Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Ahmad Idham Kesal Dituduh Hina Islam Dalam 'Apa Celop'
KUALA LUMPUR: Pengarah filem dan drama popular, Ahmad Idham kecewa apabila ada pihak mendakwa drama bersiri terbaru arahannya iaitu Apa Celop menghina agama Islam.
Idham berkata, dia berasa kesal dan sedih apabila niat baiknya untuk memartabatkan kalimah Allah S.W.T. seperti ungkapan Alhamdulilah, Astagfirullah A'lazim, Subanallah dan sebagainya di dalam drama bersiri itu telah dikatakan menghina agamanya sendiri.
"Saya tidak faham mengapa ada pihak boleh mengatakan saya menghina agama saya kerana penggunaan kalimah tersebut dalam Apa Celop.
"Hanya kerana watak mat rempit yang mengucapkan kata-kata itu, terus saya dituduh menghina Islam, ia membuatkan saya berasa sedih," ujarnya kepada mStar Online di sini, Rabu.
Ahmad Idham mengulas pendapat sesetengah pihak menerusi beberapa laman sosial yang menuduhnya mempersendakan agama Islam apabila kalimah Allah diungkapkan oleh pelakon yang membawa watak mat rempit dalam drama bersiri tersebut.
Apa Celop menemui penonton TV3 pada setiap Isnin dan telah memulakan siaran pertamanya pada 20 Februari lalu.
Dalam pada itu, Idham berkata, masyarakat sepatutnya melihat perkara itu sebagai kebaikan dan cara membudayakan elemen Islam yang semakin jauh daripada masyarakat terutamanya golongan belia.
Dia sebenarnya sengaja menggunakan kalimah-kalimah tersebut secara kerap dalam Apa Celop kerana ingin mendidik golongan belia dan kanak-kanak bahawa ada cara sebenar untuk menyatakan sesuatu mengikut ajaran Islam.
"Jika dilihat hari ini golongan remaja dan kanak-kanak lebih terbiasa dengan ucapan seperti Oh My God, Oh!Damn dan sebagainya selain tidak lagi menggunakan kata-kata Ya Allah Ya Tuhan Ku, Alhamdulilah, Astagfirullah A'lazim dan sebagainya.
"Sepatutnya orang yang mengecam itu kena kaji balik dan tidak cepat menuduh dan mengatakan saya menghina Islam," katanya.
Drama bersiri 13 episod tersebut merupakan cetusan idea Idham yang bertindak sebagai pengarahnya manakala skrip ditulis oleh Meor Shariman.
Ia memaparkan pelbagai dilema dan masalah pelumba-pelumba haram yang menjalani kehidupan mereka di Kuala Lumpur.
Linda Jasmine Tidak Rancang Tambah Anak
KUALA LUMPUR: Isteri kepada pelakon Que haidar iaitu Linda Jasmine yang sedang sarat hamil anak ketiga memberitahu tidak merancang untuk menambah bilangan ahli keluarga selepas ini.
Linda, 39, berkata, kandungannya itu yang kini sudah mencecah enam bulan adalah yang terakhir kerana dia dan suami ingin memberi tumpuan dalam membesarkan anak-anak pula selepas ini.
"Rasanya ini adalah yang terakhir untuk saya mengandung. Tetapi jika Allah S.W.T. ingin memberikan rezeki saya tidak menolak," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran teater muzikal KL Energetik di sini pada Rabu.
Linda berkata, dia tidak sabar untuk menerima kelahiran orang baru dalam keluarga mereka.
Ujarnya, dia dan Que gembira apabila dikhabarkan akan menerima cahaya mata perempuan dan berharap bayi yang akan dilahirkan kelak sihat.
"Saya dan Que sebelum ini memang berhasrat untuk menimang seorang lagi anak perempuan dan tidak sabar rasanya untuk menanti kehadiran cahaya mata baru kami itu," ujarnya.
Linda dijangka bakal melahirkan anak pada Mei 2012.
Dalam pada itu, Linda memberitahu untuk kandungannya kali ini, dia mengalami alahan yang teruk selain sering kepenatan apabila melakukan sesuatu.
Linda bagaimanapun berkata, tidak mahu terlalu memanjakan diri dan tetap bergerak aktif dalam melakukan aktiviti hariannya.
"Walaupun cepat penat dan mengalami alahan saya tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk terus bergerak aktif dalam melakukan aktiviti harian," ujarnya.
Sementara itu, bercakap mengenai penglibatan anak sulungnya, Qalif Khan,12, dalam pementasan teater muzikal KL Energetik, Linda berkata, perkara itu berlaku secara kebetulan tambahan pula anak lelaki tunggalnya itu suka mencuba sesuatu yang baru.
Linda berkata, dia tidak pernah memaksa anaknya untuk terlibat dalam aktiviti yang tidak digemarinya namun mengakui banyak mendedahkan pelbagai aktiviti kepada Qalif.
"Saya tidak pasti sama ada dia ingin menjadi seorang penyanyi atau pelakon di masa hadapan kerana pada usianya 12 tahun, Qalif gemar mencuba perkara baru.
"Saya sebagai ibu tidak pernah menghalangnya dan cuba membuka ruang kepadanya terhadap pelbagai aktiviti baru mengikut kesesuaiannya," ujarnya.
Hasil perkahwinan Que dan Linda, mereka dikurniakan seorang anak perempuan iatuTengku Ratu Haidar yang kini berusia dua tahun sementara Qalif adalah anak hasil perkahwinan Linda dengan suami terdahulu.
Akui Kecil Hati, Kamal Adli Enggan Salahkan MIG
KUALA LUMPUR: Pelakon Kamal Adli menjelaskan dia tidak pernah menyesal mengikat kontrak dengan Metrowealth International Group (MIG) yang dimiliki David Teo walaupun kurang mendapat projek di bawah syarikat itu.
Kamal berkata, dia tidak perlu menyesal kerana keputusan untuk bersama MIG sebelum ini adalah kehendaknya dan bukan dipaksa oleh sesiapa.
"Saya tidak pernah menyesal bersama MIG walaupun kadang-kadang berasa kecil hati dengan pihak pengurusan yang seakan-akan mengabaikan saya tanpa sebarang projek baru.
"Bagaimanapun saya perlu memahami bahawa mereka bukan menguruskan saya seorang tetapi hampir 100 artis lain yang bernaung di bawah MIG," ujarnya kepada mStar Online di sini, Rabu.
Dalam pada itu, Kamal berkata, atas dasar itu juga dia tidak mahu duduk diam tanpa berbuat apa-apa sebaliknya turut mencari peluang lain tanpa terlalu mengharapkan syarikat pengurusannya.
Kamal berkata, dia perlu melakukan sesuatu untuk membantu dirinya sendiri demi memastikan bakat lakonannya tidak disia-siakan begitu sahaja.
"Keutamaan diberikan kepada projek-projek daripada MIG tetapi jika tidak dipanggil (berlakon) takkan nak duduk diam saja, saya sendiri perlu bangkit untuk mencari peluang," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai namanya yang semakin melonjak naik di Indonesia, Kamal berkata, dia bertuah kerana semakin diterima oleh peminat dan ia adalah baik untuk kariernya di negara itu.
Kamal memberitahu, media di negara itu cukup fanatik dengannya tambahan pula dia digosipkan sedang hangat bercinta dengan pelakon gandingannya dalam filem Gerimis Mengundang iaitu Olivia Jensen Lubis.
"Kebetulan filem itu akan ditayangkan di Indonesia dan kecoh kononnya saya sedang bercinta dengan Olivia. Bagaimanapun saya menganggap ia sebagai satu promosi untuk saya dan filem itu nanti," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Kamal berkata, dia masih belum bersedia untuk menerima sebarang tawaran berlakon di Indonesia walaupun ada beberapa projek sudah ditawarkan kepadanya.
Kamal berkata, dia masih belum bersedia untuk mengembangkan sayap ke sana selain belum puas berlakon dengan produksi tempatan.
"Tawaran itu memang ada tetapi antara syarat yang perlu saya penuhi adalah perlu menguasai Bahasa Indonesia dengan baik yang mana saya rasa mengambil masa untuk melakukannya.
"Selain itu, saya masih belum bersedia dalam pelbagai aspek, daripada menimbulkan masalah kepada mereka lebih baik tolak secara baik," ujarnya.
Pun begitu, Kamal berkata dia tidak menolak kemungkinan akan ke sana untuk mengembangkan sayapnya sebagai seorang pelakon.
Dalam perkembangan lain, Kamal akan muncul dengan teater muzikal Gerimis Mengundang di samping pelakon Indonesia yang popular menerusi sinetron Nada Cinta iaitu Mikha Tambayong bermula 27 Mac sehingga 8 April depan di Panggung Sari, Istana Budaya.
Umpatan orang, pahala bagi Norish
PELBAGAI tohmahan dilontarkan kepada pelakon Norish Karman selepas dia melalui kehidupan sebagai ibu tunggal. Ada yang mendakwa pelakon asal Singapura itu membawa diri ke Bali, Indonesia akhir 2011, gara-gara mahu menyembunyikan diri lantaran berbadan dua.
Sedang dibebani dengan masalah tidak berkesudahan akibat perceraian bersama bekas suami, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir yang belum selesai, cerita-cerita terbaru ini menghangatkan lagi namanya yang sedikit suram kebelakangan ini.
Jika sebarang perempuan, sudah pasti tewas dengan keadaan apabila satu demi satu dugaan besar melanda.
Namun Norish atau nama sebenarnya Nor'Asikin Karman, 37, bukan sebarang wanita. Malah, dia berjaya bangkit dari kemurungan dan mampu menjalani kehidupan seperti biasa.
Menurut Norish yang kini mahu dikenali sebagai NK, kekuatannya terletak kepada enam pasang mata yang ditatap setiap hari.
Sebagai ibu, NK berkata, biar seteruk mana permasalahan yang melanda diri, dia perlu tampil sebagai wanita perkasa di hadapan anak-anak, iaitu Muhammad Haqiem Amany, 13, Muhammad Hady Amieran, 9, dan Nur Hanyz Amanda, 8.
"Bohonglah kalau saya kata sepanjang berhadapan dengan masalah, air mata ini tidak pernah keluar. Saya bukan robot yang tidak punya perasaan.
"Saya sering menangis tapi tidak di hadapan anak-anak atau orang lain. Kalau anak-anak melihat ibu mereka lemah, sudah pasti mereka juga turut terkesan.
"Setakat ini, alhamdulillah, saya dapat mengharungi segala keperitan. Saya perlu kuat untuk orang tersayang," katanya panjang lebar.
Sedikit pun tidak tergugat dengan permasalahan, NK yang baru-baru ini hadir di Utusan Malaysia untuk segmen Chat Bersama di Utusan Online, sambil ditemu bual sempat membuat lawak jenaka.
Dari raut wajahnya tidak terlihat langsung yang dirinya sedang berhadapan dengan masalah dalaman.
Katanya, hidup mesti diteruskan biar apa yang berlaku kerana di hadapan sana sentiasa ada sinar yang menerangi kehidupan setiap insan.
"Biarlah orang hendak kata apa tentang diri saya, kerana saya lebih senang mengambil sikap berdiam diri. Segala umpatan itu adalah pahala untuk saya.
"Orang hanya boleh menulis, menyebar gosip dan membuat spekulasi.
"Sedangkan yang tahu kedudukan cerita sebenar adalah saya. Bagi saya, bila orang sudah bosan mengata tentang saya, pasti mereka akan berhenti dengan sendirinya.
"Maka itulah, saya lebih senang berdiam diri dan bersuara hanya bila perlu sahaja," katanya.
Bersuara menerusi lagu
Jangan pandang remeh atau sebelah mata bakat nyanyian NK.
Mendengar single Rahsia Hati, ciptaan dan lirik oleh Julfekar yang merupakan single pertama NK, ada sesuatu yang boleh dijadikan sebagai asas untuk dia muncul sebagai penyanyi. Malah, jika hanya mendengar suara, pasti kita tidak menduga bahawa suara itu milik NK.
Menurut NK, sebelum menjalani rakaman di studio, ketika masih bergelar isteri, dia pernah naik turun ke Indonesia untuk belajar vokal.
"Saya belajar vokal bukan secara intensif tapi sesekali apabila ada urusan di Indonesia dan waktu itulah baru saya belajar. Ada jugalah dua tiga kali saya belajar.
"Semuanya bermula apabila ada seorang teman di sana tanya kenapa saya tidak buat album sebaik sahaja dia mendengar saya mendendangkan lagu dalam satu majlis.
"Katanya, suara saya persis penyanyi profesional. Apalagi bila ada orang yang beri semangat macam itu, saya pun ambil keputusan untuk belajar vokal," imbasnya.
Kata NK, cintanya yang sebenar adalah pada nyanyian namun kesempatan untuk menjadi penyanyi tidak datang awal seperti mana dunia modeling dan lakonan.
Dia yang sudah 18 tahun dalam bidang seni berkata, kerjaya awalnya adalah sebagai model di Singapura dan kemudian dipilih menjadi heroin filem Sayang Salmah arahan Dr. Mahadi J. Murat.
"Semuanya bermula pada tahun 1994. Kehadiran saya dalam bidang ini dicari dan bukan mencari. Ada wakil agensi tawar saya menjadi model sewaktu saya berjalan-jalan di Singapura.
"Kemudian pengarah Mahadi J. Murat berminat untuk ambil saya berlakon setelah melihat cover saya di majalah Jelita. Dari situlah bermula kehidupan saya sebagai anak seni," ceritanya.
Biarpun begitu minat untuk menjadi penyanyi tidak pernah padam dan NK yakin tidak terlewat.
Sebelum muncul dengan single Rahsia Hati, NK pernah menyertai World Championship of Performing Arts di Los Angeles pada 2006 dan berjaya merangkul pingat emas dalam kategori Vokal (R&B).
"Saya adalah insan yang suka mencabar diri, berkeyakinan dan bersemangat. Saya tidak takut untuk dinilai kerana setiap orang ada pandangan berbeza.
"Diterima atau tidak sebagai penyanyi, saya tidak kisah kerana sekurang-kurangnya saya berjaya melakukannya dengan penuh keyakinan," katanya yang sering berfikiran positif.
Selain Rahsia Hati, NK turut merakam lagu Terus Melangkah, ciptaan Damien yang turut menampilkan Filsuf.
Kehilangan Izwan matangkan Aril
SEPARUH jiwanya pergi bersama-sama pemergian abang tercinta, penyanyi dan pengacara Izwan Pilus yang telah pulang mengadap Ilahi pada 20 Januari lalu.
Masakan tidak, selama ini dia cukup akrab dengan abangnya itu. Hinggakan kata Aril, dia sering mendapatkan pandangan arwah dalam apa sahaja perkara terutama yang berkaitan dengan kerjaya seni.
Sementelah kata Aril atau nama penuhnya, Khairil Azam Pilus, 27, arwah abangnya itu terlebih dahulu menceburi bidang seni berbanding dirinya dan pernah pula popular dengan lagu-lagu seperti Indah Lelapku.
Bukan itu sahaja, selama ini segala urusan keluarga juga sering diserahkan kepada arwah yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu.
"Selama ini bukan Aril tidak pernah ambil berat soal keluarga, cuma tidak serius sebab ada arwah. Dia yang sering memberi arahan.
"Sekarang ini Aril perlu memikul tanggungjawab keluarga dan tidak boleh lagi buat sambil lewa kerana hanya Aril sahaja anak lelaki yang tinggal. Jadi kena beri tumpuan lebih dalam segala hal sekarang ini," kata anak ketiga dalam keluarga itu.
Simpan barang milik arwah
Aril yang kini menetap di rumah milik arwah juga mengakui, masih menyimpan baik semua barangan milik Izwan dan tidak tergamak untuk memberikan kepada orang lain.
Malah katanya, memandangkan saiz badan mereka hampir sama, kebanyakan pakaian peninggalan arwah digunakan olehnya sebagai pengubat rindu.
"Dulu masa arwah mula-mula terlibat dalam bidang seni, Aril selalu pinjam baju dia. Kemudian bila Aril masuk Akademi Fantasia, dia pula yang meminjam. Apa saja barang kami adalah milik bersama.
"Seperti juga dengan rumah yang Aril tinggal sekarang. Apartmen ini adalah milik arwah. Dia pernah kata, nak beri pada Aril.
"Dan sebenarnya Aril juga amat selesa tinggal di rumah ini yang banyak meninggalkan kenangan antara kami berdua," jelasnya.
Ceburi perniagaan
Sebagai persediaan melangkah ke zon baru, Aril yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan Akademi Fantasia musim ke-tujuh itu telah memulakan langkah dengan memiliki syarikat perniagaan sendiri atas nama ST Seven Resources.
Katanya, menerusi syarikat tersebut, dia bercadang untuk melakukan perniagaan membekal barang atau mengubah suai premis.
"Memang Aril tidak ada pengalaman dalam bidang perniagaan ini tapi Aril baru nak belajar. Semuanya bermula apabila suatu hari, Aril bersembang dan lepak dengan geng motosikal.
"Abang-abang motor ini yang banyak memberi nasihat pada Aril cara-cara nak memulakan bisnes. Buat permulaan, Aril nak tumpu pada bisnes yang tiada kaitan dengan seni dulu," katanya terus terang.
Menurut Aril, sudah lama dia menyimpan impian untuk menceburi bidang perniagaan, cuma ketika itu dia belum pasti jenis perniagaan apa yang hendak diceburi.
Tambahnya, perniagaan tersebut merupakan platform pada masa depan jika kehadirannya dalam bidang seni sampai pada noktah terakhir.
"Sebenarnya Aril bukanlah jenis yang taksub sangat dengan kerjaya seni. Selagi orang minat, Aril akan terus memberi sumbangan dalam seni.
"Kalau orang sudah tidak suka Aril sebab sekarang ini ramai orang baru, Aril sudah bersedia. Jadi bolehlah tumpukan perhatian pada perniagaan. Setakat ini kalau boleh Aril mahu dua-dua bidang berjalan serentak," katanya.
Single baru bersama Altimet
SETELAH tampil dengan lagu Biar Begini, Menatap Matamu dan Anugerah Terindah, kini Aril sedang membuat persiapan untuk single terbaru dengan Altimet dan bakal siap Mac depan.
"Ciptaan Altimet tapi genre muzik ikut selera Aril.Setakat ini belum berkesempatan untuk muatkan lagu ciptaan sendiri.
"Tunggulah di masa akan datang, sebab Aril bercita-cita untuk buat album penuh. Mungkin single yang sebelum ini akan dimuatkan dalam album itu kelak," katanya penuh harapan.
Aril yang sering mengikuti produksi Astro menjayakan promosi program ke seluruh negara memberitahu, adalah menjadi impiannya untuk menghasilkan sebuah album penuh tidak lama lagi.
Sempat ditanya, tidakkah dia berminat untuk merakam semula lagu popular dendangan arwah Izwan, Kembali Senyum atau Indah Lelapku, kata Aril, belum terlintas untuk merakam semula lagu berkenaan buat masa ini.
Ini kerana tegasnya, antara dia dan arwah atau nama sebenarnya Khairil Izwan Pilus, 32, masing-masing mempunyai gaya tersendiri.
"Sebenarnya waktu arwah tulis lirik Kembali Senyum, dia pun sempat tanya pendapat Aril. Biarlah lagu itu kekal sebagai dendangan arwah," katanya terus terang.
Selain itu, Aril yang pernah muncul dalam drama Kau Dan Aku dan Shuffle Milikku berkata, walaupun keutamaannya dalam nyanyian, namun kalau ada tawaran berlakon, dia tetap terima.
"Untuk bersaing dengan barisan pelakon memanglah sukar bagi Aril yang lebih cenderung kepada nyanyian. Namun kalau ada yang percaya pada kebolehan Aril, tawaran itu tidak ditolak," akuinya yang bercita-cita untuk mengendali program TV seperti Datuk AC Mizal atau Aznil Nawawi.
Cara Amber bahagi masa
KEDIAMAN tiga tingkat yang terletak di pinggir ibu kota ini menggambarkan personaliti pemiliknya sebagai seorang model ternama.
Setiap ruang mendapat sentuhan hiasan yang selari dengan gaya hidup glamornya.
Tidak keterlaluan dikatakan aktres dan model antarabangsa, Amber Chia bijak memilih hiasan rumahnya agar nampak mewah tetapi sederhana.
"Apa yang anda lihat di dalam rumah ini sebenarnya lambang personaliti saya. Saya juga memilih dua gabungan konsep ini dalam fesyen seharian saya," katanya.
Garapan warna hitam dan putih yang menjadi warna kegemaran Amber diadun rapi bersama rona mewah emas, merah dan kuning.
Hiasan bunga tulip menjadi pilihan utama Amber untuk menata rias dinding polos ruang makannya. Baginya, bunga itu menjadi simbol dirinya yang mahu tampil sebagai wanita yang lembut dan seksi.
"Bunga itu adalah diri saya. Semuanya adalah hasil idea saya kerana saya mahu tetamu yang datang ke rumah ini tahu ia ialah Amber," katanya yang telah mendiami rumah ini hampir dua tahun.
Selain pemilihan konsep hiasan, Amber juga menitikberatkan pemilihan ruang seperti halaman rumahnya.
Terdapat taman ringkas yang membolehkannya memelihara binatang peliharaannya. Selain dapat menyedut udara luar, Amber selesa berehat sambil melihat pemandangan hijau.
Luas
Ruang tamu adalah tempat rehat utama Amber dan keluarganya. Justeru, dia mahukan perabot yang sesuai dari segi warna, penampilan dan yang paling penting, keselesaan.
Sofa empuk pilihannya mengisi ruang tamu selain hiasan gambar pada dinding yang mencerminkan kerjayanya sebagai model. Potret bersaiz besar itu ditempah khas untuk menghiasi dinding ruang tamu.
Dalam diam-diam, Amber juga minat mengumpul pelbagai bekas minuman Coca-Cola.
"Ramai rakan yang memesan bekas minuman ini setiap kali saya melancong ke luar negara. Sebab itu, saya juga akan membelinya untuk diri saya sendiri. Di sudut ringkas ini saya akan meletakkannya," jelas Amber.
Dipelawa ke bilik tidurnya, Amber tidak cuak menunjukkan keluasan ruang beradunya yang menggabungkan dua bilik menjadi satu – bertujuan memuatkan ruang khas bagi barangan peribadi dan persalinan yang besar.
Singgah di bilik beradu jelitawan ini, mata tertancap pada koleksi pakaiannya yang tersusun rapi di balik kaca telus pandang.
Katil berjenama pilihannya pula bagai memanggil-manggil untuk berbaring merehatkan badan dan minda.
Resipi rahsia Aziz Sattar
MASIH terbayang-bayang dalam ingatan seniman negara ini bagaimana orang tuanya menyorong gerai ke gudang-gudang di sekitar Singapura bagi mencari sesuap nasi.
Sekitar 1950-an, ibu bapa Datuk Aziz Sattar, 86, yang berasal dari kota singa itu akan keluar awal pagi untuk berniaga mi rebus, soto dan bermacam lagi.
Sewaktu itu Aziz yang mesra dipanggil Pak Ajis sudah bekerja di Jalan Ampas dan air tangan ibunya itu terutama mi rebus menjadi makanan kegemarannya.
Resipi mi rebus itu kemudian diperturunkan kepada Pak Ajis serta adiknya yang kini membuka restoran di Singapura lalu turut diwariskan kepada generasi seterusnya, cucu-cucu Pak Ajis.
Demi menyambung resipi keluarga turun-temurun, cucu Pak Ajis, Abu Ubaidah Ahmad Ishak, 27, dan teman baiknya, Nik Syafiq Hadhari Nik Zulkipli, 25, membuka sebuah gerai khas menghidangkan menu negara seberang itu saja di Plaza Rasta, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Menurut pelakon filem Bujang Lapok itu, bezanya mi rebus Singapura dengan kebanyakan resipi mi rebus lain di sini, kuahnya lebih likat dan turut diletakkan taucu bagi melengkapkan rasa.
Selain itu, resipi istimewa itu menggantikan daging lembu dengan tetel yang boleh dikatakan lebih manis dan berlemak daripada daging biasa.
"Saya gembira bila cucu saya menyuarakan hasrat memperkenalkan resipi keluarga kepada orang ramai dan akan sentiasa memberi sokongan dan galakan," ujar Pak Ajis yang bertindak sebagai penasihat kepada perniagaan dua orang anak muda itu.
Mula beroperasi sejak 4 Februari lalu, menurut Abu, gerainya dikunjungi oleh ramai selebriti dan pihaknya bercadang menambah menu lain terutama masakan dari selatan.
"Ketika berbincang, menu pertama yang terfikir adalah mi rebus Singapura kerana ia susah didapati di sini dan saya tahu membuatnya.
"Buat masa ini kami fokus kepada menu mi rebus Singapura saja dan insya-Allah akan menambah menu serta restoran suatu hari nanti apabila kami semakin mahir dengan selok-belok perniagaan makanan.
"Visi saya melihat Teratak Pak Ajis suatu hari nanti akan menjadi satu jenama tersendiri yang dikenali ramai," ujar Abu, yang mahu mengubah hobi melepak kepada sesuatu yang menguntungkan.
Chantek peluang terbaik Nurul Ekasari
KALI pertama melangkahkan kaki ke Malaysia mungkin menjadi satu lembaran baru bagi pelakon yang berasal dari Indonesia, Nurul Ekasari bagi terus melebarkan sayapnya sebagai pelakon yang diminati ramai.
Pelakon yang lebih mesra dengan panggilan Nurul ini memulakan perjalanan kariernya pada Disember 2010 dengan kemunculannya dalam beberapa iklanl dan drama.
Kehadiran Nurul ke sini mula mendapat perhatian apabila dia digandingkan dengan pengarah Pierre Andre dalam filem terbaru berjudul Chantek yang telah mula ditayangkan pada Khamis lalu.
Nurul yang juga pemegang ijazah dalam jurusan media dari sebuah universiti terkenal Indonesia berkata, selain Chantek yang merupakan filem ketiga lakonannya, dia juga pernah membintangi filem Bait Cinta dan Soulquest di Indonesia.
“Saya tidak pernah terfikir dipilih menjadi heroin dalam filem Chantek kerana semasa uji bakat, terlalu ramai saingan yang hebat turut mencuba nasib.
“Syukur, dengan bakat yang ada, Pierre memilih saya untuk beraksi dalam filemnya,” katanya yang teruja dapat bekerjasama dengan pengarah muda itu.
Katanya, sebelum ini dia melihat Pierre melalui filem Cinta dan Sepi dan tidak sangka kini dipilih berlakon bersama pelakon itu.
Menurutnya, filem ini merupakan platform buat dirinya mengembangkan bakat dan namanya dalam bidang lakonan di Malaysia.
Tambah Nurul, ini merupakan pengalaman yang baik buat dirinya apabila dapat keluar dari Indonesia dan bekerja dengan Pierre Andre dan secara tidak langsung memberikannya lebih peluang untuk bertapak sebagai pelakon di Malaysia.
“Saya tidak mengalami sebarang masalah dan senang bekerjasama dengan pengarah dan penerbit di sini memandangkan mereka memberi sokongan dan tunjuk ajar kepada saya untuk melakukan yang terbaik.
“Harapan saya, semoga semua peminat filem di Malaysia dapat menerima saya menerusi Chantek, sekali gus memberi sokongan terhadap karier saya yang baru saja bertapak di sini,” ujarnya.
Walaupun pernah membintangi filem dan drama, Nurul akui masih banyak perkara perlu dipelajarinya dalam memantapkan lakonannya setaraf pelakon berpengalaman lain.
“Dalam setiap filem dan drama, pasti ada cabarannya tersendiri dan melalui filem Chantek, selain watak sebagai pembantu rumah, saya juga terpaksa menukar intonasi suara menjadi seorang lelaki.
“Alhamdulillah saya dapat membawakan watak itu seperti yang dimahukan pengarah. Harapan saya, filem ini berjaya memenangi hati penonton di sini,” katanya.
Chantek, mengisahkan AD, seorang bintang filem yang hidup menderita setelah buta. Kejadian itu bersangkut-paut dengan tunangnya yang curang.
AD kemudiannya membawa dirinya jauh dari kota dan dijaga oleh Chantek, seorang pembantu rumah dari Indonesia yang terpaksa menyamar sebagai lelaki kerana AD masih fobia dengan perempuan.
Memiliki rupa paras lembut tidak menghalang pelakon jelita ini mengidamkan aksi lasak dalam lakonannya akan datang.
“Saya gemar mencuba sesuatu yang baru. Adegan lasak dan watak antagonis mampu memberi lebih cabaran dalam lakonan,” jelasnya.
Nora Danish tak minat kahwin?
DENGAN gelaran Hot Mama yang diberikan kepadanya ketika ini, ia sebenarnya tidak seindah yang disangka. Pelbagai tanggapan yang dilemparkan kepadanya.
Dengan penampilannya yang bergaya serta sering mendapat tumpuan ramai, ada saja suara-suara sumbang yang sengaja mereka cerita dan kurang senang terhadap dirinya.
Begitulah kehidupan Nora Danish sejak memegang status janda muda kira-kira tiga tahun lalu.
Namun sesuatu yang membanggakan biar apapun cerita yang kurang enak disebarkan, apa yang nyata ibu kepada Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram yang kini berusia tiga tahun, begitu tabah dan cekal menghadapi semua itu demi membesarkan anak kesayangannya.
Nora bukan sahaja tabah dan terus melangkah jauh dalam dunia seninya, namun apa yang nyata Hot Mama ini juga dikatakan tidak berminat untuk kahwin lagi.
Benarkah begitu dan mungkinkah keruntuhan mahligai pertamanya membuatkan Nora takut untuk melayari bahtera rumah tangga buat kali kedua?
Apalagi, baru-baru ini tanpa angin tanpa ribut tiba-tiba namanya dikaitkan dengan Apek atau nama sebenarnya Khairul Fahmi Che Mat yang merupakan penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan.
Pancaindera sempat berkongsi kisah dan menyelami hati Nora mengenai segala yang berkaitan tentang dirinya ketika majlis pelancaran filem baru lakonannya Aku Terima Nikahnya bersama Adi Putra di Wisma Metrowelth, di Petaling Jaya baru-baru ini.
Nora yang bagaikan tahu apa yang cuba diselami dari lubuk hatinya, tidak marah atau mengelak sebaliknya pelakon putih gebu itu tidak berselindung ketika ditanya mengenai gosip cinta dan perkahwinan untuk kali keduanya.
“Buat masa ini memang saya tiada hubungan cinta dengan sesiapa pun, semua dakwaan itu tidak benar.
“Saya sebenarnya langsung tidak terfikir tentang hubungan cinta ketika ini, soal kahwin untuk kali kedua jauh sekali.
“Keinginan untuk berkahwin buat kali kedua ni agak kurang berbanding pertama kali dahulu. Kalau dulu memang saya begitu teruja untuk kahwin, tapi untuk kali kedua memang saya tak pernah terfikir pun,” ujarnya.
Ditanya adakah dia takut pisang berbuah dua kali jika berkahwin buat kali kedua nanti, jelas Nora ketakutan itu bukan soalnya kerana masih banyak perkara penting yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Bukan soal takut untuk berkahwin sekali lagi, sebenarnya saya mahu tumpukan perhatian membesarkan Rayqal dan kerjaya saya sebagai pelakon.
“Saya sedar dengan status saya sebagai janda, ramai yang memandang serong kepada saya. Apa juga yang saya katakan, seringkali disalah tafsir oleh mereka di luar sana.
“Sebab itu saya harus bijak menjaga segala gerak geri saya supaya tidak difitnah atau ditohmah. Saya sendiri tidak faham kenapa ada orang yang suka sangat membuat cerita atau menaburkan fitnah terhadap saya.
“Apa dosa saya pada mereka? Saya tidak mengganggu kebahagiaan mereka dan saya minta hanya satu, biarlah saya hidup bahagia disamping Rayqal dan keluarga saya,” pinta Nora Danish.
Tidak
masuk akal
Mengenai gosipnya dengan Apek, Nora menafikan sambil menyifatkan gosip itu cerita karut dan tidak masuk akal walaupun ada yang mendakwa kononnya Apek dan Nora pernah bertemu dalam satu majlis harijadi.
Ditanya mengapa Apek dikaitkan dengan dirinya? jawab Nora, perkara ini pada awalnya berlaku ketika dia meletakkan satu status di laman sosial Twitter miliknya tidak lama dahulu.
Menurut Nora, semuanya bermula apabila dia menulis mesej di Twitternya yang kemudian menjadi bahan usikan diantara teman-temannya.
“Masa tu pasukan Harimau Malaya berjaya mengalahkan Indonesia dalam perlawanan akhir bola sepak Piala Suzuki AFF, jadi saya sangat kagum dengan kebolehan yang ada pada Apek dan Safee Sali.
“Saya tulis status dalam Twitter saya, “mereka ini sangat hebat, Safee dan Apek please call me”, niat saya tiada lain, tapi orang dah salah tafsir.
“Saya tak pernah bertemu dan terkejut dengan gosip yang menyatakan saya dan Apek sudah beberapa kali bertemu.
“Saya kenal dia sebagai pemain bola sepak, sama juga dengan dia yang mengenali saya sebagai pelakon. Saya memang terkejut kenapa orang sanggup mereka cerita sampai begitu sekali.
“Saya sebenarnya kesian dengan Apek, sepatutnya orang perlu bagi sokongan moral kepadanya, bukan gosip liar seperti ini, dia telah mengharumkan nama negara, jika berterusan begini mungkin semangat dia akan hilang,” kata Nora.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
