Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kamelia Syermain Tidak Tiru Yuna

Penyanyi baharu Kamelia Syermain berharap tiada pihak yang cuba menyamakan imej pemakaiannya dengan penyanyi Yuna, memandangkan kedua-dua mereka mempunyai gaya penampilan yang hampir sama. Kamelia atau nama sebenarnya Kamelia Kamil, 21, berkata, penampilan yang dibawakannya lebih kasual sesuai dengan muzik RnB Pop yang ditampilkan menerusi single lagu pertama, Khabar Aku. "Rasanya imej saya dan Yuna jauh berbeza tetapi dia merupakan salah seorang daripada idola saya dalam industri muzik tempatan. "Tetapi kami memiliki karakter serta pendekatan muzik yang berbeza. Diharap tiada pihak yang menyamakan saya dan dia (Yuna)," katanya kepada mStar Online.
Sementara itu, Kamelia yang merupakan artis naungan Seventeen Eleven Music berkata, dia berasa teruja mahu melihat respons daripada peminat muzik tempatan mengenai Khabar Aku, lagu taruhan pertamanya itu. Khabar Aku merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Alyph (Sleeq) dan Kamelia yakin muzik yang ditampilkan itu akan memberi kesan yang tersendiri buat sesiapa pun yang mendengar. "Seronok rasanya apabila dapat berkerjasama dengan kumpulan Sleeq dalam pembikinan single Khabar Aku dan berharap ia akan diterima ramai. "Pada asalnya lagu itu bertajuk Apa Khabar namun terpaksa ditukar kepada Khabar Aku pada saat akhir kerana ia mempunyai persamaan dengan lagu daripada Joe Flizzow & Sonaone. "Takut orang keliru pula apabila mempunyai dua tajuk lagu yang sama," katanya.

Shila Amzah Tidak Berani Berhadapan Dengan Lee Hom

Penyanyi yang sedang mencipta nama di China, Shila Amzah mengakui tidak mempunyai keberanian untuk berhadapan dengan penyanyi pujaannya iaitu Wang Lee Hom sekiranya diberi peluang berbuat demikian. Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 24, berkata, dia yakin akan berasa gementar jika bertemu Lee Hom kerana terlalu meminati penyanyi terkenal itu. "Saya tidak pasti sama ada saya mampu berhadapan dengannya atau pun tidak kerana pasti perasaan gementar menyelubungi diri saya kerana begitu meminatinya," katanya kepada mStar.
Shila bakal mengadakan konsert sulungnya di Malaysia pada 13 September depan di Mega Star Arena di sini pada pukul 8 malam namun sebelum itu pada 16 Ogos dia terlebih dahulu menghiburkan peminat di Shangai, China. Dalam pada itu, Shila berkata, dia berbesar hati sekiranya dapat berduet dengan penyanyi pujaannya itu pada konsertnya itu nanti namun tidak meletakkan sebarang harapan kerana menyedari kesibukan jadual Lee Hom. Bagaimanapun kata Shila, jika diberi peluang dia ingin mendendangkan lagu popular Lee Hom iaitu Forever Love yang pernah didendangkannya ketika menyertai pertandingan Asian Wave 2012. "Kebetulan konsert saya itu nanti bertemakan cinta dan jika dapat berduet dengan Lee Hom sudah tentu salah satu impian saya akan tercapai biarpun akan berasa gementar," ujarnya.
Pun begitu kata Shila, pada konsert itu nanti dia menjanjikan penampilan artis bertaraf antarabangsa untuk berkongsi pentas dengannya khas buat para peminatnya. Sementara itu, Shila berkata, dia juga sedang sibuk menyiapkan album berbahasa Mandarin pertamanya dan berharap ia dapat dilancarkan secepat mungkin buat para peminatnya di China dan Malaysia. Konsert Cinta Shila Amzah diterbitkan oleh Mega Ultimate Sdn Bhd dengan kerjasama Shila Amzah Entertainment Sdn Bhd dan tiket dijual pada harga RM268, RM138 dan RM88. Bagaimanapun tarikh penjualan tiket akan diumumkan dalam satu sidang media khas yang akan diadakan pada Mei ini.

Istana Budaya Jawab Tuduhan Bunga Citra Lestari

Tuntutan bayaran yang tinggi menjadi punca penganjur konsert Stanza Cinta iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Istana Budaya tidak dapat memberi ruang kepada penyanyi dari Indonesia iaitu Bunga Citra Lestari untuk menyertai persembahan itu. Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, penganjur dan juga artis berkenaan juga tidak pernah menandatangani sebarang kontrak sebagai tanda persetujuan untuk membawa artis berkenaan ke negara ini. "Kami menghubungi Bunga untuk bertanya tentang bayaran dan harga dia agak tinggi, sementara pihak UUM tidak mampu untuk membayarnya dengan harga itu. "Tidak lama selepas itu kami terus menghubunginya semula dan membatalkan hasrat tersebut. Tiada sebarang kontrak dibuat antara kedua-dua pihak," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu. Mohamed Juhari berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Bunga Citra Lestari yang melahirkan rasa terkilan tidak dapat menjayakan Konsert Stanza Cinta di Istana Budaya pada 4 dan 5 April lalu.
Bunga juga mendakwa dia telah menolak beberapa tawaran di Indonesia bagi menjayakan konsert tersebut. Sementara itu, Mohamed Juhari berkata, konsert Stanza Cinta yang dianjurkan bukan sebuah persembahan kormersial seperti konsert Afgan, Marcell dan Dayang Nurfaizah sebaliknya sebuah konsert ulang tahun dianjurkan universiti. "Ia sebuah konsert yang memperuntukan bajet rendah tetapi saya yang memberi idea untuk membawa Bunga dalam konsert itu kerana dia ada nilai kormersial. "Namun apabila harga tinggi, ia tidak mencapai persetujuan pihak universiti dan akhirnya kami menggantikan dia dengan penyanyi tempatan sahaja," katanya. Konsert Stanza Cinta yang berlangsung pada 4 dan 5 April lalu itu dijayakan oleh Jaclyn Victor, Amy Search, Noh Salleh, Adira dan Haziq. Dalam pada itu, Mohamed Johari berkata, belum ada sebarang perancangan untuk membawa artis Indonesia untuk beraksi di pentas Istana Budaya buat masa ini. "Kutipan sangat perlahan untuk konsert. Konsert Glenn Fredly yang sepatutnya berlangsung malam ini (Rabu) terpaksa dibatalkan kerana kurang sambutan," ujarnya.

Adam (AF2) & Fiza (Elite) Cerai Talak Satu Selepas 7 Bulan Nikah

Pasangan selebriti Adam (AF) dan Fiza (Elite) sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada tengah hari Isnin selepas tujuh bulan menjadi suami-isteri. Lafaz cerai dilakukan dihadapan hakim syarie, Tuan Muhamad Nazri Basrawi kira-kira pukul 1.05 petang mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 31, berkata, dia dan Fiza bercerai secara baik tanpa sebarang tuntutan. "Ya, hari ni sudah jatuh talak. Dan itulah ia," katanya ringkas selepas selesai prosiding kes perceraian mereka.
Fiiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, 33, pula menyifatkan mereka sudah tiada jodoh selepas pelbagai usaha menyelamatkan rumah tangga dilakukan. "Saya anggap kami tiada jodoh. Siapa yang nak bercerai bukan? Tambah pula ini adalah perkahwinan saya yang kedua. "Saya reda dengan ketentuan Allah," katanya. Terdahulu suasana di ruang mahkamah menjadi kecoh apabila Fiza memohon kepada mahkamah agar mengarahkan para wartawan tidak berada di dalam ruang mahkamah. Fiza berkata, dia enggan kisah peribadinya bersama Adam didedahkan pihak media kepada umum. Permohonan itu kemudiannya dibenarkan oleh Tuan Muhamad Nazri. "Saya memohon agar kes kami dibicarakan tanpa wartawan atau pihak-pihak lain dalam ruang mahkamah ini. "Ini adalah atas alasan saya seorang selebriti yang dikenali. Saya tidak mahu masyarakat tahu tentang hak peribadi kami," kata Fiza sebelum bermulanya prosiding. Adam dan Fiza tiba di mahkamah sekitar pukul 12 tengah hari dan prosiding kes penceraian mereka bermula kira-kira 45 minit kemudian.
Pasangan itu telah bernikah pada 26 September tahun lalu hanya selepas dua bulan berkenalan. Sebelum itu Fiza pernah berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin pada 8 September 2006 dan bercerai pada 4 November 2010. Hasil perkahwinan Fiza dan Ahmed Farriq itu mereka mendapat dua orang anak iaitu Ferra Aryana, 6, dan Feeya Adyrra, 5. Ia merupakan perkahwinan pertama buat Adam.

Almy Nadia Menangis Sepanjang Majlis Pernikahan

Aktres Almy Nadia mengakui terlalu gemuruh sehingga menitiskan air mata sepanjang berlangsungnya majlis pernikahannya bersama aktor Fizz Fairuz yang berlangsung di Masjid Daerah Balik Pulau, Pulau Pinang pada petang Sabtu. Almy atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 28, berkata, dia berasa risau sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini memandangkan pelbagai dugaan dan cabaran yang dilaluinya bersama Fizz, 35, sebelum ini. "Alhamdulillah, kami sangat lega dan gembira akhirnya disatukan bersama. Sukar untuk saya ekspresikan bagaimana rasa perasaan itu. "Sepanjang majlis pernikahan berlangsung, saya tidak henti-henti menangis. Risau dengan segala kemungkinan yang terjadi," katanya kepada mStar Online yang dihubungi di sini pada Sabtu.
Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 35, sah bergelar suami kepada aktres Almy Nadia dengan sekali lafaz pada Sabtu dengan mas kahwin sebanyak RM1,001. Fizz turut memberikan Almy wang hantaran RM20,000. Pasangan itu telah menjalinkan hubungan cinta selama lapan tahun. Sepanjang tempoh percintaan itu mereka pernah putus dan menjalinkan hubungan semula. Dalam pada itu, Almy turut memiliki seorang anak angkat bernama Nur Afrina Darwisya, berusia lima tahun. Beritahu Almy, buat masa ini mereka belum mempunyai sebarang perancangan untuk berbulan madu memandangkan masing-masing sibuk dengan kerja lakonan. "Kami tak rancang apa-apa pun, rancang kahwin sahaja. Yang lain-lain tak terfikir pun sebab Isnin ini Fizz akan sibuk di lokasi penggambaran. "Yang penting kami dah kahwin. Jadi tiada lagi soalan daripada media mahu pun sesiapa sahaja iaitu bila nak kahwin?" selorohnya. Majlis resepsi pasangan itu akan berlangsung pada 30 Mei depan di Hotel Vistana, Pulau Pinang.

Bina rumah untuk bakal isteri - Hans Isaac

TELAH banyak usaha yang dilakukan jejaka berusia 41 untuk melayakkan dia bergelar suami. Selain bersedia mengubah cara hidupnya, Hans Isaac juga sedang dalam perancangan untuk membina rumah buat bakal isterinya kelak. Si bujang ini dalam realiti kehidupannya kini melalui gaya hidup sama seperti lelaki yang sudah berkeluarga. Menjelaskan yang dia akan mengumumkan satu keputusan besar pada penghujung tahun ini, tentunya ramai yang mendoakan agar ada khabar gembira disampaikan. Apakah si cantik Neelofa orangnya? Opsss... Hans hanya ketawa dan cuba mengelak dalam temubual oleh wartawan Aida Rizmariza Kamaluddin. Apa cerita terkini Hans? Katanya sudah ada buah hati baharu, boleh mendedahkan siapa cinta hati itu? HI: Selepas apa yang berlaku sebelum-sebelum ini semua orang tahu saya menjadi sedikit berahsia. Apa juga status saya sekarang, biarlah rahsia. Hanya boleh berkongsi bahawa sekarang ini saya sedang gembira dengan kehidupan ini. Memang sekarang ini saya banyak tumpukan perhatian kepada soal kehidupan peribadi, berbeza dari dahulu. Sekarang saya mahu seimbangkan semua. Jadi, pegangan hidup saya kini "Work smart not hard". Hits: Apa yang berbeza tentang Hans dahulu dan sekarang? Jika dahulu saya kerja 18 jam sehari. kini saya ambil pendekatan berbeza. Selepas waktu makan tengah hari, saya akan buat aktiviti lain dan bukan lagi bekerja. Memang orang nampak saya masih bujang tetapi sebenarnya sekarang saya sudah melalui kehidupan bagaikan lelaki yang sudah berkeluarga. Dulu saya mengejar sesuatu dalam kerjaya, tetapi sekarang fikiran saya tidak minat dalam soal itu lagi. Ini masa yang sesuai untuk saya utamakan kehendak peribadi. Bila sebenarnya Hans akan menamatkan zaman bujang? Saya bukan jenis berkawan setahun dan terus ajak berkahwin. Saya juga tidak akan sama sekali 'menggunakan' pasangan saya, jadi memang tidak akan nampak saya berdua di mana-mana majlis. Saya memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun. Apa-apa juga keputusan akan diketahui pada Disember ini. Apa lagi persediaan untuk melangkah ke alam rumah tangga? Saya dalam usaha untuk membina rumah baharu. Memang sekarang ini saya sudah ada rumah sendiri tetapi kalau boleh saya mahu yang lebih luas. Dan saya akan hadiahkan rumah ini kepada isteri saya. Sebesar mana rumah itu nanti, tengok kemampuan saya. Wah... beruntungnya wanita itu, bukan? Jangan cakap begitu. Saya pun ada 'perangai' saya sendiri yang perlu bakal isteri saya itu hadapi. Dalam soal ini saya tidak boleh fikir diri saya seorang, begitu juga dia. Kami kena saling berfikir untuk saling membahagiakan. Hans sebelum ini memang yakin tidak akan menerbitkan filem Melayu lagi, bagaimana sekarang? Apa aktiviti seni baharu? Saya masih dengan pendirian saya, bagaimanapun soal itu tidak akan menyentuh lakonan. Saya masih boleh berlakon dalam filem Melayu, tetapi bukan menerbitkannya. Kami juga dalam perancangan untuk mementaskan semula Teater Muzikal Supermokh pada 8 hingga 21 September depan di Istana Budaya. Kali bezanya harga tiket itu akan sedikit lebih murah dari sebelum ini.

Nurul berniaga pula

AGAK lama juga Nurul Huda Abdul Wahab, 37, tidak muncul dengan album baharu dan gara-gara itu, ramai yang beranggapan dia kurang aktif dalam bidang seni. Tambahan pula sejak melahirkan Zachary Depp pada 9 Oktober 2013, dia pasti sibuk mengurus anak keduanya, selepas Ayu Nazirah Mohd. Faizal, yang sudah berusia 15 tahun itu. Isteri kepada Eric Daniel Depp, 48, itu berkata, walaupun tanpa produk baharu, dia tetap mendapat undangan mengadakan persembahan. "Saya masih aktif cuma tidak ada album baharu saja. Sekarang ini saya sedang tunggu Shila Amzah buat lagu. Saya faham dia tengah sibuk sekarang ini, lambat pun tak apa kerana saya tahu kalau dia buat kerja mesti yang terbaik. "Lagipun sekarang ini saya sibuk dengan perniagaan atas talian. Saya baru sahaja lancar jualan baju kurung Pahang di bawah jenama Newrules Collection," ceritanya kepada Hits. Menurut Nurul, sudah lama dia berangan untuk menjual baju dengan jenama sendiri dan idea itu baru sahaja terlaksana. "Sebenarnya idea nak jual baju kurung Pahang timbul selepas saya hadiahkan sepasang baju kepada mertua. Dia kata baju tu cantik dan mencadangkan saya supaya menjual. "Dari situ saya tergerak untuk buat jualan baju kurung Pahang. Lagipun saya memang ada tukang jahit yang sudah lama menjahit baju kurung untuk saya iaitu kakak angkat, kak Sha. Baju jahitannya memang selesa dipakai," katanya. Bermula dari situlah, Nurul mengambil inisiatif untuk mempamerkan baju jahitan Sha di atas talian dan katanya, sambutan yang diterima amat menggalakkan. "Kami menjual 12 jenis rekaan yang diperbuat daripada kain kapas, linen dan grid dalam tiga saiz (L,M,S) dengan pelbagai warna. Saya bukan setakat menjual, sebelum digunting menjadi baju, saya dan Kak Sha sama-sama pergi membeli kain. "Walaupun baharu dibuka tetapi permintaan amat menggalakkan. Harga yang kami tawar untuk sepasang baju adalah RM280 termasuk wang hantaran sekali. Biarpun permintaan banyak, saya tidak ada masalah kerana kak Sha cekap dalam kerja-kerjanya," jelas Nurul. Rupa-rupanya, di waktu yang sama Nurul juga cuba mengintai untuk berniaga kasut pula. Katanya, dia memilih untuk menjual kasut kerana kesukaannya yang suka mengumpul kasut. "Saya pilih produk yang saya suka dan tahu, macam kasut ni. Buat permulaan, saya hanya ubah sedikit sahaja rekaan kasut sedia ada di kilang. Sebenarnya saya ada beberapa rekaan kasut, sekarang ini tunggu masa yang sesuai sahaja untuk dihasilkan. "Cukuplah setakat ini niaga baju kurung Pahang, kasut dan air beralkali. Disebabkan sibuk dengan bisnes ini, saya terpaksa tangguh dulu untuk rakam single baharu. Lagipun Shila sibuk dengan kerjaya dia, jadi saya pun tidak kisah. Sebenarnya bila sudah berniaga ini, seronok pula dan lagipun, suami sentiasa memberi sokongan," katanya terus terang.

Selesa bawa anak ke lokasi

"CAHAYA mata itu amanat daripada Yang Maha Esa." Begitulah ungkapan yang tertanam dalam diri pengacara dan pelakon kecil molek Shera Aiyob ketika berbicara mengenai putera sulungnya, Nadi Anaqi yang kini sudah berusia sepuluh bulan. Bertemu dengan pelakon kecil molek di lokasi penggambaran drama Masihkah Ada Kasih di Putrajaya baru-baru ini, Shera kelihatan gembira dan bahagia di sisi anaknya. Sesekali, ada masa rehat dia akan menjenguk Anaqi yang ditinggalkan bersama emak saudaranya ketika berada di lokasi penggambaran. Sebenarnya, begitulah rutin harian Shera setelah bergelar seorang ibu. Tekad Shera untuk tidak sesekali leka dalam menunaikan tanggungjawab bergelar ibu walaupun sibuk dengan kerjaya. Begitu juga dengan suaminya, Zahiril Adzim yang juga seorang pelakon. Komitmen menjaga anak yang masih kecil tanpa bantuan orang lain juga bukan satu bebanan yang memeritkan rutin kehidupan berkeluarga buat dirinya. "Saya lebih selesa menjaga anak tanpa bantuan pengasuh atau menghantar ke taska untuk dijaga. Atas permintaan suami dan keluarga, kami mengambil keputusan untuk tidak menyerahkan Anaqi kepada orang lain. "Saya sanggup berkorban asalkan tidak menyusahkan keluarga saya mahupun keluarga mertua dalam soal penjagaan anak. Selepas habis pantang, saya terus memulakan penggambaran. Saya bawa Anaqi ke set kerana dia masih menyusu badan. Suami akan upah orang gaji sementara dan hanya akan menjaga Anaqi ketika dalam set," tutur Shera.
Suami restu kerja Menyentuh mengenai perkembangan seninya, Shera berkata, suami sangat merestui apa yang dilakukan. Malah keputusan untuk menerima tawaran bergantung pada dirinya sendiri. "Suami tidak pernah melarang. Dia cuma nasihatkan saya untuk bertahan kerana cabaran terbesar buat diri saya adalah untuk membahagikan masa antara kerjaya dan anak. Memang Zahiril memahami kerjaya saya dan tidak pernah menghalang saya untuk terus aktif dalam bidang lakonan. Dia akan menyokong apa jua keputusan saya, asalkan tidak mengabaikan anak," katanya. Dalam pada itu, Shera berkata, suaminya juga akan menjaga anaknya jika ada masa terluang dan merasakan dirinya beruntung kerana dikurniakan suami yang pandai menjaga anak kecil mereka. "Suami saya banyak membantu, dia boleh menjaga Anaqi dengan baik. Kami bergilir-gilir menjaganya jika ada kelapangan, lebih selesa begitu. Memang sangat seronok ada anak," kata Shera lagi. Disoal pula berkenaan watak yang diidamkan, Shera berkata, dia mengimpikan watak kasar yang tidak keterlaluan. "Watak itu yang betul-betul saya inginkan memandangkan saya sering membawakan watak sebagai wanita lembut. Saya mahu watak yang menguji lakonan saya lepas ini," jelasnya. Berkenaan watak yang dibawakan dalam drama 40 episod, Masihkah Ada Kasih itu, Shera membawakan watak Manisah, seorang wanita yang lemah-lembut tetapi tegas untuk mendapatkan hak penjagaan anaknya. Takut ambil pembantu rumah Ketika ditanya sebab utama membawa anak ke lokasi penggambaran, Shera atau nama sebenarnya Nur Syahirah Aiyob, 28, kes penderaan yang semakin meningkat membuatkan dia dan suami juga tidak mempercayai khidmat pembantu rumah bagi mengurus keperluan anak sulung mereka. "Zahiril tidak mahu ambil pembantu, dia takut kerana banyak kes penderaan oleh pembantu rumah yang kita dengar sekarang. Oleh itu, saya memilih untuk membawa Anaqi dan gembira dia membesar depan mata saya sendiri. Nasib baik Anaqi seorang bayi yang tidak banyak kerenah. "Dia (Anaqi) hanya akan menangis apabila bila lapar dan mahu tidur," katanya. Malah, kata Shera, suaminya juga melarang dia menonton video-video kes dera yang semakin berleluasa. "Suami memang tak bagi saya melihat klip-klip video kes dera. Kalau dia tahu, dia akan marah. Sebab itu juga, sampai sekarang saya takut untuk mempercayai orang yang tidak dikenali," ujarnya biarpun ada terfikir untuk mengambil orang gaji. Ditanya mengenai perkembangan anaknya, Shera berkata, Anaqi kini sudah pandai mengenali orang sekeliling berdasarkan reaksi yang ditunjukkan. "Kalau dia kenal orang itu, dia akan ketawa, kalau tak kenal, dia akan jadi takut," kata Shera sambil memberitahu Anaqi lebih rapat dengan dirinya berbanding Zahiril.

Linda Hashim Bersalin, Nama Anak Jelita Clarissa

Isteri kepada pelakon Beego iaitu Linda Hashim selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 2.62 kilogram pada pukul 12.20 pagi Rabu. Beego atau nama sebenarnya Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 34, berkata, isterinya yang kini berada di Hospital Pakar KPJ Tawakkal dekat sini, bersalin secara normal dan kini berada dalam keadaan baik. "Alhamdulillah isteri saya selamat melahirkan bayi kami dengan selamat awal pagi tadi dan semuanya berada dalam keadaan baik," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Beego memberitahu, dia dan isterinya sepakat memberikan nama Jelita Clarissa kepada bayi mereka yang membei maksud 'Jelita Yang Jelas'.
Pelakon itu juga memberitahu dia dan isterinya menitiskan air mata apabila Jelita selamat dilahirkan selain berasa cukup gembira dengan kehadiran Jelita kerana ia melengkapi rumah tangga mereka. "Perasaan saya sangat terharu apabila pertama kali lihat Jelita malah saya dan Linda menangis, syukur semuanya selamat dan berharap Jelita akan dipelihara kesempurnaannya oleh Allah," jelasnya. Beego dan Linda berkahwin pada 8 Jun tahun lalu selepas menjalinkan hubungan cinta selama dua tahun.

Wardina Dengar Penjelasan Ustaz Don, Gantung Status FB

Keraguan pelakon Wardina Safiyyah mengenai kesahihan ceramah agama Ustaz Don yang dikatakan menggunakan hadis-hadis palsu terjawab apabila dia dapat bercakap dengan penceramah itu. Wardina berkata, ustaz tersebut telah memberi penjelasan dan menjawab kemusykilan yang timbul selain dia juga turut meminta maaf terhadap isu berkenaan yang menjadi kontroversi. "Saya sudah berhubung secara peribadi dengan Ustaz Don melalui telefon dan dia sudah memberi penjelasannya. "Hanya Allah lebih tahu segala-galanya dan saya harap isu ini tidak diperbesarkan lagi," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini, Selasa. Wardina juga enggan mengulas secara terperinci apa yang dibualkan dengan ustaz berkenaan. Dalam pada itu, Wardina berkata, dia mengambil pendekatan memohon maaf kepada Ustaz Don apabila banyak pihak mengehentamnya selepas dia bertindak berkongsi rakaman kompilasi video ceramah yang dikatakan mengaibkan ustaz tersebut. Sementara itu, pelakon Spanar Jaya itu memberitahu dia tidak akan memuat naik sebarang status lagi dan menyerahkan pengendalian laman Facebook miliknya kepada pihak pengurusan buat sementara waktu. Katanya, tindakan itu bagi mengelakkan sebarang provoksi yang ditimbulkan oleh pengguna laman sosial itu yang boleh memburukan lagi keadaan. "Saya tidak akan muat naik apa-apa status buat masa ini bagi meredakan keadaan, semua perkara tentang laman sosial ini akan dikendalikan oleh admin," katanya. Pada 16 April lalu, Wardina telah mengeluarkan kenyataan melalui Facebook miliknya dengan mempersoalkan kandungan ceramah Ustaz Don melalui video yang telah tersebar di Internet. Bagaimanapun, kenyataan tersebut disalah tafsir dan mendapat reaksi negatif daripada segelintir pelayar laman sosial dengan menganggap Wardina cuba mengaibkan ustaz berkenaan. Bagaimanapun Ustaz Don dalam reaksi balasnya menerusi rakaman video menganggap apa yang berlaku itu sebagai satu fitnah apabila rakaman ceramahnya yang disebarkan itu merupakan kandungan yang sudah diedit. Ustaz Don atau Don Daniyal merupakan hos bagi rancangan 30 Minit Bersama Ustaz Don di TV AlHijrah.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails