Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Norman Hakim Tetap Jaga Batas


PELAKON Norman Hakim berkata dia tetap akan menjaga batasan mengenai hubungannya dengan pelakon Memey Suhaiza.

Ia termasuklah ketika diajak bergambar bersama kerana tidak mahu ada pihak-pihak yang kurang senang dengan aksi yang mereka berikan.

Baru-baru ini, Memey mahupun Norman tidak menolak untuk merakamkan gambar mereka berdua yang penuh mesra bagaikan pasangan suami-isteri.

Gambar tersebut dirakamkan semasa mereka meraikan majlis ulang tahun kelahiran anak lelaki Chef Wan iaitu Chef Riz di restorannya, On The Table di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu.

“Saya rasa tak salah bergambar kerana aksi kami itu bukan sengaja dilakukan sebaliknya atas permintaan pihak media.

“Kami tahu yang sepatutnya kami tidak perlu menunjuk-nunjuk kemesraan itu. Bagaimanapun, kami masih menjaga batasan antara satu sama lain kerana banyak hati yang perlu dijaga,” beritahunya sambil tertawa kecil.

Sama ada tingkah laku mereka itu akan meninggalkan kesan buruk atau tidak, Memey mahu menganggap semua itu sebagai suatu yang positif.

“Kalau saya terus memikirkan tentang apa yang orang katakan, sampai bila pun takkan selesai. Saya tak nak dengar apa yang orang akan cakap tentang kami selepas ini. Cukuplah masyarakat sudah tahu hubungan kami dan ianya tidak perlu dirahsiakan lagi.

“Saya rasa gambar kami berdua tidak perlu dikontroversikan,” katanya yang semakin menyerlah dalam bidang lakonan.

Selepas beberapa kali diberikan watak utama seperti menerusi drama Cinta Balkis dan Puteri Aurora Beradu, Memey ditawarkan berlakon dua lagi watak utama menerusi drama Impian Cinta dan Bola Cinta.

“Saya sedang menjalani penggambaran drama 30 episod Bola Cinta dan drama 13 episod Impian Cinta.

“Kedua-dua drama itu terbitan RTM dan berkisarkan tentang cerita cinta. Dalam drama Bola Cinta, saya bercinta dengan Shah Jazle manakala saya bercinta dengan Zoey untuk drama Impian Cinta.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan tawaran lakonan yang masih tidak putus sekarang,” ujarnya.

Setiap Perkahwinan Campur Pergolakannya Berbeza – Ning


KERAP kali media melaporkan perkahwinan selebriti yang kecundang di tengah jalan. Statistik juga menunjukkan peningkatan perkahwinan campur yang bermasalah berpunca daripada faktor agama, budaya dan persefahaman.

Misalnya, boleh dilihat perpisahan dengan warga asing melibatkan selebriti Aishah, Sasha Saidin, Liena Hangat dan Sarimah Ibrahim.

Terbaru, timbul pula desas-desus mengatakan Maya Karin dan suaminya yang berasal dari England, Steven David Shorthose atau nama Islamnya Muhammad Ali bakal bercerai.

Melihat senario ini, penyanyi dan pelakon terkenal Ning Baizura yang turut bernikah dengan lelaki asing iaitu Omar Sharif Christopher Layton Dalton berpendapat tidak semua perkahwinan campur mempunyai pergolakan yang sama.

Malah dia yang bergelar isteri Omar sejak hujung Januari 2008 itu bersyukur kerana suaminya tidak bermasalah untuk menyelami budaya, agama dan cara hidupnya.

Bukan sahaja fasih berbahasa Melayu, suaminya juga gemar makan makanan Melayu setelah lebih tujuh tahun menetap di negara ini.

“Omar dan saya percaya rumah tangga kami dibina atas dasar keimanan, komunikasi, kepercayaan dan pelbagai lagi keperibadian yang tinggi dan positif.

“Insya-Allah ini semua adalah dugaan Allah. Kami berdoa semoga Maya dan Steven dapat mencapai satu kata putus yang baik di antara mereka.

“Terus terang saya katakan di sini, kami sebenarnya tidak berapa mengenali Maya dan Steven. Jadi saya tidak mahu komen mengenai hal peribadi orang lain,” katanya yang menerima kejutan hari lahirnya ke-35 daripada suami dan teman rapatnya kelmarin.

Sebelum itu pada hari yang sama, Ning menerima kejutan daripada pasukan Akademi Broadway Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Bangunan Mas, Jalan Sultan Ismail dan pada sebelah malamnya, dia dikejutkan dengan makan malam bersama suami, keluarga dan teman rapat.

“Suami saya buat makan-makan secara kecil-kecilan sahaja di restoran milik teman baik saya. Dia menghadiahkan, iPad dan kasih sayang seperti selalu.

“Saya sangat terkejut, sangat bersyukur dan sangat malu sebab pada umur sebegini pun masih disambut dengan kek lagi. Tapi apa-apa pun saya amat berterima kasih kepada pasukan Akademi Broadway untuk kejutan majlis Hari Jadi pada Isnin lalu,” ujarnya sambil tertawa.

Biarpun belum dikurniakan anak, Ning dan Omar tidak pernah serik untuk berusaha dan selebihnya berserah kepada rezeki Tuhan.

“Alhamdulillah, hubungan saya dan suami cukup baik. Setiap hari saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberikan kami kesihatan, persefahaman dan rezeki.

“Kami telah berjumpa doktor beberapa kali dan berserah. Saya pasti Allah akan berikan anak pada masa yang sesuai... Insya-Allah,” tutur penyanyi lagu popular Awan Yang Terpilu itu lagi.

Ning sedang menjayakan teater muzikal SHOUT! The Mod Musical yang akan dipentaskan di KL Pac pada 15 hingga 21 Julai ini.

Ia mengisahkan tentang lima wanita yang cintakan fesyen terkini semasa era 60-an dan 70-an, dan turut menampilkan Nikki Palikat, Tria Aziz, Shanel Shanty James dan Tisha Zarina.

Juhara Takut Bawa Kereta, Trauma Kemalangan Maut


PETALING JAYA: "Saya tidak tahu sama ada boleh bawa kereta lagi atau tidak," ujar dramatis, Juhara Ayob (gambar) yang masih trauma akibat terbabit dalam satu kemalangan maut kira-kira pukul 12.15 tengah hari semalam di Jalan Kuching dekat Pasar Borong Selayang.

Dia yang masih terkejut dengan tragedi itu sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Selayang Baru ke Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA) di ibu kota.

"Saya dalam perjalanan ke ASWARA kerana ada kelas pukul 1 petang, saya tak sedar bagaimana kehadiran mangsa kerana tiba-tiba sahaja saya sudah melanggarnya.

"Saya masih terkejut dan takut untuk memandu. Bukan sebab kereta saya hancur tetapi kerana mangsa tersebut meninggal dunia di tempat kejadian," jelasnya kepada mStar Online dalam nada sedih di sini semalam.

Juhara telah membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Bandar kira-kira pukul 6 petang tadi.

Bagaimanapun, dia yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish berwarna kelabu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa seorang wanita dipercayai warga Myanmar sedang berjalan kaki telah mengalami kecederaan dalaman dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Serina Jadi Pendiam Bila Bersama Suami


PENGACARA dan pelakon Serina Redzuawan memang terkenal dengan celoteh dan keramahannya seperti bapanya, chef selebriti tersohor, Datuk Chef Wan.

Namun, jangan ada yang tidak tahu, wanita yang sedang hamil bayi lelaki hampir enam bulan itu akan menjadi pendiam apabila bersama-sama suaminya, Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar.

“Saya akan menjadi pendiam bila dengan suami kerana kami lebih suka menumpukan kepada aktiviti yang dilakukan seperti berenang dan bermain PS2,” katanya semasa majlis sambutan hari lahir abangnya, Chef Riz.

Pelakon drama Akademi Polis dan Roda-Roda Kuala Lumpur itu juga tidak terlalu manja dan menyuruh suaminya mendapatkan makanan jika mengidam.

“Saya tak pernah minta dia belikan apa-apa makanan Melayu sebab suami saya tidak mengetahui tentang makanan itu. Misalnya kalau saya mengidam mangga muda, mesti dia akan bertanya semula kepada saya bagaimana hendak mencari makanan itu.

“Jadi, saya lebih selesa untuk mencarinya sendiri. Tetapi setakat ini, suami ada membelikan makanan semasa saya mengidam hendak makan spaghetti bolognese,” katanya yang hadir bersama ibunya, Norhayati Ayob.

Katanya, dia bukanlah seorang isteri yang akan mengikut ke mana sahaja suaminya pergi. Suaminya yang juga Pengarah Eksekutif Footballfocus Sdn Bhd kini di Johor.

“Suami saya sedang sibuk menjayakan acara bola lebih-lebih lagi sekarang ini musim Piala Dunia.

“Saya tidak suka kawal suami dan tidak tetapkan yang dia perlu menghubungi saya setiap waktu.

“Tetapi kalau dia tidak menghubungi saya, tiba giliran saya untuk bertanya keadaan dia sama ada sudah makan atau tidak,” jelasnya.

Serina tidak mahu menjadi seorang isteri yang ‘cincai’. Anak tunggal perempuan Chef Wan itu akan menyediakan kelengkapan pakaian dan makanan untuk suaminya sebelum meninggalkan rumah.

“Kalau saya mempunyai kerja luar dari Kuala Lumpur selama seminggu, jadi saya akan menyiapkan persalinan suami selama seminggu juga. Biasanya, saya akan menggosok dan membasuh pakaiannya sendiri.

“Saya juga mengemas rumah dan memasak sendiri. Sesibuk mana pun, saya perlu melakukan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan pastikan makan, pakai suami saya cukup,” ceritanya penuh ramah.

Dalam teruja menantikan kelahiran bayi sulungnya itu, Serina sudah mula sedikit demi sedikit memikirkan tentang persediaan sebelum dan selepas bersalin.

“Saya sudah mencari orang Indonesia yang membuat jamu untuk rawatan selepas bersalin. Selain itu, saya ada juga meminta pendapat daripada ibu tentang cara-cara untuk memudahkan bersalin.

“Walau sakit macamana sekalipun, kalau boleh saya nak bersalin secara normal,” tuturnya.

Pulau Lang Tengah Saksi Cinta Fasha-Rizal


SELEPAS menafikan mempunyai hubungan intim, aktres Fasha Sandha akhirnya tidak dapat menyembunyikan bahawa hatinya telah terpaut kepada Rizal Ashram Ramli.

Mereka berdua dengan rasminya mengesahkan untuk menjadi pasangan kekasih di Pulau Lang Tengah, Terengganu pada 18 Mei lalu ketika Rizal atau lebih dikenali sebagai Jejai membuat kejutan dengan tiba menaiki helikopter semasa pelakon itu menjalani penggambaran drama bersiri Duyong Aridinata terbitan Zeel Production.

“Kesungguhan dia selama ini membuatkan pintu hati saya terbuka untuk menerimanya sebagai seorang kekasih. Saya memang benar-benar tersentuh hati kerana tidak pernah ada mana-mana lelaki yang berbuat sebegitu kepada saya. Kalau tidak kerana dia datang dengan helikopter pun saya akan terima dia,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran drama tersebut di Ampang hari ini.

Menurut Fasha, dia mengenali anak bekas Menteri Besar Perak sejak tujuh tahun lalu dan mula rapat selepas lelaki itu berpisah dengan pelakon Nora Danish pada 12 Ogos 2008.

Dia turut menolak dakwaan dia adalah perampas dan menjadi pemusnah terhadap rumah tangga pelakon itu.

Sebaliknya katanya, dia dan Jejai sebelum ini hanya sekadar berkawan biasa tanpa ada apa-apa perasaan.

Sebelum ini gosip hubungan mereka semakin kuat apabila dia dikatakan membuat pengakuan dilamar oleh Jejai pada 3 Januari lalu. Pengakuan tersebut dibuat menerusi laman sosial MySpace miliknya.

Namun, keluarga Fasha dikatakan menentang hasrat tersebut kerana bimbang keluarga Jejai tidak akan merestui hubungan mereka.

Bagaimanapun apabila bercakap soal kahwin, dia dan Jejai masih belum merancang untuk kearah itu. Apa yang penting, keluarga kedua-dua pihak telah mengetahui hubungan intim mereka.

Baru-baru ini, Fasha dihambat dengan kontroversi apabila timbul tuduhan aktres Tiz Zaqyah mengganggu kekasihnya itu. Namun tidak lama selepas itu, Tiz menafikan dakwaan tersebut.

Malah dia juga dilaporkan turut mengaitkan nama Tiz menjalin hubungan dengan aktor Fizz Fairuz sehingga menyebabkan hubungan pelakon itu dengan kekasihynya Almy Nadia terganggu.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas isu berkenaan kerana menganggap perkara itu sudah berlalu.

“Saya tiada komen apa-apa tentang perkara itu,” jawabnya ringkas sebelum meminta izin untuk berlalu pergi.

Rabecca Tidak Hipokrit Kerana Nama


PENAMPILAN yang seksi dan mengoda membuatkan Rabecca Nur Al-Islam,24, tidak lari daripada menerima tohmahan gara-gara nama dan personaliti yang dikatakan tidak seiring.

Namun bagi Rabecca, dia mahu menjadi dirinya sendiri dan tidak enggan bersikap kepura-puraan seperti segelintir manusia lain.

"Saya tidak faham bagaimana orang menilai seksi. saya rasa saya biasa sahaja. Saya hanya jadi diri sendiri. Tidak semestinya nama saya Rabecca Nur Al Islam saya perlu jadi hipokit.

"Saya tahu orang ingin saya bawa nama ini dengan watak yang sentiasa baik. Tapi tiada siapa di dunia ini yang sempurna. Namun saya akan cuba perbaiki diri ke arah yang lebih baik.

"Saya berpakaian sesuai dengan keadaan. Lagipun saya dilahirkan dalam keluarga yang terbuka dan positif, keluarga tidak mengongkong cara saya berpakaian," jelasnya.

Dalam pada itu, Rabecca memberitahu bangga dengan nama yang dimilikinya. Malah dia juga mengakui jatuh cinta dengan nama peliknya itu.

"Nama saya memang agak pelik tetapi secara jujur saya bangga dan jatuh cinta dengan nama ini, sebab itu saya lebih suka memperkenalkan diri dengan nama penuh saya.

"Bukan saya sahaja malah adik beradik yang lain semua mempunyai nama yang pelik. Itu adalah keunikan keluarga kami dan membezakan dengan orang lain," jelas Rabecca yang mempunyai darah kacukan Arab,Cina,Indonesia dan Melayu ini.

Bercerita tentang kerjaya, dia yang sudah 7 tahun menceburi bidang lakonan bakal keluar dengan filem terbaru berjudul Keramat terbitan Metrowelth tidak lama lagi.

Filem ini merupakan percubaan pertama Rabecca untuk meneruskan langkahnya kedunia filem. Bagaimanapun menurut anak jati Johor ini berlakon filem bukanlah cabaran besar buat dirinya.

"Tidak banyak perbezaan antara drama dan filem. Penggambaran drama lebih panjang berbanding filem tetapi filem lebih rumit kerana perlu memasukkan semula suara selepas selesai penggambaran.

"Tapi ia bukanlah cabaran besar sebab saya sebelum ini memulakan kerjaya lakonan daripada lakonan teater," jelasnya yang pernah berlakon teater Sirah Junjungan.

Bercerita tentang watak yang sering dilakonkan, dia mengakui lebih banyak ditawarkan watak antagonis berbanding watak wanita baik.

"Raut wajah saya yang garang mungkin menyebabkan saya dipilih memegang watak antagonis. Namun saya tidak kisah kerana saya lebih mudah membawa watak jahat berbanding watak baik.

"Tetapi jika diberi pilihan saya lebih gemar melakonkan watak aksi seperti yang sering dilakonkan oleh Angelina Jolie," jelasnya.

Cinta hatiku-Dynas


Kehadiran Khyra menambahkan 1001 kebahagiaan kepada Dynas dan Hafizy

JANJI ditepati lantas pertemuan diatur baru-baru ini mengabadikan gambar anak kedua, Dynas Mokhtar yang dinamakan Khyra Khalyssa. Bukan hanya berpeluang mendekati Khyra, malah kehadiran Hip juga sekali gus menjejaki kediaman yang baru diduduki Dynas dan suaminya, Mohd Hafizy Hafiz di Bandar Sri Damansara.

Bagaimanapun rumah tiga tingkat yang baru didiami itu belum siap sepenuhnya tetapi sudah dihias rapi. Setibanya di sana, Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar sedang menyusukan badan kepada anaknya di dalam bilik. Selang beberapa minit kemudian Dynas turun meniti anak tangga rumahnya dengan senyuman manja.

Jelas kelihatan penyandang Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 dan 2008 ini semakin bahagia dengan kehidupan yang dilaluinya kini. Hasratnya bergelar ibu sekali lagi mendapat rahmat tak terhingga biarpun pernah diuji dengan kehilangan anak sulungnya, Emma Malissa.

Khyra yang dilahirkan pada 24 April lalu ternyata memberi sinar dalam hidup Dynas dan suaminya. Perjalanan sesi bergambar ini juga bagaikan dirahmati kerana si kecil berambut lebat dan comel itu begitu cepat mesra dengan kamera. Pendek kata, senang saja merakamkan pos menarik Khyra dan ibunya.

“Kalau dulu sewaktu dalam kandungan, dia (Khyra) memang tak mesra kamera. Nak tengok mukanya pun bukan main susah, asyik berselindung di sebalik tangannya.
“Tapi sekarang, alhamdulillah. Sesi bergambar ini nampak ok saja, mungkin moodnya agak bagus. Kalau tidak, boleh tahan juga meragam, dia merengek,” kata Dynas yang semakin berseri selepas selesai berpantang.

Perbualan tengah hari itu memang lebih banyak berkisar kepada permata hati kesayangannya itu. Tambah Dynas, anaknya itu juga memang manja dan cerdik. Bayangkan saat mula keluar melihat dunia, Khyra sudah pandai menoleh kanan dan kiri untuk mencari susu ibunya.
“Sampai sekarang, kalau ada orang datang melawatnya, dia cepat memberi maklum balas. Malah ada yang mengatakan saiz badannya kini sudah menyamai bayi berusia empat bulan. Kalau bapanya mengusik, dia banyak ragam, menangis. Sensitif sangat agaknya.

“Tapi sebenarnya tak susah menjaga dia. Kalau letak di pangkuan pembantu rumah, sekejap saja dia terlelap. Tapi dengan orang lain termasuk saya, dia lambat sikit nak tidur. Siap merengek lagi menunjukkan perangainya. Selain dimanjakan bapanya, dia juga manja dengan ibu dan ibu mentua saya,” kata Dynas yang bersifat kontra daripada suaminya dan lebih tegas mendidik Khyra.

Ketika ini, selain menyusukan badan, Dynas turut mengajar anaknya untuk minum susu menggunakan botol. Demi memastikan kesihatan anaknya, Dynas baru-baru ini membawa anaknya mendapatkan suntikan vaksin. Suaminya turut memasang angan-angan untuk menyekolahkannya di sekolah Cina apabila Khyra besar nanti.

“Keutamaan kini memang untuk anak. Tak saya nafikan pada peringkat awal menjaga anak ini satu perkara mencabar. Tapi seiring dengan masa yang berlalu pergi, bila kita tengok wajah anak rasa, tenang di hati.

“Malahan kalau keluar rumah dalam tempoh dua jam sekali pun sudah tak sabar balik rumah nak melihat wajahnya,” kata Dynas yang merancang untuk mengadakan majlis cukur jambul tapi bukan dalam masa terdekat.

Baru saja habis berpantang, penampilan terbaru Dynas wajar dipuji. Bentuk badannya sudah kembali langsing. Berat badannya kini ialah 60 kilogram dan Dynas mahu bekerja keras untuk kembali menurunkannya hingga mencecah 55 kilogram.

“Selain memikirkan soal anak, perkara lain yang sering bermain di fikiran adalah mengenai hal berat badan. Saya memang mahu kembali ke bentuk asal. Pengalaman menyusu badan dan berjaga lewat malam antara faktor mengapa berat badan saya cepat turun.

“Selain itu, saya turut mengamalkan pantang serta mendapatkan urutan tradisional menguruskan badan secara tradisional dan moden. Menariknya, saya tak perlu keluar rumah dan menerima semua rawatan ini di rumah,” katanya yang turut menerima kunjungan teman-teman baiknya seperti Sazzy Falak, Yasmin Hani, Atilia, Aishah Sinclair dan Farahdhiya.

Dalam pada itu, Dynas juga tak menafikan betapa rindu untuk kembali berlakon. Sehari sebelum pertemuan dengannya, Dynas menolak tawaran drama yang bakal memulakan penggambaran bulan depan.

Bukan sengaja menolak dan menghampakan permintaan orang, hakikatnya Dynas ada alasan berbuat demikian.

“Buat ini belum bersedia lagi. Memang saya rindu untuk berlakon, tetapi tidaklah secara tergesa-gesa hendak ke lokasi.

“Berkemungkinan besar saya hanya akan kembali berlakon selepas raya nanti. Saya tak mahu berlakon buat sementara waktu kerana masih menyusu badan. Daripada saya menyusahkan orang lain, lebih baik saya tolak secara baik,” katanya.

Bertudung atas kesedaran-Liza Hanim


TIDAK lama dahulu apabila penyanyi kelahiran Klang, Liza Hanim menerima tawaran melakonkan watak biduanita Saloma dalam teater P. Ramlee The Musical… The Life, The Love And The Inspiration yang dipentaskan sekitar Oktober 2007, ramai yang mengatakan dia sudah berani tampil seksi.

Apa tidaknya, melakonkan watak tersebut Liza harus mengenakan gaun merah pendek paras lutut malah dan dia juga tidak kekok beraksi dengan gaun berleher V tanpa lengan itu.

Dek kerana keberanian itu, ramai di kalangan peminat mula membuat andaian sendiri dan tertanya-tanya apakah itu transisi terbaru dirinya setelah bergelar ibu kepada seorang anak ketika itu.

Masa berlalu, segalanya mempengaruhi pemikiran, hati dan kehendak individu.

Begitu juga dengan pemilik nama Haliza Hanim Abdul Halim, isteri kepada Shah bekas anggota kumpulan Indigo itu. Dia kini memilih untuk bertudung.

Perubahan itu sedikit sebanyak mengejutkan peminat seni hiburan tanah air.

Apa yang pasti, keputusan yang dibuat oleh ibu kepada dua anak perempuan iaitu Marsya Qistina, 7, dan Marissa Qaireen yang berusia setahun lebih itu mendapat keizinan daripada suaminya.

"Tiada paksaan untuk saya bertudung. Saya ikhlas mengenakannya dan Insya-Allah ia akan berterusan," ringkas jawapan yang diberikan penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Getaran Cinta Di Jiwa itu.

Bertudung sejak dua bulan lalu, kata Liza, dia sebenarnya telah lama merancang untuk membawa perubahan dari segi penampilan diri seiring peningkatan usia yang kini telah mencecah 31 tahun.

Dua tahun lamanya dia menanam azam namun, baru dua bulan lalu hasrat tersebut dimakbulkan Tuhan.

"Pada April lalu fikiran saya kuat ingin bertudung dan tiba-tiba suatu hari apabila bangun daripada tidur terus hati saya berkata ingin memakai tudung.

"Untuk itu, saya terus berjumpa suami dan meminta keizinan daripadanya. Alhamdulillah, suami saya menyokong dan menyuruh agar saya tetapkan hati untuk terus bertudung selepas ini.

"Saya tidak bercerita tentang hasrat memakai tudung kepada sesiapapun kecuali suami. Emak saya pun hanya sekadar pandang dan senyum saja sebaik melihat saya bertudung.

"Adik beradik juga tidak bertanya kerana mungkin mereka faham itu hak saya," jelas Liza yang ternyata semakin gembira dengan perubahan imejnya itu.

Katanya, tiada sebab lain dia bertudung seperti yang diperkatakan ramai bahawa dia mendapat mimpi dan sebagainya kerana keputusan itu lahir daripada ketulusan hatinya sendiri.

Ada pandangan nakal yang menyebut, apabila seseorang penyanyi wanita yang selama ini dikenali sebagai penyanyi pop, rezeki mereka akan terbatas apabila memilih untuk bertudung.

Kelaziman yang terjadi dalam gelanggang muzik ialah, perubahan imej sedemikian selalunya akan turut membawa seseorang penyanyi itu menukar genre nyanyiannya.

Apakah Liza juga akan tersenarai sebagai penyanyi yang akan mengubah genre lagu nyanyiannya?

Dalam hal ini, Liza sangat terbuka. Dia masih ingin meneruskan kerjaya nyanyian menerusi lagu-lagu berelemen pop dan balada yang merupakan kemampuan utama vokalnya.

Baginya tidak semestinya dengan perubahan imej yang dibawa kini maka dia perlu menukar genre nyanyiannya pula.

"Ketika tidak bertudung dahulu saya memang tidak menolak jika ada apa-apa tawaran yang melibatkan persembahan berkonsep ketuhanan, begitu juga kini.

"Cuma dari segi konsep saya masih mahu menyanyikan lagu-lagu pop dan saya memang tidak dapat lari daripada itu.

"Alhamdulillah, sepanjang tempoh bertudung tawaran nyanyian tidak pernah lekang saya terima," katanya yang mengakui berdebar membuat penampilan pertama bertudung di khalayak pada separuh akhir pertama Mentor minggu lalu.

Zahrafeena ceriakan hidup


GELAGATNYA yang bersahaja dan menuruti apa sahaja permintaan ibunya yang dipanggil mummy membuatkan sesi penggambaran pada petang itu meriah.

Walaupun baru berusia tiga tahun, nyata Zahrafeena Zackry tidak kekok beraksi di hadapan kamera apatah lagi dengan kepetahan mulutnya ibarat bertih jagung menyuruh itu dan ini.

Keletah tersebut jugalah yang membuatkan ibunya, model dan selebriti terkenal, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, tidak betah meninggalkan rumah terlalu lama biarpun untuk sesi peragaan fesyen atau penggambaran iklan.

Rindunya pada 'buah hati pengarang jantungnya' itu membuatkan dia berusaha memastikan setiap tugasan yang diambil tidak memerlukan dia berjauhan dari rumah berhari-hari.

Ibarat pepatah Melayu, mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi - sudah ada tanda-tanda jejak Zahnita sebagai model bakal diikuti anak kesayangan hasil perkongsian hidup bersama suami, Zackry Ghous Abdul Jafoor, 32.

Di hadapan kamera, Zahrafeena langsung tidak gentar. Kadangkala dia bergaya tanpa perlu diarah dalam apa jua posisi.

Menurut Zahnita, 25, puteri sulungnya itu dilahirkan pada tanggal 16 Januari 2007 secara normal.

Ketika dilahirkan, berat Zahrafeena hanya 3.2 kilogram (kg) dan tidak mengalami sebarang masalah.

Cuma menurut Zahnita yang membahasa diri sebagai Zani, ketika tempoh kehamilan, berat badannya bertambah sebanyak 30 kg.

''Anda bayangkan ketika itu barat badan Zani cecah sehingga lebih 80 kg sedangkan ketika bujang dahulu berat Zani cuma 50 kg.

''Bagaimanapun selepas habis tempoh berpantang Zani berusaha mengembalikan berat badan ke berat asal dengan mengamalkan pantang secara tradisional selain menyusukan badan.

''Saya juga mengamalkan urutan dan mengambil pelbagai jenis herba untuk mengembalikan bentuk badan asal serta mampu menyegarkan semula badan,'' ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Bercerita pengalamannya ketika hamil, kata Zahnita, dia mengalami alahan pada peringkat awal.

Seminggu pertama dia muntah-muntah waktu pagi tetapi ia semakin reda dan bertambah baik dari sehari ke sehari.

Berbicara lanjut mengenai tanggungjawabnya sebagai ibu muda, menurut wanita kacukan Melayu dan New Zealand itu, ia tidaklah seteruk yang disangkakan.

Malah hidupnya kini tambah bermakna dan seronok, lebih-lebih lagi apabila dapat bersama melayani kerenah Zahrafeena.

"Saya sengaja tidak mengambil pembantu kerana mahu melihat dia membesar di depan mata sendiri.

''Bila tiada kerja, inilah masanya Zani mengambil peluang untuk berdua-duaan dengan anak. Tugas tersebut diambil-alih suami bila Zani ada kerja luar,'' tambahnya.

Ditanya saat paling digemari ketika berzama Zahrafeena ialah apabila tiba waktu untuk mandi.

Jika sebelum ini dia terpaksa membuat pelbagai cara untuk memujuknya mandi tetapi dengan adanya rangkaian produk Carrie Junior, Zahrafeena kini suka mandi dan tidak lagi perlu disuruh atau dipujuk.

Gemar dengan bau mandian Carrie Junior Cheeky Cherry, Zahnita memilih rangkaian produk tersebut kerana baunya yang tahan lama.

Awie suka ramai anak


KEHADIRAN puteri bongsu dalam kehidupan keluarga penyanyi rock terkemuka ini ternyata memberikan seribu satu cahaya.

Puteri Qasseh Antasha yang dilahirkan pada 19 April lalu di Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor, menambah seri dalam kehidupan Awie dan isterinya, Rozana Misbun, 31, serta kepada anak-anak mereka.

Awie atau nama sebenar Ahmad Azhar Othman, 42, merupakan insan yang paling gembira dengan kehadiran anak kelimanya yang dilahirkan dengan berat 3.88 kilogram pada pukul 3.19 petang.

Cerita Awie, kehadiran Qasseh melengkapkan hidupnya kerana dia memang suka mempunyai anak yang ramai.

"Alhamdulillah kelahiran Qasseh menggembirakan semua orang. Saya memang suka mempunyai ramai anak, riuh-rendah rumah kami.

"Saya tidak ada kuota untuk berapa orang bilangan anak. Selagi diberikan rezeki selagi itulah kami menerimanya.

"Anak-anak saya yang paling gembira apabila mereka mendapat adik baru. Mereka asyik hendak mencium pipi Qasseh yang gebu itu.

"Kami tidak ada masalah menjaga anak-anak kami ini. Nakal tu biasalah tetapi Alhamdulillah semuanya mendengar kata," cerita Awie ketika ditemui pada majlis cukur jambul yang diadakan di salah sebuah restoran terkemuka di sini.

Puteri Qasseh Antasha merupakan hasil perkongsian hidup Awie dan Rozana.

Dua orang anak lelaki mereka sebelum Qasseh bernama Putra Ahmad Merrah, 3, dan Putra Ahmad Rezzki, 2.

Menariknya, bayi comel itu berkongsi tarikh kelahiran dengan Rozana.

Sebelum ini, menerusi perkahwinan pertamanya dengan penyanyi Arni Nazira, Awie mempunyai dua orang anak perempuan, Puteri Aleeya Antasha, 10, dan Puteri Aleefa Antasha, 8.

Majlis yang dihadiri lebih 100 tetamu itu turut diserikan dengan kehadiran rakan-rakan artis dan sutradara terkenal, Mamat Khalid.

Pada majlis itu, Kumpulan Marhaban Nurul Ain, Cheras Baru turut mendendangkan marhaban sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ceritanya, walaupun dia sentiasa sibuk dengan kerjayanya sebagai penyanyi dan pelakon, namun Awie sentiasa mencuri masa untuk berhibur bersama keluarganya.

Baru-baru ini, ujar Awie, dia dan keluarganya serta keluarga ahli kumpulan Wings menghabiskan masa bersama keluarga masing-masing dengan bercuti ke Pulau Perhentian.

Ketika percutian itulah Awie akan menggunakan sepenuh masannya untuk berseronok dan menghabiskan masa bersama isteri anak-anak dan keluarga ahli kumpulan Wings untuk mengeratkan silaturrahim.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails