Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kehilangan Izwan matangkan Aril


SEPARUH jiwanya pergi bersama-sama pemergian abang tercinta, penyanyi dan pengacara Izwan Pilus yang telah pulang mengadap Ilahi pada 20 Januari lalu.

Masakan tidak, selama ini dia cukup akrab dengan abangnya itu. Hinggakan kata Aril, dia sering mendapatkan pandangan arwah dalam apa sahaja perkara terutama yang berkaitan dengan kerjaya seni.

Sementelah kata Aril atau nama penuhnya, Khairil Azam Pilus, 27, arwah abangnya itu terlebih dahulu menceburi bidang seni berbanding dirinya dan pernah pula popular dengan lagu-lagu seperti Indah Lelapku.

Bukan itu sahaja, selama ini segala urusan keluarga juga sering diserahkan kepada arwah yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu.

"Selama ini bukan Aril tidak pernah ambil berat soal keluarga, cuma tidak serius sebab ada arwah. Dia yang sering memberi arahan.

"Sekarang ini Aril perlu memikul tanggungjawab keluarga dan tidak boleh lagi buat sambil lewa kerana hanya Aril sahaja anak lelaki yang tinggal. Jadi kena beri tumpuan lebih dalam segala hal sekarang ini," kata anak ketiga dalam keluarga itu.

Simpan barang milik arwah

Aril yang kini menetap di rumah milik arwah juga mengakui, masih menyimpan baik semua barangan milik Izwan dan tidak tergamak untuk memberikan kepada orang lain.

Malah katanya, memandangkan saiz badan mereka hampir sama, kebanyakan pakaian peninggalan arwah digunakan olehnya sebagai pengubat rindu.

"Dulu masa arwah mula-mula terlibat dalam bidang seni, Aril selalu pinjam baju dia. Kemudian bila Aril masuk Akademi Fantasia, dia pula yang meminjam. Apa saja barang kami adalah milik bersama.

"Seperti juga dengan rumah yang Aril tinggal sekarang. Apartmen ini adalah milik arwah. Dia pernah kata, nak beri pada Aril.

"Dan sebenarnya Aril juga amat selesa tinggal di rumah ini yang banyak meninggalkan kenangan antara kami berdua," jelasnya.

Ceburi perniagaan

Sebagai persediaan melangkah ke zon baru, Aril yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan Akademi Fantasia musim ke-tujuh itu telah memulakan langkah dengan memiliki syarikat perniagaan sendiri atas nama ST Seven Resources.

Katanya, menerusi syarikat tersebut, dia bercadang untuk melakukan perniagaan membekal barang atau mengubah suai premis.

"Memang Aril tidak ada pengalaman dalam bidang perniagaan ini tapi Aril baru nak belajar. Semuanya bermula apabila suatu hari, Aril bersembang dan lepak dengan geng motosikal.

"Abang-abang motor ini yang banyak memberi nasihat pada Aril cara-cara nak memulakan bisnes. Buat permulaan, Aril nak tumpu pada bisnes yang tiada kaitan dengan seni dulu," katanya terus terang.

Menurut Aril, sudah lama dia menyimpan impian untuk menceburi bidang perniagaan, cuma ketika itu dia belum pasti jenis perniagaan apa yang hendak diceburi.

Tambahnya, perniagaan tersebut merupakan platform pada masa depan jika kehadirannya dalam bidang seni sampai pada noktah terakhir.

"Sebenarnya Aril bukanlah jenis yang taksub sangat dengan kerjaya seni. Selagi orang minat, Aril akan terus memberi sumbangan dalam seni.

"Kalau orang sudah tidak suka Aril sebab sekarang ini ramai orang baru, Aril sudah bersedia. Jadi bolehlah tumpukan perhatian pada perniagaan. Setakat ini kalau boleh Aril mahu dua-dua bidang berjalan serentak," katanya.

Single baru bersama Altimet

SETELAH tampil dengan lagu Biar Begini, Menatap Matamu dan Anugerah Terindah, kini Aril sedang membuat persiapan untuk single terbaru dengan Altimet dan bakal siap Mac depan.

"Ciptaan Altimet tapi genre muzik ikut selera Aril.Setakat ini belum berkesempatan untuk muatkan lagu ciptaan sendiri.

"Tunggulah di masa akan datang, sebab Aril bercita-cita untuk buat album penuh. Mungkin single yang sebelum ini akan dimuatkan dalam album itu kelak," katanya penuh harapan.

Aril yang sering mengikuti produksi Astro menjayakan promosi program ke seluruh negara memberitahu, adalah menjadi impiannya untuk menghasilkan sebuah album penuh tidak lama lagi.

Sempat ditanya, tidakkah dia berminat untuk merakam semula lagu popular dendangan arwah Izwan, Kembali Senyum atau Indah Lelapku, kata Aril, belum terlintas untuk merakam semula lagu berkenaan buat masa ini.

Ini kerana tegasnya, antara dia dan arwah atau nama sebenarnya Khairil Izwan Pilus, 32, masing-masing mempunyai gaya tersendiri.

"Sebenarnya waktu arwah tulis lirik Kembali Senyum, dia pun sempat tanya pendapat Aril. Biarlah lagu itu kekal sebagai dendangan arwah," katanya terus terang.

Selain itu, Aril yang pernah muncul dalam drama Kau Dan Aku dan Shuffle Milikku berkata, walaupun keutamaannya dalam nyanyian, namun kalau ada tawaran berlakon, dia tetap terima.

"Untuk bersaing dengan barisan pelakon memanglah sukar bagi Aril yang lebih cenderung kepada nyanyian. Namun kalau ada yang percaya pada kebolehan Aril, tawaran itu tidak ditolak," akuinya yang bercita-cita untuk mengendali program TV seperti Datuk AC Mizal atau Aznil Nawawi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails