Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Atilia Rasa Sedih Muzik Jaz Diketepikan
Penyanyi Atilia Harun mengakui berasa terpinggir apabila aliran muzik jaz yang dibawanya kurang mendapat perhatian secara selain tidak menjadi karya komersial di negara ini.
Atilia, 39, berkata, biarpun lagunya kurang dimainkan di radio atau televisyen namun dia banyak mendapat undangan nyanyian di kelab malam dan majlis korporat.
"Saya sedih juga melihat muzik jaz di Malaysia seperti terpinggir dan kurang diberi perhatian dan tidak berapa dimainkan di radio dan TV, tidak seperti genre lagu lain.
"Sebab itu juga saya cuba untuk mencari pasaran luar seperti Indonesia yang lebih menerima muzik aliran ini," katanya ketika ditemui pada sidang media MPO And All That Jazz di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), di sini, Rabu.
Dia juga lebih mendapat kepuasan dengan menyanyi di kelab malam berbanding di mana-mana persembahan pentas atau di majlis-majlis anugerah.
"Bagi saya ada dua jenis penyanyi iaitu yang mengejar populariti dan mencari kepuasan.
"Saya seorang yang tidak kisah dibayar sedikit namun dapat menyanyi dengan puas atau saya boleh menyanyi sehingga 20 buah lagu dalam satu malam," katanya.
Sementara itu, Atilia akan melakukan kolaborasi dengan penyanyi Elvira Arul dan Dina Nadzir dalam konsert All That Jazz diiringi Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) pada 22 September depan pada pukul 8.30 malam.
Kata Atilia, tawaran menyanyi di DFP merupakan penghargaan terbesar buat dirinya sebagai seorang penyanyi yang memperjuangkan muzik tersebut.
"Ketika ditawarkan untuk melakukan persembahan di DFP saya rasa penat lelah saya berbaloi dan berbayar.
"Saya memang menantikan peluang ini dan sekarang baru ada rezeki, saya akan buat yang terbaik dan tidak mensia-siakan peluang ini," katanya.
Tambah Atilia, gandingan bersama dua penyanyi berbakat besar seperti Dina dan Elvira juga merupakan sesuatu gabungan yang sangat ditunggu-tunggu.
"Konsert nanti akan ada tiga segmen yang kami bertiga ada lagu masing -masing dan segmen terakhir kami akan bawakan lagu Melayu klasik secara rantaian.
"Apa yang menarik konsert ini adalah kami akan bawakan lagu lagu kami sendiri termasuk lagu lama ciptaan Tan Sri P.Ramlee dalam versi jazz," katanya.
Sementara itu, Elvira yang turut hadir pada sidang media itu berkata, pemilihan lagu-lagu yang bakal dinyanyikan adalah mengikut perbincangan mereka bertiga.
"Kami telah berbincang tentang apa lagu-lagu terbaik untuk dinyanyikan malam konsert tersebut.
"Sudah tentu kami akan berikan persembahan terbaik dan menjadikan malam tersebut tidak dapat dilupakan," katanya yang pernah menjayakan teater Dreamgirls.
Konsert All That Jazz diadakan sempena DFP Seni Festival yang berlangsung selama seminggu bermula 16 September depan.
Selain konsert tersebut festival ini turut menampilkan konsert pelbagai genre disamping aktiviti menarik di perkarangan lobi DFP bagi menyemarakkan sambutan festival tahunan itu.
Ina Naim Berpurdah Atas Nasihat Suami
Bekas penyanyi Ina Naim kini tampil dengan imej purdah sejak empat bulan lalu selepas diminta suaminya yang juga penyanyi nasyid iaitu Mohd Suhaimi Saad. 33.
Ina atau nama sebenarnya Nordiana Md. Naim, 29, berkata, pada mulanya dia kurang selesa dengan imej itu tetapi selepas hampir empat bulan memakainya, dia sudah mula serasi dan tidak bermasalah dalam melakukan segala aktiviti harian.
"Alhamdulillah saya sudah pun melalui fasa baharu dalam hidup sebagai umat Islam.
"Lagipun hukum berpurdah itu sunat dan apabila suami meminta saya untuk berubah imej, saya akur. Kiranya saya lakukan ini semua kerana Allah dan suami," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu.
Tambah Ina, keputusannya untuk berpurdah juga bagi mengelak daripada difitnah individu yang tidak bertanggungjawab.
Mengenai perkembangan terbaharu, bekas tunang penyanyi Mawi ini menjadi suri rumah sepenuh masa dan bahagia dalam menjaga ketiga-tiga anaknya iaitu Ehmad Hadie Elfardi, 5, Sallman Elkhoyri, 3, dan Thyrosh Elfadwah yang berusia setahun.
"Buat masa ini saya hanya menjaga anak-anak dan menguruskan suami. Maklumlah mereka masih kecil, maka perlu diberi perhatian lebih
"Bagaimanapun agak mengejutkan juga kerana saya masih menerima undangan membuat persembahan. Walaupun tidak seaktif dahulu, sekali sekala ada yang memanggil," tuturnya.
Kata Ina undangan persembahan yang masih ditawarkan kepadanya membuatkan dia menyimpan hajat untuk kembali aktif menyanyi apabila anak-anaknya sudah dewasa kelak.
"Kalau nak tahu, suami telah menyediakan beberapa lagu buat saya. Tinggal nak rakamkan sahaja.
"Insya-Allah jika tiada aral, saya akan muncul dengan lagu-lagu berunsur dakwah. Tak tahu bila, tetapi biarlah anak-anak besar sikit," katanya.
Ina pernah merakamkan sebuah album mini tidak lama dahulu yang turut memuatkan lagu Rebah, kisah mengenai kehancuran cintanya dengan Mawi.
Ina dan Suhaimi diijabkabulkan sebagai pasangan suami-isteri pada 12 Ogos 2007.
Halim Othman Mungkin Kahwin Tahun Depan
Penyampai Radio Suria FM, Halim Othman enggan berbicara tentang teman istimewa ataupun mencanangkan perkahwinannya kepada umum kerana bimbang ia akan berakhir dengan kegagalan.
Bagaimanapun Halim, 49, berkata, hatinya kuat mengatakan akan menamatkan zaman bujang tahun depan.
"Saya dikelilingi oleh orang-orang bujang, Adibah Noor, Kudsia Kahar, Linda Onn semua masih belum berkahwin, mungkin itu sudah menjadi trend orang-orang dalam dunia penyiaran.
"Tapi hati saya kuat mengatakan, saya akan mendirikan berumah tangga tahun depan, tapi jangan tanya dengan siapa sebab setiap kali saya beritahu kepada umum ia selalunya gagal," katanya kepada mStar Online.
Tambah Halim, wanita istimewa tersebut merupakan seorang yang menepati kriteria idamannya.
"Wanita tersebut tentulah seorang yang sentiasa memberi inspirasi kepada kehidupan kita, tidak kira dalam bentuk apa, kadang kala penampilah dan rupa paras pun mampu memberi inspirasi kepada kehidupan seharian," katanya.
Awi Rafael Minta Tidak Dikaitkan Dengan Sasha Saidin
Penyanyi Awi Rafael menganggap hubungannya dengan penyanyi dan pelakon Sasha Saidin, 36, hanya sebagai rakan artis dan meminta tidak dikaitkan dengan pelakon itu sebagai pasangan kekasih.
Awi, 27, berkata, dia hanya menjadikan wanita tersebut sebagai individu untuk bertukar pandangan khususnya bagaimanakah Sasha menubuhkan kumpulan Elite yang pernah dianggotainya suatu ketika dahulu.
"Saya dan Sasha hanya kawan sahaja, memang kami ada keluar bersama kerana saya ingin minta pendapat dia tentang projek menubuhkan kumpulan wanita seperti kumpulan Elite dulu.
"Lagi pula saya belum bersedia untuk bercinta lagi. Saya pun baru putus cinta dengan Hanez Suraya sebab tidak mampu beri komitmen dengan cinta," katanya kepada mStar Online.
Awi berkata demikian ketika diminta mengulas tentang hubungan cintanya dengan pelakon Sasha Saidin yang juga bekas anggota kumpulan Elite.
Tambah Awi, Sasha banyak memberi pandangannya tentang projek bagaimana dia terlibat menubuhkan kumpulan berkenaan
"Sasha banyak pengalaman bagaimana kumpulan artis wanita dapat berperanan dalam memeriahkan dunia hiburan.
"Sekarang ini kita tiada kumpulan wanita macam Elite dan Feminin dan saya lihat di Korea trend itu sudah kembali," katanya.
Ditanya tentang kenyataan Sasha dalam sebuah akhbar tempatan yang mengiakan hubungan mereka, Awi berkata, ia mungkin disilap tafsir.
"Dia ada beritahu saya tentang kenyataannya di dalam akhbar baru-baru ini, dia menjelaskan perkara tersebut.
"Mungkin ianya disilap tafsir. Secara jujurnya siapalah saya ini, dia boleh bercinta dengan orang yang lebih kaya dan lebih bagus dari saya," katanya.
Sherry Ibrahim Kesal Dituduh Sombong
Pelakon Sherry Ibrahim terkejut apabila dia dikatakan sombong sejak kembali popular di dunia seni hiburan tempatan dan menyifatkan dakwaan tersebut adalah mengarut.
Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 30, berkata, sepanjang bergelar selebriti, dia tidak pernah bersikap demikian sebaliknya mesra dengan sesiapa sahaja yang menegurnya.
"Dakwaan itu mengarut. Saya pernah bekerja di sektor perkhidmatan (pramugari) dan rasa-rasanya adakah saya akan 'tarik muka' terhadap seseorang?
"Saya terkejut apabila dikatakan sombong sedangkan saya seorang yang mesra dengan sesiapa sahaja.
"Dahulu berlaku satu insiden di mana ada individu yang tidak puas hati mengatakan saya sombong. Jika ianya berkaitan, saya tak boleh nak cakap apa," katanya.
Tambah Sherry, dia berasa kesal terhadap cerita negatif itu yang sedikit sebanyak menjejaskan kredibilitinya dan berharap penjelasan itu akan menamatkan isu berkenaan.
Sementara itu, mengenai perkembangan terbaharu, pelakon drama Teduhan Kasih ini bakal membuat kemunculan semula di bidang nyanyian selepas lapan tahun tidak bergerak aktif sebagai penyanyi.
Di bawah pengurusan Laugh Out Loud, Sherry akan muncul dengan tiga buah lagu dalam masa terdekat ini di bawah bimbingan komposer Indonesia, Bayu.
"Alhamdulillah, mungkin sudah tiba masanya untuk saya kembali aktif menyanyi. Lagipun bidang ini juga pernah menjadi impian saya, cuma rezeki sahaja belum ada waktu itu.
"Tidak lama lagi saya akan muncul dengan dua lagu solo serta sebuah lagi lagu duet bersama Dafi bersama seorang penyanyi Indonesia.
"Dan sebagai persediaan, saya akan mengasah vokal saya setiap hari dengan kelas vokal di bawah bimbingan Bayu," tuturnya.
Sherry sebelum ini pernah bernaung di bawah KRU Music pada tahun 2005 .
Diisytiharkan Muflis, Aweera Mahu Peminat Ambil Iktibar
Vokalis kumpulan Mojo iaitu Aweera, meminta orang ramai terutamanya golongan muda mengambil iktibar berhubung isu dia diisytiharkan muflis.
Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Noriyissham, 22, berkata, kejadian itu memberi pengajaran yang besar buatnya di mana dia tidak akan terpedaya dengan tawaran-tawaran melibatkan pinjaman bank lagi pada masa akan datang.
"Apa yang telah berlaku ini memberikan pengajaran sangat besar buat diri saya. Walaupun ia berkaitan hutang lama, kesannya sampai bila-bila.
"Selepas berita mengenai pengisytiharan saya muflis dipaparkan di media, saya harap orang ramai terutamanya golongan muda jangan mudah terpedaya dengan pelbagai skim pinjaman bank tanpa usul periksa.
"Lebih-lebih lagi apabila kita tidak memiliki kewangan yang stabil atau rasa tidak yakin untuk membayar semula hutang," katanya.
Aweera ditemui pada majlis pelancaran lagu tema filem Vikingdom dan penyerahan anugerah platinum yang diterimanya sebanyak lima kali dari Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).
Nama Aweera hangat diperkatakan apabila dia diisytiharkan muflis sejak 11 Julai lalu dan dilaporkan dalam sebuah akhbar pada 4 Ogos lalu.
Bekas peserta finalis One In A Million 3 (OIAM3) itu bagaimanapun enggan mengulas panjang berkenaan isu tersebut dan akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Insolvensi mengenai hutang berkenaan.
Tambah Aweera, berita dirinya muflis juga sedikit sebanyak membuatkan dia segan untuk berdepan dengan orang ramai namun akur dengan keadaan tersebut.
"Perkara ini memang sangat peribadi. Apabila ia dihebohkan, rasa segan itu memang ada. tetapi nak buat macam mana? Saya hanya mampu berfikiran positif dan pandang ke hadapan serta berfikir bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini," ujarnya.
Edry Anggap Tuduhan ‘Kaki Ciplak’ Sebagai Mengarut
Komposer Edry Abdul Halim merasakan dakwaan sesetengah pihak kononnya dia gemar menciplak karya luar setiap kali menghasilkan lagu disifatkan mengarut.
Edry, 37, berkata, dia tidak mahu mengambil kritikan itu secara serius dan menganggap mereka yang bercakap tidak tahu apa-apa mengenai bidang muzik.
"Saya rasa, dakwaan sebegitu bukan sahaja berlaku pada diri saya tetapi juga komposer-komposer lain. Apa yang mereka dakwa itu mengarut. Hairan dibuatnya apabila mereka boleh katakan lagu 'A' sama dengan 'B' atau lagu 'C' sama dengan 'A'.
"Tahukah mereka bahawa dalam muzik ada 12 nota sahaja? Maka ia akan ditukar-tukar dan semestinya akan ada yang kedengaran hampir sama dengan lagu yang sedia ada serta karya yang dicipta.
"Bagaimanapun ia sedikit pun tidak mengganggu kerja saya dalam menghasilkan pelbagai karya lagu," katanya kepada mStar Online.
Tambah Edry dia juga menyifatkan kritikan kononnya dia menciplak lagu itu timbul apabila masyarakat kini bebas bersuara menerusi laman-laman sosial walaupun mereka kurang berpengetahuan di bidang muzik.
"Rasanya, boleh dikatakan semua lagu yang saya buat dikatakan ciplak. Saya malas dah nak layan," ujarnya.
Sementara itu, mengenai perkembangan terbaharu, Edry telah menghasilkan sebuah lagu tema filem Vikingdom berjudul Dark Clouds yang dibawakan oleh kumpulannya sendiri, Mojo.
Menurut Edry, lagu tersebut merupakan antara hasil karya yang mengambil masa lama iaitu tiga bulan pembikinan dan ia salah satu langkah memperkenalkan Mojo di mata dunia.
"Memandangkan ia adalah untuk filem pasaran antarabangsa, lagu yang dihasilkan juga perlu mempunyai elemen muzik yang mudah diterima. Jadi untuk Dark Clouds, saya mengambil elemen klasik rock tanpa menyelitkan langsung unsur-unsur Melayu.
"Apalagi daripada segi diksi sebutan bahasa juga perlu tepat dan Alhamdulillah, vokalis kami, Aweera berjaya menyanyikannya dengan baik.
"Ditambah pula dengan bantuan 60 pemuzik serta 20 orang koir membuatkan saya yakin Dark Clouds mampu pergi jauh," tuturnya.
Dalam pada itu, selain Dark Clouds, Mojo juga bakal muncul dengan single berbahasa Melayu berjudul Roman Cinta.
Shila Amzah Kongsi Kisah Cinta Dengan Sharnaaz Dalam Lagu
Penyanyi Shila Amzah lebih bersikap terbuka untuk berkongsi kisah cinta lalunya dengan Sharnaaz Ahmad apabila menghasilkan lagu mengenai hubungan mereka itu.
Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 23, berkata, perjalanan dalam dirinya diibaratkan seperti sebuah diari dan tidak salah untuk dia berkongsi kisah tersebut dengan peminat.
"Saya akui ada beberapa lagu saya tulis tentang hubungan saya dengan Sharnaaz dan rasanya tidak salah jika saya bersikap terbuka mengenai perkara itu untuk dikongsi bersama para peminat tentang apa yang saya lalui ketika itu," katanya kepada mStar Online.
Album yang diberi nama Shila Amzah itu bakal memuatkan sembilan buah lagu termasuk dua buah lagu bonus iaitu Patah Seribu versi Bahasa Malaysia dan Mandarin.
Ia akan dipasarkan penghujung September ini.
Dalam perkembangan sama, Shila berkata, kesemua lagu dalam album tersebut bukanlah melambangkan perasaannya ketika ini selain mengakui telah melupakan semua kejadian buruk yang pernah berlaku dalam dirinya.
Tambah Shila, album berkenaan tidak sahaja berkisar mengenai dunia percintaan tetapi juga kisah gembiranya sebagai seorang wanita yang sedang berusaha mengejar kejayaan.
"Apa yang terkandung dalam album tersebut tidak melambangkan situasi dan perasaan saya sekarang dan ia hanya sebagai luahan dan ekspresi tentang perjalanan hidup saya," jelasnya yang mempertaruhkan ‘single’ berjudul Masih Aku Cinta dari album terbaharunya itu.
Sementara itu, Shila berkata dia kini lebih matang dalam menguruskan hidup dan bersyukur sentiasa dikelilingi oleh individu-individu yang sentiasa mengambil berat tentang dirinya.
Malah pemergiannya ke Shanghai, China mempunyai hikmah yang besar kerana dia banyak bermuhasabah diri dalam memperbaiki masalah yang melanda hidupnya.
"Sebelum ini saya terlalu mengehadkan terhadap sesuatu perkara yang ingin saya lakukan tetapi kini saya membuka ruang kepada diri dengan lebih luas dan saya gembira dengan hala tuju hidup saya sekarang," ujar Shila.
Dalam perkembangan lain, Shila bakal kembali ke Shanghai pada Sabtu ini untuk menyiapkan album berbahasa Mandarinnya selain beberapa projek lain yang telah diaturkan oleh pihak pengurusan di negara itu.
Bagaimanapun kata Shila, dia akan pulang ke tanah air pada penghujung September ini untuk melancarkan album t
Keluarga Terima Bakal Isteri Syamsul Yusof
Keluarga kepada Syamsul Yusof menerima siapa sahaja bakal isteri pengarah muda itu selepas Syamsul membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Ibu Syamsul, Datin Patimah Ismail berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai calon menantu mereka tetapi masih belum berkesempatan untuk bertentang mata.
"Dia (Syamsul) ada beritahu perkara ini melalui bapanya (Datuk Yusof Haslam) dan kami sudah tahu siapakah wanita pilihannya. Kami menerima calonnya itu dengan hati terbuka.
"Dia menyatakan hasrat ingin berkahwin dalam tahun ini juga tapi belum beritahu tarikh yang tepat dan belum bawa wanita itu berjumpa kami," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.
Patimah diminta mengulas kenyataan Syamsul yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga selepas filem terbaharu arahannya itu KL Gangster 2 ditayangkan di pawagam.
Filem itu yang menelan belanja RM4.5 juta akan menemui penonton pada 3 Oktober depan.
Ditanya adakah wanita itu pelakon Puteri Sarah seperti yang digosipkan sebelum ini, Patimah enggan mengulas mengenainya dan mahu perkara tersebut diumumkan sendiri Syamsul.
"Kami pun hanya diberitahu tentang hasratnya sahaja dan kami tidak pula tanya dia lebih-lebih. Keinginannya nak kahwin pun dah cukup buat kami gembira,” katanya sambil memberitahu belum ada sebarang persiapan yang dilakukan untuk majlis tersebut.
Sementara itu, berikutan kes cetak rompak filem KL Gangstar 2 sehingga disiarkan di Internet, Patimah berkata, perkara tersebut mempunyai hikmah buat keluarga mereka apabila hubungan Syamsul dengan keluarga semakin rapat.
Katanya, ramai artis memberi sokongan moral kepada Syamsul malah mereka juga turut mengadakan solat hajat.
"Alhamdulillah kami baru sahaja buat solat hajat dan ramai rakan artis yang datang ke rumah beri sokongan moral pada Syamsul.
"Saya lihat ada hikmah di sebalik kejadian ini di mana hubungan bapa dan anak sangat rapat. Syamsul juga lebih rapat dengan adik-adik dia yang lain berbanding sebelum ini," katanya.
Ada Pihak Hasut Zain Saidin Tinggalkan Rozita Che Wan
Ketika Zain Saidin sedang berkira-kira tentang hari pernikahannya dengan Rozita Che Wan, aktor kacak itu berhadapan dengan ujian getir apabila ada pihak cuba memburuk-burukkan kekasihnya dengan tujuan untuk menggagalkan perkahwinan mereka.
Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin, 29, berkata, pihak berkenaan menghasutnya agar membenci Rozita, 40, dengan membuka aib termasuklah bercerita kisah-kisah buruk zaman silam wanita itu.
“Ada seseorang datang kepada saya dengan bercerita macam-macam kisah buruk Cik Ta agar saya menarik balik keputusan saya untuk berumah tangga dengannya termasuklah bercerita kisah dia yang lepas-lepas,” katanya kepada mStar Online.
Zain diminta komen dugaan yang diterimanya selepas dia dan Rozita membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada Disember depan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam dekat sini.
Sehubungan itu kata Zain, dia sudah berjumpa dengan Rozita bagi membincangkan tuduhan itu dan berpuas hati selepas wanita berkenaan memberikan penjelasan.
Ujar Zain, pada mulanya fikiran dia benar-benar terganggu tetapi mempercayai bakal isterinya itu selepas Rozita menjelaskan tohmahan berkenaan adalah fitnah sama sekali.
“Saya tanya Cik Ta sendiri kisah-kisah yang saya dengar itu dan selepas penjelasan dibuat, saya tidak ragu-ragu untuk mengambilnya sebagai isteri,” ujar Zain.
Ditanya bagaimanakah persiapan perkahwinan mereka itu Zain berkata, ia diserahkan kepada Rozita untuk menguruskannya selepas melantik seorang perunding perkahwinan bagi hal berkenaan.
Dalam pada itu Zain berkata, hasrat untuk berumah tangga seolah-olahlah dipermudahkan Allah selepas dia memohon doa ketika menyertai misi ke Gaza, Palestin pada Disember tahun lalu.
Katanya, semasa di negara itu dia banyak berdoa, melakukan zikir selain banyak menghiburkan hati kanak-kanak yang berhadapan dengan peperangan.
“Saya berdoa agar jodoh saya dipermudahkan kerana hati saya benar-benar terbuka untuk berkahwin. Selepas balik dari Palestin itu, saya bersyukur kerana rezeki saya tidak putus-putus mungkin kerana niat baik saya itu,” katanya.
Zain berkata, dia merancang untuk menunaikan umrah di Mekah bersama Rozita selepas kedua-dua mereka bergelar suami-isteri nanti.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
