Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sherry bertudung tunai nazar


SELEBRITI televisyen (TV) Media Prima Berhad, Sherry misalnya, pernah bernazar untuk bertudung demi anak dalam kandungannya.

Menurut pengacara TV berusia 32 tahun ini, dia bernazar bertudung dua tahun lalu jika anak ketiga yang dikandungnya lahir dengan selamat.

"Ketika itu, saya sedang mengandungkan anak bongsu saya, Dzahe Agi yang dilahirkan awal dan tidak cukup bulan. Usianya baru 32 minggu.

"Biasanya, bayi akan dilahirkan ketika kandungan berusia 39 hingga 40 minggu. Sewaktu melahirkan Dzahe beratnya 1.98 kilogram.

"Sewaktu mengandungkan Dzahe saya pernah dua kali mengalami pendarahan yang agak serius menyebabkan saya begitu takut.

"Malah, semasa melahirkan Dzahe suaranya juga tidak keluar. Saya sentiasa berdoa agar bayi saya selamat dan bernazar demi keselamatannya.

"Saya bernazar kalau semuanya selamat, saya mahu bertudung selepas melahirkan Dzahe," katanya kepada S3 baru-baru ini.

Pada pertemuan di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor itu Sherry bersyukur kerana doanya dimakbulkan Allah.

Sherry atau nama sebenarnya Syarida Sharif berkata, selepas seminggu ditempatkan dalam inkubator bayinya membesar dengan sempurna.

Jelas anak penyanyi pop yeh-yeh tahun 1960-an, Allahyarham M. Shariff ini, dugaan yang melanda itu dianggapnya sebagai detik perubahan.

"Saya bertudung kerana menunaikan nazar saya. Tetapi pada masa sama, saya memasang niat bertudung kerana memenuhi tuntutan agama.

"Ia sebagai langkah awal saya bagi 'menutup buku lama'. Saya mahu mengubah penampilan dan membetulkan kelemahan diri saya.

"Saya berazam melakukannya sedikit demi sedikit dan langkah awal saya ialah dengan bertudung selepas melahirkan anak ketiga," ujarnya.

Selain Dzahe Agi, isteri kepada Dzia Agi Abdul Ghafar, 32, ini turut mempunyai dua lagi anak iaitu Dzart Agi, 6 tahun dan Dzayn Agi, 4 tahun.

Sherry yang terkenal sebagai pengacara rancangan RSB atau Remaja dan AM Max tidak menafikan melalui rintangan sebelum bertudung.

Dia yang digandingkan bersama Aidit Marcelo dalam dua program itu contohnya, pernah menjadi bualan rakan-rakannya kerana bertudung.

"Ada yang kata saya bertudung kerana mengikut fesyen atau trend. Saya tidak kisah dengan kritikan seperti itu kerana itu tanda kesungguhan saya.

"Sekurang-kurangnya saya bertudung walaupun ia seperti berfesyen. Pada masa sama, saya juga terpaksa menyesuaikan diri dengan bertudung.

"Paling ketara apabila saya mula-mula bertudung dan muncul dalam rancangan AM Max di mana pihak pengurusan TV3 juga ambil berat.

"Mereka kata, kalau saya bertudung biarlah ia kelihatan menarik dan mampu menjadi ikon penonton," jelas anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Biarpun bertudung tambah penerbit program Wanita Hari Ini TV3 ini, ia sedikit pun tidak mengganggu pergerakannya.

Sebaliknya, dia bangga dengan imej yang dikenakannya sejak dua tahun lalu dan semakin selesa dengan apa yang telah dilaluinya itu.

"Walaupun bertudung tetapi ia tidak menghalang saya untuk berfesyen. Saya selalu menukar gaya ikatan tudung kepala saya.

"Malah, sewaktu mengacarakan rancangan TV dan bekerja di belakang tabir, saya tiada masalah untuk melakukan pelbagai aktiviti," katanya lagi.

Selepas AM Max, Sherry kini sedang menjalani rakaman program baru yang akan diacara dan diterbitkannya berjudul Maksima.

Rancangan santai terbitan TV3 yang akan diacarakannya bersama Aidit Marcelo itu bakal bersiaran mulai 2 Julai ini pukul 12 tengah hari.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails