Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Rindu pentas nyanyian - Syura

REALITI dunia hiburan, kemunculan semula seseorang artis wanita yang lama menyepi selepas berkahwin bagi mewarnai kaca televisyen mahupun dada akhbar pastinya akan mengundang madah-madah sinis yang kurang enak didengar. Pelbagai spekulasi dilemparkan oleh para 'juri' tidak berkaliber yakni para peminat terhadap rumah tangga yang telah dibina artis terbabit. Ia termasuklah tohmahan mengatakan mahligai yang dibina telah berantakan sehingga menyebabkan berlakunya penceraian, sekali gus memberi kebebasan kepada artis yang dimaksudkan untuk kembali aktif di persada seni. Andaian yang diserkap jarang oleh peminat itu kadangkala ada benarnya. Sebagai contoh, dramatis Wan Nor Azlin, Kuza, Siti Nordiana serta beberapa penyanyi era 80-an seperti Khadijah Ibrahim, Siti Fairuz dan Raja Ema membuktikan status janda itu memberi peluang kedua untuk mereka terus giat melebarkan semula sayap seni masing-masing. Bagaimanapun, bagi penyanyi yang popular menerusi lagu etnik, Zuraidah Badron atau dikenali sebagai Syura, 26, dia sangat tidak bersetuju dengan pandangan skeptikal tersebut dan menyifatkan individu yang berfikiran begitu sebagai kolot. Syura yang sah bergelar isteri kepada Mohd. Fadhly Md. Yassin, 31 pada April 2006 berkata, keputusannya menyepikan diri daripada dunia nyanyian hanyalah untuk memberi fokus terhadap tanggungjawab barunya sebagai isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata, Nurul Dania Irdani, 5, Nurul Qaisara Sofea, 3 dan Muhammad Irfan Aryan, setahun. Kini, setelah lebih enam tahun menempuh alam rumah tangga dan telah mula memahami sedikit sebanyak mengenai selok belok alam perkahwinan, kehidupan berkeluarga telah sebati dengan dirinya. "Rumah tangga saya OK! tiada sebarang masalah dan bahagia. Maka, sebab itulah saya bersedia untuk aktif kembali untuk masuk studio merakam lagu, seterusnya muncul dengan produk terbaru. Tidak semua artis wanita yang berkahwin dan kembali mewarnai pentas hiburan menghadapi masalah rumah tangga. "Kalau dah nama pun artis, tidak salah sekiranya dia mahu kembali aktif berkarya setelah rumahtangga yang dibina berada di tahap yang selesa. Jadi, janganlah kolot sangat dengan menghamburkan tuduhan membabi buta," tegas penyanyi yang mula mencipta nama seawal usia 14 tahun itu. Malah, dengan nada keras, Syura sangat tidak suka dengan pemikiran individu yang mempunyai stigma seperti itu. Pada hematnya, kalau sudah minat, terima sahajalah artis wanita itu tanpa pandangan prejudis dan biarlah dia melepaskan kerinduannya untuk menyanyi mahupun berlakon. Suami sokong pindah MENJANGKAKAN dirinya akan mulai sibuk, Syura yang menetap di Johor Bahru, Johor memohon izin daripada suaminya untuk berpindah ke Kuala Lumpur (KL) bagi memudahkan dan melancarkan pergerakkannya untuk menyertai pelbagai aktiviti seni. Tidak mengambil masa yang lama, Mohd. Fadhly bersetuju dengan permintaan cinta hatinya itu, malah merestui dan menyokong penuh langkah Syura untuk kembali aktif. Bahkan, menurut penyanyi lagu Bakawali itu, keluarga kedua-dua belah pihak juga tidak mempunyai masalah dengan hasratnya untuk menempuhi semula dunia glamor dan kontroversi itu. "Suami amat memahami kehendak saya. Dia juga percaya dan yakin dengan saya, sekali gus memberi dorongan yang cukup kuat supaya saya kembali menyanyi. "Justeru, pada tahun hadapan, kami sekeluarga akan berpindah ke Cheras, Kuala Lumpur demi kemudahan saya untuk berulang-alik ke studio rakaman mahupun lokasi persembahan yang selalunya banyak berpusat di KL," ujarnya. Dalam pada itu, Syura yang pernah bernaung di bawah Fantasia Music City (FMC) menjelaskan, dia belum lagi menandatangani kontrak dengan mana-mana syarikat rakaman. Terdapat beberapa tawaran yang perlu ditelitinya sebelum menyatakan persetujuan. "Saya tidak mahu demand. tetapi tawaran tersebut perlulah sesuai dengan status saya sebagai wanita yang sudah berkeluarga. "Saya juga mahukan lagu yang dihasilkan nanti masih mengekalkan genre etnik yang diselitkan unsur pop moden supaya ia nampak segar dan mengikuti trend muzik semasa. "Saya sangat sedih melihat irama etnik diketepikan sedangkan banyak cara untuk mengetengahkannya supaya ia diterima ramai," ujar Syura yang mengagumi semangat Noraniza Idris yang tetap kekal bersama irama aslinya. Pada masa yang sama, Syura memberitahu, sekembalinya ke KL kelak, dia amat teringin untuk keluar bersama rakan-rakan artis yang seangkatan dengannya seperti Siti Nordiana, Elyana, Zarina Zainoordin, Bob Yusof dan ramai lagi. "Saya amat rindukan kawan-kawan artis dan teringin untuk bersama mereka dalam majlis-majlis anugerah mahupun mengadakan persembahan bersama-sama. "Ketika melihat artis-artis baru dan lama beraksi di Anugerah Juara Lagu (AJL), saya akui agak cemburu kerana amat merindui debaran pertandingan berprestij itu. "Saya berharap, come back saya kali ini dapat memberikan peluang untuk sama-sama bersaing di AJL akan datang ," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails