum ini pernah memasang niat untuk ke Tanah Suci menunaikan umrah bersama isterinya.

"Oleh kerana tempoh perkenalan kami secara serius agak singkat jadi saya rasa kami perlu menjalani proses saling mengenali dengan lebih mendalam selepas ini.

"Biarpun kami telah kenal hampir lima tahun tetapi secara serius ia hanya bermula pada Januari lalu.

"Banyak lagi yang perlu saya kenali tentang isteri saya. Sebagai suami saya menerima baik atau buruk isteri saya dan saya harap dia pun begitu," kata Jimmy.

Bagaimanapun, Jimmy turut menyatakan bahawa kemungkinan dia dan Nursuhaila hanya berbulan madu di Langkawi.

Ditebak persoalan tentang anak, tanpa berselindung Jimmy memberitahu dia tidak mahu berlengah untuk mendapatkan zuriat.

"Perkahwinan memang untuk menyambung zuriat. Saya pun dah tua dan insya-Allah kalau ada rezeki saya mahukan anak secepat mungkin.

"Kalau boleh saya mahukan lima orang anak iaitu empat lelaki dan seorang perempuan," katanya.

Sengaja persoalan tentang ramai anak lelaki yang diimpikannya diajukan, sambil berseloroh kata Jimmy, dia mahukan anak-anaknya nanti bermain bola bersamanya.

Jimmy turut menyimpan hasrat mempunyai kisah-kisah manis bersama isteri yang boleh dikongsikan kepada anak-anaknya kelak.

Ini termasuklah menjelajah Malaysia bersama isterinya dengan menaiki motor berkuasa tinggi dan juga mendaki puncak Gunung Kinabalu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails