Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Bukan kerana harta - Anne Ngasri

Anne memilih saya bukan kerana harta dan saya memilih dia bukan kerana dia artis. Jika dia bukan selebriti sekalipun, saya tetap akan berkahwin dengannya kerana dia jodoh dari Allah." Itu yang diungkapkan oleh suami kepada pelakon Anne Ngasri, 28, Mohd. Sumali Reduan, 40, ketika ditebak dengan perihal soalan isteri tercinta menumpang tuahnya. Baginya, tidak timbul soal siapa penumpang tuah atau populariti sesiapa kerana ikatan yang tersimpul kini adalah lahir dari cinta yang terbit dalam hati masing-masing. "Biarpun hanya mengikat tali pertunangan kira-kira dua bulan, saya sudah mengenali dia lebih setahun yang lalu. Jadi saya tahu Anne bukan wanita yang memandang harta. "Kami bersatu kerana cinta di hati masing-masing, selain jodoh yang telah ditetapkan oleh Allah. Saya suka dan terima dia seadanya begitu juga dengan dia yang menerima saya apa adanya," ujar Setiausaha Kerja Pemuda UMNO Malaysia itu. Dia yang sudah tiga tahun menduda melihat isteri, pemilik nama sebenar Nasriah Ngasri itu sebagai seorang manusia biasa yang sentiasa tersenyum dan berusaha menyenangkan hati semua pihak. Biarpun hatinya terluka, dirundung kesedihan, baginya permaisuri hatinya itu tidak akan memperlihatkan kepada semua orang, dia akan berusaha senyum bagi menutup lara di hati. Meletakkan diri sebagai lelaki biasa, Mohd. Sumali tidak pernah sesekali mendabik dada kerana berjaya memiliki sekeping hati milik selebriti tanah air itu, namun sebaliknya dia bersyukur dengan takdir terindah yang tertulis di Lof Mahfuz untuknya. "Dia adalah rahmat buat saya. Dia kini menjadi tanggungjawab dan amanah yang perlu saya jaga. Bukan dia sahaja tetapi anak-anak dan keluarganya juga. Mereka kini sebahagian daripada kehidupan saya," katanya. Ketika ditanya mengenai kerjaya seni isterinya, Mohd. Sumali berkata, dia tidak akan menjadi penghalang kepada Anne bagi meneruskan kerjaya sebagai artis. Menurut bapa kepada Mohd. Sufian Hakim, 7, dia percaya isteri yang dinikahi Sabtu lalu itu merupakan seorang yang pandai menjaga diri dan tahu membahagi masa antara keluarga dan kerjaya. Seperti suaminya, Anne menegaskan bahawa dia memilih Mohd. Sumali bukan kerana harta yang dimilik lelaki itu, tetapi keserasian yang wujud antara mereka berdua. "Eh, mana ada. Saya terima dia dalam hidup saya bukan kerana harta. Saya pilih dia kerana hati budi dia. Dia sangat baik dan ada keserasian antara kami. "Bagi saya hati dia yang sudi menerima saya adalah lebih bernilai. Saya bersyukur kerana dia sudi menyunting saya sebagai isterinya dan sentiasa membuatkan saya tersenyum dengan lawak jenakanya,"ujar. Perkahwinan terakhir Masing-masing menjeling manja tatkala lensa kamera bertalu-talu dipetik bagi merakam setiap detik indah saat memegang status raja sehari biarpun buat kali kedua. Bagi pengantin perempuan, usah diajar, bermain dengan kamera adalah 'kepakarannya', namun bagi pengantin lelaki, agak sukar untuknya beraksi dengan pelbagai pose menarik apatah lagi di hadapan ribuan tetamu yang rata-ratanya adalah peminat si isteri tercinta. Untuk mengelakkan foto momen indah mereka nampak kaku, pelakon drama Cili Padi itu bijak memain peranan apabila lekas-lekas menarik tangan sasa suami lalu diletakkan di pinggangnya. Malah, sesekali dia melentukkan kepalanya ke bahu suami tercinta bagi mewujudkan suasana yang lebih romantik. Mujur selepas beberapa ketika, Mohd. Sumali berjaya 'masuk' ke dunia isterinya. Biarpun perkahwinan ini bukan pertama kali bagi kedua-dua mempelai, perasaan gementar tetap bersarang dalam jiwa. Anne dan Mohd. Sumali disandingkan dalam suasana penuh meriah di Jalan Parit Ismail, Benut, Pontian selepas kedua-dua mereka diijabkabulkan dengan mahar RM22.50 dan saling berbalas lima dulang hantaran. Aktres comel itu disatukan dengan Mohd. Sumali oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Segamat, Ustaz Abdul Mutalib Abdul Rahim di hadapan ibu bapa Anne, Ngasri Sain dan Habibah Jaafar serta ibu pengantin lelaki, Saripah Umar, selepas 42 hari bertunang. Semua adik-beradik Anne seperti Nasliza, Naszeli, Nasreen(Darling), Nasrizal(Bell) dan Nasshuda hadir menyaksikan pernikahan dan majlis bersanding yang diadakan di kediaman pengantin lelaki. Kedua-dua majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran tetamu jemputan terdiri daripada sahabat-handai, keluarga terdekat kedua-dua mempelai dan penduduk kampung. Pada majlis bersanding, pasangan mempelai yang anggun dan segak mengenakan busana berwarna peach rekaan Ezuwan Ismail kelihatan ceria melayan para tetamu serta peminat yang hadir. Turut memeriahkan majlis adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian serta Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin. Umum mengetahui, ibu kepada Abdul Warits, 6, Abdul Wafri, 4, dan Nazhara Afroza, 1, selain pernah menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz, dia juga telah bercerai talak tiga dengan bekas suaminya, Abdul Wafi Hassan pada 25 Jun 2010. Bagi Anne, apa yang diharapkan daripada peminat adalah doa mereka supaya kedua-dua mempelai hidup bahagia hingga hujung nyawa dan tabah dalam mengharungi hidup sebagai sepasang suami isteri. "Saya harap semua peminat terus mendoakan kebahagiaan kami dan kekal melayari bantera perkahwinan yang baru dibina ini dengan sabar dan tabah. Doa kalian amat kami hargai," katanya. Selain mengharapkan perkahwinan itu kekal sehingga akhir hayat, kedua-dua mempelai turut menyimpan impian agar 'bahtera' itu adalah yang terakhir dibina buat mereka. Meletakkan jodoh dan takdir di bawah kekuasaan Allah, baik Anne mahupun Mohd. Sumali yang bakal berbulan madu di luar negara berharap agar mereka mampu melengkapi kekurangan dalam diri pasangan masing-masing. "Jujur saya berharap perkahwinan ini adalah yang terakhir. Selepas ini saya mahu fokus kepada keluarga baru saya," katanya. Ditanya perancangan menimang cahaya mata, kedua-dua mereka menyerahkan perkara tersebut kepada Allah namun tidak menetapkan sebarang jumlah tertentu. "Semuanya saya serah kepada Yang Maha Esa, jika ada itu adalah rezeki kami. Lagipun kami sudah ada ramai anak iaitu empat orang dan kami bersyukur sekiranya keluarga kami semakin besar," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails