Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tajaan Perkahwinan Norman, Memey Bernilai RM12 Juta


KUALA LUMPUR: Pasangan Norman Hakim,35, dan Memey Suhaiza, 23, bakal mengadakan sebuah majlis perkahwinan bernilai RM12 juta pada 28 September ini di Hotel Crown Plaza Mutiara di sini yang ditaja sepenuhnya oleh jenama barangan kemas, Rafflesia.

Menurut wakil Rafflesia selaku perancang perkahwinan pasangan itu, Bill Bora, sebanyak enam penaja yang akan bekerjasama dengan Rafflesia iaitu Lords Tailor, Snips, Angsana Spa, Crown Plaza, Naz(pereka pelamin dan dewan) dan Prof. Datuk Jimmy Choo.

"Memey akan memakai sebanyak dua persalinan baju dan antara tajaan yang diterima ialah, set barangan kemas yang bernilai RM5.6 juta, gaun bertatahkan mutiara Rafflesia bernilai RM1 juta dan kasut rekaan Jimmy Choo (RM600 ribu).

"Bagi persalinan gaun, kami memberi peluang kepada semua pereka fesyen tempatan untuk menghantar rekaan masing-masing dan pihak Rafflesia akan memilih yang terbaik di mana rekaan tersebut mestilah berpadanan dengan mutiara yang dipadankan itu," katanya pada sidang akhbar penajaan perkahwinan Norman dan Memey di Hotel Crown Plaza, di sini, Jumaat.

Tambah Bill, tema majlis perkahwinan itu berkonsepkan New York Look dan hanya 200 orang tetamu sahaja di undang iaitu pihak media dan selebriti.

Lebih menarik lagi beberapa selebriti antarabangsa turut dijemput untuk memeriahkan majlis tersebut dan perkahwinan ini mungkin boleh dianggap sebagai 'Wedding of The Year'.

Norman dan Memey bakal bernikah pada 24 September depan di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor dan pada keesokan harinya, resepsi di rumah pihak perempuan akan diadakan.

Kata Norman, pada mulanya, dia dan Memey bercadang ingin membuat sebuah majlis sahaja di Kota Tinggi dan tidak sangka pula menerima tawaran penajaan untuk resepsi kedua yang begitu besar.

"Sebenarnya kami rasa sangat kerdil apabila menerima tajaan daripada pihak yang bukannya calang-calang orang. Maklumlah, siapalah kami jika dibandingkan dengan selebriti tersohor yang lain.

"Rasa seperti berada di alam fantasi pun ada juga. Tetapi saya anggap tajaan berkenaan adalah rezeki kami dan saya percaya sepanjang kontroversi yang kami lalui sebelum ini ada hikmahnya," ujarnya.

Bagaimanapun Norman tidak menganggap ia sebagai sebuah perkahwinan 'perniagaan' apabila mereka ditaja sepenuhnya pada majlis resepsi kedua itu.

Ditanya pula adakah dia akan menjemput bekas isterinya, Abby Abadi, kata Norman dia semestinya akan menjemput ibu kepada tiga orang anaknya itu iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim, 9, dan Maria Danisha Hakim,3.

"Sudah pasti saya akan menjemput Abby. Lagipun, dia sudah pun menghantar ucapan tahniah menerusi sistem pesanan ringkas (SMS)," katanya.

Kisah Cinta Nasha Aziz Ibarat 'Lampu Merah'


PETALING JAYA: Pelakon Nasha Aziz menjelaskan perjalanan cintanya terlalu banyak rintangan berbanding pasangan lain kerana ia sering tidak menjadi.

Kata Nasha, kalau disebut soal cinta dalam dirinya, ia umpama lebih banyak “lampu merah” berbanding “lampu hijau”.

“Sebagai orang yang bercinta atau berada dalam sesebuah hubungan itu, kita tentu mengharapkan sesuatu yang terbaik untuk menuju ke peringkat seterusnya. Tetapi sayang, perjalanan cinta saya terlalu banyak rintangan iaitu lampu merah lebih banyak berbanding lampu hijau,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Sidang Media Drama Supermak, di sini, Rabu lalu.

Ditanya tentang hubungan cintanya dengan Nur Iman Tang s yang dikatakan telah berakhir, Nasha enggan mengulas panjang dan menganggap perkara tersebut hanya khabar angin.

“Sebagai seornag Islam, hubungan saya dengan dia tidak pernah putus,” jelasnya yang enggan mengesahkan khabar angin tersebut.

Sementara itu Nasha Aziz menjelaskan 2011 merupakan tahun bertuah baginya kerana mendapat tawaran berlakon dengan skrip yang berkualiti dan karakter yang bagus.

Dia yang bakal muncul dalam drama bersiri Supermakbermula 25 Julai ini mengakui memilih skrip yang mempunyai sesuatu karakter yang berlainan daripada kebiasaan.

"Alhamdulillah tahun ini saya banyak mendapat tawaran yang mempunyai skrip dan karakter yang bagus-bagus dan kuat.

"Saya akui memang sekarang saya memilih dalam pelbagai segi terhadap sesuatu tawaran seperti skrip, kreativiti dan karakter sesuatu watak.

"Saya berada dalam industri ini bukan kerana ingin menjadi kaya tetapi kerana kepuasan dalam bidang ini dan sebab itu juga saya tidak malu untuk pergi uji bakat drama Supermak kerana ia berbeza daripada watak biasa," ujarnya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pengarah drama tersebut Prem Anand Pillai dan barisan pelakon seperti Azhan Rani, Zul Yahya, Rosli Sako dan Syawal.

Sementara itu, Nasha berkata drama Supermak ini menuntutnya melakonkan watak aksi luar biasa yang belum pernah dilakonkan sebelum ini.

"Saya sudah biasa memegang watak-watak tentang kisah hidup sebenar yang dilalui oleh orang biasa, jadi saya ingin cuba menjadi luar biasa iaitu watak Superhero.

"Bagaimanapun tahap yang paling mencabar ialah berlakon bersama kanak-kanak kecil yang menjadi anak saya, kita terpaksa mengikut “mood” dia untuk berlakon," jelasnya.

Selain itu, ditanya tentang persiapan bulan Ramadan yang bakal menjelma, kata Nasha, dia agak sedih kerana terpaksa melakukan penggambaran drama tersebut sepanjang bulan berkenaan.

"Sudah lima tahun saya tidak mengambil sebarang tawaran ketika bulan Ramadan bagi menumpukan kepada amal ibadah tapi tidak untuk tahun ini kerana terpaksa menghabiskan penggambaran untuk drama ini," jelasnya.

Almy Nadia Bertongkat, Patah Jari Kaki


KUALA LUMPUR: Pelakon Almy Nadia Aminuddin Shah, 25, mengalami kecederaan apabila jari kaki kanannya patah akibat tersadung pada pintu di rumah keluarganya di Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Menurut Almy, dia sama sekali tidak menyangka bahawa kecederaan jari kakinya yang disangka terseliuh pada awalnya itu adalah kecederaan yang serius.

"Saya sendiri pun tidak tahu bagaimana kejadian itu berlaku. Kaki saya hanya tersadung pada pintu dan saya sangka ia hanya terseliuh.

"Saya hanya pergi ke klinik dan malas hendak ke hospital untuk membuat pemeriksaan x-ray walaupun telah disuruh oleh orang tua saya.

"Malah, selepas kejadian itu, saya masih boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti keluar makan dengan keluarga, memandu kereta dan beli barang," katanya kepada mStar Online.

Tambah Almy, kedegilannya yang enggan membuat pemeriksaan x-ray itu telah mengakibatkan kecederaan kakinya bertambah serius dan membengkak sehingga menyukarkan pergerakan.

"Bayangkanlah, selepas insiden itu, saya boleh pulang ke Kuala Lumpur dan sambung berlakon seperti biasa walaupun kaki saya terasa sakit.

"Pada Selasa lalu, kecederaan bertambah serius apabila kaki yang bengkak itu terlanggar pula kerusi sehingga memaksa saya melakukan pemeriksaan x-ray di hospital yang kebetulan berdekatan dengan lokasi penggambaran drama.

"Selepas pemeriksaan, doktor sahkan jari kaki saya memang patah. Kecederaan itu sudah melarat ke seluruh bahagian kaki sehingga mengakibatkan jangkitan pula," katanya.

Bagaimanapun, demi komitmen drama bersiri Maahad Al-Amin arahan Raja Ahmad Alauddin yang sedang berlangsung kini, Almy enggan bercuti panjang dan sanggup berulang-alik ke lokasi penggambaran dengan bertongkat.

"Sakitnya memang Tuhan saja yang tahu tetapi saya tidak mahu bercuti panjang kerana ia akan menjejaskan jadual penggambaran drama itu.

"Esok atau lusa saya akan kembali ke lokasi penggambaran semula walaupun kaki berbalut dengan simen dan berjalan dengan menggunakan tongkat," katanya.

Dalam pada itu, aktres drama Jangan Bunuh Matahariku ini sempat diusik tentang status sebenar hubungannya dengan aktor Fizz Fairuz yang dikhabarkan sudah berakhir.

Jawab Almy: "Saya tidak mahu komen apa-apa kerana tidak mahu membesar-besarkan hal itu. Hakikatnya, hanya kami saja tahu cerita sebenar.

"Memang hubungan kami renggang sekarang dan jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan komitmen kerja. Namun, kami masih berhubung dan tidak sampai ke tahap putus."

Mendengarkan reaksi tersebut, Almy terus diasak adakah dia cuba menyembunyikan cerita sebenar tentang status hubungan mereka?

Beritahunya, selepas pelbagai kontroversi tentang hubungan mereka diperkatakan kebelakangan ini, dia sudah malas untuk memberikan sebarang komen atau terlibat dengan kemelut tersebut.

"Saya malas hendak fikir sebab itu saya tak kuasa hendak beri apa-apa komen ketika pihak media mencari saya berkenaan cerita Fizz bermain kayu tiga dan sebagainya.

"Saya tidak mahu dianggap artis yang bodoh kerana sibuk bercerita dan terbabit dalam kancah kontroversi yang tidak memberikan manfaat.

"Tidak semua cerita kita boleh kongsi kepada umum, biarlah saya saja yang tahu," katanya mengakhiri perbualan.

Keterlanjuran Intan - Adey


KALAUPUN masih terlalu jauh untuk menghampiri nilai sebutir intan, barangkali zat kepada unsur paling keras itu sedang ingin dikaitkan dengan pelakon Intan Ladyana. Dimunculkan sebagai gadis rebutan dalam Tipah Tertipu The Movie empat tahun lalu, laluan awal itu membawa pemilik nama hakiki Intan Nurladyana Mohamad Yahaya sehingga sejauh ini. Biarpun bukan di baris hadapan dalam pencalonan acara anugerah seni, setidak-tidaknya pentas hiburan tidak pernah memberi janji kosong untuk Intan terus berdiri.

Namun, masih ada yang mempersoalkan impak kelibatnya malah mendakwa lakonan Intan masih kaku. Tidak menidakkan kelemahan yang ada, bagaimanapun Intan yakin setiap pelakon berdepan getir yang tekanan yang sama saat sesuatu karakter hendak dilaksanakan. "Jangan mudah untuk menghukum lakonan seseorang itu 'kayu'. Orang kita gemar bersikap pesimistik sedangkan kita ada pilihan untuk mengangkat karya hasil anak tempatan bukan menjatuhkan. "Orang hanya akan menilai secara luaran, tapi bagaimana jika pengkritik itu sendiri yang berada di tempat pelakon berkenaan. Jika isu lakonan 'kayu' itu yang masih mahu diperkatakan, saya tidak faham kenapa," curah Intan.

Sedar kritikan adalah makanan, tambahan pula bagi pelakon yang tiada asas seni secara formal sepertinya, Intan mengakuinya, dalam tempoh empat tahun aktif, dia semakin matang, baik dari segi lakonan mahupun pendirian. Itu antara janji yang dipertaruhkan Intan seiring filem keempatnya bersama MIG Production (MIG), Flat 3A, kini berada di pawagam. Kendatipun bukan daripada genre drama berat, Intan mengakui kelangsungan watak Fikah menuntut penghayatan berganda daripadanya. "Boleh dikatakan, itulah watak paling berat, paling berlainan dan amat mencabar yang pernah saya lakonan.

"Filem itu bercerita tentang keruntuhan moral seperti amalan seks bebas, hamil luar nikah dan pengguguran serta pembuangan bayi. "Saya tak boleh bayangkan betapa saya akan terjerumus dan sanggup melakukan perkara seperti itu, termasuklah memegang lintah, geli-geleman saya dibuatnya. "Saya amat tertekan dan dipaksa menjadi wanita yang trauma serta tertekan, mental dan fizikal semuanya kerana cinta dan salah percaturan," ujarnya memuji kerja pengarahan Azahari Zain untuk filem berkenaan. Jika terdahulu diganding nama-nama popular seperti Pierre Andre, Shaheizy Sam dan Farid Kamil, kali ini, Intan berkongsi flat pula dengan bakat baru, Adey Shafren.

Lebih teruk lagi, dia sengaja menyerahkan diri malahan menyerahkan tubuh untuk diratah dan alat pelepas amarah oleh Adey yang melakonkan watak kekasihnya, Anas. "Saya okey dengan Adey, lagipun ada sesi latihan skrip sebelum penggambaran diadakan. "Kalau Adey merasakan dia pelakon baru yang harus bermula dengan 'kosong', saya pun begitu. Setiap hari adalah proses pembelajaran," cerita si kekasih pelakon Kamal Adli itu bersahaja. Selain Flat 3A, akan datang Intan bakal muncul pula dengan filem bersama Fizo Omar berjudul Halimunan dan Bini-Biniku Gengster, sekali lagi bersama Shaheizy Sam. Adey pertama kali jadi hero

Loghat Sabah masih basah dalam bicara, namun seboleh-bolehnya pendatang baru dalam dunia lakonan, Adey Shafren, 23, menebalkan lidah untuk bercakap dalam gaya orang Kuala Lumpur. Mujurlah, sebelum benar-benar berkeyakinan untuk berdepan umum, jejaka itu terlebih dahulu mencari guru agar kekosongan yang tidak pernah terisi ilmu lakon sedikit bercambah. "Memang saya ada belajar secara tidak formal dengan seorang aktor yang cukup dikenali ramai, tetapi agak keterlaluan jika saya mendabik dada tentang siapakah mentor saya itu. "Biarlah dulu, sekarang buat malu dia sahaja jika lakonan saya tetap kayu dan memualkan," katanya merendah hati.
Masih asing di mata ramai, namun Adey bukan sewenang-wenang muncul sebagai pelakon utama. Kisahnya bermula dengan 20 babak dalam drama bersiri 26 episod, Jangan Pandang Belakang The Series dan bertambah menjadi 52 babak dalam drama Adnan Sempit The Series. "Masa mula-mula berlakon, saya memang 'kayu' habis. Ada yang kata saya berlakon macam orang cacat tapi saya terima ambil itu sebagai cabaran. "Masuk drama kedua, saya tak faham apa yang saya buat, apa yang saya ucapkan dalam dialog. Apabila diberi ruang dalam drama Epilog Syurga Cinta, barulah saya faham bahasa dalaman. "Ketika itu, tubuh saya boleh berinteraksi dengan dialog yang saya luahkan, selama ini, ia melantun tanpa arah," katanya.

Adey menghitung-hitung lagi jumlah babak dalam drama Siti Kelembai sebanyak 125 babak dan diangkat sebagai antara pemain utama dalam drama 12 episod, Kasih Alya bawah produksi JS Pictures bersama Sheila Rusly. Ketika ini, Adey juga seangkatan dengan Nora Danish dan Kamal Adli dalam drama Ana Lulu di TV3. Masuk ke watak Anas, karakter pertama yang meletakkan dirinya sebagai pendokong watak utama, Adey menyimpan ekspresi. Dia menyerahkan kepada penonton sebagai pemilik suara mutlak untuk menilai corak lakonannya. "Saya baru lapan bulan bergelar pelakon. Profil saya masih di perenggan pertama. "Begitu juga dengan lidah 'Sabah' saya ini, saya masih cuba mengikis ia baik-baik tapi ada masanya saya terlepas menjadi budak Sabah, terutamanya bila ada dialog-dialog marah yang memerlukan lebih ekspresi.

"Tambah-tambah lagi, dalam Flat 3A, saya jadi seorang yang panas baran. Bila marah sahaja, sebutan saya akan jadi lebih tebal," ujarnya bernada serius. Tidak mampu menyimpan emosi, Adey berkongsi sedikit pengamatan. Katanya, dia belum mampu untuk memisahkan kecenderungan terikut-ikut gaya lakonan pelakon lain yang sering dirujuk dan diperhatikan. "Saya serahkan hak itu kepada penonton. Nilailah dan kritiklah seadanya. "Watak Anas itu sendiri banyak lapisan, dan setiap lapisan itu harus diberikan perhatian. Dia lebih daripada apa yang ditonjolkan. Saya sangat sukakan pengakhiran cerita dalam Flat 3A. "Apa-apa pun sangat berterima kasih kepada abang ipar saya, Eizlan Yusof yang banyak memperkenalkan saya terhadap bidang ini, begitu juga David Teo. "Di fikiran saya dulu, saya tahu David Teo sahaja penerbit drama dan filem di Malaysia. Betapa naifnya saya," jujurnya Adey dapat dirasai.

Qalisha bertapa lima tahun


PENAMPILAN Noor Qalisha Ahmad Rashidi pantas menarik perhatian. Orangnya kecil molek manakala wajah manisnya terserlah keunikan hasil campuran Arab, Pakistan, Afghanistan dan Melayu. Namun, kecantikan yang dimiliki oleh gadis berusia 20 tahun itu bukanlah kayu pengukur untuk dia terus kekal bertahan dalam dunia seni. Arus mencabar sedang dikayuhnya bersama bakat sebagai sauh utama. Tampil dengan kelunakan suara, wanita yang mahu popular dengan jenama Qalisha itu optimis untuk diterima oleh peminat seni tanah air sebagai seorang penyanyi.

Kira-kira lima tahun dahulu, dia pernah diberi peluang untuk menjadi penyanyi oleh komposer terkenal, Ajai. Namun, memikirkan usia yang masih mentah, dia nekad untuk mengetepikan dahulu tawaran berkenaan. Atas alasan belum cukup bersedia, dia bertegas melepaskan tawaran keemasan itu biarpun nyanyian bertakhta di hati. Kata Qalisha, semuanya bermula gara-gara kesungguhan neneknya menyatakan kebolehan Qalisha kepada Ajai pada satu majlis yang berlangsung di Kuala Terengganu, Terengganu kira-kira lima tahun lalu.

"Saya terkejut apabila nenek tiba-tiba menghampiri Ajai dan memberitahunya bahawa saya boleh menyanyi. "Kemudian Ajai meminta saya menyanyi di hadapannya. Dia menyatakan suara saya berpotensi untuk dikomersialkan," katanya ketika sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini. Pada masa itu usianya baru mencecah 15 tahun. Qalisha berasakan dirinya masih mentah untuk terjun dalam dunia popular, apatah lagi perlu meneruskan persekolahannya.

Bermula dari saat itu, jauh di sudut hati anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan, itu menanam azam untuk berjaya masuk ke dunia nyanyian suatu hari nanti. Seakan-akan bertapa selama lima tahun untuk mengumpul segala kekuatan sebelum membuat keputusan sama ada mahu menjadi anak seni atau sekadar menyimpan bakat yang dimiliki, masa yang dilalui dihabiskan di bangku sekolah. Dalam tempoh itu juga, dia mula menjinak-jinakkan diri dalam dunia peragaan.

"Pada awalnya saya memang tidak yakin untuk terjun dalam dunia nyanyian. Syukur kerana semua ahli keluarga menyokong dan memberi galakan supaya saya memilih kerjaya ini. "Saya tiada pengalaman dalam bidang hiburan. Hanya semangat dan kekuatan yang membuatkan saya memilih bidang ini," katanya lagi. Tekadnya, dia tidak mahu toleh ke belakang, akhirnya gadis yang berketinggian 156 sentimeter itu membuat keputusan untuk bertemu semula dengan Ajai pada pertengahan tahun lalu bagi menyatakan kesediaannya menjadi anak seni. Rentetan pertemuan selepas lima tahun itu, Qalisha tampil dengan single pertamanya berjudul Satu Januari yang mula menjadi halwa telinga pendengar sejak Mei lalu.

Single yang kini sedang diputarkan di stesen-stesen radio tempatan dicipta sepenuhnya oleh Ajai. "Selepas single ini, saya akan muncul dengan album mini berentak pop balada," kata Qalisha.

Anne ada dua teman lelaki


HAMPIR setahun setelah segala-galanya selesai, sudah jarang benar kehidupan dramatis yang cukup dikenali ramai, Anne Ngasri dapat dibaca. Sesekali, ada juga ibu tunggal kepada tiga cahaya mata itu dipanggil untuk mengisi sesi wawancara apabila perihal asam garam rumah tangga menjadi topik bualan di kaca televisyen. Terbaru, janda muda berusia 27 tahun itu dikatakan sedang dalam fasa bahagia. Lebih setahun selepas sah bercerai dengan bekas suaminya, Abdul Wafi Hassan pada 25 Jun 2010, ada khabar angin mengatakan Anne kini sudah bertemu pengganti dudanya. Khabar berkenaan disampaikan oleh seseorang yang kononnya melihat sendiri kemesraan Anne bersama seorang lelaki baru-baru ini. Tidak mahu terburu-buru membuat kesimpulan, penjelasan ibu kepada Abdul Warits, 5, Abdul Wafri, 3 dan Nashara Afroza, 9 bulan itu diperoleh.

Kepada Sensasi Bintang, Anne yang berada untuk penggambaran telemovie berjudul Gaya K-pop memberikan jawapan, hidup mati hidupnya kini hanyalah untuk anak-anak.

Sensasi Bintang: Jadi, benarkah ada khabar mengatakan Anne kini sedang bahagia dengan kekasih hati?

ANNE NGASRI: Memang saya sedang bahagia, sekarang teman lelaki saya adalah Warits dan Wafri, mereka itu anak-anak lelaki saya. Manalah datang cerita begitu. Buat masa ini saya belum terfikir untuk mencari teman. Kalau tidak ada penggambaran, saya hanya dengan anak-anak.

Ada yang nampak Anne keluar bersama seseorang ketika ini?

Kalau saya langsung tidak boleh berkawan dengan mana-mana lelaki, itu agak parah. Tapi, rasanya saya jarang keluar, kalau keluar pun, mesti ramai-ramai. Itu pun siang hari sahaja dan dari lokasi penggambaran. Tapi memang payah untuk saya keluar. Selalunya saya akan keluar dengan anak-anak. Di Melaka sekarang pun, saya bawa dua orang anak bersama pembantu rumah sepanjang penggambaran di sini.

Mereka duduklah dalam bilik sementara saya ada penggambaran. Pasal orang nampak saya keluar bersama lelaki, rasanya, itu perkara biasa dalam kehidupan artis wanita. Kalau kita keluar biasa-biasa pun dengan mana-mana orang, lelaki khususnya, pasti akan menimbulkan tanda tanya orang yang melihatnya. Saya tak salahkan sesiapa.

Belum terbuka hati untuk menerima lelaki baru atau masih trauma dengan kisah lalu?

Sudah tidak ada apa-apa yang harus dikesalkan. Saya tak pernah trauma kerana antara saya dan Wafi, kami masih berbaik-baik. Tapi untuk mencari teman lelaki, buat masa ini belum terniat lagi kerana anak-anak lebih penting.

Jadi tidak terfikir soal jodoh?

Tipulah kalau saya katakan langsung tidak fikir, saya muda lagi. Cuma bukan untuk masa sekarang. Anak-anak saya masih kecil, saya kena kerja keras untuk cari duit besarkan dan sekolahkan anak-anak. Takkanlah saya nak meminta-minta dengan orang lain. Untuk masa akan datang, saya doa supaya dipertemukan dengan jodoh yang baik, tolong-tolonglah doakan juga untuk saya.

Bagaimana dengan turun naik karier Anne sekarang, ada yang kata Anne dapat tawaran berlakon kerana belas kasihan orang dengan nasib yang dialami?

Saya pelakon sejak kecil dan masih berlakon sehingga kini. Pekerjaan dan pendapatan saya adalah lakonan. Kalau pun ada yang berkata begitu, saya tak boleh halang. Apa yang saya harapkan, kekuatan dan kesihatan yang baik agar saya dapat bekerja untuk membesarkan anak-anak.

Maaf? Itu mengarut! - Nurul Syuhada


KURANG seminggu lagi majlis resepsi perkahwinan Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin, 27, dengan Raja Amir Raja Azwa, 29, akan berlangsung.

Diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur pada 23 Julai ini, perkahwinan itu tentunya menjadi tarikan kepada mereka yang sudah lama menantikan saat pengacara Majalah Tiga ini disatukan dengan buah hati pilihannya itu.

Namun, dalam asyik menanti bunyi kompang dipalu, tiba-tiba sahaja terdengar cerita tidak enak melibatkan si cantik ini.

Semuanya gara-gara dia dituduh bermulut biadap dan telah memburuk-burukkan segelintir pihak yang singgah memberi komen di laman sosial Facebook di bawah lembaran MisteriDan KeajaibanAlam.

FakeAndFact baru-baru ini.

Mengikut cerita, Nurul telah membalas komen di laman tersebut yang sedang hangat membincangkan topik berkaitan planet bumi.

Mungkin topik yang dibincangkan dilihat hanya sekadar suka-suka dan santai, namun ia bertukar menjadi panas apabila Nurul didakwa telah campur tangan dengan cara yang tidak bersesuaian.

Nak dijadikan cerita, pergaduhan kemudiannya tercetus dengan masing-masing cuba menegakkan pendapat dan pendirian sendiri berhubung topik.

Pun begitu, komen Nurul didakwa merupakan yang paling biadap sehingga menyebabkan sesetengah pihak terasa dan berkecil hati.

Tak cukup dengan itu, ada pula yang tampil mendakwa tidak berpuas hati dengan tindakan Nurul tersebut. Pancaindera lantas menghubungi Nurul bagi mendapatkan kepastian mengenai isu ini.

Bagaimanapun, berdasarkan penjelasan yang diterima, Nurul tegas menafikan bahawa dia adalah orang yang bertanggungjawab mencetuskan komen-komen biadap sebagaimana yang didakwa pihak terbabit.

“Sebetulnya, saya tak tahu menahu pun mengenai apa yang dikatakan sehinggalah diberitahu oleh pihak TV3 mengenainya pada hari ini.

“Saya tak pernah bagi sebarang komen untuk ruangan seperti itu dan ingin ditegaskan yang menulis komen itu bukanlah saya!

“Saya pun tak tahu macam mana isu ini boleh timbul tapi tak menolak bahawa yang menulis itu adalah di kalangan peminat yang menggunakan fanpage saya,” katanya.

Melahirkan rasa kesalnya berhubung isu, kata Nurul, dia tidak menolak kemungkinan ada pihak yang sengaja menggunakan namanya untuk tujuan yang tidak baik.

Pun begitu, dia mengaku tidak tahu siapa yang terlibat memandangkan fanpage tersebut dikelolakan oleh individu tertentu yang merupakan peminatnya sendiri.

“Nak tuduh siapa pun tak boleh sebab saya tak kenal siapa yang menjadi pengendali fanpage itu.

“Memang perkara ini nampak macam tak ada apa-apa, tetapi secara tidak langsung ia boleh menjejaskan nama saya.

“Yang saya paling bimbang, ia boleh menyebabkan kekeliruan di kalangan peminat kerana ia bukan akaun peribadi saya.

“Nanti mereka sangka saya yang sengaja mencari gaduh dengan menulis benda yang bukan datangnya dari saya,” katanya kesal.

Maaf untuk apa?

Dalam pada itu, Nurul yang mengaku tidak mahu terus-menerus memperbesarkan isu ini bagaimanapun tidak mahu mengikut telunjuk pihak tertentu yang mahu supaya dia tampil membuat permohonan maaf.

Menganggap ia sesuatu yang tidak relevan, kata Nurul, dia tidak punya alasan kukuh untuk berbuat demikian apalagi dia merupakan mangsa keadaan.

“Maaf? Itu mengarutlah. Buat apa saya nak mohon maaf sedangkan saya tak bersalah dan tidak ada kena-mengena dalam hal ini.

“Sudahlah, saya pun ada benda lain yang nak difokuskan,” ujar Nurul dalam tenang.

Sementara itu, Nurul juga memohon semua pihak terutama mereka yang mengendalikan fanpage selebriti atau artis supaya mengambil langkah waspada dalam segala aktiviti melibatkan perkara seperti itu.

Malah, kata Nurul, mereka juga perlu berfikir dengan rasional berhubung sesuatu isu yang dikeluarkan sebelum bertindak berlandaskan emosi.

“Jangan cepat percaya dengan apa yang dilihat atau dibaca, kadang-kadang kita perlu fikir dan menilai dulu.

“Macam dalam kes saya ini, terang-terang dalam komen itu ada tertulis perkataan admin (pengendali).

“Maknanya pandangan yang diberikan bukanlah pandangan peribadi saya. Saya harap semua pihak ambil iktibar dari isu ini,” katanya.

Ada orang mahu jatuhkan saya – Saleha


SUHU termometer gosip minggu dipanaskan dengan kisah pelakon Siti Saleha.

Gosip bermula apabila ada pihak yang tak bertanggungjawab telah menyebarkan gambar-gambar Saleha dengan pelbagai aksi mesra ‘alam’ dengan beberapa orang jejaka mat saleh di dalam sebuah acara parti.

Faham-faham sahajalah kalau dah berparti, tak mungkin orang akan fikir ia diadakan cuma di dewan biasa.

Tentulah ia diadakan di kelab.

Lazimnya masyarakat yang berfikiran tipikal, kalau dah dihidangkan dengan gambar-gambar sebegitu, pastinya Saleha pantas dilabel sebagai gadis sosial.

Bukan itu sahaja, ada juga mulut-mulut jahat yang berani menuduh Saleha turut mabuk dek penangan togokkan arak yang menjadi hidangan ketika itu.

Wah...kalau betullah apa yang dicanangkan, Pancaindera pun seram sejuk nak mempercayainya.

Iyalah, selama ini, kita sangka Saleha merupakan antara artis yang mempunyai rekod bersih tanpa secalit kontroversi.

Namun seakan tak lama keyakinan itu bertahan, Saleha menggoyahkan pandangan sejuk orang terhadapnya melalui isu ini meski dia sudah pun meminta maaf di laman sosial Tweeter miliknya.

Sekarang ini salah siapa? Orang yang mengeluarkan gambar-gambar ini atau Saleha sendiri?

Tak payahlah masing-masing nak tunjuk pandai. Jom kita tengok apa alasan Saleha berkenaan hal ini sebagaimana yang telah diceritakan oleh Saleha kepada wartawan Pancaindera, SITI ATHIRAH DZULKIFLY.

Tiba-tiba saja keluar cerita Saleha ni kaki sosial. Gambar-gambar yang tersebar tu semua bukti. Apa dah jadi ni Saleha oi..?

Saya tak tahulah macam mana gambar tu boleh tersebar. Padahal itu semua gambar lama, dua tahun lepas. Masa tu saya belum jadi artis lagi.

Jawapan klise. Kalau kita tanya semua kata tak tahu. Agak-agak Saleha siapa yang keluarkan gambar-gambar itu?

Saya tak boleh nak tuduh sesiapa. Mungkin juga mana-mana individu yang ada dalam senarai kawan Facebook saya sebab gambar-gambar itu memang saya muat naik dalam Facebook. Tapi saya tak fikir kawan yang akan menganiaya saya.

Pasti ke bukan kawan sendiri? Eh kadang-kadang kawan sendiri yang suka makan kawan Saleha..

Entahlah kak..mungkin individu asing yang ada dalam senarai kawan Facebook saya. Saya mengaku tak ambil langkah waspada dari awal. Lagipun bagi saya, gambar-gambar tu bukannya melampau pun.

Itu yang Saleha kata. Tapi banyak mata yang ‘sakit’ melihat aksi berpelukan Saleha. Dengan siapa tu?

Sebenarnya itu semua ahli keluarga saya di sebelah ibu. Ibu saya pun ada dalam gambar tu. Gambar itu diambil semasa saya menghadiri majlis perkahwinan kawan baik saya di Kuala Lumpur dua tahun lalu. Dan ada beberapa keping gambar semasa saya melawat mereka di United Kingdom (UK). Ia hanya satu perjumpaan keluarga. Jadi apa isunya?

Ada yang mempersoalkan, kalau keluarga atau sepupu sekali pun, kenapa perlu berpelukan mesra begitu?

Terus-terang, saya memang seorang yang manja dalam keluarga. Itu adalah diri saya dan budaya dalam keluarga saya. Tak salah pun saya peluk keluarga saya sendiri, bukan orang asing. Saya mempunyai darah campuran dan sangat terbuka dalam bab ini. Tapi itu bukan bererti saya tak tahu mana tahap dan batasannya. Saya pun tak akan ambil gambar melampau dan sengaja tunjukkannya pada umum. Kalau saya buat begitu, orang pertama yang akan marah mestilah ayah dan kedua abang saya, Sam.

Kalau takut ayah dan abang marah, kenapa muat naik juga?

Manalah saya tahu benda nak jadi macam ni..saya pun terkejut bila orang mengeksploitasi gambar-gambar itu sedangkan ia adalah gambar saya bersama ahli keluarga.

Ada terdetik di hati yang ini semua cubaan pihak tertentu untuk menjatuhkan Saleha? Maklumlah nama tengah naik sekarang.

Saya tak tolak mungkin ia adalah agenda untuk menjatuhkan saya. Saya sedar ia boleh memburukkan nama saya dan orang akan kata saya kaki sosial. Tapi percayalah, saya budak baik. Saya tidak terlalu sosial, jauh sekali minum arak. Terus-terang saya memang kecewa dan marah dengan pihak-pihak tak bertanggungjawab yang terbabit.

Mesti timbul penyesalan sekarang bukan? Iyalah..dah jadi artis, benda-benda begini pasti akan terjadi.

Saya menyesal dan mengaku kesalahan saya walaupun kawan-kawan kata saya tak perlu buat permohonan maaf. Mereka kata itu bukan salah saya. Tapi saya cuma tak mahu mengeruhkan keadaan.

Lepas ni adakah Saleha akan ambil sebarang tindakan ?

Saya tak boleh buat apa pun. Melainkan gambar-gambar itu disertakan dengan kenyataan berbaur fitnah. Apa yang saya boleh katakan, selepas ini saya akan lebih berhati-hati.

Saya tidak semurah itu - Watie


BERITA baik yang dikhabarkan oleh pelakon Norwatie Sadali atau mesra dipanggil Watie ini sememangnya sudah dijangka.

Bekas anggota kumpulan Elite ini dilihat matang dan benar-benar serius dengan pilihan hatinya, untuk sama-sama melangkah sekali lagi ke alam perkahwinan.

“Memang betul, saya dan Joey sedang kumpul duit sekarang ini. Nak buat kenduri kahwin lepas raya nanti,” kata Watie.

Wanita ini kemudian menyambung, “Kalau boleh kami mahu meraikan hari bahagia sambil bersedekah makan pada tetamu. Nak ajak juga semua kenalan datang memeriahkan majlis kami,” bicaranya.

Panahan mata yang menyertai pertemuan di lokasi penggambaran drama berjudul Antara Maghrib & Isyak terbitan Suhan Movies di Saujana Utama, Sungai Buloh Selangor, Selasa lalu membenarkan kata-katanya.

“Sebenarnya, kami sudah fikir masak-masak tentang perkara ini. Sebagai orang dewasa yang telah menempuhi pelbagai pengalaman hidup dan fasa gelap masing-masing.

“Tak salah kalau kami meneruskan hasrat murni untuk bernikah secara baik. Apatah lagi bila sudah tak punya komitmen dengan orang lain.

“ Atas sebab tersebut, tidak ada alasan lain untuk melengah-lengahkan perkara yang baik ini,” dedah wanita ini satu persatu.

Itu termasuk menunggu kes perceraian Joey bersama Noraini Nasir yang masih dalam prosiding perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat Kajang, Selangor itu selesai.

“Kami ada rancangan tersendiri untuk perkahwinan ketiga ini. Antaranya berhajat nak bersanding. Itu adalah impian kami sebab sebelum ini tak diberi peluang untuk duduk di pelaminan. Nak juga merasa debaran raja sehari.

“Secara peribadi saya memang dah tak sabar menunggu hari penting itu. Sebab saya dah cukup bersedia memikul tanggungjawab baru,” dedah wanita yang sudah tujuh tahun hidup bersendirian tanpa ditemani insan bergelar suami ini.

Malah apa yang lebih menggembirakan hatinya apabila anak tunggal Watie, Ahmad Afif Daniel, 7, turut merestui hajatnya itu.

Afif begitu ceria selepas mengetahui tentang hubungan mereka dan tak sabar-sabar untuk mendapat ayah baru.

Bukan punca penceraian

Sebenarnya, Watie mengakui bahawa dugaan hidupnya tak pernah berhenti. Sering dihimpit dengan pelbagai cerita kurang manis termasuk cerita kurang enak mengatakan Watie adalah perosak rumah tangga antara Joey dengan Noraini.

“Sebenarnya saya dah tak sanggup lagi nak dengar banyak versi cerita tak betul tentang hubungan kami. Sekali lagi saya menegaskan bahawa saya bukan punca perceraian Joey.

“Saya mengenali Joey dalam keadaan dia tak ada lagi hubungan dengan mana-mana perempuan. Saya sendiri tak sangka boleh jatuh cinta dengan dia selepas berlakon dalam drama Blues Pasar Tani,” hujah Watie menyentuh persoalan berkenaan.

Isu duduk serumah

Dalam perkembangan yang berkaitan, Watie turut menafikan bahawa dia pernah duduk serumah dengan Joey. Gosip keterlaluan itu disambut dengan penafian.

“Maaf, saya bukan semurah itu. Cerita tentang perkara ini memang keterlaluan tapi saya masih boleh bersabar. Sebab saya tahu siapa yang menyebarkan gosip ini.

“Yang penting saya dan Joey tahu batas pergaulan kami. Itulah risiko yang perlu diambil bagi pemegang status duda dan janda.

“Sebab itu, saya tetap tak mahu ulas perkara ini. Bimbang juga kenyataan yang saya keluarkan ini boleh menyebabkan ada pihak yang terasa hati,” katanya jujur.

Sakit & anak perempuan

Membuka lembaran kesakitan yang dialami Watie sebelum ini menyebabkan pelakon drama Mimpi Sabrina ini mengucap panjang. Rasa syukur kerana penyakit yang dialaminya tidak begitu serius.

Semuanya berlaku usai penggambaran drama berjudul Jangan Hantar Ku Ke Neraka bersama Allahyarham Faizal Yusof penghujung tahun lalu. Apabila Watie terlalu tertekan melakonkan babak antagonis.

Kesan dari itu, seluruh badan kirinya terasa kebas-kebas. Mengganggu keseluruhan aktiviti rutinnya sehingga perlu membuat rawatan akupuntur.

Seiring dengan itu, Watie dikaitkan dengan seorang gadis remaja berusia 14 tahun dari Johor yang mendakwa dirinya adalah ‘anak luar nikah’ penyanyi tersebut.

“Saya tak mahu komen pasal perkara itu. Biarlah saya menyelesaikan sendiri. Lebih baik saya pendam kebenaran dari memburukkan keadaan.

“Lagi pun, saya sedang dalam proses berubat penyakit kebas ini. Doktor cakap penyakit saya tak serius tapi saya tak boleh dalam keadaan tekanan,” ujarnya minta dimengerti.

Pada masa yang sama, Watie menganggap semua dugaan yang menimpa secara bertubi-tubi itu ada hikmahnya. Baginya, Tuhan tidak akan memberi kebahagiaan kepada hambanya secara total. Ia bergantung kepada persediaan dan cara penyelesaian di pihak individu tertentu.

Nubhan buat perangai?


JARANG sekali gosip panas menerpa pemilik nama Ahmad Nubhan Ahmad, 25 , atau Nubhan ini.

Ya, mungkin sahaja kerana penyanyi ini seringkali tampil

dengan imej bersih maka sukar anasir-anasir jahat berbaur kontroversi untuk melekat pada dirinya.

Namun, entah dari mana datangnya, tiba-tiba sahaja Nubhan menerima tohmahan daripada segelintir pihak yang mendakwa dia kini sudah naik tocang.

Dikatakan gagal memberikan kerjasama dengan pengurusnya sendiri sehingga kata sepakat yang dicari sering menemui jalan pertengkaran, Nubhan didakwa semakin sukar dikawal.

Disebabkan itu jugalah Nubhan dilihat sering menukar ganti pengurus. Mengikut rekod, sebelum ini Nubhan pernah diuruskan oleh tiga individu.

Tak pernah melekat lama dengan Nubhan, ketiga-tiga mereka nampaknya terlebih dahulu angkat kaki.

Apa sudah jadi ni? Siapa yang bermasalah? Nubhan atau bekas-bekas pengurusnya?

Tampil menjawab persoalan tersebut, anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini mengaku punya masalah dalam isu ini.

“Biasalah kalau pengurus dan artis bertekak. Semuanya sebab masing-masing ada sasaran sendiri dalam kerja.

“Ya, mungkin kedua-dua pihak sama ada saya dan mereka punya salah sebab manusia memang tak boleh lari dari kesilapan.

“Tapi itu bukan lampu hijau buat saya untuk membenarkan atau menuding jari pada kesalahan orang lain betul tak?

“Cuma saya mahu terangkan bahawa apa yang saya buat semuanya adalah demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Bagaimanapun akui pelantun lagu Ada Untukmu ini, sepanjang bekerja dengan bekas-bekas pengurus tersebut, dia sedaya upaya menzahirkan yang terbaik meski kadang kala wujudnya salah faham.

Pun begitu, pemenang tempat ketiga program realiti Akademi Fantasia musim keenam (AF6) ini berkata, pengunduran ketiga-tiga mereka adalah dalam cara yang baik.

Ketika diminta untuk menghuraikan punca pengunduran bekas, Nubhan lebih senang memilih untuk tidak memberikan komen lanjut berhubung isu.

“Saya tak nak menyakiti atau melukakan hati sesiapa. Saya hanya boleh cakap yang perkara ini terjadi kerana kami tak ada keserasian.

“Saya punya sasaran sendiri dalam menguruskan kerjaya seni saya dan mungkin mereka tak dapat nak memenuhi kehendak saya itu.

“Saya ibaratkan benda ni macam cari jodoh. Kita mestilah mahukan yang terbaik bukan? Nak dapat yang terbaik bukan senang, kena lalui macam-macam rintangan,” ujarnya.

Meski begitu, akui Nubhan dia kini sudah punya perancangan untuk mengambil pengurus baru dan perbincangan dengan individu tersebut telah pun dibuat.

Menyesal jadi artis

Hampir empat tahun mencipta nama dalam dunia hiburan, Nubhan tentunya tak terlepas dari ujian getir sebagai anak seni.

Umum pun tahu, bukan mudah untuk menjadi seorang artis kerana ia tidak hanya berlandaskan tiket glamor semata-mata.

Pengalaman seperti menerima bayaran yang tidak setimpal dan sebagainya, pernah dilalui Nubhan dan kata anak muda ini, semua itu berlaku kerana dia masih putih lagi dalam industri.

“Teruja sangat jadi artis sampai semua tawaran pun saya nak ‘sapu’. Itu yang berlaku masa mula-mula saya jadi artis, iyalah masih baru. Ilmu apa pun tak ada.

“Bila dah terkena macam-macam perkara, haa..Barulah saya tahu kepayahannya. Pernah juga rasa menyesal jadi artis dan hampir-hampir nak berundur.

“Tapi itu semua pengalaman dan benda-benda beginilah yang menjadikan saya sebagai Nubhan yang sekarang,” katanya.

Mengaku segala ujian yang diterimanya dahulu menjadikan dirinya lebih matang, kata Nubhan, ia juga telah membuka matanya untuk keluar dari kepompong.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails