Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Solat Hajat Punca Afiq Muiz Pulang Ke Rumah - Ibu

Ibu kepada aktor Afiq Muiz iaitu Hasliza Mohd berkata antara punca anaknya itu lembut hati selepas insiden pergaduhan diantara mereka sehingga pelakon itu digelar anak durhaka adalah kerana doa dan solat hajat yang dilakukannya tanpa henti. Menurut Hasliza atau lebih mesra dengan panggilan Ummi, sejak dia mendedahkan aktor itu berubah sikap, dia bersama anak-anaknya yang lain tidak pernah berhenti memohon doa kepada Allah agar anaknya itu kembali semula ke pangkuan keluarga. "Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berkat doa dan solat hajat yang dilakukan tanpa henti, akhirnya doa saya termakbul. Afiq kembali ke pangkuan keluarga. “Walau apa pun yang telah berlaku, saya tidak pernah membenci dia. Sebaliknya hanya berdoa agar dia kembali berubah sikap. Setiap hari, namanya tidak pernah lekang daripada bibir saya,” katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada petang Isnin. Tambah Ummi, Afiq telah menghubunginya pada awal Januari lalu dan ia benar-benar membuatkan dia terkejut sehingga menitiskan air mata tanda bersyukur. Ketika itu, Afiq telah memohon maaf dan menginsafi segala kesilapannya yang lalu dan memberitahu ingin pulang ke rumah, kedua-dua mereka menangis bersama sepanjang perbualan di telefon. “Saya cakap pada dia, baliklah nak… Ummi rindu… Ummi nak peluk Afiq… Susah nak ceritakan perasaan gembira ketika Afiq menghubungi saya ketika itu. “Alhamdulillah, apa yang telah berlaku ada hikmahnya. Walaupun saya dihina kononnya sengaja mahu mencari publisiti, saya tidak kisah dengan tanggapan orang. Yang penting Afiq kembali kepada saya. “Sebagai seorang ibu saya akan memarahinya agar dia tidak hanyut dan lupa diri. Tidak ada seorang ibu pun yang mahu melihat kejatuhan anaknya,” tutur Ummi. Dalam pada itu, Ummi memberitahu, Afiq sudah banyak berubah sejak kembali menetap bersamanya dan tidak lagi bersikap panas baran seperti sebelum ini. Sementara itu, Ummi berkata, dia berharap pertelingkahan antaranya dengan Afiq dapat dijadikan pengajaran kepada semua ibu bapa serta anak-anak yang lain. "Memandangkan kisah saya dan Afiq sudah diketahui umum, saya mahu ia menjadi pengajaran besar kepada semua masyarakat. "Belajarlah menghargai ibu-bapa kerana mereka menjaga anak-anak bagai menatang minyak yang penuh,” ujarnya.

Sham (Kamikaze) Kecewa Dendam Bekas Isteri

Bekas gitaris kumpulan Kamikaze iaitu Sham tampil menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang sebab untuk menjawab tuduhan bersikap hipokrit biarpun sudah berhijrah seperti mana didakwa oleh bekas isterinya, Farazila Abdul Jabar dalam sebuah akhbar mingguan Ahad lalu. Sham atau nama sebenarnya, Shamril Mohd Salleh, 38, menerusi laman Facebook miliknya berkata, apa yang berlaku diantara dia dengan bekas isteri sudah menjadi sejarah dan tuduhan Farazila adalah hak peribadinya. "Apa yang berlaku di antara saya dan bekas isteri saya sudah menjadi sejarah hidup saya. Dan jika pihak beliau masih tidak berpuas hati, maka itu adalah hak beliau untuk menuduh saya dengan pelbagai cerita bagi meraih simpati orang ramai untuk kepentingan peribadi. "Saya tidak perlu untuk menjawab kepada sesiapa pun tentang perkara ini kerana saya dan beliau tidak mempunyai apa-apa ikatan lagi," katanya. Pendakwah bebas itu mengulas mengenai kenyataan Farazila yang membuat tuduhan secara terbuka terhadap Sham. Wanita itu turut menuduh bekas suaminya itu bersikap hipokrit selain menggambarkannya sebagai lupa diri apabila masyarakat sekeliling menyanjungnya. Dalam pada itu, Sham berkata, tindakan Farazila menjaja kisah rumah tangga mereka jelas bermotifkan dendam dan ingin memalukan dia kepada orang ramai. Malah kata Sham, sejak mereka bercerai dia tidak pernah memburuk-burukkan bekas isterinya itu kepada orang lain seperti mana dilakukan Farazila terhadapnya.
"Saya tidak nampak apa jua alasan untuk menjaja kisah rumah tangga apatah lagi jika kenyataan media tersebut bermotifkan dendam dan memalukan saya di khalayak ramai. "Sebagaimana diketahui umum saya tidak pernah walau sekali pun membuat apa-apa kenyataan tentang dia (Farazila) apatah lagi mengaitkan dia dalam apa juga keadaan sebagaimana didakwa," jelasnya lagi. Bagaimanapun kata Sham, dia tetap mendoakan kebahagiaan untuk bekas isterinya itu dan berdoa agar wanita berkenaan terus tabah mengharungi kehidupannya selepas ini. "Saya doakan agar dia terus tabah mengharungi hidupnya dengan segala cara untuk bahagia, Insya-Allah," ujarnya. Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 17 Ogos 2008 di kampung halaman Farazila di Batu Pahat, Johor sebelum bercerai pada 1 September 2011. Sham ketika ini merupakan suami kepada Nurul Halimin Mohd Salleh, 34, yang juga kakak kepada penyanyi Maulana (AF). Mereka dikatakan telah berkahwin pada Januari 2012.

Fiza Elite fail penceraian?

BELUM sampai setahun usia rumah tangga mereka tetapi macam-macam dugaan yang telah dilemparkan umum kepada pasangan ini. Tak habis-habis orang dalam industri bercerita tentang rumah tangga yang dibina atas dasar cinta ini sedang dilanda badai. Syed rasa bukan sekali dua kita mendengar kisah rumah tangga mereka mengalami masalah sebaliknya sudah diperkatakan sejak dulu. Bagi mereka yang mengikuti perkembangan pasangan ini, sejak akhir tahun lalu lagi perkahwinan mereka dikhabarkan menghadapi tekanan. Syed masih ingat macam-macam cerita yang tersebar kononnya Fiza bergaduh besar dengan Adam. Dan berita tersebut telah dijelaskan secara terperici oleh Fiza untuk menenangkan keadaan ketika orang memberikan tumpuan kepada mereka. Iyalah apabila cerita rumah tangga sendiri mula diperkatakan, mana boleh duduk diam. Lebih-lebih lagi apabila orang luar lebih tahu apa yang berlaku daripada mereka sendiri. Tapi baru-baru ini cerita rumah tangga Fiza-Adam sekali lagi diperkatakan apabila ada sumber memberitahu masing-masing semakin kurang persefahaman sehingga membuatkan teman-teman rapat mengetahui masalah sebenar. Sejauh mana kebenaran tak pula Syed ketahui tetapi khabarnya Fiza ada ke mahkamah pertengahan minggu lalu untuk merujuk masalah rumah tangga ke pejabat agama. Walaupun pemergian Fiza ke mahkamah tidak diketahui ramai tapi ada sumber yang mendedahkan Fiza dikhabarkan memfailkan penceraian pada hari Rabu lalu di Shah Alam, Selangor. Cuma sampai sekarang Syed masih tak dapat pastikan sama ada dakwaan memfailkan penceraian itu benar atau Fiza sekadar ke sana mencari penyelesaian kepada isu rumah tangga yang sedang dihadapinya.

Bapa Komen Isu Shila Amzah Berseluar Ketat Di China

Bapa kepada penyanyi Shila Amzah iaitu ND Lala mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas insiden anaknya itu dikatakan berpakaian tidak sesuai sebagai seorang wanita Muslim dalam sebuah program televisyen di Beijing, China baru-baru ini. ND Lala berkata, sebagai manusia, anaknya itu tidak terlepas dalam melakukan kesilapan selain berpendapat kejadian itu berlaku secara tidak sengaja. "Rakaman program itu dibuat pada pukul 1.30 pagi apabila pihak penerbit ingin menambah sebuah lagi lagu untuk dinyanyikan Shila itu dan anak saya bersetuju untuk berbuat demikian. "Bagaimanapun timbul masalah pakaian kerana baju yang dibawa telah digunakan pada persembahan lain dan jika mahu kembali ke hotel bagi mengambil pakaian, ia memakan masa selama satu jam. "Jadi kami memilih pakaian disediakan produksi dan seluar yang dipakai Shila bukan 'legging' seperti didakwa cuma warnanya sahaja tidak sesuai untuk wanita berhijab sepertinya," katanya. ND Lala ditemui pada sidang media Konsert Cinta oleh Shila Amzah di Menara Kuala Lumpur di sini, Jumaat.
Konsert itu bakal berlangsung di Shanghai,China pada 16 Ogos depan manakala peminat di Malaysia akan dihiburkan pada 13 September 2014. Persembahan di Kuala Lumpur akan diadakan di Mega Star Arena di sini pada pukul 8 malam. ND Lala mengulas mengenai komen negatif yang diterima Shila apabila tampil dengan gaun pendek dengan seluar ketat dari rona kulit yang kelihatan seolah-olah penyanyi itu mendedahkan auratnya biarpun bertudung. Dalam pada itu, Shila yang turut hadir ke sidang media itu berkata, dia semakin selesa menetap di Beijing dan ia telah mematangkan pemikirannya selain mampu berdikari dengan baik. Kata Shila, penguasaan bahasa Mandarin yang dipelajari juga semakin baik dan dia kini lebih yakin untuk bertutur dengan orang lain menggunakan bahasa itu. "Semua yang berlaku cukup pantas tetapi saya bersyukur kerana dapat belajar pelbagai perkara daripada pengalaman tinggal di luar negara. "Biarpun bukan mudah untuk mengadaptasi budaya luar serta bahasa mereka tetapi saya kini lebih kuat dan dapat mengharunginya dengan baik," katanya. Pada sidang media berkenaan yang turut dihadiri oleh wakil media dari akhbar Cina, Shila menjawab soalan mereka dengan fasih dalam bahasa Mandarin. Sementara itu, bercakap mengenai konsert sulungnya itu, Shila berkata, dia tidak berniat untuk membelakangkan peminatnya di Malaysia apabila mengadakan persembahan di Shanghai terlebih dahulu. "Ini adalah impian saya yang akhirnya bakal terlaksana. Biarpun akan mengadakan konsert di Shanghai terlebih dahulu namun saya berjanji akan memberikan persembahan paling istimewa buat peminat di Malaysia nanti," katanya. Tambah Shila, dia juga berbangga apabila kedua-dua konsertnya itu nanti akan menggunakan tenaga sepenuhnya produksi Malaysia di mana Jennifer Thomson dan Helen Yap akan bertindak sebagai penerbit konsert. Malah katanya, dia juga akan menyampaikan lebih 20 buah termasuk lagu-lagu berbahasa Malaysia, Mandarin dan Inggeris. Katanya lagi, dia juga akan menampilkan penyanyi bertaraf antarabangsa dalam konsert itu sebagai tetamu undangan. "Siapa artis jemputan saya tidak boleh beritahu sekarang dan peminat kena tunggu pada hari persembahan," jelasnya. Konsert Cinta Shila Amzah diterbitkan oleh Mega Ultimate Sdn Bhd dengan kerjasama Shila Amzah Entertainment Sdn Bhd. Tiket dijual pada harga RM268, RM138 dan RM88. Shila akan mengumumkan tarikh penjualan tiket dalam sidang media khas yang akan diadakan pada Mei depan.

Nelydia Senrose Ada Sebab Padam Gambar Qi Razali Di Instagram

Pelakon Nelydia Senrose mempunyai sebab dan alasan tertentu membuang gambar-gambar dia bersama kekasihnya pelakon dan pengacara Qi Razali di laman sosial Instagram. Nelydia, 20, yang enggan berkongsi punca dia memadam gambar tersebut sebaliknya memberitahu ia adalah bagi menjaga hati banyak pihak. “Saya ada alasan saya sendiri kenapa saya membuang gambar-gambar kami di Instagram itu. “Apa yang boleh saya katakan ialah tindakan itu untuk menjaga hati banyak pihak dan ia hanya sementara, kalau keadaan sudah reda saya akan muat naik semula gambar kami,” katanya. Nelydia berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakannya memadam gambar-gambar dia dan kekasihnya Qi Razali yang dimuat naik di Instagram. Perkara tersebut telah menimbulkan persoalan kononnya hubungan percintaannya sudah berakhir selepas dikaitkan dengan kontroversi bercinta dengan pelakon Sharnaaz Ahmad. Sementara itu, Nelydia menafikan dakwaan putus cinta itu, sebaliknya dia mengakui masih menjalani hubungan sebagai pasangan kekasih dan mengenali hati budi masing-masing. “Keputusan saya padam gambar tiada kena mengena dengan hubungan percintaan saya dengan Qi. Kami masih bersama seperti dahulu dan dalam proses mengenali hati budi masing-masing,” ujarnya. Sementara itu, kekasihnya, Qi yang ditemui pula berkata, mereka belum merancang untuk mendirikan rumah tangga buat sementara waktu bagi memberi keutamaan kepada kerjaya masing-masing. Bagaimanapun, dia mengakui ada merancang untuk melangkah ke fasa baharu terhadap hubungan itu dalam masa terdekat. “Dia (Nelydia) masih muda dan baru ingin mengasah bakat untuk mencapai satu tahap dalam kerjayanya. “Saya tidak cakap bila berkahwin akan menyekat rezeki kami, tetapi ia sedikit sebanyak akan menganggu fokus dia kepada kerjayanya kerana beri tumpuan pada keluarga. “Namun saya ada merancang sesuatu yang rasmi tidak lama lagi,” katanya.

Resepsi Perkahwinan Syamsul & Syafiq Meriah

Majlis resepsi bagi meraikan perkahwinan dua anak lelaki pengarah dan penerbit filem, Datuk Yusof Haslam iaitu Syamsul dan Syafiq erlangsung dalam suasana cukup meriah di Dewan Perdana Felda di sini pada malam Jumaat. Acara yang bermula pada pukul 8 malam itu menyaksikan hampir 1,000 tetamu memenuhi ruang dewan tersebut terdiri daripada ahli keluarga, sahabat handai dan rakan artis. Memilih konsep persandingan tradisional Melayu, Syamsul dan isterinya, Puteri Sarah Liyana tampil dengan busana dari warna jingga muda manakala Syafiq dan pasangan, Aeisyah Zainal memilih rona perak. Kedua-dua pasangan pengantin berarak masuk ke dalam dewan utama diringi ahli keluarga terdekat untuk bersanding di pelamin utama.
Ahli keluarga pihak pengantin lelaki juga tampil dengan gaya sedondon apabila memilih pakaian berwarna putih sebagai tema mereka sekeluarga. Sepanjang berlangsungnya majlis yang dikendalikan oleh Datuk AC Mizal dan Serina Redzuwan itu, pasangan pengantin dan tetamu turut dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi-penyanyi terkenal seperti Hail Amir, Uji Rashid, Ziana Zain dan Mawi. Terdahulu, Syamsul, 30, dan Puteri Sarah, 29, sah bergelar suami-isteri pada 9 Mac lalu selepas diijabkabulkan di Masjid Al-Mukarramah, Sri Damansara, dekat sini. Manakala Syafiq, 22 dan Aeisyah, 21, disatukan pada 5 April lalu dalam satu majlis yang diadakan di Surau Tabung Haji, Kuala Lumpur.

Zain Saidin Enggan Tahu Jantina Anak

Pelakon Zain Saidin tidak mahu mengetahui apakah jantina anak yang sedang dikandungkan oleh isterinya, Rozita Che Wan apabila wanita itu membuat imbasan kandungannya nanti. Zain, 30, berkata, dia mahu perkara itu menjadi satu kejutan kepadanya biarpun isterinya teruja untuk mengetahui jantina anak mereka. "Saya terima dengan rasa syukur tidak kira apa anak yang bakal lahir itu nanti lelaki atau pun perempuan kerana yang lebih penting isteri dan anak kami nanti selamat dan sihat. "Tetapi jika diberi pilihan saya mahukan anak lelaki dan isteri pula mahukan sebaliknya," katanya kepada mStar Online. Zain dan Rozita atau lebih mesra dengan sapaan Cik Ta ditemui ketika pelancaran dan pelantikan mereka sebagai duta MV Bistro & Kafe di The Strand Kota Damansara di sini, Sabtu. Bagaimanapun kata Zain, Rozita tidak sabar untuk mengetahui jantina anak mereka dan kebarangkalian sukar untuk perkara itu dirahsiakan. "Apabila isteri tahu mengenai jantina anak kami pasti saya akan tahu juga akhirnya kerana dia akan membeli barangan mengikut jantina bayi itu nanti," katanya.
Dalam pada itu, Zain berkata, dia bimbang sekiranya tidak dapat menemani isterinya di bilik bersalin pada Oktober depan untuk menyambut anak mereka kerana dia dijadualkan berada di London pada tarikh Rozita dijangka bersalin. Jelas Zain, pemergiannya ke negara itu bagi menjalani penggambaran program Oh My English! musim ketiga di sana. "Saya agak risau kerana pada tarikh isteri saya dijangka bersalin itu saya berada di London dan berharap sangat dapat menemaninya untuk menyambut kelahiran anak pertama kami. "Bagaimanapun saya akan berbincang dengan pihak produksi kerana barangkali jadual itu boleh dianjakkan bagi membolehkan saya menemani isteri nanti," ujarnya. Sementara itu, Zain berkata, dia akan sentiasa memastikan Rozita mendapat rehat secukupnya dan berasa lega apabila wanita berkenaan memberitahu tidak mahu bekerja sepanjang tempoh pengandung. Malah kata Zain, dia juga gembira apabila Rozita tidak mengalami sebarang alahan teruk pada peringkat awal kehamilannya namun mengakui selera makan isterinya bertambah. "Alhamdulillah setakat ini segala-galanya berjalan lancar dan isteri juga tidak mengidam perkara yang pelik-pelik cuma selera makannya bertambah. "Sebagai suami sudah tentu saya harapkan isteri saya sentiasa berada dalam keadaan sihat dan akan memastikan dia sentiasa mendapat rehat yang cukup," katanya. Dalam perkembangan lain, Zain berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran Oh My English! musim ketiga selain baharu sahaja menyiapkan sebuah drama bersiri berjudul Walaupun Sedetik Cuma untuk siaran TV Al-Hijrah.

"Saya Bukan Sombong Tetapi Pemalu" - Gambit

Pelakon dan penerbit Gambit Saifullah menjelaskan tuduhan dia bersikap sombong dan sukar didekati yang dilemparkan kepadanya langsung tidak mencerminkan siapa dirinya yang sebenar. Gambit atau nama sebenarnya Gambit Saifullah Rosli, 29, berkata, tuduhan tersebut adalah tidak adil buatnya kerana dia bukanlah seorang individu seperti itu. "Label yang diberikan itu saya sudah dengar lama dulu tetapi ramai orang tidak tahu bahawa saya sebenarnya seorang pemalu apabila berhadapan dengan orang yang saya baru jumpa. "Hanya kerana sifat itu saya terus dilabel sombong dan sukar didekati tetapi saya tidak kisah kerana bagi yang mengenali saya secara peribadi mereka tahu siapa saya sebenarnya," katanya. Dalam pada itu, Gambit memberitahu dia terpaksa menjalani pembedahan dalam masa terdekat selepas mengalami 'meniscal tear' atau koyakkan tisu pada bahagian lutut kaki kanannya akibat terlalu aktif bermain sukan bola sepak. Gambit berkata, kecederaan itu telah dialaminya sejak beberapa bulan lalu namun ia semakin serius sejak akhir-akhir ini.
"Kecederaan pada lutut ini sebenarnya sudah lama akibat terlalu aktif bermain sukan bola sepak sebelum ini namun semenjak akhir-akhir ini ia bertambah teruk dan doktor menasihati saya untuk menjalani pembedahan itu dalam kadar segera. "Jika saya tidak buat pembedahan itu, kecederaan akan bertambah teruk dan ia memberi masalah lain kepada kaki saya," jelasnya. Tambah Gambit, selepas pembedahan dia memerlukan masa sehingga tiga minggu sebelum pulih sepenuhnya selain diminta oleh doktor untuk tidak terlalu aktif dalam bidang sukan. Sementara itu, Gambit berkata, dia kini sibuk menguruskan syarikat produksinya iaitu Eightball Production Sdn Bhd yang semakin berkembang dalam menerbitkan program televisyen seperti program berbentuk majalah, telefilem dan video korporat. Jelas Gambit, dia kelihatan sepi daripada bidang lakonan bukan kerana tidak mempunyai tawaran sebaliknya sibuk menguruskan syarikatnya itu. "Tawaran berlakon masih ada, Alhamdulillah... cuma saya perlu bijak mengimbangi jadual kerana sibuk dengan pelbagai kerja belakang tabir namun saya tidak pernah melupakan bidang itu," katanya.

Natasha Hudson Bengang Tudung Kena Ciplak

Pelakon Natasha Hudson berasa marah dan kecewa apabila ada pihak yang meniru tudung yang direka khas untuk jenama miliknya iaitu Dreamcloud. Natasha atau nama sebenarnya Natasha Liana Hudson, 32, berkata, individu yang tidak bertanggungjawab itu telah membeli tudung rekaannya secara dalam talian dan kemudian menciplak semula rekaan itu dan kemudian dijual menggunakan jenama lain. “Saya memang marah apabila mendapat tahu ada pihak yang membeli tudung saya semata-mata mahu menciplak dan selepas itu dijual pula kepada orang ramai menggunakan label lain. “Saya rasa perkara sebegini tidak adil buat saya yang bersusah payah menghasilkan tudung tersebut,” katanya kepada mStar Online. Bagaimanapun tambah Natasha, dia belum berniat untuk mengambil isu tersebut secara serius hingga dibawa ke mahkamah sebaliknya berharap tiada pihak yang melakukan perkara sebegitu lagi. Dalam pada itu, Natasha berkata, dia tidak menghalang jika ada peniaga baharu yang ingin mengambil inspirasi tudung rekaannya tetapi janganlah meniru seratus peratus ciptaannya itu. “Saya percaya bagi peniaga baru, seperti saya juga sebelum ini, kita memerlukan inspirasi dalam mereka sesuatu rekaan pakaian mahupun tudung. “Tetapi kalau boleh, janganlah tiru bulat-bulat, itu tidak adil,” ujarnya. Ditanya, adakah dia sudah bersedia sekiranya terdapat individu lain yang tidak bertanggungjawab menciplak rekaan tudungnya itu, Natasha berkata, dia sudah pun bersedia dengan segala kemungkinan. “Tirulah jika mahu tiru. Macam mana sekalipun orang tetap tahu sesebuah rekaan itu bermula daripada siapa. “Lagipun saya tidak boleh nak buat apa jika ada yang masih berdegil mahu menciplak,” tuturnya.

Shahrizal Jaszle Curang Lagi! Tunang Enggan Komen

Belum pun selesai kontroversi kes tangkap khalwatnya, pelakon Shahrizal Jaszle muncul dengan kisah panas baharu apabila dia dikatakan curang selepas gambar mesranya bersama seorang wanita tersebar di laman sosial Instagram. Lebih memeranjatkan, pelakon itu yang juga dikenali sebagai Shahz Jaszle pada Sabtu lalu turut mengesahkan wanita berkenaan adalah kekasihnya walaupun dia masih tunangan orang. “Hey @jijiezainal, dia gf (girlfriend) kita la skrg (sekarang),” katanya menjawab pertanyaan salah seorang pengikut laman sosial itu menerusi akaun wanita yang dikaitkan iaitu Hanis Husna (@hanis_husna). Bagaimanapun, Shahrizal, 26, tidak menjelaskan status pertunangannya dengan, Redzwani Puteri, 26, sebaliknya Hanis pula menyatakan bahawa pemuda itu sudah pun putus tunang.
Pada foto tersebut, wanita berkenaan memuat naik foto mesra mereka dengan kapsyen-kapsyen romantis. Tidak lama kemudian Shahrizal turut memuat naik foto dia bersama Hanis di laman Instagram miliknya pula . Namun dia meminta kepada pengikutnya supaya tidak mengkritik foto berkenaan. “Saya tidak kisah apa yang akan kamu (pengikut Instagram) katakan. Jika ingin komen, sila jaga kata-kata kamu. Kerana kamu tidak tahu apa yang telah saya lalui sebelum ini,” ujarnya dalam bahasa Inggeris.
Foto tersebut turut mendapat perhatian Redzwani sendiri apabila dia memberi komen ‘Apa ini?’, namun komen tersebut telah dipadamkan oleh Shahrizal. Redzwani yang dihubungi mStar Online pada petang Ahad enggan memberi sebarang komen berkaitan perkara itu. Sebelum ini dia pernah berkata hatinya tetap mempercayai kejujuran Shahrizal walaupun pelakon itu pernah ditangkap khalwat. Shahrizal pula gagal dihubungi. Terdahulu, pada 10 April lalu, Redzwani memberitahu mStar Online hubungannya dengan Shahrizal masih lagi baik walaupun tunangnya itu sedang menghadapi perbicaraan kes khalwatnya di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di sini.
Pelakon itu ditangkap khalwat ketika serbuan dilakukan sekumpulan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sebuah apartmen di Taman Sri Subang dekat sini pada 16 Mei 2013. Insiden itu juga menyebabkan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani terpaksa diputuskan oleh keluarga perempuan tetapi telah disambung semula pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu. Sebelum ini Shahrizal pernah dikaitkan dengan pelakon Miera Liyana dan Maria Farida.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails