Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Nadia sukar jadi diva

TIADA satu pun sensasi yang melekap pada tubuhnya untuk dijadikan topik bicara. Duduk berbual dengan Nadia Aqilah Bajuri lebih tiga jam tetapi semuanya berlegar soal kerja, kerja dan kerja. Licik sungguh si bunga yang mesra disapa Nadia ini menjaga tingkah laku. Biarpun ada nama, namun gadis berumur 27 tahun nekad bebas gosip. Nadia bukan lagi wajah baharu dalam dunia hiburan, malah Nadia Aqilah kini sudah menjadi bualan. Jika dihitung daripada segi masa, dia sudah merasai ranjau seni sejak berusia 14 tahun. Nadia pernah menubuhkan kumpulan Luscious bersama Eenaz dan Ruzana untuk mencuba nasib dalam rancangan realiti televisyen Gangstarz pada 2007. Dalam kerja-kerja lakon pula, gadis berbintang Leo ini sudah lima tahun bergelar anak wayang. Namun bakat yang dipahat itu masih lagi terselindung. Empunya diri ada alasan mengapa dia mahu menyorok daripada mendapat liputan luas. Dia enggan menghulur salam perkenalan dengan peminat secara semberono biarpun sedar publisiti itu penting. Sebaliknya Nadia ada jalan positif untuk dikenali. "Bukannya menyorok daripada media, cuma tiada apa yang mahu diceritakan. Lagipun saya tidak gemar berkongsi cerita pasal peribadi. "Saya masih berpegang kepada kata-kata abang saya sendiri yang pernah berpesan. Katanya, kalau kita bagus, suatu hari nanti orang akan cari kita. Itulah cara yang mahu saya amalkan. "Memang benar suatu ketika dahulu saya pernah berasa tidak senang kerana tidak dikenali. Sebaliknya kini saya sudah boleh menerima keadaan itu, bahkan selesa dengan keadaan sekarang," kata gadis yang tingginya hanya 167 sentimeter itu. Kelibat Nadia begitu eksklusif. Kerja lakonannya tampak mengalir perlahan. Tetapi dalam senyap Nadia sibuk melakukan itu dan ini. Setelah habis dengan suatu persembahan teater, dia beralih pula kepada jadual penggambaran drama. "Kalau tidak berlakon dalam drama, saya akan terlibat dalam produksi teater sama ada komersial mahupun skala kecil. Ada juga tawaran berlakon yang terpaksa saya tolak kerana tidak mahu jadualnya bertindih. Lampias panggung "Syukur kerana sehingga kini rezeki masih tidak putus. Sesuai dengan jiwa saya yang kuat bekerja ini. Jika tidak berteater atau berlakon saya akan menerima undangan nyanyian. Itu sebabnya saya tidak selalu muncul di kaca televisyen," katanya yang pernah terlibat dalam produksi teater Secret Life of Nora, Puteri Gunung Ledang The Musical, P. Ramlee The Musical dan Terima Kasih Cinta. Tahun ini Nadia bakal menutup diari hidupnya dengan senyuman lebih melebar. Sejak Khamis lalu, filem pertama lakonannya, Zaiton Ceritaku sudahpun menjengah panggung. Ada pengkritik filem yang menganggap naskhah itu sekadar sebuah filem lampias panggung, Nadia pula, jauh di sudut hatinya naskhah itu terakam cantik menjadi sejarah baharu buat dirinya. "Mungkin kalau empat, lima tahun lalu saya menerima tawaran ini, saya akan terkejut. Mungkin juga saya akan sedikit menolak atau terkejut kerana mendapat tawaran sebegini. Tetapi untuk masa kini, saya sekadar menerimanya sebagai perkara biasa.
"Dari satu sudut lain pula saya bertuah kerana diberi kepercayaan membawa watak Zaiton Sameon yang begitu disanjung ketika zaman kegemilangannya. Filem ini menuntut saya bermain emosi dan diberi peranan utama," katanya yang mengenali lagu-lagu Zaiton terutamanya Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar sejak berusia tiga tahun. Zaiton Ceritaku garapan pengarah dan pelakon Esma Daniel itu mengisahkan kehidupan Zaiton yang pernah berada di puncak populariti pada suatu ketika dahulu. Puas jadi Zaiton Filem biografi Zaiton yang diangkat sebagai diva itu merakam kisah ketika dia berusia sekitar 20-an hingga 50-an. Antara yang dipaparkan termasuklah insiden kemalangan jalan raya yang merubah kehidupan Zaiton secara total. Dalam kemalangan itu Zaiton kehilangan anak lelakinya Azirwan Abu Bakar yang maut di tempat kejadian di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Batang Kali, Selangor, lebih dua dekad lalu. Jelas Nadia, garapan yang penuh emosi itu turut memberi cabaran besar buat dirinya terutama untuk menggalas watak seorang diva yang pernah terang cahaya popularnya itu. "Naskhah itu benar-benar ditunggu. Bukan sahaja diberi peluang untuk menggalas watak utama, tetapi dapat menyelami kehidupan seorang bintang hebat pada zamannya dan menyelami emosi Zaiton menuntut usaha yang tak sedikit. "Biarpun orang akan menganggap ia sebagai satu kejayaan buat saya kerana menjadi teraju utama dan buat pertama kalinya berlakon dalam filem, saya tetap tidak mahu berasa hebat. Apa yang paling tepat untuk menggambarkan perasaan saya ialah mendapat kepuasan dengan filem itu," katanya yang pernah terlibat dalam drama seperti Emel Emelda, Sinderella, Merah Putih, Puteri Rania dan Tari Tirana. Perbualan tentang kerja memang tidak memenatkan mahupun membuatnya bosan. Satu persatu jika mahu diceritakan pastinya masa tidak akan mencukupi untuk meneroka lebih jauh. Tambah Nadia yang tidak letih bercerita soal filem terbaharunya itu, penonton pasti akan pulang dengan kepuasan apatah lagi dapat mengenali kehidupan sebenar Zaiton. "Tontonlah filem ini kerana anda akan tahu kisah hidupnya. Banyak cerita tidak benar yang disampaikan daripada mulut ke mulut. Sebenarnya dia bukannya tidak waras seperti diperkatakan, cuma perasaannya sahaja yang tertekan," kata Nadia bersemangat. Sudah berpunya Lumrah yang harus ditelan buat seorang yang bergelar selebriti termasuklah untuk dikorek perihal isi peribadinya. Tidak kiralah artis itu terkenal atau pun tidak, setiap gerak-geri yang diperhatikan boleh menjadi bahan bualan, sekurang-kurangnya di meja makan kedai tepi jalan. Tidak mahu alah dengan lumrah itu, Nadia seboleh-bolehnya cuba mengunci kisah peribadi. Baginya cukuplah sekadar dia mempertaruhkan bakat dan jiwa luarannya sahaja buat tatapan peminat. Hal yang privasi mahu ditutup erat-erat. NADIA AQILAH lebih rela menjauhkan diri daripada bercerita atau menjaja kisah peribadi .
Sengaja diusik sedikit tentang cerita peribadi, dengan kata tersusun, Nadia menolak untuk bercerita. Katanya, dia enggan menjaja kisah hidup sendiri berbanding galak berkongsi kisah kerjaya. "Tiada apa yang perlu saya kongsikan dengan orang lain kerana ia mungkin menyusahkan saya kelak. Contohnya kalau saya jawab persoalan tentang sama ada diri sudah berpunya atau masih solo, pasti akan ada soalan susulan selepas itu. "Lepas menjawab pasal hubungan, nanti orang mahu bertanya pula mengenai siapakah nama lelaki itu, apakah ketinggiannya ataupun dia kerja apa. Perkara ini yang lama kelamaan boleh menjerat diri saya juga. Lebih elok rasanya saya bercerita soal kerjaya sahaja," ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu. Selain cerita lakonannya hangat di panggung, peminat boleh menonton aksi Nadia menerusi drama Dendam Pencinta di TV9. Selain bakal muncul dengan telemovie Atas Cinta Bawah Cinta di TV3 dan siri televisyen berbahasa Inggeris, I Eat KL di saluran televisyen berbayar, Nadia juga sedang sibuk berlatih untuk majlis Royal Art Charity Show pada 12 November ini. Nadia pernah menghasilkan sebuah album solo yang mengandungi tujuh buah lagu berbahasa Inggeris dan tiga lagu Melayu berjudul DIVA. Bagaimanapun album itu dianggap gagal setelah dua tahun berada di pasaran. "Album itu tidak berjaya kerana silap percaturan dan perancangan. Tetapi saya menerimanya secara positif untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik. "Namun buat masa ini masih belum ada hitam putih untuk menghasilkan album seterusnya. Sekadar ada perancangan sahaja. Semoga tercapai jua suatu hari nanti," ujar Nadia.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails