Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Masih Belum Muflis, Linda Jasmine Anggap Ada Orang Dengki


PETALING JAYA: Pereka tari Linda Jasmine yang juga isteri pelakon Que Haidar menjelaskan studio miliknya iaitu Linda Jasmine Studio belum muflis seperti yang didakwa oleh sebuah akhbar, Ahad lalu.

Linda mengakui studio miliknya yang ditubuhkan sejak tujuh tahun lalu itu masih beroperasi seperti biasa.

Malah, koreografer itu juga menafikan dakwaan tidak membayar gaji pekerja sehingga beberapa bulan.

“Kadangkala pelanggan saya membayar lambat, jadi kami perlu menunggu sehingga wang tersebut diberikan kepada kami. Ada juga sehingga setahun kami terpaksa menunggu bayaran tersebut dilunaskan.

“Tetapi lambat bagaimanapun, kami tetap akan mendahulukan pembayaran gaji kepada pekerja. Lagipun, kebanyakan pekerja saya di situ merupakan pekerja sambilan dan tidak mengikat apa-apa kontrak dengan kami,” kata Linda kepada mStar Online.

Linda akui memang perniagaannya mempunyai pendapatan turun dan naik dan musim-musim tertentu mereka mendapat keuntungan yang lebih dan kadangkala agak kurang.

“Cerita tentang saya tidak membayar gaji pekerja itu tidak betul. Saya agak terkejut apabila membaca cerita seperti itu kerana saya tidak pernah mempunyai musuh sepanjang bekerja lebih 20 tahun dalam industri ini.

“Mungkin ada orang dengki dengan saya sehingga sanggup mereka cerita seperti ini tetapi saya enggan menuduh sesiapa,” tambahnya lagi yang sedang sibuk mengendalikan dua projek besar dengan Astro.

Nana & Sein Buat Kenduri Kerana Rujuk Semula


PETALING JAYA: Pasangan artis Sein dan Nana akan mengadakan majlis kesyukuran selepas mereka kembali bergelar suami isteri. Ia akan diadakan di Dewan Bakti, Taman Tun Dr Ismail, pada 2 April ini, pukul 9 malam.

Nana yang dihubungi berkata majlis tersebut sebagai tanda syukur kerana hubungan mereka terjalin semula pada 11 Mac lalu selepas berpisah selama tiga bulan.

"Majlis kenduri doa selamat dan kesyukuran ini dibuat secara sederhana sebagai tanda syukur kepada penyatuan semula hubungan kami.

"Diharap selepas ini semua akan kembali berjalan seperti biasa dan hubungan kami akan diberkati Allah," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.

Nana berkata, majlis itu juga bertujuan untuk dia dan suami menjelaskan keadaan sebenar kepada semua pihak termasuk keluarga yang masih bertanya tentang kesahihan berita mereka rujuk semula.

"Kami juga mengambil kesempatan untuk menjelaskan perkara yang menjadi tanda tanya oleh semua pihak selama ini.

"Kalau boleh kami mahu beri kenyataan secukupnya dan tidak menjadikan ia sebagai sebuah persoalan kepada peminat," katanya.

Tambah Nana sepanjang tiga bulan menjadi ibu tunggal dia merasakan hidupnya terumbang ambing dan penceraian tersebut banyak mengajarnya erti kehidupan.

"Saya bersyukur mungkin perpisahan sementara ini merupakan jalan terbaik daripada Allah untuk menunjukkan bahawa kami masing-masing tidak boleh hidup berasingan.

"Saya rasakan hidup sangat kosong dan tidak stabil selama tiga bulan tersebut begitu juga suami sehingga akhirnya kami membuat keputusan bersatu semula," katanya.

Dalam pada itu, Nana tidak menolak faktor anak-anak menjadi salah satu punca ikatan jodoh mereka masih kuat.

"Anak-anak kami masih kecil dan tidak faham perkara ini, sepanjang tiga bulan itu mereka sering bertanyakan tentang ayahnya.

"Begitu Sein yang tidak dapat berjumpa anak-anak seperti selalu," katanya yang kini kembali menjalankan rutin harian sebagai seorang isteri dan ibu.

Pasangan tersebut, sah bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, Selangor, pada 8 Disember tahun lalu.

Sein dan Nana mendirikan rumah tangga pada Julai, 2006 dan mempunyai dua orang cahaya mata, Syed Tamriz Al-Qudsy, 3, dan Sharifah Inaiya Al-Qudsy, yang berusia setahun.

Elfira Loy Jadi Artis Astro, Yakin Tak Jejas Pelajaran


PETALING JAYA: Pelakon kanak-kanak, Elfira Loy, 17, yakin keputusan menerima tawaran sebagai artis residen yang dikenali sebagai Wajah Eksklusif Astro tidak menjejaskan tumpuannya terhadap pelajaran.

Dia yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penghujung tahun ini mengakui terpaksa membahagikan masa lakonan dan pelajaran sebaik mungkin.

“Ya, saya tahu tahun ini merupakan tahun yang mencabar, saya terpaksa membahagikan masa berlakon dengan belajar sebaik-baiknya.

“Kalau boleh penggambaran yang dilakukan tidak melanggar waktu belajar saya,” katanya ketika ditemui di sidang media Drama Kum-Kum The Series, di sini, Selasa.

Walaupun begitu, jelas Elfira, masa lakonan yang diberikan pihak Astro kurang berbanding selebriti Wajah Eksklusif lain.

“Mereka tahu tahun ini saya perlu beri fokus pada pelajaran juga, jadi masa saya kurang berbanding yang lain.

“Dan mengikut jadual yang sudah diatur, saya akan habiskan semua penggambaran pada bulan tujuh untuk fokus pada pelajaran pula,” katanya.

Dalam pada itu, Elfira memberitahu keputusan menerima tawaran sebagai Wajah Eksklusif Astro itu tersebut dibuat selepas mendapat persetujuan daripada keluarganya.

Marsha Belum Rancang Kahwin Waktu Terdekat


PETALING JAYA: Penyanyi Marsha Milan Londoh mengakui belum mempunyai sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga biarpun sudah hampir dua tahun menjalinkan hubungan cinta dengan seorang usahawan berketurunan Melayu.

Menurut Marsha, dia tidak mahu membuat sebarang perancangan mengenai perkara itu kerana hubungan tersebut masih belum meyakinkannya untuk berada lebih jauh.

"Saya belum lagi merancang ke arah itu dan lebih selesa untuk berkawan saja. Buat masa ini, banyak faktor yang perlu difikirkan sebelum hidup bersama.

"Mungkin saya belum bersedia dan ingin fokus dalam bidang lakonan terlebih dahulu," katanya.

Bagaimanapun, Marsha mengakui telah memperkenalkan lelaki istimewa tersebut dengan keluarganya.

"Dia sudah bertemu keluarga saya ketika majlis hari jadi saya yang lalu dan saya juga telah bertemu keluarganya pada hari raya yang lepas.

"Percintaan kami berjalan dengan baik cuma ada beberapa perkara yang membuatkan saya malas untuk merancang lebih jauh dalam hubungan ini," katanya.

Ketika ditanya tentang kesedian keluarga menerima lelaki tersebut dengan perbezaan anutan agama, Marsha enggan mengulas sebaliknya menyerahkan segalanya kepada jodoh.

Dalam pada itu, Marsha yang pernah digosipkan dengan beberapa nama artis terkenal mengakui sifat manja dan mudah mesra sering disalah tafsir oleh beberapa pihak.

"Mereka mungkin nampak saya mesra dengan seseorang dan menganggap kami sebagai bercinta, walhal sebenarnya tidak.

"Kadang kala perkara itu atau gosip tersebut membuatkan saya sendiri malu ketika terserempak dengan orang tersebut," katanya yang pernah dikaitkan dengan Yusry KRU dan Datuk Ramli MS.

Maria tak akan maafkan Shahz


PERCINTAAN pelakon Maria Farida, 42, dengan aktor baru, Shahz Jaszle, 23, sudah berakhir kira-kira dua bulan lalu, namun artis seksi itu tampil membuat kenyataan apabila berasakan dirinya menjadi mangsa sindiran artis baru berkenaan. Maria mendakwa Shahz terus memberi kenyataan palsu berhubung isu bila mereka putus cinta menerusi beberapa kenyataan kepada media massa, baru-baru ini.

“Saya ni jenis orang yang tak suka menghebohkan kisah peribadi kepada umum. Namun, apabila ada orang baru berlakon setahun jagung, tiba-tiba nak mencalar nama saya, saya perlu bersuara. Saya dah terima kenyataan, percintaan kami sudah berakhir kira-kira dua bulan lalu. Saya dah senyap, tak beri apa-apa kenyataan, tapi penipuannya masih diteruskan kepada media massa lain!

“Yang membuatkan saya tak puas hati ini, dia siapa nak mempertikaikan profesionalisme saya. Kenyataannya kepada sebuah tabloid mingguan, baru-baru ini, adalah satu sindiran. Saya dah bergelumang dalam industri ini lebih 20 tahun, dia baru saja nak berjinak-jinak. Bagi saya, dia adalah satu-satunya artis yang berani mencalarkan nama saya. Belum pernah selama 20 tahun ini, ada orang cuba mempertikaikan profesionalisme saya.

“Dia tahukah perbualan saya dengan pengurus produsksi Asmara 2 sehingga saya terpaksa menolak tawaran berkenaan? Saya dah terangkan kepada produksi, saya tak boleh beri komitmen kerana masih bercuti di Singapura bersama anak. Jadi, siapa dia ni nak sindir saya dalam akhbar,” soal Maria berkali-kali.

Maria berkata demikian mengulas kenyataan Shahz dalam tabloid mingguan yang mempertikai dirinya apabila tidak mahu membintangi drama bersiri Asmara 2 apabila menggunakan istilah profesional seolah-olah menyindir beliau.

Tambah Maria, apa dilakukan Shahz memberikan kesan mendalam kepada dirinya dan keluarga sehingga dia tidak mampu memaafkan aktor baru itu sampai bila-bila.

Menerusi artikel sama juga, Shahz mendakwa Maria adalah kekasih selebriti pertamanya.
“Janganlah nak menipu lagi... Sebelum ini pernah tersebar di majalah hiburan dan akhbar, dia pernah bercinta dengan Syira Aiyob, pengacara TV3 dan pelakon filem Karak terbitan KRU Studios. Sebelum itu, dia juga pernah bercinta dengan Faralyna Idris yang berlakon drama Asmara dan Asmara 2.

“Jadi, saya bukanlah cinta selebriti pertama dia. Sudah-sudahlah, janganlah nak menipu lagi,” kata Maria.

Shahz juga terus memberikan kenyataan, dia putus cinta dengan Maria sebelum beliau ke Paris dan London membintangi filem Azura arahan Aziz M Osman. Bagi Maria, itu adalah satu pembohongan berterusan daripadanya. Shahz kini dilaporkan sedang bercinta dengan heroin Azura, yang juara Dewi Remaja 2010, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa, 22.

“Itu adalah satu penipuan yang besar! Kenapa dia perlu mengulangi penipuan itu dalam kenyataannya baru-baru ini? Sebelum dia ke Paris, saya masih dalam penggambaran drama Bola Cinta 2, dia pula dalam pembikinan drama Gemilang. Setiap kali dia habis shooting, dia kerap datang ke lokasi saya. Dia juga akan bawa saya ke set Gemilang kalau saya tak terbabit dengan penggambaran. Hubungan kami memang baik sebelum dia ke Paris. Hari terakhir sebelum dia berlepas ke Paris, dia masih sempat ke lokasi saya.

“Beberapa jam sebelum dia berlepas, ketika dia masih di lapangan terbang, dia masih menghubungi. Saya juga menolak dakwaan, kononnya saya menghalangnya daripada membintangi Azura sehingga dia sedih, malah saya yang memberi galakan kepadanya. Ketika dia di Paris, dia masih kirim SMS kepada saya. Hanya ketika di London, saya dapat rasakan dia dah mula dingin. Saya juga dah dengar macam-macam cerita. Akhirnya berlaku pertengkaran besar di telefon dan Shahz minta hubungan kami diputuskan.

“Akhirnya selepas Shahz pulang ke Kuala Lumpur, barulah kami ambil keputusan untuk sama-sama memutuskan perhubungan ini. Itu insiden yang sebenar, cerita lain, adalah satu pembohongan besar! Bagi saya, dia nak bercinta dengan sesiapa pun, teruskan, tapi jangan menipu! Saya harap dia jangan memalukan saya lagi dengan penipuan. Ini adalah satu kesilapan besar dalam hidup saya, pernah bercinta dengan orang muda. Ini satu pengalaman dan pengajaran,” kata Maria.

Belum puas


Hanyut matangkan Adi, Diana

TERPANCAR keriangan pada wajah mereka apabila dicalonkan sebagai finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010. Mereka popular, tetapi Diana Danielle, 20, dan Ady Putra, 30, masih belum mengecapi apa yang diingini seorang pelakon hebat.

Bukan tidak hebat atau kurang berbakat, sebaliknya masa dan waktu belum berupaya membuktikan kehebatan mereka dalam pentas seni. Bagaimanapun, Diana, finalis kategori Pelakon Filem Wanita Popular, manakala Ady dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular tidak pernah berputus asa, malah perjuangan tidak sesekali terhenti dalam pencarian mereka.

Jujurnya, pelakon filem Bollywood, Don 2, Ady mengakui: "Saya belum puas, belum lagi mengecapi apa yang diingini. Bukan tidak bersyukur dengan limpahan rezeki yang dimiliki, tetapi saya masih mencari. Rasanya perjalanan masih terlalu jauh, saya punya banyak keinginan, bagaimanapun ruang belum diperoleh.

"Sungguhpun begitu, saya percaya pada rezeki. Saya bekerja untuk keluarga, selain menganggapnya sebagai ibadat. Alhamdullilah, walaupun sudah berumahtangga, saya tetap diterima. Malah, sejak bergelar anak seni kira-kira sembilan tahun lalu, nama saya masih tersenarai dalam ABPBH.

"Menang atau kalah bukan lagi menjadi persoalannya, sebaliknya dipilih peminat dalam senarai lima pelakon popular sudah dianggap kejayaan besar buat saya. Bagaimanapun, ia tidak sesekali membuatkan saya berada di tahap selesa, malah saya mahu terus berjuang untuk tidak menghampakan harapan peminat."

Ady dan Diana pernah digandingkan sebagai pasangan kekasih menerusi filem epik termahal dalam sejarah perfileman iaitu Hanyut arahan U-Wei. Filem hebat adaptasi daripada novel sulung Joseph Conrad, lmayer's Folly dikatakan menelan kos penerbitan RM16 juta. Selain Ady dan Diana, filem itu turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Sofia Jane, Chris Vance, Khalid Salleh, Alex Komang dan Bront Palarae.
Nyata, Ady dan Diana tidak kekok apabila digandingkan bersama, malah kemesraan mereka mengalahkan pasangan kekasih lain. Usik mengusik dan gurauan mereka membuktikan mereka serasi bersama, malah Ady tidak menolak apabila diminta memberikan `pose' istimewa. Bagaimanapun, jangan salah anggap, hubungan mereka hanya sekadar kawan baik.

Mereka mengunjungi bilik pameran syarikat Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd yang terletak di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur baru-baru ini. Jika tahun lalu, Bintang Paling Popular ABPBH 2009, Datuk Siti Nurhaliza membawa pulang Nissan X-Trail 2.0L bernilai RM130,000, sebaliknya tahun ini, pemenangnya dijanjikan kereta Nissan Teana 2.0 bernilai RM133,400 dan pembaca bertuah pula menerima Grand Livina 1.6 (A) berharga RM88,600.

Ady atau nama sebenarnya, Hadi Putera Mohamed Halim berkata, dia selesa bersama Diana, malah menganggap gadis berketurunan Melayu-Inggeris itu seorang teman yang baik. Diana, seorang yang bertenaga dan sentiasa mahu belajar mengenai ilmu lakonan.

"Kami memang mesra, hubungan baik saya dan Diana sekadar teman biasa. Isteri saya, Zuhaida Yusof, 36, sangat memahami, malah dia percaya pada kejujuran saya. Bagi saya, kejujuran dan keikhlasan ketika bekerja cukup penting, apatah lagi saya mencari rezeki buat keluarga.

"Lebih empat bulan saya dan Diana berkampung dalam hutan rimba ketika berlakon dalam filem Hanyut, malah kami juga menjadi pasangan kekasih dalam filem itu. Bukan sesuatu yang mudah kerana filem itu terlalu mencabar. Bayangkan dua bulan adalah sesi latihan, manakala lebih dua bulan barulah penggambarannya dijalankan.

"Pengarahnya, U-Wei, seorang yang ringkas tetapi sukar memahami apa yang berada dalam kotak fikirannya. Beliau mahukan hadiah setiap kali masuk ke set penggambarannya. Hadiah yang dimaksudkan adalah sesuatu dalam lakonan yang tidak pernah terlintas dalam fikiran.

"Walaupun susah tapi saya seronok dan teruja apabila bekerja dengan seorang pengarah yang hebat sepertinya. Saya juga terpegun melihat set penggambarannya, kapal dan tiga rumah yang didirikan di luar jangkaan.

“Selain itu, U-Wei menggunakan kepakaran lima jurukamera dari Poland dengan menggunakan kamera Panavision yang sering digunakan kru di Hollywood. Ia juga pertama kali digunakan di Malaysia," kata anak kelahiran kota Singa itu.

'Bukan mudah bawa watak Nina'

Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson berkata, tanpa kritikan mungkin dirinya tidak menyedari kelemahan.

“Saya rasa rendah diri dan berterima kasih di atas setiap teguran. Saya sedar lakonan saya belum mampu dibanggakan, tetapi setiap drama dan filem yang dilakonkan, saya cuba sedaya upaya melakukan yang terbaik. Saya mencintai dunia lakonan dan tidak mahu menghampakan peminat yang sentiasa menyokong. Untuk meningkatkan mutu lakonan, saya akan memasuki kelas lakonan selama sebulan di New York Film Academy cawangan Los Angeles (Universal Studio) pada April ini,” katanya.

Akui Diana, pengalaman menjadi penghuni hutan rimba lebih empat bulan apabila terbabit dalam filem Hanyut menjadi kenangan manis yang tidak mampu dilupakan. Bukan hanya meredah hutan rimba, malah Diana turut belajar mendayung sampan selama beberapa minggu walaupun tidak pernah melakukannya sebelum ini.

Bagaimanapun, dirinya bertuah dapat digandingkan dengan pelakon-pelakon berkaliber Malaysia, Indonesia dan Australia. Dia juga berbangga dapat bekerja dengan pengarah yang diminati, U-Wei.

Diana yang memegang watak utama sebagai Nina dalam filem itu terpaksa mengharungi pelbagai cabaran seperti faktor cuaca serta tekanan untuk menjayakan wataknya dengan sebaik mungkin. Untuk menjayakan filem hebat, dia berkampung lebih empat bulan di hutan sekitar Kuala Lipis dan Taman Negara, Pahang.

"Saya berdepan cabaran besar untuk menjayakan watak Nina. Buat pertama kali, saya berasa seperti serik untuk berlakon lagi kerana pembikinannya sangat rumit. Untuk memikul watak Nina bukannya mudah. Tapi hasil bimbingan dan kesabaran U-Wei yang sentiasa 'cool', saya akhirnya sedar bahawa saya sedang membintangi sebuah karya cukup hebat.

"Saya akui ia cukup memenatkan. Ketika penggambaran, situasi bukan dalam suasana selesa, bukan dalam bilik hawa dingin kerana ia filem abad lalu. Cuaca hujan dan panas terpaksa kami semua tempuhi dan kebanyakannya dibuat di lokasi terbuka. Begitupun, saya anggap segala pengalaman dilalui sepanjang penggambaran ini sebagai satu pengalaman sungguh hebat.

"Jika diberi pilihan, saya lebih selesa bekerja pada waktu malam. Begitupun saya tidak bermaksud untuk cerewet soal waktu kerja atau tidak boleh berdepan tekanan. Sebaliknya saya menganggap ia sebagai cabaran yang perlu dilalui apabila bergelar pelakon.

"Untuk penggambaran filem ini banyak babak lakonan saya bersama Ady Putra. Saya juga terharu dapat berlakon dengan pelakon terkenal seperti Sofia Jane yang menjadi ibu saya," katanya yang akan mengikuti kelas lakonan selama sebulan di New York Film Academy cawangan Los Angeles (Universal Studio) pada bulan depan.

Akuinya, dia juga kagum melihat kostum dan set tahun 1830-an yang dibuat dengan sangat teliti. Dirinya juga banyak belajar mengenai kehidupan orang-orang Melayu di abad lalu melalui filem ini.

"Ia mengisahkan dilema pedagang Belanda, Almayer yang berdepan pelbagai pengalaman sukar untuk meneruskan kehidupan di Borneo pada era 1830-an. Impiannya untuk mencari gunung emas yang belum pasti wujud itu tercabar dengan kerenah isteri, pihak berkuasa penjajah, peraturan ketua suku kaum dan pedagang Arab, serta cinta anak perempuannya kepada putera Melayu yang berjuang demi kebebasan," katanya yang kini sibuk mempromosikan filem ...Dalam Botol arahan Khir Rahman yang menemui peminat di pawagam tidak lama lagi.

Gadis kacukan Melayu-Inggeris itu berkata, .... Dalam Botol adalah filem yang sangat jujur kerana ia mengisahkan kisah benar seorang lelaki yang menukar jantinanya.

"Saya pertama kali bekerja dengan Khir Rahman. Dia lebih gemari cara lakonan yang `subtle' dan saya banyak belajar cara menyampaikan mesej melalui gerak badan kerana dialog tak banyak," katanya.

Menyentuh kisah cintanya bersama aktor Farid Kami, Diana berkata, dia tidak gemar mencanang kisah peribadinya. Malah, dia lebih selesa jika kehidupan peribadinya disimpan rapi.

INFO: Ady
Nama: Hadi Putera Mohamed Halim
Usia: 30 Tahun
Asal: Singapura
Status: Berkahwin
Isteri: Zuhaida Yusof
Drama: Mya Zara, Haryati 2, Kehangatan Lantana, Akukah Tanggang, Air Mata Salina dan Emily
Filem: Anak Halal, Akhirat, Histeria, Don 2, Haq & Hanyut

INFO: Diana
Nama: Diana Danielle Danny Beeson
Usia: 20 Tahun
Tarikh Lahir: 22 November 1991
Tempat Lahir: Houston, Texas, Amerika Syarikat
Bintang: Scorpio
Adik Beradik: Anak tunggal
Drama: Janji Diana, Sembilu Kasih, Takbir Terakhir, Cinta Bulan, Mentari dan Air Mata Maria
Filem: Idola, Evolusi: KL Drift, Malaikat Maut, Kecoh Betul, Magika, .... Dalam Botol, Hanyut & Barajiwa.

Anak penyatu Nana & Sein


PERCERAIAN selama tiga bulan akhirnya membuka pintu-pintu hikmah kepada pasangan Juara Sehati Berdansa musim ketiga, Sein dan Nana. Mereka melihat dari mata hati, tentang kegersangan hidup dan kekosongan jiwa masing-masing.

Tempoh tiga bulan perceraian bermula 8 Disember lalu merupakan ujian untuk menduga kebesaran cinta yang menyatukan mereka sehingga lahirnya dua zuriat comel, Syed Tamriz Al-Qudsy, 3, dan Sharifah Inaiya Al-Qudsy, 1.

Nana atau nama sebenarnya Noor Diyana Muhammad, 27, mengakui, anak-anak kecil yang baru hendak mengenal erti kasih itu antara sebab utama dia dan suaminya kembali bersama.

Pada 11 Mac (Jumaat) lalu, Nana bersama Sein atau nama sebenarnya Syed Hussein Syed Mustafa, 28, mengikat semula tali perkahwinan. Mereka rujuk secara rasmi di mahkamah yang sama tempat mereka bercerai tahun lalu.

"Syukurlah, kami telah pun rujuk semula. Sein mengemukakan perkara tersebut kepada saya dan saya bersetuju untuk hidup bersamanya semula. Saya masih lagi menyayanginya selain kerana anak-anak kami," jelas Nana yang semakin matang menilai erti hidup.

Pasangan tersebut berkahwin pada Julai 2006.

Barulah Nana sedar bagaimana rasanya berdepan kehilangan sesuatu yang amat berharga. Secara luarannya memang dia kelihatan kuat untuk hidup sendiri tanpa suami, tetapi perceraian tidak semudah yang disangka.

"Barulah kami sedar, bahawa kami memerlukan antara satu sama lain. Ada kalanya, kita ingat kita boleh lakukan sesuatu perkara itu sendirian, rupa-rupanya tidak," cerita Nana.

Sensasi Bintang: Selepas rujuk, apa perancangan yang diatur?

NANA: Kami akan mengadakan kenduri doa selamat April nanti. Selepas Sein memindahkan semua barangnya dari rumah sewa, hidup kami anak beranak akan kembali normal.

Bila kalian mula berbincang untuk rujuk?

Sejak Februari lagi. Setelah dibawa berbincang dan fikir masak-masak, saya setuju.

Sepanjang perceraian, bagaimana hubungan Nana dan Sein?

Kami tidak pernah putus berhubungan. Boleh dikatakan setiap hari kami akan berbual, kami memang rapat, kalau tak jumpa kami akan bercakap menerusi telefon. Masuk bulan kedua bercerai, saya dan Sein mula bercakap tentang rujuk. Sepanjang tujuh hari seminggu, hampir setiap hari kami akan berjumpa, Sein akan datang untuk jenguk anak-anak.

Siapa yang mulakan proses rujuk?

Sebenarnya sebelum Sein yang suarakan hasrat untuk rujuk, saya sendiri ada terfikir perkara yang sama tapi sekadar dalam diam sahaja. Tapi bila Sein dah suarakan hasrat, kami minta pandangan keluarga. Memang keluargalah yang paling gembira, mereka nak lihat kebahagiaan kami.

Mungkin ada iktibar yang boleh dikongsi?

Rasanya, dalam perkahwinan tak boleh ada sikap sambil lewa. Jangan ingat jadi ibu tunggal atau bapa tunggal itu senang. Fikir masak-masak sebelum buat keputusan mahu bercerai. Saya sendiri, kalaulah boleh, mahu sahaja saya putarkan masa sebelum bercerai dulu. Allah itu Maha Berkuasa. Dia mahu kami belajar dengan cara begini. Kalau tidak tahu tapi bila sudah berpisah barulah perasaan itu datang.

Selepas kembali jadi pasangan suami isteri, apa azam Nana?

Kita tidak boleh menentukan masa depan tetapi, saya kena selalu ingat untuk banyak bersabar, iman kena kuat, sabar dan sabar lagi. Sebelum ini, saya akui segala silap banyak datang daripada diri sendiri, saya tak cukup sabar. Rasanya sekarang saya kena belajar untuk lebih menghargai perkahwinan. Jangan nak terlalu gila-gila kerana perkahwinan bukan perkara main-main. Setakat ini saya sangat gembira, sebagai isteri dan ibu.

Bagaimana dengan isu orang ketiga yang dikatakan punca perpisahan dahulu?

Sebenarnya tiada orang ketiga. Cuma salah faham, saya dan Sein, dua-dua degil yang tak cukup sabar, darah muda barang kali, kahwin pada umur 22 dan 23 tahun bagaimanapun kami sama-sama besar dalam perkahwinan. Bila bercerai, kami jadi semakin matang, itulah, kahwin muda banyak dugaannya.

Apa ikrar kalian

Kami mahu tutup buku lama, buka buku baru, buangkan segala ego dan dendam.

Faezah nikah hujung tahun


DALAM panas sensasi, gaduh sana, gaduh sini kemudian dikaitkan pula dengan suami orang, pelakon cantik Faezah Elai rupa-rupanya sedang bersiap sedia untuk berkahwin pada hujung tahun ini.

Mulanya Diva cuma dengar-dengar, tapi lepas Faezah sendiri membuka mulut kepada seorang teman, sahlah dia akan menamatkan zaman bujang.

Diva tanya lagi, siapa calon suami Faezah? Kata kawan Diva, Faezah mahu simpan perkara itu sebagai kejutan, yang penting lelaki pilihannya itu bukan daripada kalangan orang seni, bukan pelakon, pengarah atau penerbit. Nyatanya, bukan si pengarah suami orang yang digembar-gemburkan ada skandal dengannya.

Baguslah kalau macam tu, Diva tumpang gembira. Lepas ni, mai pakat ramai-ramai turun Pulau Pinang, pekena nasi kandar sempena kenduri kahwin Faezah!

Scha diikat tahun depan


JARANG sekali golongan selebriti atau artis mahu membuat pengakuan terbuka mengenai hubungan cinta mereka. Kalau tidak diasak bertalu-talu, jangan haraplah mereka akan membuka mulut mengenainya. Bahkan, kalau ditanya pun ada juga yang tidak mahu mengaku walhal bukti sudah tersedia di depan mata.

Klise saja memberi jawapan, kebanyakan daripada mereka pasti akan mengatakan, "Usahlah kisah peribadi menjadi jajaan, lebih baik kita bercerita isu lain". Di mata umum, ayat sebegini tentunya sudah bosan untuk didengar.

Cukup bersahaja nadanya ketika ditanya Pancaindera dalam satu sesi fotografi baru-baru ini, pelakon Awan Dania, Scha Al-Yahya ternyata berbeza.

Tidak pernah malu mengaku bahawa dirinya sedang asyik dilamun cinta, Scha mengaku dia lebih senang berkongsi rasa itu dengan peminat.

Kini, satu negara tahu bahawa pemenang Anugerah Hotchick Shout Awards 2010 ini merupakan cinta hati kepada pelakon dan pengacara popular, Awal Ashaari.

Hampir setahun setengah menyiram cinta, kata Scha, jejaka kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur ini cukup istimewa di mata hatinya.

"Alhamdulilah, kehadiran Awal benar-benar memberi kebahagiaan dalam hidup Scha, malah tak keterlaluan kalau Scha katakan bahawa Awal setakat ini adalah lelaki yang terbaik pernah Scha kenal dan dampingi.

"Bagi Scha dia bukan sahaja ikhlas dalam hubungan kami tetapi yang paling penting dia tak 'lebih-lebih' untuk memikat Scha," katanya.

Bicara gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah ini lagi, selain baik hati, dia juga percaya perbezaan karakter yang dimiliki mereka juga merupakan antara punca mengapa mereka begitu serasi bersama.

"Kalau nak tahu, kami ini betul-betul ada aura hitam putih. Scha ni orangnya suka buat apa-apa perkara dengan cepat. Tetapi bukan tergopoh-gopoh tau! Scha suka pastikan apa sahaja perkara yang Scha buat terancang.

"Berlainan dengan Awal, dia lebih penyabar dan "slow and steady". Scha juga rasa bertuah dipertemukan dengan Awal sebab dia ni lelaki yang tak kuat cemburu. Maklumlah, kami ni sama-sama membina kerjaya dalam bidang seni, jadi kalau ada yang terlebih cemburu susahlah.

"Dalam bab ini, Scha yakin sikap saling memahami dan bertolak-ansur adalah kekuatan buat cinta kami selain mendapat restu keluarga.

"Scha juga percaya kalau kita jujur dalam hubungan maka segala perkara akan dipermudahkan oleh Tuhan, " katanya merendah diri.

Scha segan dengan AwalPelik dan terkejut juga mendengar pengakuan Scha mengenai pandangannya terhadap kekasihnya Awal. Cuma satu perkataan yang mampu diungkap oleh si jelita ini. Segan!

Kata pemegang watak Shasha dalam filem garapan Afdlin Shauki, Papadom ini, dari aspek pengacaraan dia sebenarnya cukup segan dengan kredibiliti Awal.

Baginya, Awal punya kemampuan yang berbeza tatkala mengendalikan program berbentuk pengacaraan yang tentunya memerlukan individu tersebut petah dan riuh bagai Murai.

"Biarlah kalau ada yang tak percaya, tetapi memang Scha cukup segan dengan Awal. Bakatnya dalam bidang pengacaraan memang tak dinafikan dan Scha hormat dia kerana kelebihannya itu.

Dalam pada itu, ketika dicungkil pertanyaan mengenai karakter Awal yang tidak ramai orang tahu, spontan si manis ini melabel Awal sebagai seorang yang misteri.

"Macam manalah Scha tak kata dia misteri, sebab ada masanya Scha sukar menggali apa yang bersarang dalam fikirannya. Dia memang suka berfikir, tetapi tak pula ringan mulut nak bercerita dengan kita apa yang dia fikir.

"Scha pula tak suka memaksa. Kalau dia bersedia nak membuka mulut, pasti dia akan bercerita nanti. Jadi lebih baik Scha biarkan dia dengan dunia dia tu," tawanya.

Manisnya si diaAdat orang bercinta, segalanya dirasakan indah. Indah rasa itu turut dikecapi gadis berbintang Gemini ini yang sedari tadi tampak selesa apabila soal cinta menjadi topik bualan.

Digali pula kisah mengenai gelagat manis Awal padanya sepanjang bercinta, dan dalam keterbukaan, cerita Scha, Awal dalam diam ada romantisnya.

Bicara Scha, Awal sering menghadiahkan kad ucapan sebagai pengganti diri. Walau tanpa sebarang sebab, kiriman kad pasti akan sampai padanya dalam waktu-waktu yang tidak dijangka.

Dalam senyum, Scha tidak menolak aktiviti 'comel' sebegitu adalah salah satu cara Awal menyatakan rasa sayang dan cinta kepadanya.

"Kalau nak tahu, sehingga sekarang, hampir 20 keping kad yang ada dalam simpanan Scha. Dia memang rajin memberi Scha kad dan tak semestinya pada hari lahir.

"Mungkin ada yang kata ia macam dah ketinggalan zaman, tapi bagi Scha ia adalah salah satu cara bagaimana kami menghargai antara satu sama lain. Scha pun tak sangka Awal semanis ini," katanya.

Selain kad, kejutan hari lahir yang diterimanya pada tahunlalu merupakan hadiah indah yang dirasakan Scha.

"Jujurnya, Scha tak pernah menyambut hari lahir sebab pada Scha, kalau sudah dewasa maka tak payahlah nak beriya-iya menyambutnya.

"Tapi, apa yang dilakukan oleh Awal benar-benar buat pipi Scha bertukar warna merah. Terharu sangat!

"Tak kisahlah kalau ia berlangsung tiga hari lebh awal pun," tuturnya.

Bukan kekasih orang


RASANYA lama juga Syed tak dengar cerita tantang pelakon yang cukup 'berani mati' ni. Kiranya lepas kes dadah tempoh hari, Zarina Anjoulie Lavocah terus senyap tanpa sebarang publisiti.

Dalam senyap-senyap tu ada orang menyampaikan cerita pada Syed yang Zarina kini cuba nak merampas kekasih salah seorang pelakon yang cukup cantik. Biar betul, takkan kekasih orang juga yang Zarina nak?

Tak mahu mendengar cerita sebelah pihak sahaja, Syed menghubungi pelakon itu baru-baru ini. Tidak terkejut dengan apa juga soalan yang tebak, kata Zarina dia tidak pernah merampas sesiapapun sebelum ini.

"Memang saya tahu ramai yang bercakap saya merampas kekasih kepada pelakon yang sedang meningkat tu. Tak cukup orang bercakap ada yang gatal tangan twit dalam Twitter pula.

"Saya dan lelaki itu hanya kawan baik dan dengan teman wanita dia pun memang baik. Jadi jangan nak salah anggap dan nak sebar fitnah yang bukan-bukan mengenai hal itu," kata pelakon yang mesra dengan panggilan Anju ini lagi.

Tak mahu terus dikecam oleh segelintir peminat yang menyampah dengan dirinya, kata Zarina dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan vokalis kumpulan Loudspeaker yang dikenali dengan nama Alef Aizudin.

"Kami kawan dah lama dan kini memang saya akui cukup rapat dengan dirinya. Harap-harap tak ada orang yang nak menuduh saya menjadi perampas mana-mana kekasih orang selepas ini," katanya lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails