Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Cucu sulung satu anugerah - Raja Azmi


Apabila mendengar tangisan pertama cucu sulungnya, bergenang air mata seorang insan yang sudah lama menanti saat manis untuk menimang cucu.

Bagaikan magis, segala masalah yang bersarang di kepalanya terasa hilang dalam sekelip mata.

Muhammad Akid yang membawa maksud kuat, teguh dan tetap selamat dilahirkan di Hospital Ampang Puteri pada 5 Jun bersamaan dengan 3 Rejab.

Bagi Raja Azmi Raja Sulaiman, kelahiran cucu pertamanya itu merupakan satu anugerah yang tidak ternilai malah memberi seribu satu harapan dan cahaya baru dalam kehidupannya sekeluarga.

Kegembiraan di wajah Raja Azmi gagal disembunyikannya ketika menceritakan keseronokan menimang cucu pertama kepada Hits baru-baru ini.

"Segala masalah, fitnah dan macam-macam lagi perkara yang bersarang dalam kepala saya, hilang apabila mendengar tangisan pertama cucu saya ini.

"Perasaan saya pada ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Gembiranya berganda-ganda daripada melahirkan anak sulung," ujar Raja Azmi sambil tersenyum lebar.

Bagi insan yang baru bergelar nenek ini, menyambut kelahiran cucu pertama dilakukannya dengan penuh adat.

Ini kerana, dalam diri produser filem kontroversi itu, hidupnya sentiasa berpaksikan kepada adat dan ia juga adalah satu kemestian yang perlu dilaksanakan apabila menerima anggota baru dalam keluarganya.

Menurut Raja Azmi, setibanya Muhammad Akid di kediamannya di Ukay Perdana, Hulu Kelang, Selangor, pada 7 Jun lalu, azan Asar sedang berkumandang.

"Waktu itu, saya rasa bersyukur sangat-sangat dan dalam masa yang sama, saya percaya, seberat mana pun ujian yang diturunkan Allah kepada hamba-Nya ini, pasti ada hikmah di sebaliknya," katanya penuh syukur.

Mengikut adat, bagi menyambut kelahiran cucu pertamanya itu, Raja Azmi menyediakan tujuh lapis kain songket benang emas.

Katanya, selain itu, di lapisan paling bawah songket berkenaan, diletakkan tujuh pot beras dan semua itu diletakkan di atas satu dulang emas.

"Setiap lapisan songket dibacakan surah al-Fatihah manakala bagi setiap pot beras pula dibacakan surah Alam Nasyrah.

"Tujuh lapisan songket dan tujuh pot beras sebagai simbol kebesaran Allah yang mencipta tujuh petala langit dan bumi.

"Manakala tujuh ayat dalam surah al-Fatihah juga melambangkan kebesaran-Nya," jelasnya.

Beliau menambah, secara tidak langsung, melalui upacara menyambut bayi yang baru lahir, perhubungan silaturrahim antara keluarga bertambah utuh.

Sementara itu, suami tercinta Raja Azmi, Jailani Sidek bahagia bergelar datuk ekoran kelahiran cucu pertama mereka.

Katanya, kehadiran Akid membawa keceriaan dalam keluarga besar Allahyarham Datuk Mohd. Sidek Abdullah Kamar yang terkenal kerana kejayaan anak-anak Sidek dalam dunia sukan badminton.

"Selepas ini bolehlah saya meluangkan lebih masa bersama cucu selalu," katanya sambil tersenyum gembira.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails