Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Maria tak akan maafkan Shahz


PERCINTAAN pelakon Maria Farida, 42, dengan aktor baru, Shahz Jaszle, 23, sudah berakhir kira-kira dua bulan lalu, namun artis seksi itu tampil membuat kenyataan apabila berasakan dirinya menjadi mangsa sindiran artis baru berkenaan. Maria mendakwa Shahz terus memberi kenyataan palsu berhubung isu bila mereka putus cinta menerusi beberapa kenyataan kepada media massa, baru-baru ini.

“Saya ni jenis orang yang tak suka menghebohkan kisah peribadi kepada umum. Namun, apabila ada orang baru berlakon setahun jagung, tiba-tiba nak mencalar nama saya, saya perlu bersuara. Saya dah terima kenyataan, percintaan kami sudah berakhir kira-kira dua bulan lalu. Saya dah senyap, tak beri apa-apa kenyataan, tapi penipuannya masih diteruskan kepada media massa lain!

“Yang membuatkan saya tak puas hati ini, dia siapa nak mempertikaikan profesionalisme saya. Kenyataannya kepada sebuah tabloid mingguan, baru-baru ini, adalah satu sindiran. Saya dah bergelumang dalam industri ini lebih 20 tahun, dia baru saja nak berjinak-jinak. Bagi saya, dia adalah satu-satunya artis yang berani mencalarkan nama saya. Belum pernah selama 20 tahun ini, ada orang cuba mempertikaikan profesionalisme saya.

“Dia tahukah perbualan saya dengan pengurus produsksi Asmara 2 sehingga saya terpaksa menolak tawaran berkenaan? Saya dah terangkan kepada produksi, saya tak boleh beri komitmen kerana masih bercuti di Singapura bersama anak. Jadi, siapa dia ni nak sindir saya dalam akhbar,” soal Maria berkali-kali.

Maria berkata demikian mengulas kenyataan Shahz dalam tabloid mingguan yang mempertikai dirinya apabila tidak mahu membintangi drama bersiri Asmara 2 apabila menggunakan istilah profesional seolah-olah menyindir beliau.

Tambah Maria, apa dilakukan Shahz memberikan kesan mendalam kepada dirinya dan keluarga sehingga dia tidak mampu memaafkan aktor baru itu sampai bila-bila.

Menerusi artikel sama juga, Shahz mendakwa Maria adalah kekasih selebriti pertamanya.
“Janganlah nak menipu lagi... Sebelum ini pernah tersebar di majalah hiburan dan akhbar, dia pernah bercinta dengan Syira Aiyob, pengacara TV3 dan pelakon filem Karak terbitan KRU Studios. Sebelum itu, dia juga pernah bercinta dengan Faralyna Idris yang berlakon drama Asmara dan Asmara 2.

“Jadi, saya bukanlah cinta selebriti pertama dia. Sudah-sudahlah, janganlah nak menipu lagi,” kata Maria.

Shahz juga terus memberikan kenyataan, dia putus cinta dengan Maria sebelum beliau ke Paris dan London membintangi filem Azura arahan Aziz M Osman. Bagi Maria, itu adalah satu pembohongan berterusan daripadanya. Shahz kini dilaporkan sedang bercinta dengan heroin Azura, yang juara Dewi Remaja 2010, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa, 22.

“Itu adalah satu penipuan yang besar! Kenapa dia perlu mengulangi penipuan itu dalam kenyataannya baru-baru ini? Sebelum dia ke Paris, saya masih dalam penggambaran drama Bola Cinta 2, dia pula dalam pembikinan drama Gemilang. Setiap kali dia habis shooting, dia kerap datang ke lokasi saya. Dia juga akan bawa saya ke set Gemilang kalau saya tak terbabit dengan penggambaran. Hubungan kami memang baik sebelum dia ke Paris. Hari terakhir sebelum dia berlepas ke Paris, dia masih sempat ke lokasi saya.

“Beberapa jam sebelum dia berlepas, ketika dia masih di lapangan terbang, dia masih menghubungi. Saya juga menolak dakwaan, kononnya saya menghalangnya daripada membintangi Azura sehingga dia sedih, malah saya yang memberi galakan kepadanya. Ketika dia di Paris, dia masih kirim SMS kepada saya. Hanya ketika di London, saya dapat rasakan dia dah mula dingin. Saya juga dah dengar macam-macam cerita. Akhirnya berlaku pertengkaran besar di telefon dan Shahz minta hubungan kami diputuskan.

“Akhirnya selepas Shahz pulang ke Kuala Lumpur, barulah kami ambil keputusan untuk sama-sama memutuskan perhubungan ini. Itu insiden yang sebenar, cerita lain, adalah satu pembohongan besar! Bagi saya, dia nak bercinta dengan sesiapa pun, teruskan, tapi jangan menipu! Saya harap dia jangan memalukan saya lagi dengan penipuan. Ini adalah satu kesilapan besar dalam hidup saya, pernah bercinta dengan orang muda. Ini satu pengalaman dan pengajaran,” kata Maria.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails