Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tak buat rumah terbuka - Tasha Shila

ENGGAN membazir dan berlebih-lebih membuat persiapan raya. Itu tekad pemilik nama Natasha Sheila Abdul Razak, 25, atau Tasha Shila yang menyambut lebaran tahun ini secara ala kadar dan bersederhana. Namun, dia membeli empat pasang baju raya tahun ini demi memenuhi acara rumah terbuka dan beberapa jemputan lain. "Saya beli empat pasang baju raya tahun ini, dan dalam masa sama saya ingin memberikan sokongan kepada pereka fesyen yang sudi menaja saya untuk menghadiri beberapa majlis sebelum ini. "Raya tahun ini menjadi giliran saya untuk membalas jasa baik mereka dengan menempah beberapa helai baju daripada pereka fesyen kegemaran saya," katanya penuh semangat. Tidak merancang untuk membuat rumah terbuka bagi meraikan peminatnya sempena kedatangan Syawal tahun ini, kata Tasha, dia ingin berehat dan sekadar memenuhi undangan rumah terbuka rakan-rakannya. Bukan tidak mahu meraikan kehadiran tetamu, tetapi Tasha mengakui dirinya sudah kepenatan sepanjang Ramadan kali ini. "Sepanjang Ramadan tahun ini pun saya sudah penat berniaga biskut raya, emak saya pun agak penat berniaga makanan. "Hari raya tahun ini giliran kami mengunjungi rumah saudara-mara dan sahabat handai menikmati juadah yang dihidangkan," ujar Tasha. Biskut raya Selain sibuk dengan penggambaran telefilem Pulut Kacang Meriam Kabat yang telah ditayangkan pada hari raya pertama lalu, bulan Ramadan Tasha diisi dengan aktiviti menjual biskut raya. "Pada sebelah siang saya sibuk di set penggambaran, sebelah malam pula sibuk berniaga di Kampung Baru. Bisnes biskut raya itu usahasama bersama ibu saudara saya. Alhamdulillah, tak menang tangan juga tahun ini," singkapnya lega tentang penjualan Gemilang Tasha Shilla Cookies. Berkongsi cerita rutin raya, seperti kebiasaan pada pagi Syawal, pelakon drama Gemilang itu telah menziarahi pusara arwah datuknya di Semerah, Batu Pahat, Johor.
Kemudian, seharian sambutan raya dilunaskan dengan menziarahi saudara-mara yang berada di Kulai, Johor. "Biasanya pada malam raya kebanyakan sepupu saya akan berkumpul di rumah saya di Kulai dan memasak juadah untuk keesokan harinya. "Kalau sudah berkumpul ramai-ramai akan banyak cerita untuk dikongsi dan biasanya satu keluarga akan tidur lambat atau berjaga sampai esok pagi," ceritanya. Ungkap Tasha lagi, juadah raya kegemarannya adalah rendang daging dan lemang. Selain hidangan wajib pagi raya iaitu ketupat, kuah kacang dan lodeh yang dimasak oleh ibu saudaranya menjadi menu wajib. Bintang filem Ratu The Movie itu juga memberitahu, dia tidak akan melepaskan peluang menikmati kuih tart, almond london dan tempeyek sepanjang lebaran. Terjun parit Memilih momen indah menyambut raya dalam hidupnya, kata Tasha, dia masih sukar melupakan kenangan beraya ketika berusia sembilan tahun di kampungnya, di Batu Pahat, Johor. "Banyak pengalaman lucu yang tidak boleh saya lupakan terutama ketika zaman kanak-kanak. Antara yang mencuit hati sampai sekarang apabila hari raya pertama, saya terjun parit dengan berpakaian raya. "Ketika itu cuaca sangat panas dan setelah seharian beraya badan pun jadi melekit dan berpeluh. Kebetulan ada parit berdekatan rumah, jadi tanpa menunggu lama saya dan sepupu terjun ke dalam parit itu. "Balik rumah kena marah dengan mama dan ketika itu juga saya kena rotan. Baju sudah basah dan kotor," ceritanya bersulam tawa. Tidak sah jika zaman kanak-kanak beraya tanpa mercun atau bunga api. Bagi Tasha, dia lebih gemar bermain bunga api biarpun nampak sedikit kasar bagi budak perempuan. "Zaman kecil-kecil dahulu saya suka bermain mercun. Pernah sekali saya tersilap baling dan mercun itu melantun balik ke arah saya dan meletup. "Kesannya, sampai hari ini parut akibat bermain mercun itu melekat di tapak kaki saya. Itu perkara paling nakal pernah saya lakukan," tambahnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails