Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Shila Amzah mahu berehat

Penyanyi yang pernah membintangi pertandingan "One In A Million" musim kedua, Shila Amzah mengakui mahu menumpukan perhatian kepada penghasilan karya yang lebih berkualiti. Selepas penghijrahannya untuk bertudung diambil baru-baru ini, Shila Amzah tampak begitu matang di dalam melakukan sesuatu perkara. "Saya ingin berehat seketika dan menumpukan perhatian kepada karya yang menjadi keutamaan kepada saya sekarang." Walaubagaimanapun, Shila lantas memberitahu bahawa bukan dia tidak menghargai peminat yang sentiasa aktif berinteraksi dengannya di Twitter, namun dia berharap agar peminat faham dengan permintaannya itu. Ujarnya lagi, dia amat menyanyangi peminat dan pengikutnya di Twitter dan memohon maaf jika ada yang berkecil hati. "Pada mereka yang agak sedih dengan penutupan akaun saya , saya mohon maaf sangat-sangat." "InshaAllah, jika semuanya sudah stabil, saya akan kembali aktif seperti biasa." Dalam pada itu, orang ramai amat terasa dengan kehilangan Shila Amzah di Twitter kerana sikapnya yang begitu menghargai peminat dan sentiasa rajin berinterkasi dan membalas komen para peminatnya menjadikan dia antara selebriti Malaysia yang mempunyai ramai pengikut di laman Twitter. Dia adalah seorang selebriti terkenal dan sudah pasti, perkara ini kadang-kala menimbulkan pelbagai spekulasi kepada para peminat khususnya.

Anzalna Tidak Boleh Berenggang Dengan Kekasih

PETALING JAYA: Pelakon jelita iaitu Nur Anzalna Nasir mengakui tidak boleh berenggang dengan teman lelakinya, Hanif Zaki dan sering menghabiskan masa bersama. Anzalna, 24, berkata, dia sangat menyanjung sikap Hanif yang sangat ringan tulang selain tidak keberatan untuk menemaninya ke majlis-majlis hiburan, penggambaran drama atau filem sekiranya mempunyai masa terluang. "Saya akui banyak menghabiskan masa bersamanya dan dia adalah antara orang paling rapat dengan saya. Sikapnya yang rajin dan mengambil berat cukup menyenangkan saya," ujarnya kepada mStar Online. Anzalna mendedahkan dia telah mengenali Hanif sejak lima tahun lalu dan hanya mula menjalinkan hubungan cinta setahun lepas. Dalam pada itu, Anzalna berkata dia tidak mempersoalkan tanggapan masyarakat yang mempertikaikan keakraban mereka berdua kerana hubungan itu mendapat kepercayaan keluarga masing-masing. "Lebih baik ditemani oleh orang yang kita percayai dan sanggup mengorbankan masa dan boleh bertolak ansur untuk menemani saya," katanya. Sementara itu bercakap mengenai perkahwinan, Anzalna berhasrat untuk mendirikan rumah tangga pada usia 26 tahun tanpa ikatan pertunangan. Tambah Anzalna, kedua-dua mereka mengambil pendekatan untuk mengumpul wang terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menjadi suami isteri. Dalam perkembangan lain, Anzalna tampil dalam drama bersiri adaptasi novel popular berjudul Adam dan Hawa yang turut dibintangi oleh Aaron Aziz dan Nadiya Nisa di saluran Astro Mustika HD (saluran 134) bermula malam Isnin lalu.

Wanita Perlu Mulakan Goda Jamal Abdillah

PETALING JAYA: Penyanyi Jamal Abdillah mengakui perasaan malu yang ada dalam hidupnya untuk memikat wanita membuatkan dia masih lagi solo walaupun sudah lebih daripada lima tahun menduda. Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 53, berkata, perasaan itu membuatkan keinginannya untuk memiliki sebuah cinta terhalang dan sering berharap agar wanita yang disukai mengambil langkah memikatnya terlebih dahulu. "Itulah masalah saya, tak reti nak pikat perempuan. Rasa malu itu lebih tebal daripada keinginan. "Sebagai manusia normal, saya juga inginkan pasangan untuk menjadi teman hidup sehingga akhir hayat. "Entahlah susah nak cakap. Saya melayan semua sebagai peminat. Tetapi apabila berkenan dengan seseorang dalam sesebuah majlis dan ingin memulakan perkenalan, saya risau dengan kata-kata negatif orang. Sudahlah saya ini pemalu, nak memikat pun tak reti," selorohnya. Tambah Jamal, keadaannya yang semakin berusia juga antara penyebab dia semakin segan, tidak seperti di zaman mudanya dahulu. Ditanya apakah ciri-ciri wanita idaman, penyanyi yang popular dengan lagu Aku Maafkan Kamu itu berkata, dia lebih senang berdamping dengan seorang wanita yang berilmu pengetahuan dan sedap mata memandang. "Kalau boleh saya mahu seorang isteri yang lebih tinggi fizikalnya daripada saya. Mengikut kata orang tua-tua, wanita yang lebih tinggi daripada suaminya mampu membuatkan rumah tangga bertahan dan kekal sehingga ke anak cucu. "Selain itu dia mestilah seorang yang lemah lembut. Karakter itu mampu meruntun hati terutamanya apabila saya dalam keadaan marah," ujarnya. Mengenai perkembangan terbaru, Jamal sedang membuat persiapan bagi menjayakan Konsert Gemilang Malaysia bersama Datuk Ahmad Nawab dan Datuk Khadijah Ibrahim. Ia akan diadakan di Dewan Jubli Perak, Kuantan, Pahang pada 29 September 2012 dan 13 Oktober di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Tiket yang berharga RM100 hingga RM500 boleh ditempah menerusi ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600.

Azza (Elite) Mengandung Selepas Makan Kurma

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Azza (Elite) menjadikan petua makan buah kurma dan berdoa setiap hari pada bulan Ramadan lalu antara penyebab dia bakal memperoleh anak sendiri selepas disahkan mengandung kira-kira lima minggu. Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 34, berkata, dia tidak menyangka kehadiran Ramadan yang digunakan sebaik-baiknya itu dibalas dengan rezeki besar dalam rumah tangganya selepas berkahwin dengan Azlan Zulaily, 25, pada 2 April lalu. "Keinginan untuk mendapatkan cahaya mata bagi setiap pasangan suami isteri yang baru berkahwin pastinya ada, begitu juga dengan saya dan suami. "Jadi, saya mengambil keberkatan bulan Ramadan lalu dengan berdoa setiap hari kepada Tuhan agar diberi zuriat selain mengamalkan petua pengambilan buah kurma dan limau dengan lebih kerap. "Tapi, tak sangka pula secepat ini hasilnya kerana saya tidak mengamalkan petua-petua lain. Alhamdulillah, kami bersyukur dengan rezeki ini," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Azza memberitahu dia enggan memanjakan diri dengan berehat sementara daripada segala aktiviti seni walaupun ada yang berpendapat jika terlalu aktif ia mampu menjejaskan kandungan. "Ada beberapa perkara yang saya rasa pelik dengan petua-petua yang diberikan kononnya ibu mengandung tidak boleh buat kerja-kerja berat selalu kerana boleh mengakibatkan keguguran. "Tetapi saya lihat, ibu-ibu mengandung yang kehidupannya susah, boleh pula bekerja keras setiap hari macam biasa dan mereka masih lagi mampu melahirkan anak yang sihat. "Kadang-kadang geram juga dibuatnya apabila saya sering ditegur kerana angkat barang-barang. Saya percaya, kehadiran dan kehilangan sesebuah rezeki semuanya datang daripada kuasa Allah," tuturnya. Bagaimanapun, beritahu Azza, dia hanya akan mengurangkan aktiviti seninya apabila perutnya semakin membesar. Hasil perkahwinan terdahulu selama tiga tahun, Azza tidak dikurniakan cahaya mata tetapi pelakon itu dan suami bersetuju untuk mengambil seorang anak angkat bernama Marissa Jannah yang kini berusia tujuh tahun. Dalam perkembangan lain, Azza bakal muncul menerusi drama Mujahid dan Mesin Cinta Atuk di TV2 dalam masa terdekat ini serta bakal memulakan penggambaran drama berjudul Julia bagi siaran TV3.

Nama Anak Que Haidar Tiada Kaitan Dengan Ratu Firaun

PETALING JAYA: Pelakon Que Haidar menyifatkan individu yang mempersoalkan nama anak keduanya iaitu Tengku Cleopatra Haidar yang dikatakan menyerupai nama Firaun sebagai tidak masuk akal. Que berkata, nama tersebut dipilih berdasarkan maksudnya daripada bahasa Greek yang menggambarkan seorang wanita cekal dan berkepimpinan tinggi. "Semasa membuat pemilihan nama itu saya dan isteri langsung tidak terfikir tentang kaitan nama itu dengan seorang ratu Firaun sebaliknya lebih tertumpu kepada gambaran seorang wanita yang tabah dan cekal dalam kehidupannya. "Apabila orang mengatakan saya memberi nama yang tidak elok kepada anak, ia satu tuduhan yang tidak betul. Ibu bapa tidak akan berbuat demikian malah kita sentiasa mahukan yang terbaik buat zuriat kita," ujarnya kepada mStar Online. Que diminta mengulas tuduhan kononnya dia dan isteri, Linda Jasmine tidak sensitif terhadap pemilihan nama anak yang dikatakan menyamai nama ratu Firaun semasa pemerintahan kerajaan Mesir Purba iaitu Ratu Cleopatra VII. Tambah Que, pemilihan tersebut dibuat atas persetujuan dengan isterinya dan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada mereka dibuat tanpa sebarang usul periksa. Dalam pada itu, Que memberitahu apa yang lebih penting anak yang dilahirkan itu adalah seorang Islam dan tumpuannya kini adalah untuk membesarkannya dengan didikan agama yang kuat supaya menjadi seorang Muslim yang sejati. Que berkata, dia tidak terlalu memberikan perhatian terhadap apa yang dikatakan oleh masyarakat terhadap perkara itu sebaliknya ingin terus berusaha untuk membesarkan anak-anak. "Saya sendiri yang iqamatkan anak-anak saya dan mereka adalah seorang Islam. Apa yang lebih penting bagaimana anak-anak saya dibesarkan dan bukannya pada nama," katanya. Sementara itu, Que memberitahu mereka belum bersedia untuk memperkenalkan anaknya itu kepada umum dan hanya akan berbuat demikian semasa majlis cukur jambul selepas Hari Raya Aidilfitri ini nanti. Tengku Cleopatra Haidar atau lebih mesra dengan sapaan Cleo dilahirkan pada 26 April lalu secara pembedahan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur. Selain Cleo, pasangan itu turut dikurniakan seorang lagi anak perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar, 2 selain Qalif Khan, 12, iaitu anak pertama Linda bersama bekas suami. Linda dan Que itu berkahwin pada 14 Februari 2009.

Sasha, Salyo raya bersama

BAGI sesiapa sahaja yang mendirikan rumah tangga, sudah tentu mereka mengharapkan sebuah perhubungan yang akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Bagaimanapun, pelakon Sasha Mohd. Saidin, 35, terpaksa menelan hakikat pahit apabila kini sudah bergelar sebagai seorang janda buat kali kedua setelah mengambil keputusan untuk berpisah dengan bekas suaminya, Salyo Priyanto Nutosoemarsono. Tidak mahu lagi mengenang nasib yang menimpa dirinya, Sasha menyatakan dia kini lebih pasrah untuk meneruskan kehidupan dan mahu memberi lebih fokus membesarkan anaknya, Adam Aryasenna Notoemarsono yang kini berusia tiga tahun. “Siapa yang tidak sedih apabila bahtera rumah tangga yang dibina akhirnya tidak dapat lagi dikekalkan. Saya anggap semua yang telah berlaku ini ada hikmah di sebaliknya. “Sebelum ini, saya dan Salyo sudah berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga kami, termasuk mendapatkan khidmat kaunseling. “Namun, kami akur masalah yang dihadapi tidak dapat diselesaikan dan akhirnya kami ambil keputusan untuk berpisah,” ujarnya semasa sesi fotografi bersama Kosmo! di kediamannya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini. Ditanya mengenai perasaannya apabila tidak lagi dapat menyambut hari lebaran bersama lelaki yang bergelar suami seperti sebelum ini, Sasha menyatakan dia tidak perlu berasa terlalu sedih kerana masih boleh menyambutnya bersama anak dan ahli keluarga yang lain. Menurut pelakon yang pernah popular bersama kumpulan Elite suatu masa dahulu, dia tetap menyambut Aidilfitri kali ini bersama bekas suami, meskipun kini mereka sudah tidak lagi menjadi pasangan suami isteri. “Saya dan Salyo beraya bersama pada hari pertama Aidilfitri dengan ibu saya dan anak kami. “Walaupun sudah bercerai hubungan saya dan bekas suami masih lagi baik sehingga sekarang.,” ujar Sasha. Mengenai aktiviti yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan yang baru sahaja berlalu, Sasha menyatakan dia agak sibuk dengan beberapa aktiviti seperti berlakon dan memenuhi undangan tampil di pentas peragaan. Ujarnya, memandangkan statusnya yang bergelar sebagai ibu tunggal, kini dia memberi tumpuan terhadap kerjaya seni dan peragaan serta terus mendapat tawaran semasa bulan Ramadan lalu. “Sebelum ini saya telah menjalani penggambaran beberapa buah drama seperti Natrah yang mungkin akan ditayangkan selepas raya. Kemudian saya berlakon pula dalam program Super Smash di saluran Astro Ceria, selain program komedi, Jaya Jaya Jaya untuk siaran Astro Warna. “Ketika menjelang bulan Ramadan pula, saya terbabit dengan program Melodi Aidilfitri serta sebuah lagi program berjudul Inilah Kisahku. Selain itu saya lebih banyak menerima tawaran menjadi model bagi koleksi pakaian raya dan memperaga pakaian,” ujarnya. Belum terfikir Walaupun sudah dua kali mengalami kegagalan rumah tangga, Sasha berkata ia bukanlah bermakna dia sudah serik untuk berkahwin lagi pada masa akan datang. Namun begitu, pelakon kacukan Melayu-Inggeris itu menjelaskan buat masa sekarang, memang belum terlintas lagi di fikirannya untuk mencari pengganti. “Andai ditakdirkan saya akan bertemu jodoh lagi selepas ini sudah tentu saya tidak akan menolaknya, namun sekarang ini biarlah saya memberikan tumpuan membesarkan anak saya terlebih dulu. “Lagipun setiap wanita pastinya mengimpikan sebuah kehidupan yang bahagia bersama lelaki yang bergelar suami. Apa yang sudah berlaku terhadap diri saya ini dapat dijadikan pengajaran yang paling berguna untuk menempuhi kehidupan yang mendatang,” ujarnya. Menurut Sasha, biarpun sekarang sudah memiliki seorang cahaya mata lelaki, namun dia sebenarnya berharap dapat memiliki lebih ramai anak dan sebab itu dia tidak akan menolak sekiranya bertemu jodoh buat kali ketiga. Suasana kampung Sementara itu, adik Sasha, Zain berkata, setiap kali tibanya perayaan Aidilfitri, sudah menjadi kelaziman dia bersama ibu, ayah dan kakaknya akan menyambutnya di Kuala Lumpur sahaja setiap tahun. “Datuk dan nenek saya memang berasal dari Kuala Lumpur dan mereka menetap di Taman Kamariah, Gombak. Biarpun sekadar menyambutnya di ibu kota, namun kemeriahan masih tetap dirasai. “Seingat saya, cuma sekali sahaja saya berkesempatan menyambut hari raya di kampung rakan yang terletak di Taiping, Perak dan memang rasa seronok sangat sebab dapat mandi air terjun dan bermain meriam buluh. Sejujurnya, saya memang berasa sangat gembira dapat merasai suasana kampung semasa hari raya,” ujarnya. Mengenai juadah yang digemari sewaktu Aidilfitri, antara hidangan wajib ada dan menjadi kegemarannya seperti lemang, nasi himpit dan kuah lodeh serta biskut Almond London. Bercerita lebih lanjut mengenai kerjayanya yang semakin berkembang, Zain menyatakan, dia tetap sibuk sepanjang Ramadan lalu kerana masih lagi menerima tawaran untuk berlakon. Selain sibuk dengan drama berjudul KL Drift The Series yang sudah memulakan penggambaran sejak Jun lalu, pelakon berkenaan juga turut membintangi dua buah telefilem yang akan disiarkan pada musim perayaan ini. “Boleh dikatakan pada tahun ini tawaran lakonan yang diterima memang banyak. Jadi, saya ambil keputusan untuk terima apa sahaja tawaran, meskipun terpaksa menjalani penggambaran pada bulan puasa. “Malah, saya juga mungkin tidak akan bercuti panjang pada hari raya ini kerana akan kembali menjalani penggambaran semula untuk drama KL Drift pada minggu kedua raya,” jelasnya.

Emosi raya Scha, Awal

PASANGAN selebriti yang baru sahaja mendirikan rumah tangga pada 4 Mei lalu, pengacara popular Awal Ashaari dan aktres Scha Al-Yahya mengakui cukup teruja biarpun sebelum ini dilanda debaran tatkala meraikan Aidilfitri buat pertama kalinya sebagai pasangan suami isteri. Jelas Scha, suaminya menjejakkan kaki buat pertama kalinya di kampung halaman keluarganya di Sungai Petani, Kedah, pada hari raya kedua yang lalu untuk bertemu saudara-mara selepas meraikan 1 Syawal di Subang, Kuala Lumpur. "Awal tidak pernah lagi menjejakkan kaki di kampung saya, jadi raya ini saya telah bawa dia meronda dari satu rumah ke rumah saudara-mara saya untuk mengeratkan lagi silaturahim kerana bukan semua saudara dapat hadir pada majlis perkahwinan kami sebelum ini," kata Scha yang merupakan pelakon filem Awan Dania The Movie itu. Sambung Scha, sebenarnya sebelum ini hatinya berdebar-debar ekoran pertama kali dia beraya di rumah keluarga Awal. "Berdebar-debar juga sebab budaya keluarga saya dan keluarga Awal agak berbeza. Keluarga Awal lebih konservatif, manakala keluarga saya lebih terbuka. Pertembungan budaya itu membuat saya harus belajar menyesuaikan diri, tetapi dalam masa yang sama saya seronok sebab dapat membuat persiapan raya bersama suami," luah Scha yang muncul dalam program Mega Raya Astro sempena Aidilfitri. Awal pula memberitahu, raya tahun ini sangat berbeza kerana jika sebelum ini dia hanya melakukan persiapan raya untuk diri sendiri sahaja. Namun, tahun ini segala persiapan harus dilakukan secara berdua. Jika mahu membeli sesuatu, Awal harus mendapatkan persetujuan Scha terlebih dulu kerana cita rasa mereka dalam menghias rumah agak berbeza. "Sebelum ini rumah saya hanya dilatari warna putih daripada dinding hingga ke perabot. Selepas berkahwin, sempena raya, Scha telah membeli langsir berwarna-warni kerana selama ini rumah saya tidak pernah ada langsir. Biasalah lelaki, mana suka pasang langsir. "Tidak hanya langsir, rumah saya yang tidak pernah ada bunga, tetapi kini bak taman bunga. Scha sukakan bunga di rumah, katanya cantik dan rumah nampak hidup. Mahu tidak mahu, saya ikutkan sahaja kerana rumah saya adalah rumah isteri saya juga," tutur Awal dalam tawa. Disoal apakah menu utama raya yang telah dihidangkan oleh isteri tercinta, Awal memberitahu, dia telah menikmati roti kercha yang merupakan makanan tradisi keluarga Scha. "Setahu saya, Scha tidak pandai masak rendang, tetapi saya paling sukakan roti kercha yang dicicah dengan kari ayam dan roti kercha masakan Scha memang sangat sedap. "Selain itu, saya tidak kisah makan apa sahaja. Biasalah makanan musim raya, cuma saya tidak makan nasi sangat, jadi agak senang untuk Scha masak apa-apa sahaja makanan kecuali yang ada nasi," katanya. Bercakap tentang baju raya pula, kata Awal selalunya dia jarang mengikuti warna tema seperti sesetengah keluarga, tetapi segala persiapan pakaian raya tahun ini telah disiapkan oleh Scha. "Tiga helai baju raya saya semuanya sedondon dengan Scha, jadi dari jauh orang sudah tahu kami merupakan pasangan suami isteri," cerita Awal disulami canda tawa tanda bahagia.

Tak buat rumah terbuka - Tasha Shila

ENGGAN membazir dan berlebih-lebih membuat persiapan raya. Itu tekad pemilik nama Natasha Sheila Abdul Razak, 25, atau Tasha Shila yang menyambut lebaran tahun ini secara ala kadar dan bersederhana. Namun, dia membeli empat pasang baju raya tahun ini demi memenuhi acara rumah terbuka dan beberapa jemputan lain. "Saya beli empat pasang baju raya tahun ini, dan dalam masa sama saya ingin memberikan sokongan kepada pereka fesyen yang sudi menaja saya untuk menghadiri beberapa majlis sebelum ini. "Raya tahun ini menjadi giliran saya untuk membalas jasa baik mereka dengan menempah beberapa helai baju daripada pereka fesyen kegemaran saya," katanya penuh semangat. Tidak merancang untuk membuat rumah terbuka bagi meraikan peminatnya sempena kedatangan Syawal tahun ini, kata Tasha, dia ingin berehat dan sekadar memenuhi undangan rumah terbuka rakan-rakannya. Bukan tidak mahu meraikan kehadiran tetamu, tetapi Tasha mengakui dirinya sudah kepenatan sepanjang Ramadan kali ini. "Sepanjang Ramadan tahun ini pun saya sudah penat berniaga biskut raya, emak saya pun agak penat berniaga makanan. "Hari raya tahun ini giliran kami mengunjungi rumah saudara-mara dan sahabat handai menikmati juadah yang dihidangkan," ujar Tasha. Biskut raya Selain sibuk dengan penggambaran telefilem Pulut Kacang Meriam Kabat yang telah ditayangkan pada hari raya pertama lalu, bulan Ramadan Tasha diisi dengan aktiviti menjual biskut raya. "Pada sebelah siang saya sibuk di set penggambaran, sebelah malam pula sibuk berniaga di Kampung Baru. Bisnes biskut raya itu usahasama bersama ibu saudara saya. Alhamdulillah, tak menang tangan juga tahun ini," singkapnya lega tentang penjualan Gemilang Tasha Shilla Cookies. Berkongsi cerita rutin raya, seperti kebiasaan pada pagi Syawal, pelakon drama Gemilang itu telah menziarahi pusara arwah datuknya di Semerah, Batu Pahat, Johor.
Kemudian, seharian sambutan raya dilunaskan dengan menziarahi saudara-mara yang berada di Kulai, Johor. "Biasanya pada malam raya kebanyakan sepupu saya akan berkumpul di rumah saya di Kulai dan memasak juadah untuk keesokan harinya. "Kalau sudah berkumpul ramai-ramai akan banyak cerita untuk dikongsi dan biasanya satu keluarga akan tidur lambat atau berjaga sampai esok pagi," ceritanya. Ungkap Tasha lagi, juadah raya kegemarannya adalah rendang daging dan lemang. Selain hidangan wajib pagi raya iaitu ketupat, kuah kacang dan lodeh yang dimasak oleh ibu saudaranya menjadi menu wajib. Bintang filem Ratu The Movie itu juga memberitahu, dia tidak akan melepaskan peluang menikmati kuih tart, almond london dan tempeyek sepanjang lebaran. Terjun parit Memilih momen indah menyambut raya dalam hidupnya, kata Tasha, dia masih sukar melupakan kenangan beraya ketika berusia sembilan tahun di kampungnya, di Batu Pahat, Johor. "Banyak pengalaman lucu yang tidak boleh saya lupakan terutama ketika zaman kanak-kanak. Antara yang mencuit hati sampai sekarang apabila hari raya pertama, saya terjun parit dengan berpakaian raya. "Ketika itu cuaca sangat panas dan setelah seharian beraya badan pun jadi melekit dan berpeluh. Kebetulan ada parit berdekatan rumah, jadi tanpa menunggu lama saya dan sepupu terjun ke dalam parit itu. "Balik rumah kena marah dengan mama dan ketika itu juga saya kena rotan. Baju sudah basah dan kotor," ceritanya bersulam tawa. Tidak sah jika zaman kanak-kanak beraya tanpa mercun atau bunga api. Bagi Tasha, dia lebih gemar bermain bunga api biarpun nampak sedikit kasar bagi budak perempuan. "Zaman kecil-kecil dahulu saya suka bermain mercun. Pernah sekali saya tersilap baling dan mercun itu melantun balik ke arah saya dan meletup. "Kesannya, sampai hari ini parut akibat bermain mercun itu melekat di tapak kaki saya. Itu perkara paling nakal pernah saya lakukan," tambahnya.

Raya makan roti canai - Acha

AGAK lama juga gadis genit kelahiran Jakarta, Indonesia ini menyepikan diri daripada dunia hiburan. Acha Septriasa kalau tidak tersenyum, bibirnya lebih banyak berbicara dengan gaya yang menyenangkan. Semasa diperkenalkan melalui filem Heart pada tahun 2006, Acha masih berusia belasan tahun. Kini pada usia 23 tahun, Acha boleh menjawab dengan lebih matang dan tenang. Usai belajar dan menggenggam Ijazah Komunikasi Massa Multimedia dan Penyiaran daripada Universiti Limkokwing di Cyberjaya, dia pulang ke kota kelahirannya di Indonesia. Merindukan Kuala Lumpur terutamanya roti canai dan lebuh raya yang lancar serta sistematik, Acha menyusun pelbagai aktiviti seni dan peribadinya di Jakarta. Terbaru, dia selesai menjalani penggambaran filem Rectoverso The Film, sebuah adaptasi daripada novel nukilan Dewi Lestari. Acha turut menyanyi untuk single runut bunyi filem tersebut. Apa perbezaan beraya di Malaysia dan Indonesia? Apa ciri khas lebaran di sana? Di Indonesia ada lebih banyak mercun berbanding Malaysia. Di sana, ketupat dimakan bersama gulai kambing atau opor ayam. Kalau Malaysia ada duit raya, kami ada istilah salam tempel yang bermaksud angpau lebaran. Biasanya semua individu yang bekerja atau punya sumber pendapatan, harus memberi salam tempel kepada kanak-kanak. Di Jakarta pula, cuti hari raya selalunya selama dua minggu, jadi kota itu sunyi sepi dan bebas daripada kesesakan lalu-lintas dalam tempoh raya. Berlainan dengan Malaysia, makan lemang atau ketupat akan berlaukkan rendang. Di sini saya suka makan roti canai dengan kuah kari termasuk pada hari raya. Cuti di Malaysia juga cuma seminggu dan trafiknya lancar sekali. Hari raya dikaitkan dengan kemenangan, apa takrifan lebaran buat Acha? Makna raya buat Acha ialah hari kemenangan bagi umat Islam yang menjalankan ibadat puasa dengan iman dan takwa. Ia hari penuh berkat kerana umat Islam dapat merapatkan silaturahim dengan mengunjungi sanak saudara. Hari itu juga dilimpahi rahmat kerana mereka akan kembali kepada fitrah selepas sebulan berpuasa. Boleh ceritakan perkembangan terkini Acha? Sekarang saya sedang mempromosikan filem Test Pack: You Are My Baby yang akan dilancarkan 6 September ini. Saya juga sibuk dengan rakaman lagu runut bunyi untuk filem seterusnya berjudul Rectoverso The Film yang bakal dilancarkan Oktober ini. Kongsikan sedikit tentang single Curhat Buat Sahabat. Single tersebut diterbitkan oleh Universal Music manakala penyusun muziknya Tohpati, sang gitaris. Dalam album itu juga ada sebuah lagu nyanyian Glenn Fredly iaitu Malaikat Juga Tahu. Bagaimana dengan kegiatan di luar bidang seni? Saya harap dapat bekerja di Petronas Jakarta pada Oktober tahun ini.

Almy Nadia kenal erti kawan

ALMY NADIA SHAIFUL KHAIRIL, 26, satu nama yang tidak sah jika tidak dikaitkan dengan kisah cintanya yang masih belum berhujung. Percintaan dengan jejaka tampan dari Raub, Pahang, Fizz Fairuz terlalu banyak pasang-surutnya. Sehingga hari ini, asmara yang dianyam sejak enam tahun lalu itu masih belum membayangkan mereka akan menempuh mahligai perkahwinan. Bermula sebagai pelakon remaja yang terkenal dengan siri Dunia Baru, Almy juga sudah lama berpentas dalam bidang lakonan. Sampai ke hari ini, anak kelahiran Tapah, Perak itu semakin bijak menyusun bicara. Dia memilih untuk pasif daripada galak meluahkan banyak rasa tentang kisah cintanya yang ingin benar diketahui oleh peminat. "Saya cuma mahu menjadi lebih tegas. Sudah banyak kisah saya jadi tatapan kerana sikap saya yang terlalu terbuka dan mengikut arus. Saya perlu lebih banyak berdiam dalam soal hati dan perasaan. Saya terpaksa dan saya harap jalan yang dipilih hari ini boleh diterima ramai," jelas Almy yang tidak mahu lagi menjaja kisah cinta bersama Fizz Fairuz yang banyak mengundang kontroversi. STATUS FIZZ FAIRUZ Saya memang tidak tahu untuk menyatakan keadaan sebenar tentang hubungan kami. Saya tidak mahu segala kenyataan yang diberikan boleh menimbulkan salah faham pula hingga membuatkan para peminat keliru. Segala isu yang timbul sehingga menjadi persoalan ramai akan terlerai juga satu hari nanti. Cuma, saya tidak pasti bila masa itu akan tiba ANAK ANGKAT Namanya Nur Afrina Darwisyah yang sudah berumur tiga tahun. Saya ambil dia ketika dia masih bayi lagi daripada seorang saudara. Kebelakangan ini memang saya agak sibuk beri tumpuan kepadanya. Kehadirannya benar-benar mengisi kehidupan saya walaupun dia terpaksa dijaga oleh ibu saya di Pulau Pinang. TAWARAN FILEM Memang sebelum ini saya banyak berlakon filem tapi sekarang tumpuan saya lebih kepada drama. Berlakon drama boleh mantapkan pemahaman dan kekuatan lakonan itu sendiri. KAWAN SEJATI Semasa saya jatuh sakit baru-baru ini, barulah saya mengenal erti kawan, kenal siapa kawan baik saya yang sebenar. Kawan kadang-kadang boleh jadi seperti air, api, angin dan tanah.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails