Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Biar cinta datang sendiri - Dayang


JIKA diselak diari hidup si hitam manis selama 12 tahun menjadi penyanyi, percayalah, tiada sedikit pun kisah sensasi yang melibatkan kehidupan peribadinya.

Selama tempoh itu juga, memang sukar sekali untuk menyelami rahsia hati Dayang Nurfaizah apabila membabitkan soal hati dan perasaan.

Memang tidak pernah langsung kedengaran sebarang gosip cinta Dayang dengan mana-mana lelaki sehingga ada yang beranggapan mungkin Dayang terlalu memilih dalam mencari cinta.

Apatah lagi usianya yang bakal menginjak 30 tahun pada 20 Julai ini, sememangnya dikira sudah cukup haul bagi wanita sebayanya untuk mendirikan rumah tangga dan memiliki keluarga sendiri.

Sedangkan bekas pengurusnya, Shaliza Kader Sultan juga sudah menamatkan zaman bujangnya dan kini menetap di San Francisco, Amerika Syarikat, inikan pula Dayang yang merupakan seorang bintang terkenal tanah air.

Barangkali Dayang sendiri sudah bosan untuk menjawab mengenai soal cinta tetapi sebagai seorang artis yang menjadi milik masyarakat, serba sedikit kisah peribadinya perlu juga untuk dikongsi bersama peminat.

"Seperti mana yang pernah saya katakan sebelum ini, saya adalah seorang yang membosankan kerana kehidupan saya hanyalah di rumah.

"Saya memang jarang keluar rumah untuk bersuka-ria tanpa sebarang hala tuju. Lebih baik saya di rumah bersama keluarga dan menghabiskan masa dengan menonton televisyen atau mendengar muzik serta lagu-lagu terbaru.

"Ini adalah diri saya sejak 12 tahun apabila kali pertama menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur untuk mencari peluang membina nama sebagai seorang penyanyi.

"Mungkin kedengaran sesuatu yang sangat mustahil tetapi percayalah, saya tidak pernah bercinta atau jatuh cinta pada sesiapa. Itulah realiti sebenar Dayang Nurfaizah apabila membicarakan tentang perihal cinta," katanya sambil disulami ketawa kecil.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak ini berkata demikian usai majlis pelancaran album studio kelapannya, Sayang & Cahaya yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyambung bicara, kata Dayang, dia percaya kepada Qada dan Qadar apabila memperkatakan tentang jodoh.

Baginya, ketentuan hidup setiap manusia di muka bumi ini sudah ditentukan oleh Allah SWT dan begitu juga dengan dirinya.

"Saya percaya jodoh akan datang juga kepada saya tetapi hanya masa yang menentukan. Kalau kita asyik mencari cinta, nanti kita dianggap sebagai terdesak pula.

"Saya bukan seperti itu. Tanyalah kepada mana-mana wanita, siapa yang tidak mahu jodoh yang terbaik untuk mereka kerana perkahwinan adalah perkara yang serius dan bukannya untuk sehari dua.

"Dalam hal ini juga, saya sendiri tidak pernah meletakkan sebarang kriteria untuk mencari lelaki idaman saya yang layak dijadikan teman lelaki dan suami.

"Bohong kalau saya mengatakan saya tidak cemburu melihat teman-teman seusia saya sudah berkahwin dan memiliki cahaya mata. Tetapi, saya tidak mahu membebankan diri saya sehingga membuatkan saya tertekan," ujar penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu Hakikat Cinta pada tahun 1999 ini dalam nada yang sedikit serius.

Dalam masa yang sama juga, Dayang menafikan bahawa dirinya dikongkong oleh keluarga serta pihak pengurusannya sehingga ia menjadi satu halangannya untuk mencari cinta.

Bagi Dayang, soal itu langsung tidak wujud kerana kedua ibu bapanya, Awang Dowty Awang Fauzi dan Nona Nahrawi begitu terbuka dalam bab cinta serta perkahwinan.

Antara sedar atau tidak, ketiadaan insan bernama lelaki dalam hidup Dayang telah mengundang persepsi negatif segelintir pihak yang mula memandang serong kepadanya.

Kata mereka, mustahil untuk seorang wanita seperti Dayang tidak pernah merasai nikmat bercinta dan mempunyai perasaan terhadap lelaki.

Sehinggakan, Dayang dilabelkan sebagai seorang yang menyukai kaum sejenis gara-gara tidak pernah menjalinkan hubungan dengan sebarang lelaki.

"Bukan sekali, tetapi sudah banyak kali saya mendengar orang mengatakan saya seorang lesbian. Tetapi, saya tidak kisah apa orang nak kata.

"Hakikatnya, hanya saya yang tahu dan kenal dengan diri saya sendiri. Sejak 12 tahun lalu, fokus dan keutamaan saya adalah kerja.

"Saya sendiri belum puas dengan kejayaan saya sebagai seorang penghibur. Saya tidak mahu kalau saya bercinta kelak, ia akan mengganggu fokus saya.

"Biarlah sampai ke satu tahap apabila saya sudah mendapat apa yang saya inginkan, mungkin ketika itu barulah saya akan fikirkan tentang cinta," ujar pemilik nama penuh Dayang Nurfaizah Awang Dowty ini penuh optimis.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails