Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Momentum Qi
APABILA berbicara mengenai bidang pengacaraan, tidak salah dikatakan bahawa Qi sebenarnya bagaikan sudah serasi dengan gaya persembahan yang cukup santai dan mudah diterima penonton.
Namun untuk mengekalkan momentum tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana peredaran masa yang pantas mampu mempengaruhi kehendak penonton terhadap sesuatu rancangan.
Masih 'melekat' dengan cara persembahan bersahaja dan jujur seperti yang biasa dilakukan melalui program Destinasi Bajet, kini Qi mahu dirinya hadir sebagai ikon pengacaraan.
Ternyata perkara tersebut bukan tugas mudah. Qi sudah merasakan dia perlu ada satu jenama sendiri bagi memastikan perjalanan yang telah dicorakkan sendiri olehnya terus kukuh dan tersusun.
"Ketika ini, semua pilihan perjalanan karier saya adalah dicorakkan oleh saya sendiri.
"Jika dilihat daripada bidang pengacaraan, jenama itu sudah ada dan saya merasakan sudah sampai masanya saya berdiri dengan jenama sendiri di atas platform itu sendiri.
"Harapan saya ketika ini adalah untuk menjadikan jenama 'Qi' itu sebagai salah satu ikon pengembaraan di Malaysia sendiri. Saya tahu perkara ini ambil masa," jelasnya bersungguh.
Bakal memulakan penggambaran musim terbaru Destinasi Bajet di Asia penghujung Disember ini sehingga Februari tahun hadapan, Qi mengakui dia tidak mahu berhenti untuk melakukan perkara yang digemarinya itu.
Ubah
Bermula daripada bidang pengacaraan, Qi mahu pergi lebih jauh dan dalam masa yang sama mahu 'wayang' yang bermain di dalam mindanya turut dapat dikongsi bersama orang lain.
Bertekad untuk mengeluarkan filem sendiri, Qi mengakui terlalu banyak idea yang cuba ingin diketengahkan.
Memilih untuk menggunakan medium filem pendek dia mengakui, bukan semua filem dihasilkan atas dasar komersial.
"Apa yang saya cuba sampaikan nanti adalah berkaitan dengan isu semasa yang dialami di negara kita sendiri.
"Banyak perkara yang boleh dikupas dan sesuatu yang lebih dekat kepada penonton.
"Tapi saya jangkakan bukan satu yang mudah untuk menarik minat penonton filem yang sebegini. Tidak mengapa, kita cuba perlahan-lahan," jelasnya optimis sambil memberitahu bahawa kemungkinan dia akan banyak bekerjasama bersama Dira Abu Zahar.
Bagi Qi, apa yang dihasilkannya nanti bakal memberikan variasi kepada penonton untuk memilih genre filem yang mereka minati di samping mendidik minda penonton.
"Bagi saya tak salah untuk nak tengok filem macam mana pun tapi bukankah lebih elok jika filem yang dihasilkan dapat membantu kita untuk membuka minda dan bukanlah hiburan semata-mata.
"Apa-apa pun, semuanya terpulang kepada penonton untuk memilih. Untuk mengubah minat penonton memang sukar. Cuma kami mahu menyediakan pilihan," kata Qi lagi.
Siapa tahu dengan kehadiran Qi di dalam industri yang bermula dengan langkah kecil itu nanti bakal mampu membuka mata penonton tanah air.
Sampai bila kita mahu menghidangkan filem-filem yang hanya memberikan komedi kosong sahaja bukan?
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]