Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Edry (KRU) Kurus Bukan Kerana Sakit

PETALING JAYA: Komposer dan pengarah filem terkenal, Edry Abdul Halim menyangkal dakwaan bahawa saiz fizikal dirinya yang semakin kurus sejak kebelakangan ini kerana menghidap sebarang penyakit. Edry, 36, berkata, perubahan fizikalnya itu adalah disebabkan kesedaran tentang perlunya dia menjaga kesihatan diri dan mengakui mengunjungi pusat kecergasan setiap hari. "Alhamdulilah saya sihat dan setakat ini tidak mempunyai sebarang penyakit dan perubahan fizikal saya tiada kena mengena dengan perkara itu. "Saya kurus kerana saya bersenam setiap hari kerana ingin memastikan badan saya sentiasa sihat dan bertenaga," ujarnya kepada mStar Online. Tambah Edry, dia berharap dapat memberikan inspirasi kepada masyarakat tentang pengamalan dan kepentingan gaya hidup sihat. Dalam pada itu, Edry memberitahu, dia mendapat kesedaran untuk mengurangkan berat badanya selepas menonton rakaman konsert KRU di Dataran Merdeka pada tahun 2003 apabila mendapati dirinya kelihatan berisi. Kata Edry, bertitik tolak daripada itu dia mengambil keputusan untuk mengubah gaya hidup dan mengamalkan senaman secara berterusan. "Ketika itu berat badan saya mencecah 90 kilogram dan kini saya kekal pada angka 76 kilogram. Tetapi ia bukan sekadar nombor semata-mata tetapi apa yang lebih penting kita menjaga kesihatan dan melakukan senaman secara kerap," ujarnya. Sementara itu, Edry berkata, selain senaman di pusat kesihatan dia juga turut menyertai tiga kelab bola sepak berbeza dan sering menghabiskan masa dengan bersukan jika mempunyai masa terluang. Edry memberitahu dengan cara itu dia dapat beergerak aktif selain dapat merapatkan silaturahim di antara kenalan di padang bola. "Ia adalah aktiviti menyihatkan dan ia juga dapat merapatkan hubungan antara rakan-rakan selain dapat berkumpul dan melakukan aktiviti lain," katanya. Dalam perkembangan lain, filem arahan terbaru Edry berjudul 29 Februari sedang ditayangkan dipawagam dan ia adalah filem pertama menggunakan tiga dimensi (3D) yang menampilkan pelakon Remy Ishak dan Jojo Goh sebagai tunjang utama.

Shila Amzah perjelas isu persenda hijab

Selepas dicemuh kerana dikatakan mempersendakan hijab berikutan penampilannya yang tidak bertudung dalam program raya, penyanyi dan pelakon, Shila Amzah tampil memberi penjelasan berhubung isu tersebut. "Saya terima banyak teguran dan kritikan akibat penyiaran itu. Mungkin mereka tidak tahu rakaman itu dilakukan sebelum saya bertudung. Ramai yang menyalahkan saya dan menuduh saya bertudung itu hanya sekadar 'hangat-hangat tahi ayam'. Malah ada yang menganggap saya mempersendakan hijab. "Saya kecewa dan terkilan dengan apa yang berlaku. Namun saya tidak menyalahkan stesen tv dalam situasi ini. Walaupun saya cuba menyepikan diri seketika, namun saya sedar masih ada peminat yang menyokong saya dari belakang," katanya kepada Sinar Harian. Menurutnya, walaupun dirinya ditimpa pelbagai kontroversi, dia tetap menjaga karier nyanyiannya, dan baru-baru ini dia telah mengambil keputusan untuk mengaktifkan kembali akaun Twitternya selepas menutup laman sosialnya sejak seminggu lalu. "Banyak respon saya terima sehingga saya rasa bersalah dengan peminat pula. Ada yang suka dan ada juga tidak suka. Apa pun, demi peminat saya kembali mengaktifkan Twitter saya," kata pelantun "Patah Seribu". Dalam perkembangan lain, Shila bakal menyertai pertandingan Asian Wave di kota Shanghai pada 18 September nanti. "Pada 31 Ogos (hari ini) ini saya akan berangkat ke sana selama seminggu. Jika saya berjaya melepasi peringkat saringan, saya akan berentap sekali lagi pada 18 September nanti. "Saya sangat berbangga kerana dapat mewakili Malaysia dalam pertandingan besar ini. Sebelum ini, memang saya berhasrat untuk berkunjung ke Shanghai," katanya.

Syukur Nad Zainal

WALAUPUN lambat dikenali, pelakon bernama Nad Zainal tetap bersyukur tatkala menyelusuri hari demi hari sepanjang bergelar anak seni. Hasil kesabaran itu lumayan, Nad Zainal kini meniti dari bibir ke bibir. Sungguhpun dia bukanlah nama besar tetapi namanya kini sudah diadili berdasarkan bakat dan bukan cerita sensasi. “Syukur, tahun 2012 adalah tahun yang paling baik untuk saya setakat ini. Banyak tawaran kerja yang datang dan saya menjadi lebih matang berbanding tahun-tahun terdahulu,” ujar aktres dengan nama berdaftar Nadia Zainal Abidin itu. Ujarnya titik mula namanya dikenali terjadi selepas dia berlakon drama Memberku, Hawa dan diikuti dengan Bukan Bidadari yang kini bersiaran di saluran pada setiap hari Selasa pukul 9 malam. “Jujurnya ada tawaran yang mula ditolak kerana kesuntukan masa. Tetapi saya anggap itu semua ke arah positif dan saya gembira dengan perkembangan serius kerjaya saya,” luahnya yang sebelum ini mengaku hanya diberi karakter komedi atau cilik sahaja. Keserasiannya mula kelihatan apabila gadis berumur 22 tahun itu digandingkan dengan pelakon Sharnaaz Ahmad. Melalui beberapa cabaran untuk melakonkan wataknya sebagai Inas dalam Bukan Bidadari, Nad mengaku Sharnaaz banyak membantunya. “Sangat senang bekerja dengan Sharnaaz. Kalau seseorang itu sudah memang bagus, jadi dia akan sentiasa menyenangkan kerja dan itulah Sharnaaz. Saya seronok bekerja dengannya dan pengarah juga berasakan kami ikhlas dan rajin dalam memberi idea,” ujar Nad tentang watak dalam drama bersiri yang merangkumi 13 episod itu mendapat sentuhan dari pengarah Faizal Ishak serta turut dibintangi oleh Azlee Khairi, Sara Ali, Fiza Halim, Azhar Sulaiman dan ramai lagi. Drama Bukan Bidadari menurut Nad memberi impak yang semakin ketara terhadapnya. Tertawa sebelum meneruskan kata, dia mengaku sudah nampak akan perubahan tersebut. “Kalau keluar rumah, sudah ada mak cik - mak cik yang senyum tiba-tiba. Maksudnya sudah ada yang kenal. Ini juga perkembangan positif buat saya. Mula-mula gemuruh juga dibuatnya tetapi kini sudah biasa,” ketawanya kecil dalam nada sedikit segan. Untuk tahun hadapan, Nad mengaku sudah menyusun perancangan. Mahu kekal dalam suasana sebegini namun dalam masa yang sama dia berniat untuk memperbaiki kekurangan yang ada dalam skil lakonannya. “Buat tahun ini, saya baru selesai penggambaran filem Kami Histeria bersama Diana Danielle, Mila, Sara Ali dan Afdlin Shauki. Kemudian saya terlibat dengan drama Samarinda dan membawakan watak bawang yang baik,” ketawanya mengakhiri perbualan dan keliru antara bawang putih atau merah yang bersifat protagonis.

Hijab itu indah - Aida Khalida

BANYAK mengawasi diri dan sentiasa bersyukur, wajah Aida Khalida jelas mempamerkan amalannya itu. Merendah diri dalam berbicara, pembawa watak ibu Razif (Rosyam Nor) dalam siri drama Trilogi Cinta 2 ini banyak menyebut perkataan syukur dalam bait ayatnya. Sebagai informasi, drama Trilogi Cinta 2 akan ditayangkan bermula 6 September ini di saluran TV1 pukul 10 malam. "Saya sukakan tudung labuh dan berfesyen mengikut syariah. Dahulu, mula-mula berhijrah agak teruja mencuba pelbagai gaya fesyen tetapi kini mahu kelihatan santai dan bertutup," ujarnya yang tampak tenang dan banyak tersenyum cantik. Tawaran kerja terus menghujani dirinya, sama seperti dahulu. Ujar Aida yang penting dalam kerjaya adalah sentiasa perlu jujur dan tidak mendambakan balasan dalam setiap perbuatan. "Setiap tawaran adalah rezeki Allah dan kita harus jujur dengan segala perlaksanaan kita," ujarnya yang bari selesai penggambaran drama Julia, lakonan bersama Nabila Huda untuk slot Akasia. Diminta memberi komentar tentang penghijrahan dan impak tawaran selepas berhijab, Aida senyum dan menjawab: "Kita perlu kenal Allah, percayakan dia dan rezeki-Nya. Perlu kenal diri juga, jadi baru faham erti rezeki dan semuanya. Yang penting juga perlu faham dengan niat dan makna berhijrah. Semua ini hidayah Allah dan kena buat betul-betul. Hijrah itu perlu suci." Tidak menolak bahawa berhadapan dengan ujian serta dugaan hidup selepas bertukar gaya, Aida menambah bahawa semua yang dilaluinya adalah kuasa Yang Maha Mencipta. Yakin diberikan ujian kerana disayangi Allah, ulas Aida lagi itu semua ialah ujian kepada ketebalan iman seseorang. "Kalau saya tahu indahnya memakai hijab ini, dari dahulu saya laksanakan. Tetapi ini semua adalah perjalanan hidup saya dan saya belajar tentang kehidupan. Sekarang saya sangat tenang," tambahnya yang mengaku tidak pernah merancang untuk bertudung dan niat itu muncul pada bulan Rejab tahun 2008. "Saya tidak rindukan Aida yang dahulu. Saya lebih tenang begini. Bagi saya dengan berhijab, saya cantik di mata Allah," ujarnya. Ditanya tentang ketenangan yang diperolehinya kini, Aida yang terkenal dengan kepelbagaian dan kepandaian berfesyen ini mengaku mendapat titik itu dua tahun lalu. "Awal-awal saya banyak diuji, melalui banyak perkara namun dua tahun kebelakangan ini, saya tenang," luahnya yang kini banyak mengikuti kelas dan ceramah agama untuk pengisian dirinya. Menyentuh tentang jodoh setelah sekian lama menyendiri, Aida senyum lagi dan menjawab bahawa dirinya tidak menolak jika ditakdirkan berkahwin lagi. Namun sambungnya, dia mengaku belum membuka jalan ke arah itu. Sebelum usai perbualan yang menyenangkan dengan wanita yang dikagumi ramai kerana fesyennya ini, Aida diminta memberi pendapat perihal fesyen dan artis sekarang. "Perlu ingat kepada yang beragama Islam, boleh berfesyen tetapi jangan terlalu mendedahkan aurat. Harus menjurus kepada agama. Jaga akhlak, itu penting," nasihatnya lembut.

Ning hamil?

LAMA Diva tidak mendengar cerita penyanyi bersuara khas, Ning Baizura. Selepas lahir dengan album bertajuk Dewa, dia diam seketika. Mungkin sibuk dengan aktiviti nyanyian di belakang kamera televisyen. Dalam Diva sibuk bertanyakan teman tentang aktiviti terbaharu penyanyi yang terkenal dengan lagu Awan Yang Terpilu tersebut, ada sumber yang mengatakan Ning sudah pun berbadan dua. "Ya, Va. Dengarnya Ning sudah hamil. Tetapi dia tidak mahu menghebohkan kandungannya sehinggalah masuk ke bulan yang ketiga. Biasanya, orang-orang tua kita dahulu pun begitu juga, kan? Bagus juga cara Ning tu," kata teman Diva. Jika benar khabar yang disampaikan kepada Diva, Diva nak sampaikan ucapan tahniah buat Ning dan suami. Semoga Ning sihat-sihat sentiasa.

Shila Hamzah tetap syarat

CANTIK sungguh apabila Shila Amzah mengenakan tudung, itu persepsi spontan Diva apabila melihat gambar yang menunjukkan Shila sudah berhijab. Tengah-tengah ramai artis menutup aurat, Shila yang manis juga tidak ketinggalan mendapat seru memakai tudung. Selepas itu, Diva dengar cerita yang Shila juga sudah membuat larangan. Khabarnya, dia tidak akan bergambar dengan mana-mana lelaki selepas berhijrah. Bagus juga niat dan larangan yang dibuat itu. Tetapi Diva rasa, Shila juga tidaklah dapat bergambar lagi dengan kekasih hatinya, Sharnaaz selepas larangan tersebut dibuat. Yelah, bukan muhrim dan tidak ada apa-apa hubungan lagi, kan? Lainlah kalau sampai jodoh dan berkahwin kelak, bolehlah ambil gambar puas-puas.

Tolak jika ada Amy

KELAKAR tapi benar, ini kisah yang disampaikan oleh sumber berita Diva Ashafina Layola Lewis yang sering tampil dengan cerita sensasi panas berapi. Kalau naga sakti boleh baca gosip, naga pun makan hati sebab gosip Diva itu lebih panas daripada api mulutnya. Kisahnya, ada seorang penyanyi yang tidaklah setahun jagung dalam industri tetapi sudah dikenali ramai dengan genre dan suaranya yang ala-alah bolehlah tahan. Cerita Ashafina membuatkan Diva ketawa berdekah-dekah. Tidak tahu kenapa tetapi khabarnya penyanyi itu menolak satu persembahan nyanyian yang eksklusif dan mewah jika dia beradu atas satu pentas dengan penyanyi ternama, Amy Search. "Tidak pasti dia tidak mahu satu pentas kerana takut dengan kehebatan Amy Search atau pun dia rasa diri dia itu taraf antarabangsa. Tetapi dengarnya itu syarat yang diberikan kepada pihak penganjur jika mahu dirinya menyanyi. Tapi kalau aku jadi penganjur, sah-sah aku pilih yang lebih sedap menyanyi. Tepuk dada tanya seleralah, siapa yang lebih legenda. Dengan penyanyi legenda tak nak, dengan yang suam-suam kuku apatah lagi gamaknya," ketawa sumber Diva manja. Macam-macam perangai juga penyanyi generasi baharu ini. Kalau sikap begini, agak-agaknya berapa lamalah boleh bertahan? Ataupun jadi penyanyi sebab hobi sahaja, ada duit boleh album.

Ila Sabri nafi menjanda

“SAYA masih belum berkahwin, jauh sekali sudah bergelar janda, saya jadi macam ini sebab kuat makan sahaja bukan ada sebab lain.” Itu pengakuan tegas daripada penyanyi Ila Sabry mengenai bentuk badannya sekarang ini berbanding ketika dia popular suatu ketika dahulu dengan lagu Keranamu Kekasih. Hampir 14 tahun menyepi daripada bidang nyanyian setelah terkenal dengan lagu Keranamu Kekasih, Ila, 33, kini mahu membuat penampilan semula dengan imej yang lebih segar. Dia yang mahu diingati kembali dan diterima oleh peminatnya berharap dengan lagu Keranamu Kekasih yang diberi nafas baharu oleh pengubah lagu terkenal Mac Chew dapat diterima ramai. “Lagu itu yang akan diterbitkan dalam single terbaharu saya lepas hari raya nanti adalah secara orkestra mini. Ia satu kelainan dengan nyanyian saya 14 tahun lalu,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. Mengakui sandaran lagu Keranamu Kekasih versi terbaharu itu tidak cukup untuk menjulang balik namanya setelah lama menyepi, Ila mengakui dia perlu membuat sesuatu dengan bentuk badannya yang agak berisi sekarang ini. “Saya tahu persaingan agak sengit sekarang dengan muncul banyak penyanyi baharu yang lebih muda, jadi saya akan berusaha untuk menurunkan berat badan agar lebih ideal dengan ketinggian saya,” jelasnya. Soal berat badannya kini yang kini mencecah 63 kilogram (kg) berbanding awal kemunculannya dahulu iaitu 47 kg, Ila mengakui perkara itu turut ditegur oleh guru vokalnya yang juga bekas guru vokal program realiti TV Akademi Fantasia, Cikgu Shafi atau nama sebenarnya, Syafizawati Sharif. “Cikgu Shafi juga suruh saya turunkan berat badan sebab apabila menyanyi saya cepat semput, jadi apabila sudah ditegur begitu, saya perlu mula berdiet,” ujarnya yang menyasarkan untuk memiliki berat badan sebanyak 55 kg apabila melancarkan albumnya itu nanti. Sungguh pun nekad untuk menurunkan berat badan, Ila tidak percaya dan tidak akan menggunakan produk atau ubat-ubatan yang terdapat di pasaran sebagai jalan pintas untuknya kelihatan kurus. “Saya akan cuba cara semulajadi seperti bersenam dan amalan pemakanan yang sihat, saya tidak akan sekali-kali akan guna jalan pintas itu, nanti akan tambah mudarat pula,” ujarnya yang berasal dari Perlis. Bekas pelajar Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) dalam jurusan pengajian perniagaan ini, berkata selepas mengundur diri dalam karier seninya dahulu, dia menumpukan perhatian terhadap pelajaran atas nasihat keluarganya. “Ketika itu keluarga suruh saya tumpu belajar dulu, jika sudah ada kelulusan baru mereka benarkan saya aktif dalam nyanyian, sebab itu saya menyepi,” ujarnya yang yang turut mengusahakan sebuah restoran di Danau Kota, Kuala Lumpur dinamakan Kafe Kerisik. Dalam tempoh itu, dia telah bekerja di sebuah syarikat dan membuka sebuah restoren seterusnya kini telah menubuhkan sebuah lagi syarikat dinamakan Ila Sabri Production untuk menguruskan kariernya selepas ini. Ila yang menaruh harapan tinggi dengan kemunculannya kembali itu berharap album baharunya yang mendapat sentuhan komposer terkenal seperti Ajai dan Aidit Alfian diterima semula oleh peminat.

Bawa diri ke Maghribi - Anzalna

KENAPA pelakon Nur Anzalna Mohd. Nasir, 24, nak membawa diri ke luar negara? Adakah pemergiannya itu untuk mengubati hati yang kecewa kerana sejak membabitkan diri dalam bidang seni, dia tidak henti-henti dilanda kontroversi. Khabarnya, Anzalna akan pergi ke Maghribi pada 8 hingga 13 September ini bagi mencari ketenangan. Pemergian Anzalna tidak ditemani ahli keluarga atau teman lelaki, Hanif Zaki tetapi ditemani aktor Adi Putra. "Saya akan ke sana bersama Adi Putra. Kami ke sana untuk penggambaran telefilem Jauh, terbitan Global Station Sdn. Bhd. "Alhamdulillah, jika dalam drama Adam dan Hawa, saya bawa watak Dee, wanita gedik dan jahat tapi dalam Jauh, saya jadi perempuan baik. "Setakat ini saya tidak pernah menolak kalau dipelawa oleh Global Station. Saya mula berlakon dengan produksi itu sejak Suria Di Cordoba," katanya. Anzalna yang lakonannya ketika ini dapat dilihat menerusi drama Adam dan Hawa, di Astro Mustika HD dan Sirrun di TV9 berkata, dia mahu penampilannya dalam bidang seni tidak terikat dengan satu watak sahaja. "Sebenarnya untuk bawa watak Dee yang gedik itu sukar juga tapi saya gembira kerana diberi peluang. Saya tidak kisah kalau orang nak komen pasal lakonan kerana ia dapat membantu saya untuk memperbaiki kelemahan diri. "Tapi kalau komen pasal penampilan watak Dee yang 'over' itu, saya tidak dapat nak kata apa kerana itu memang karakternya. Apa pun saya gembira kerana diberi peluang berlakon dalam Adam dan Hawa," akuinya. Menurut Anzalna, dia baru setahun dua bulan bergelar anak seni namun dalam tempoh sesingkat itu dia sudah terpalit kes 'pergaduhan' dengan Neelofa. Kata Anzalna, kes antaranya dengan Neelofa yang sama-sama dicungkil bakat masing-masing menerusi pertandingan Dewi Remaja 2010 berlaku pada saat dia meraikan setahun pembabitannya dalam bidang seni. "Genap setahun saya dalam bidang ini, kes yang tidak diingini berlaku. Itu merupakan petunjuk daripada Tuhan kerana apa yang berlaku ada hikmah. "Semua itu tidak buat saya patah semangat kerana saya sentiasa mendapat sokongan daripada orang sekeliling. Lagipun kehadiran saya dalam bidang ini bukan untuk cipta kontroversi tapi mengukir nama sebagai pelakon menerusi bakat semulajadi," katanya. Biarpun tabah mengharungi dugaan, namun sebagai insan biasa sesekali Anzalna juga terasa hati dan sering berwaspada dalam mencari teman. Selain kontroversi dengan Neelofa, penampilan Anzalna juga sering dikaitkan dengan cerita teman lelaki. Dia yang setia dengan teman lelaki Hanif Zaki berkata, cukuplah bercerita kisah peribadinya. "Saya memang tidak suka berselindung tapi janganlah ambil kesempatan di atas sikap terbuka saya. Kalau boleh biarlah cerita tentang kerjaya melebihi cerita lain. Orang pun muak asyik baca cerita peribadi," ulasnya. Malah dalam nada tegas Anzalna yang gambarnya kini tersebar di Internet bersama seorang lelaki Inggeris meminta agar khalayak menghentikan perbuatan tersebut. Ini kerana katanya, gambar itu merupakan gambar lama yang disiarkan kembali oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sedangkan ia adalah cerita lama. "Bukan saya takut tapi itu cerita lama. Lagipun saya sudah pernah buat kenyataan dulu. Setiap orang ada sejarah tersendiri," katanya tanpa berselindung.

Hunny Madu Lupakan Bidang Nyanyian

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Fly FM, Hunny Madu berkata kesibukan di studio radio dan penglibatannya sebagai pengacara program televisyen memaksa dia untuk mengetepikan kerjaya muzik pada waktu ini. Hunny atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd Hatim, 28, berkata, bidang muzik tidak lagi menjadi keutamaannya ketika ini kerana tidak mampu mengimbangi komitmen sebagai penyampai radio, pengacara dan penyanyi secara serentak. “Ketika saya mengeluarkan album sulung Pulau Janji pada Jun tahun lalu, saya belum hamil dan komitmen kerja juga tidak sebanyak sekarang. Kini saya akui tidak mampu mengimbangi waktu untuk melakukan pelbagai kerja dalam masa serentak. “Buat masa ini, biarlah saya ketepikan dulu bidang muzik dan tumpukan pada radio dan televisyen sahaja, apatah lagi dalam keadaan sarat mengandung ini,” katanya ketika ditemui mStar Online pada majlis rumah terbuka Hari Raya stesen radio itu di sini. Hunny yang juga pengacara program Nasi Lemak Kopi O di TV9 berkata, dia tidak berasa rugi atau terkilan dengan keputusan itu memandangkan kerjaya nyanyian dilihat seakan kurang memberangsangkan. “Saya tidak berasa rugi atau kesal pun, malah saya tidak kisah dengan keputusan ini. Selepas setahun melancarkan album itu, seolah-olah tiada jalan untuk saya mengembang dan mempromosikannya selain di Fly FM sahaja. “Stesen radio lain juga tidak memberikan sokongan kerana status saya sebagai penyampai di Fly FM. Ia membuatkan saya tawar hati dengan pelbagai halangan yang berlaku,” katanya. Mengenai kandungannya yang kini mencecah enam bulan, Hunny berkata, dia berasa tenteram dan gembira dengan fasa kehamilan ini berbanding tempoh tiga bulan pertama dulu. “Alhamdulillahlah, tenaga saya banyak dan saya melakukan pelbagai perkara seperti biasa, walaupun cepat letih. Kini saya berasa teruja berbanding fasa tiga bulan pertama. “Ketika awal kehamilan, saya sengaja merahsiakannya kepada umum kerana tidak mahu kecoh-kecoh sehingga ia mencecah bulan keempat dan benar-benar stabil. “Jika diizinkan, saya akan terus bekerja sehingga menghampiri minggu-minggu terakhir untuk bersalin yang dijangka pada Disember depan,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails