Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sarimah bahagia sendirian


SUNGGUHPUN mahligai yang dibinanya bersama lelaki bernama Amir Andrew Abdullah, 39, telah menemui titik penamatnya pada Disember 2008, Sarimah Ibrahim, 32, tidak pernah rasa kesunyian.

Dikenali sebagai seorang yang gila-gila, kelakar dan banyak cakap, kehidupan pengacara popular itu selepas bercerai sedikit pun tidak memudarkan rutin hariannya.

Sarimah dilihat menempuhi detik-detik sukar itu dengan penuh kecekalan dan tabah di samping teman-teman yang sentiasa memberi sokongan.

Ketika ditemui baru-baru ini, Sarimah menjelaskan, dia kini rasa cukup bahagia bersendirian tanpa insan bergelar suami mahupun kekasih hati.

Pada majlis minum petang yang diadakan di Restoran Delicious, Bangsar Village 2 baru-baru ini, Sarimah menjelaskan, sepanjang dua tahun memegang status janda, keluarga dan teman banyak memainkan peranan mereka.

Kata Sarimah, keluarga dan teman banyak memberikan dorongan dan sokongan agar hidup perlu diteruskan walau apa jua yang terjadi.

"Pada awal penceraian, saya akui tiada kekuatan untuk menempuhi masa mendatang.

"Namun, atas kata-kata nasihat yang diterima daripada orang sekeliling, saya temui semula kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

"Saya mula libatkan diri dengan pelbagai aktiviti seperti kelas pilates," ujar pengacara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) itu.

Namun, selepas setahun keseorangan, Sarimah sempat bermain cinta dengan seorang pemuda Melayu yang dirahsiakan identitinya.

Malangnya, hubungan yang terjalin selama dua bulan itu tidak mampu mendaki lebih tinggi apabila masing-masing mengucapkan kata putus terhadap cinta mereka.

Alasannya, Sarimah tidak sanggup melepaskan karier yang telah digalasnya selama 14 tahun demi cintanya terhadap si jejaka.

Sekali lagi Sarimah dirundung kesedihan. Akan tetapi, keruntuhan rumah tangga yang dialaminya sebelum itu dijadikan sebagai pendorong untuk melupakan kekasih amat disayanginya itu.

Pilates tenangkan Sarimah

Dalam kesibukannya memenuhi pelbagai undangan kerjaya seni, Sarimah masih mencari ruang dan waktu untuk diri sendiri.

Aktiviti yang menjadi pilihan Sarimah ialah senaman pilates. Seperti yang diketahui ramai, pilaters merupakan senaman yoga yang membantu menguatkan tubuh badan melalui pelbagai teknik latihan sama ada menggunakan mesin atau tidak.

"Sejak mula aktif menyertai kelas pilates, jiwa saya lebih tenang dan tubuh saya sentiasa segar.

"Pilates mampu menghilangkan rasa stres saya ketika bekerja. Sedikit sebanyak, saya lupa yang kini saya bersendirian.

"Saya juga masih lagi aktif dengan kelas karate yang telah lama saya sertai serta sering pergi ke gimnasium untuk mengisi kekosongan masa yang terluang," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Sarimah memberitahu, dia begitu menitikberatkan penampilannya agar kelihatan menawan di samping menjaga kesihatan tubuh badannya.

"Umum mengetahui, saiz badan kita akan kelihatan lebih besar di kaca televisyen berbanding jika dilihat secara berhadapan.

"Jadi, saya akan pastikan tubuh badan saya lebih ramping dan kecil supaya tidak nampak besar di kaca televisyen," jelas Sarimah yang juga pengacara program realiti The Biggest Loser Asia (TBLA) musim pertama itu.

Sarimah jawab kontroversi TBLA

Memandangkan TBLA musim kedua sudah pun memulakan siarannya pada 21 September lalu, ketiadaan Sarimah sebagai hos dengan digantikan Marion Caunter mula menjadi buah mulut ramai pihak.

Timbul khabar angin yang mengatakan Sarimah terlalu demand dalam meletakkan bayaran selaku hos program popular tersebut.

Apa sahaja spekulasi yang didebatkan, Sarimah mempunyai alasannya tersendiri untuk menolak pelawaan sebagai hos TBLA2.

Memetik kata-kata Sarimah, pentas hiburan di Malaysia sememangnya sebuah industri yang kecil.

Namun, negara kita tidaklah ketandusan dalam melahirkan bakat-bakat seni yang boleh dipersendakan melalui bayaran yang ditawarkan.

"Itulah situasi yang saya alami apabila pihak produksi rancangan itu datang berjumpa saya untuk menawarkan kontrak sebagai hos.

"Saya bukanlah meletakkan harga yang tinggi tapi setiap orang walau tukang cuci pun berharap mendapat bayaran yang sewajarnya," katanya menjawab kontroversi itu.

Sarimah juga menerangkan, faktor kedua yang dipertikaikan adalah mengenai prosedur pemakaian yang ditetapkan pihak produksi sebagai syarat.

"Lontaran suara peminat yang tidak mahu melihat saya memakai pakaian menjolok mata membuatkan saya membuat keputusan untuk menolak tawaran tersebut," tambah Sarimah yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Apokalips arahan Mamat Khalid.

Sementara itu, pelantun lagu Damai dan Kini Kau Tiada itu mengumumkan, dia mungkin akan dipilih semula sebagai hos program realiti nombor satu, AF musim kesembilan.

Katanya, dia tidak sabar menunggu kedatangan semula AF dengan kerenah para pelajarnya yang pelbagai.

"Diam tak diam, AF musim seterusnya akan mula menjelajah ke serata Malaysia untuk mencari pesertanya.

"Saya tidak sabar untuk sibukkan diri dengan pelbagai program sepanjang AF berlangsung kelak selain mengacara," kata pengacara itu yang menyambung semula kontrak sebagai artis eksklusif Astro selama dua tahun.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails