Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Emosi raya Scha, Awal

PASANGAN selebriti yang baru sahaja mendirikan rumah tangga pada 4 Mei lalu, pengacara popular Awal Ashaari dan aktres Scha Al-Yahya mengakui cukup teruja biarpun sebelum ini dilanda debaran tatkala meraikan Aidilfitri buat pertama kalinya sebagai pasangan suami isteri. Jelas Scha, suaminya menjejakkan kaki buat pertama kalinya di kampung halaman keluarganya di Sungai Petani, Kedah, pada hari raya kedua yang lalu untuk bertemu saudara-mara selepas meraikan 1 Syawal di Subang, Kuala Lumpur. "Awal tidak pernah lagi menjejakkan kaki di kampung saya, jadi raya ini saya telah bawa dia meronda dari satu rumah ke rumah saudara-mara saya untuk mengeratkan lagi silaturahim kerana bukan semua saudara dapat hadir pada majlis perkahwinan kami sebelum ini," kata Scha yang merupakan pelakon filem Awan Dania The Movie itu. Sambung Scha, sebenarnya sebelum ini hatinya berdebar-debar ekoran pertama kali dia beraya di rumah keluarga Awal. "Berdebar-debar juga sebab budaya keluarga saya dan keluarga Awal agak berbeza. Keluarga Awal lebih konservatif, manakala keluarga saya lebih terbuka. Pertembungan budaya itu membuat saya harus belajar menyesuaikan diri, tetapi dalam masa yang sama saya seronok sebab dapat membuat persiapan raya bersama suami," luah Scha yang muncul dalam program Mega Raya Astro sempena Aidilfitri. Awal pula memberitahu, raya tahun ini sangat berbeza kerana jika sebelum ini dia hanya melakukan persiapan raya untuk diri sendiri sahaja. Namun, tahun ini segala persiapan harus dilakukan secara berdua. Jika mahu membeli sesuatu, Awal harus mendapatkan persetujuan Scha terlebih dulu kerana cita rasa mereka dalam menghias rumah agak berbeza. "Sebelum ini rumah saya hanya dilatari warna putih daripada dinding hingga ke perabot. Selepas berkahwin, sempena raya, Scha telah membeli langsir berwarna-warni kerana selama ini rumah saya tidak pernah ada langsir. Biasalah lelaki, mana suka pasang langsir. "Tidak hanya langsir, rumah saya yang tidak pernah ada bunga, tetapi kini bak taman bunga. Scha sukakan bunga di rumah, katanya cantik dan rumah nampak hidup. Mahu tidak mahu, saya ikutkan sahaja kerana rumah saya adalah rumah isteri saya juga," tutur Awal dalam tawa. Disoal apakah menu utama raya yang telah dihidangkan oleh isteri tercinta, Awal memberitahu, dia telah menikmati roti kercha yang merupakan makanan tradisi keluarga Scha. "Setahu saya, Scha tidak pandai masak rendang, tetapi saya paling sukakan roti kercha yang dicicah dengan kari ayam dan roti kercha masakan Scha memang sangat sedap. "Selain itu, saya tidak kisah makan apa sahaja. Biasalah makanan musim raya, cuma saya tidak makan nasi sangat, jadi agak senang untuk Scha masak apa-apa sahaja makanan kecuali yang ada nasi," katanya. Bercakap tentang baju raya pula, kata Awal selalunya dia jarang mengikuti warna tema seperti sesetengah keluarga, tetapi segala persiapan pakaian raya tahun ini telah disiapkan oleh Scha. "Tiga helai baju raya saya semuanya sedondon dengan Scha, jadi dari jauh orang sudah tahu kami merupakan pasangan suami isteri," cerita Awal disulami canda tawa tanda bahagia.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails