Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tak suka bikin kontroversi - Juliana Evans


SELAIN tentang kecantikan, banyak perkara lain boleh dikupas tentang artis muda yang seorang ini. Sebenarnya di sebalik pujian terhadap Juliana Evans, hal lain yang jarang diperkatakan ialah mengenai keupayaannya menepis pelbagai kisah buruk daripada melatari perjalanan seninya.

Sungguh, bagaikan tidak ada kisah buruk, cerita hitam yang kelam tentang pelakon yang mesra disapa Jue ini. Meskipun boleh tahan popular, sehingga hari ini ciri-ciri sebagai artis bersih dan baik begitu melekat pada dirinya.

Apa rahsia, apa resipinya? Kata Jue, apabila karier diletakkan di tangga teratas, maka isu panas atau kontroversi dapat dielakkan.

“Kalau balik-balik cerita kontroversi saja, saya rasa peminat pun bosan nak dengar dan melihatnya. Saya tak suka buat kontroversi, jadi tak ada cerita panas sangat.

“Saya sendiri pun tak suka dihimpit kontroversi. Rimas,” katanya, jujur.

Menurut Juliana, dalam bicara dengan media dia kurang suka bercakap topik mengenai hal yang bukan-bukan. Ini termasuklah soal cinta, lelaki dan impian perkahwinan.

“ Tak perlulah asyik nak cakap pasal cinta dan lelaki saja. Banyak lagi benda lain yang boleh dikongsikan.

“Apa pun saya percaya pilihan terletak di tangan masing-masing. Ada yang tak suka, ada yang suka bikin kontroversi.

“Terpulanglah kepada seseorang artis itu bagaimana nak mencorak perjalanan seni mereka.

“Jujurnya saya pun dah bosan ditanya soal cinta dan cerita lelaki. Kalau boleh, biarlah saya dikenali dengan bakat yang ada dan bukannya popular dengan kisah-kisah peribadi yang memualkan,” katanya.

Jelas isu merajuk

Laluan perjalanan seninya bermula selepas Jue terlibat dalam dunia penyiaran yang menyaksikan dia menjadi pengacara untuk program E-Zone (Astro Ria), Majalah Moral (TVIQ), Bintang Kecil Raya (TV9) dan Remaja (TV3).

Malah, dari situ bakatnya sebagai pelakon dikesan sebelum dia muncul dengan beberapa seleksi drama termasuk filem.

Pun begitu, jika diperhatikan, kehadiran Jue dalam industri hiburan seolah-

olah sedikit suram kebelakangan ini.

Tak nampak langsung kelibatnya di kaca televisyen mewarnai slot-slot drama tempatan. Apa yang tak kena ya? Merajuk sebab tak dapat tawaran berlakonkah? Atau wajah kacukannya tidak boleh jual?

Tenang memberikan penjelasan, kata gadis berbintang Cancer ini, tidak pernah timbul soal merajuk kerana tidak ada isu yang membenarkan dia bertindak demikian.

“Mana ada merajuk, saya masih ada. Cuma beberapa bulan lepas saya terpaksa melupakan sebentar dunia lakonan sebab nak fokus pada pelajaran dan peperiksaan di kolej.

“Saya tak mahu buat dua kerja dalam satu masa, bimbang tak boleh nak berikan tumpuan seratus peratus dalam pelajaran.

“Dulu saya pernah buat begitu, berlakon dan belajar dalam masa yang sama. Memang susah sampai saya pernah gagal dalam salah satu subjek yang diambil.

“Sebab itu saya buat keputusan untuk berehat sekejap dan sekarang baru aktif berlakon semula,” kata pelajar tahun ketiga jurusan Komunikasi Massa di Kolej Sunway ini.

Langkah ke Amerika Syarikat

Atmosfera hiburan tanah air kini sudah banyak menyaksikan bagaimana satu persatu artis dan bakat muda tempatan merantau ke negara luar.

Sama ada kerana peluang yang sudah terbentang atau mencari pengalaman baru, semuanya dilakukan bagi membuktikan kepada umum bahawa hidup mereka penuh misi dan visi.

Jadikan sahaja Yuna atau Diana Danielle sebagai contoh terdekat.

Masing-masing telah dan pernah ke luar negara untuk tujuan yang sama meski yang seorang membawa haluan muzik dan seorang lagi mengkelek hasrat menimba ilmu lakonan di negara orang.

Namun, pada akhirnya nanti, usaha mereka itu akan membuka banyak mata sekali gus membuktikan bahawa tidak semua artis di negara ini tidak berilmu.

Tempias itu turut dirasai gadis berusia 22 tahun ini yang menanam azam untuk ke Amerika Syarikat (AS) bagi menyambung pengajiannya dalam program Ijazah Sarjana Muda.

Jika tiada aral melintang, tak lama lagi akan ke sanalah dia.

“Sebenarnya masih terlalu awal untuk saya bercakap mengenainya sebab perkara ini belum ada kata putus lagi.

“Perancangan untuk ke sana memang ada dan kalau tak ada apa-apa masalah, saya akan ke sana pada tahun depan dan lokasinya adalah di California.

“Saya pilih California sebab lokasi itu dilihat sesuai. Lagipun saya ni jenis tak tahan sejuk sangat. Kalau menetap di kawasan beriklim sejuk rasa tak selesa pula.

“Buat masa ini hanya itu saja yang saya boleh beritahu. Kalau ada perubahan Jue akan maklumkan,” jelasnya.

Cerita Jue, keputusan untuk menyambung pengajian ke luar negara dibuat bukan kerana dia mahu menunjuk lagak.

Tetapi ia merupakan sebahagian daripada misinya untuk belajar berdikari di tempat orang.

“Saya percaya kalau kita banyak melihat negara orang, lebih banyak pengalaman dan pelajaran yang kita dapat.

“Saya suka belajar dan tak kisah berjalan jauh untuk mencari ilmu bila berpeluang.

“Nak jadi artis berilmu kita tak boleh duduk di satu takuk saja, kena cabar diri untuk terus berkembang maju, ”kata.

Biaya diri sendiri

Dalam pada itu, pelakon utama filem Hantu Bonceng ini juga memberitahu, untuk merealisasikan cita-citanya itu, dia tidak meminta mana-mana pihak untuk membiayai pengajiannya.

Malah, cerita Jue dalam reaksi bangga, ‘penaja’ utama pengajiannya kelak tidak lain tidak bukan, dirinya sendiri.

“Bukan mahu menunjuk, tapi ia sebagai bukti betapa selama ini saya bekerja keras berlakon dan mengacara, semuanya kerana nak teruskan niat ke AS.

“Dari kecil saya simpan angan-angan untuk menyambung pengajian di sana. Kalau ia berlaku, ini bermakna satu daripada impian saya sudah tercapai.

“Tapi itu bukanlah pokoknya. Apa yang penting, saya mahu menaik-tarafkan diri saya kepada seorang artis yang berilmu dan berpengalaman luas,” ujarnya.

Dalam pada itu, kongsi Jue, dia juga memasang angan untuk menggunakan ilmu yang diraih di negara orang nanti untuk mengembangkan kariernya ke cabang yang lebih besar.

Tutur Jue, jika rezeki berpihak kepadanya, dia mahu meneruskan impian untuk bergelar seorang pengarah satu hari nanti.

Bukan itu sahaja, dia juga bercita-cita untuk menerbitkan program televisyen bercorak pelancongan termasuk menerbitkan sebuah majalah baru berkonsepkan semua dalam satu merangkumi fesyen, gaya hidup dan sebagainya.

“Impian saya memang banyak, tak mengapalah kalau kita mulakan sedikit demi sedikit. InsyaAllah kalau ada rezeki akan tercapailah hajat saya itu,” ujarnya meletakkan noktah.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails