Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Belum puas


Hanyut matangkan Adi, Diana

TERPANCAR keriangan pada wajah mereka apabila dicalonkan sebagai finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010. Mereka popular, tetapi Diana Danielle, 20, dan Ady Putra, 30, masih belum mengecapi apa yang diingini seorang pelakon hebat.

Bukan tidak hebat atau kurang berbakat, sebaliknya masa dan waktu belum berupaya membuktikan kehebatan mereka dalam pentas seni. Bagaimanapun, Diana, finalis kategori Pelakon Filem Wanita Popular, manakala Ady dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular tidak pernah berputus asa, malah perjuangan tidak sesekali terhenti dalam pencarian mereka.

Jujurnya, pelakon filem Bollywood, Don 2, Ady mengakui: "Saya belum puas, belum lagi mengecapi apa yang diingini. Bukan tidak bersyukur dengan limpahan rezeki yang dimiliki, tetapi saya masih mencari. Rasanya perjalanan masih terlalu jauh, saya punya banyak keinginan, bagaimanapun ruang belum diperoleh.

"Sungguhpun begitu, saya percaya pada rezeki. Saya bekerja untuk keluarga, selain menganggapnya sebagai ibadat. Alhamdullilah, walaupun sudah berumahtangga, saya tetap diterima. Malah, sejak bergelar anak seni kira-kira sembilan tahun lalu, nama saya masih tersenarai dalam ABPBH.

"Menang atau kalah bukan lagi menjadi persoalannya, sebaliknya dipilih peminat dalam senarai lima pelakon popular sudah dianggap kejayaan besar buat saya. Bagaimanapun, ia tidak sesekali membuatkan saya berada di tahap selesa, malah saya mahu terus berjuang untuk tidak menghampakan harapan peminat."

Ady dan Diana pernah digandingkan sebagai pasangan kekasih menerusi filem epik termahal dalam sejarah perfileman iaitu Hanyut arahan U-Wei. Filem hebat adaptasi daripada novel sulung Joseph Conrad, lmayer's Folly dikatakan menelan kos penerbitan RM16 juta. Selain Ady dan Diana, filem itu turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Sofia Jane, Chris Vance, Khalid Salleh, Alex Komang dan Bront Palarae.
Nyata, Ady dan Diana tidak kekok apabila digandingkan bersama, malah kemesraan mereka mengalahkan pasangan kekasih lain. Usik mengusik dan gurauan mereka membuktikan mereka serasi bersama, malah Ady tidak menolak apabila diminta memberikan `pose' istimewa. Bagaimanapun, jangan salah anggap, hubungan mereka hanya sekadar kawan baik.

Mereka mengunjungi bilik pameran syarikat Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd yang terletak di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur baru-baru ini. Jika tahun lalu, Bintang Paling Popular ABPBH 2009, Datuk Siti Nurhaliza membawa pulang Nissan X-Trail 2.0L bernilai RM130,000, sebaliknya tahun ini, pemenangnya dijanjikan kereta Nissan Teana 2.0 bernilai RM133,400 dan pembaca bertuah pula menerima Grand Livina 1.6 (A) berharga RM88,600.

Ady atau nama sebenarnya, Hadi Putera Mohamed Halim berkata, dia selesa bersama Diana, malah menganggap gadis berketurunan Melayu-Inggeris itu seorang teman yang baik. Diana, seorang yang bertenaga dan sentiasa mahu belajar mengenai ilmu lakonan.

"Kami memang mesra, hubungan baik saya dan Diana sekadar teman biasa. Isteri saya, Zuhaida Yusof, 36, sangat memahami, malah dia percaya pada kejujuran saya. Bagi saya, kejujuran dan keikhlasan ketika bekerja cukup penting, apatah lagi saya mencari rezeki buat keluarga.

"Lebih empat bulan saya dan Diana berkampung dalam hutan rimba ketika berlakon dalam filem Hanyut, malah kami juga menjadi pasangan kekasih dalam filem itu. Bukan sesuatu yang mudah kerana filem itu terlalu mencabar. Bayangkan dua bulan adalah sesi latihan, manakala lebih dua bulan barulah penggambarannya dijalankan.

"Pengarahnya, U-Wei, seorang yang ringkas tetapi sukar memahami apa yang berada dalam kotak fikirannya. Beliau mahukan hadiah setiap kali masuk ke set penggambarannya. Hadiah yang dimaksudkan adalah sesuatu dalam lakonan yang tidak pernah terlintas dalam fikiran.

"Walaupun susah tapi saya seronok dan teruja apabila bekerja dengan seorang pengarah yang hebat sepertinya. Saya juga terpegun melihat set penggambarannya, kapal dan tiga rumah yang didirikan di luar jangkaan.

“Selain itu, U-Wei menggunakan kepakaran lima jurukamera dari Poland dengan menggunakan kamera Panavision yang sering digunakan kru di Hollywood. Ia juga pertama kali digunakan di Malaysia," kata anak kelahiran kota Singa itu.

'Bukan mudah bawa watak Nina'

Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson berkata, tanpa kritikan mungkin dirinya tidak menyedari kelemahan.

“Saya rasa rendah diri dan berterima kasih di atas setiap teguran. Saya sedar lakonan saya belum mampu dibanggakan, tetapi setiap drama dan filem yang dilakonkan, saya cuba sedaya upaya melakukan yang terbaik. Saya mencintai dunia lakonan dan tidak mahu menghampakan peminat yang sentiasa menyokong. Untuk meningkatkan mutu lakonan, saya akan memasuki kelas lakonan selama sebulan di New York Film Academy cawangan Los Angeles (Universal Studio) pada April ini,” katanya.

Akui Diana, pengalaman menjadi penghuni hutan rimba lebih empat bulan apabila terbabit dalam filem Hanyut menjadi kenangan manis yang tidak mampu dilupakan. Bukan hanya meredah hutan rimba, malah Diana turut belajar mendayung sampan selama beberapa minggu walaupun tidak pernah melakukannya sebelum ini.

Bagaimanapun, dirinya bertuah dapat digandingkan dengan pelakon-pelakon berkaliber Malaysia, Indonesia dan Australia. Dia juga berbangga dapat bekerja dengan pengarah yang diminati, U-Wei.

Diana yang memegang watak utama sebagai Nina dalam filem itu terpaksa mengharungi pelbagai cabaran seperti faktor cuaca serta tekanan untuk menjayakan wataknya dengan sebaik mungkin. Untuk menjayakan filem hebat, dia berkampung lebih empat bulan di hutan sekitar Kuala Lipis dan Taman Negara, Pahang.

"Saya berdepan cabaran besar untuk menjayakan watak Nina. Buat pertama kali, saya berasa seperti serik untuk berlakon lagi kerana pembikinannya sangat rumit. Untuk memikul watak Nina bukannya mudah. Tapi hasil bimbingan dan kesabaran U-Wei yang sentiasa 'cool', saya akhirnya sedar bahawa saya sedang membintangi sebuah karya cukup hebat.

"Saya akui ia cukup memenatkan. Ketika penggambaran, situasi bukan dalam suasana selesa, bukan dalam bilik hawa dingin kerana ia filem abad lalu. Cuaca hujan dan panas terpaksa kami semua tempuhi dan kebanyakannya dibuat di lokasi terbuka. Begitupun, saya anggap segala pengalaman dilalui sepanjang penggambaran ini sebagai satu pengalaman sungguh hebat.

"Jika diberi pilihan, saya lebih selesa bekerja pada waktu malam. Begitupun saya tidak bermaksud untuk cerewet soal waktu kerja atau tidak boleh berdepan tekanan. Sebaliknya saya menganggap ia sebagai cabaran yang perlu dilalui apabila bergelar pelakon.

"Untuk penggambaran filem ini banyak babak lakonan saya bersama Ady Putra. Saya juga terharu dapat berlakon dengan pelakon terkenal seperti Sofia Jane yang menjadi ibu saya," katanya yang akan mengikuti kelas lakonan selama sebulan di New York Film Academy cawangan Los Angeles (Universal Studio) pada bulan depan.

Akuinya, dia juga kagum melihat kostum dan set tahun 1830-an yang dibuat dengan sangat teliti. Dirinya juga banyak belajar mengenai kehidupan orang-orang Melayu di abad lalu melalui filem ini.

"Ia mengisahkan dilema pedagang Belanda, Almayer yang berdepan pelbagai pengalaman sukar untuk meneruskan kehidupan di Borneo pada era 1830-an. Impiannya untuk mencari gunung emas yang belum pasti wujud itu tercabar dengan kerenah isteri, pihak berkuasa penjajah, peraturan ketua suku kaum dan pedagang Arab, serta cinta anak perempuannya kepada putera Melayu yang berjuang demi kebebasan," katanya yang kini sibuk mempromosikan filem ...Dalam Botol arahan Khir Rahman yang menemui peminat di pawagam tidak lama lagi.

Gadis kacukan Melayu-Inggeris itu berkata, .... Dalam Botol adalah filem yang sangat jujur kerana ia mengisahkan kisah benar seorang lelaki yang menukar jantinanya.

"Saya pertama kali bekerja dengan Khir Rahman. Dia lebih gemari cara lakonan yang `subtle' dan saya banyak belajar cara menyampaikan mesej melalui gerak badan kerana dialog tak banyak," katanya.

Menyentuh kisah cintanya bersama aktor Farid Kami, Diana berkata, dia tidak gemar mencanang kisah peribadinya. Malah, dia lebih selesa jika kehidupan peribadinya disimpan rapi.

INFO: Ady
Nama: Hadi Putera Mohamed Halim
Usia: 30 Tahun
Asal: Singapura
Status: Berkahwin
Isteri: Zuhaida Yusof
Drama: Mya Zara, Haryati 2, Kehangatan Lantana, Akukah Tanggang, Air Mata Salina dan Emily
Filem: Anak Halal, Akhirat, Histeria, Don 2, Haq & Hanyut

INFO: Diana
Nama: Diana Danielle Danny Beeson
Usia: 20 Tahun
Tarikh Lahir: 22 November 1991
Tempat Lahir: Houston, Texas, Amerika Syarikat
Bintang: Scorpio
Adik Beradik: Anak tunggal
Drama: Janji Diana, Sembilu Kasih, Takbir Terakhir, Cinta Bulan, Mentari dan Air Mata Maria
Filem: Idola, Evolusi: KL Drift, Malaikat Maut, Kecoh Betul, Magika, .... Dalam Botol, Hanyut & Barajiwa.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails