Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Atilia kahwin Februari 2013
KECOH penyanyi genit Atilia, 38, khabarnya bakal menamatkan zaman jandanya dengan seorang jurutera bunyi pada tahun ini selepas bercinta selama empat tahun.
Sebelum ini perkahwinan Atilia dengan Ariff Johan Abdul Aziz selama 10 tahun berakhir dengan perceraian pada tahun 2009. Hanya tinggal sebulan sahaja sebelum masuk ke tahun 2013, namun berita atau kad perkahwinan Atilia atau nama sebenarnya Raja Putri Atilia Raja Haron masih tidak kelihatan.
Isu tersebut terus sahaja diajukan kepada Atilia sewaktu Kosmo! bertemu dengan anak penyanyi Salamiah Hassan itu pada majlis makan malam Pinky Jazzy Affair dan pelancaran ambulans merah jambu oleh Hospital Gleneagles di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kosmo!: Bagaimanakah dengan perancangan perkahwinan Atilia yang sepatutnya berlangsung pada tahun ini?
ATILIA: Sepatutnya mengikut perancangan awal, memang saya akan berkahwin sekitar bulan Disember ini, tetapi disebabkan jadual kerja yang sangat padat, perkahwinan saya akan ditunda ke bulan Februari tahun depan.
Mengapakah harus ditunda sedangkan umur anda bukannya muda lagi?
Ya, saya tahu. Tahun ini usia saya genap 38 tahun. Sebab itu, kalau boleh saya ingin berkahwin segera dan ingin beri ibu saya cucu (ketawa). Rasanya, ramai yang sudah lama dengar saya nak kahwin, malu pula mahu bercerita pasal kahwin sebab asyik ditunda tarikhnya.
Apakah yang menyebabkan anda sanggup menunda tarikh perkahwinan?
Terlalu banyak kerja yang harus diselesaikan seperti rakaman album ketiga pada bulan ini dan konsert mini saya di Indonesia pada bulan Januari tahun hadapan. Selepas itu barulah saya ada masa lapang, sebab itu saya pilih bulan Februari tahun depan. Bukan sengaja ingin tunda tarikh kahwin, jadi saya harap semua faham.
Apakah pula pandangan bakal suami dan keluarga apabila anda tentang perkara ini?
Alhamdulillah, tiada sebarang bantahan. Ibu saya tidak meletakkan sebarang tekanan dan amat memahami keputusan saya. Begitu juga dengan bakal suami. Sebenarnya, dia yang memutuskan supaya kami menunda tarikh perkahwinan kerana tidak mahu semuanya dilakukan secara terburu-buru.
Kenapa sembunyikan identiti bakal suami?
Bukan saya ingin sembunyikan identiti bakal suami. Kalau ada yang pernah terserempak dengan kami, saya tidak lari dan saya tidak kisah orang tahu dengan siapa saya bercinta. Cuma belum masanya untuk saya beritahu secara rasmi kerana dia orang biasa, bukannya artis. Cukup sekadar saya beritahu kami sudah beberapa tahun bercinta dan dia seorang jurutera bunyi.
Bagaimanakah persiapan perkahwinan?
Masih banyak yang harus diselesaikan, cuma bagi saya apa yang penting ialah majlis akad nikah. Majlis resepsi dilakukan kemudian atau lewat sedikit pun tidak menjadi masalah buat saya. Majlis perkahwinan pilihan saya berkonsep klasik dan ringkas.
Bekas suami tahu Atilia bakal berkahwin?
Walaupun kami telah berpisah, hubungan saya dengan bekas suami masih lagi baik dan kami kekal menjadi sebagai rakan. Ya, dia tahu dan saya harap perkahwinan kali kedua ini akan kekal sehingga ke akhir hayat. Harap semua dapat doakan yang terbaik buat diri saya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]