Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tak menonjol elak kontroversi - Nazim Othman


DALAM industri drama tempatan ketika ini, boleh dikatakan nama Nazim Othman sering menjadi pilihan pengarah, meskipun dilihat jarang mendapat publisiti yang meluas.

Berikan apa sahaja watak kepadanya sama ada watak utama, antagonis atau sekadar pelakon pembantu, semua watak yang diberikan berjaya dibawakan dengan baik sekali.

Bagaimanapun, selama tiga tahun bergelar pelakon, tidak dinafikan masih belum ramai lagi peminat mengenali pelakon yang mula tampil sebagai pelakon menerusi drama Frontpage pada tahun 2008.

Berkesempatan bertemunya pada majlis pelancaran drama Jamilah, I Love You untuk saluran Astro Ria baru-baru ini, pelakon berkenaan mengakui kurang dikenali kerana kisahnya jarang dipaparkan media.

“Bukan tidak ada langsung sebarang publisiti tentang diri saya, tetapi ia agak kurang dan mungkin sebab itu saya tidak terlalu dikenali terutamanya dalam tempoh dua tahun pertama bergelar pelakon.

“Saya juga bukannya tidak mesra media kerana selalunya kalau ada wartawan yang ingin mengaturkan sesi fotografi, malangnya, ia selalu akan bertembung dengan jadual lakonan saya,” ujarnya.

Tambah Nazim lagi, dia sendiri sebenarnya tidak kisah sangat kerana apa yang lebih penting adalah memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya dan tidak terbabit dengan sebarang kontroversi negatif.

Ujarnya, dia tidak mahu menggunakan cara sebilangan artis yang sengaja mahu mencipta kontroversi semata-mata mahu menarik perhatian ramai dan media.

“Bagaimanapun, itu tidak bermakna saya menafikan kepentingan peranan media itu sendiri untuk mempopularkan seseorang artis, tetapi biarlah kerjaya dan populariti itu bergerak seiring.

“Lagipun matlamat saya sekarang ini adalah mahu laksanakan tanggungjawab sebagai seorang pelakon dengan sebaik mungkin kepada setiap watak yang diberikan,” ujarnya.

Sementara itu, pelakon berkenaan meluahkan rasa syukurnya apabila lakonannya mula diterima ramai dan sejak awal tahun lalu tidak putus-putus menerima tawaran berlakon.

Ujarnya, sejak awal tahun ini, dia mengakui tawaran lakonan yang diterimanya tidak pernah putus sehingga adakala terpaksa menolak tawaran yang datang serentak.

“Memang saya sangat bersyukur kerana kini banyak pihak sudah mula nampak bakat saya dalam bidang lakonan. Kalau dulu saya terima apa sahaja tawaran, namun sekarang saya terpaksa memilih tawaran yang betul-betul sesuai.

“Pada masa yang sama, saya juga sangat menghargai pengarah dan penerbit yang memberi kepercayaan kepada saya terutama ketika mula-mula saya berkecimpung dalam bidang ini dan belum dikenali,” ujarnya.

Mengenai persepsi sesetengah pihak yang mengatakan dia seorang yang sombong, Nazim menegaskan dia sebenarnya adalah individu yang suka membuat hal sendiri dan hanya bercakap bila perlu.

“Kalau boleh saya tidak mahu orang salah anggap kerana setiap orang memiliki karakter masing-masing. Namun, saya sedar apabila berada dalam industri ini saya perlu bercampur dengan semua orang,” jelasnya.

Selektif

Sebagai seorang pelakon yang sedang meningkat naik dan semakin banyak mendapat tawaran berlakon, Nazim menjelaskan kini dia terpaksa selektif terhadap tawaran yang diterima.

Jelas pelakon berusia 27 tahun itu lagi, dia bukan terlalu memilih tetapi hanya akan selektif sekiranya mendapat dua atau tiga tawaran berlakon serentak.

“Rezeki saya dalam bidang lakonan memang semakin banyak, namun bila difikirkan semula lebih baik sekiranya saya menumpukan pada satu tawaran sahaja untuk satu masa.

“Tentang pemilihan tawaran pula sebenarnya bagi saya soal bayaran terletak di tangga kedua kerana saya lebih mengutamakan watak serta skrip yang bersesuaian,” jelasnya.

Bagaimanapun, dia meluahkan sudah mula kurang selesa apabila kerap diberikan watak yang sama iaitu sebagai seorang pelajar kolej atau anak orang berada.

Ujarnya, dia tidak mahu dikenali sebagai pelakon yang terlalu stereotaip dan berhasrat untuk ditawarkan watak sebagai seorang ahli korporat.

“Cuma bila difikirkan semula, sebagai pelakon yang sedang meningkat naik saya perlu bawa apa sahaja watak yang diberikan. Mungkin juga buat masa ini rezeki saya lebih kepada watak-watak sebegitu,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai berlakon filem pula, Nazim memberitahu, dia pernah menolak beberapa tawaran yang diberikan kepadanya..

“Kalau berlakon drama saya tidak terlalu selektif, namun untuk berlakon filem pula saya memang agak selektif dan sedikit cerewet kerana saya mahukan satu watak yang kuat dan dapat memberi kesan kepada penonton,” jelasnya.

Persaingan

Tidak dinafikan bahawa dunia lakonan tempatan ketika ini telah melahirkan begitu ramai pelakon dan sudah tentu mewujudkan persaingan sengit.

Mengulas mengenai senario berkenaan, Nazim menyatakan persaingan memang tidak boleh dielakkan dan apa yang lebih penting adalah harus bekerja lebih keras sekiranya ingin terus kekal.

“Memang sekarang ini sudah ramai pelakon baru yang muncul, namun ia membuktikan bahawa industri perfileman dan drama tempatan semakin berkembang.

“Mengenai persaingan pula, saya melihat kepada aspek yang positif. Apabila persaingan wujud, maknanya setiap pelakon harus menampilkan lakonan yang lebih bermutu,” jelasnya.

Nazim juga menangkis tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan kebanyakan pelakon di negara ini sekadar mempertaruhkan paras rupa untuk bergelar pelakon dalam sekelip mata.

Ujarnya, memiliki paras rupa yang menarik adalah satu kelebihan sahaja kerana masyarakat sekarang sudah lebih bijak untuk menilai mutu lakonan seseorang pelakon itu.

“Tak kisah sama ada pelakon itu kacak dan cantik atau sebaliknya, tetapi bakat lakonan juga harus dijaga setiap masa agar kerana ia juga turut dinilai oleh masyarakat,” ujarnya lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails