Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Soal kahwin beri tekanan - Aliff Aziz dan Anne
PERKENALAN tanpa diduga menyatukan mereka sebagai pasangan kekasih, sedar tidak sedar sudah lapan bulan kini mereka menyemai kasih bersama.
Tidak menolak untuk meneruskan episod bahagia ini ke jinjang pelamin suatu hari nanti bagi Aliff Aziz, 21 dan Anne Ngasri, 28 biarlah perjanjian suci itu tidak terlalu di hebahkan dahulu kerana takut memberi tekanan buat mereka.
Biarlah cinta yang bersemi berjalan seadanya mengikut rentak dan melodi yang sepatutnya, bukan untuk terlalu dipaksa.
Aliff Aziz Ikhlas
Mula di himpit kontroversi sejak hubungan mereka di sahkan, bagi Aliff niatnya hanya satu iaitu untuk berlaku jujur dengan para peminatnya. Walaupun menerima pelbagai khabar menyakitkan namun Aliff percaya cintanya terhadap ibu tunggal itu ikhlas.
"Jujur saya katakan saya ikhlas dalam hubungan ini.
"Namun saya percaya bukan mudah untuk puaskan hati semua orang. Bagi mereka yang tidak menyokong hubungan ini saya tidak mampu lakukan apa-apa selain meminta mereka berhenti berbicara buruk mengenai kami," katanya ketika menghadiri sesi fotografi di Studio Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menyentuh soal umur yang jauh lebih muda dari pasangannya, bagi Aliff kematangan tidak seharusnya diukur melalui angka. Menurut jejaka yang berasal dari Singpaura ini melewati pelbagai peristiwa perit di dalam hidupnya sedikit sebanyak mengajarnya untuk lebih menghargai apa yang terbentang di hadapannya.
"Soal umur memang saya akui kami jauh berbeza, namun itu tidak pernah merunsingkan kami sebenarnya.
"Bagi saya hubungan ini seimbang, Saya punyai kelemahan dan Anne membantu saya mengatasi, begitu juga sebaliknya. Sepertinya kami melengkapi kekurangan masing-masing," katanya yang kini sedang sibuk menyiapkan drama bertajuk Tiara bersama penyanyi Adira.
Lupakan hukuman lampau
Norma manusia biasa, sesiapa sahaja pasti akan melakukan kesalahan. Menurut Aliff dia pernah khilaf sebelum ini namun itu bukan bermakna dia tidak layak untuk mendampingi wanita seperti Anne.
"Saya pernah buat silap dan ingin saya katakan disini itu bukan diri saya lagi.
"Perubahan yang berlaku ke atas diri saya ini banyak dibantu Anne dan masa juga," kata penyanyi lagu Sayang-sayang.
Melangkah ke dalam industri dengan bantuan orang paling penting di dalam hidupnya, Aliff memberitahu ibunya tidak pernah membantah hubungan yang terjalin ini.
"Saya pernah membawa ummi bertemu dengan bekas teman wanita saya sebelum ini, dan nyata agak sukar untuk mendapat kepercayaannya. Ummi seperti tidak memberi sepenuh restu.
"Bagaimanapun apabila dia (ummi) bertemu dengan Anne, seperti terdapat kesinambungan di dalam hubungan itu. Saya sangat yakin ummi tidak mempunyai masalah untuk menerima Anne," katanya yang memanggil Anne dengan gelaran "sayang".
Sedia tahu status yang dipegang wanita yang dicintainya ini, bagi Aliff umur dan status tidak pernah menjadi penghalang buat dirinya untuk meneruskan hubungan yang semakin mekar ini.
Rapat dengan ketiga-tiga anak teman wanitanya ini menurut Aliff kehadiran Abdul Warits Abdul Wafi, 6, Abdul Wafri, 4, dan Nazhakah Afroza, 1, seperti memberi satu lagi sebab untuk dia meneruskan hubungan ini.
"Ia sesuatu yang sangat indah untuk melihat kami semua keluar bersama seperti sebuah keluarga.
"Soal terlalu awal tidak pernah menjadi masalah untuk saya memikul tanggungjawab sebagai seorang ayah ini kerana saya selesa dengan mereka," katanya yakin.
Semakin ligat mencipta nama di dalam bidang lakonan, menurut Aliff sebagai orang baru dia mahu mencuba segala peluang yang di bentangkan. Bukan terlalu taksub mengejar populariti baginya ini merupakan antara laluan untuk dirinya mengembangkan bakat yang dimilikinya.
"Memandangkan kini banyak masa saya di Malaysia jadi saya ambil peluang yang datang.
"Bagaimanapun tumpuan utama saya masih lagi di dalam bidang nyanyian, dan di dalam mengimbangi hala tuju karier nyanyian, saya mengidamkan sebuah album yang lebih matang pada masa hadapan," katanya yang popular kini dengan lagu Jangan Ganggu Pacar Ku.
Anne Ngasri tak serik
Tidak memilih untuk terus meratapi episod sedih di dalam hidupnya bagi Anne ketentuan yang telah berlaku ini merupakan antara dugaan Allah buat hambanya. Menemui cinta baru disaat hati masih lagi berbelah bahagi mencari kebahagiaan bagi Anne dia pasti Aliff merupakan lelaki yang jujur dengan keputusannya.
"Saya tidak pernah serik dengan apa yang berlaku. Bagi saya Allah sudah merencanakan sesuatu untuk saya.
"Dan kehadiran Aliff juga merupakan antara sebahagian darinya," katanya manis tersenyum.
Mempunyai wajah yang tenang, janda kepada tiga anak ini memberitahu, walaupun hubungan ini dilihat berlaku terlalu pantas, namun tiada siapa yang tahu isi sebenar hatinya.
"Saya pernah mengalami kegagalan rumah tangga. Secara jujurnya perasaan untuk mempercayai lelaki itu masih lagi menjadi isu besar buat saya.
"Namun melihat keluarga yang terus memberi sokongan buat hubungan ini serta Aliff sendiri yang bersungguh-sungguh membuatkan saya percaya akan keikhlasannya," katanya sambil mengerling manja ke arah Aliff.
Nadiya Nissa Terpaksa Cari Pembantu Rumah
PETALING JAYA: Pelakon Nadiya Nissa sedang mencari pembantu rumah untuk menguruskan hal rumah tangganya berikutan kesibukannya dengan pelbagai tawaran berlakon.
Nadiya, 27, berkata, sebelum ini dia menguruskan sendiri hal keluarga tetapi kerana jadual kerjanya yang tidak menentu menyebabkan dia dan suami iaitu Saiful Razman Mohd Kassim mengambil keputusan untuk mencari pembantu.
"Kalau ikutkan hati memang tidak mahu mengambil pembantu rumah kerana lebih seronok menguruskan sendiri rumah tangga tanpa bantuan sesiapa tetapi tuntutan kerjaya saya yang tidak menentu membuat saya dan suami membuat keputusan ini.
"Tapi buat masa sekarang kami masih mencari dan belum berjumpa dengan orang yang sesuai," ujarnya kepada mStar Online.
Tambah Nadiya, keputusannya untuk mengambil pembantu rumah bukan bererti dia ingin melepaskan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu kepada Omar Saiful Razman yang kini berusia setahun tetapi sebagai meringankan bebannya yang sentiasa berada di luar.
"Hanya akan ada masa-masa tertentu saya sibuk di lokasi dan bukannya selalu tetapi apabila tidak sibuk saya sendiri akan menguruskan keperluan keluarga," ujarnya.
Dalam pada itu, Nadiya berkata suaminya sentiasa menyokong perjalanan karier seninya selain banyak memberi kata-kata semangat untuk kejayaannya sebagai seorang pelakon.
"Saya sentiasa ada suami yang banyak menyokong apa sahaja yang saya lakukan. Selain itu kami juga mempunyai banyak aktiviti bagi memastikan perkahwinan kami menjadi lebih meriah dan teratur.
Sementara itu, Nadiya gementar dengan reaksi penonton terhadap lakonannya bersama Aaron Azizi dalam drama bersiri Adam dan Hawa yang sedang ditayangkan menerusi saluran Mustika HD (134).
Ia disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 10 malam.
Menurut Nadiya, drama bersiri yang mengambil masa selama lima bulan penggambaran itu cukup mencabar dirinya sebagai pelakon apatah lagi bekerja dengan pengarah Mohd Feroz Kadir yang berjaya memberikan dimensi baru buat dirinya.
"Saya sudah terbiasa dengan arahan Osman Ali sebelum ini yang memberi kebebasan kepada pelakon dalam menentukan corak dan hala tuju lakonan sebaliknya dengan Feroz pula, timbul cabaran apabila saya perlu merealisasikan apa yang beliau inginkan.
"Bagaimanapun sebagai pelakon itu adalah pengalaman yang baik untuk saya dalam mengembangkan potensi diri apabila bekerja dengan pelbagai pengarah berbeza," katanya.
Selain Adam dan Hawa, Nadiya juga sedang sibuk di lokasi penggambaran filem Pengapit bersama Farid Kamil yang dijangka ditayangkan pada tahun hadapan.
Akhil Hayy Mahu Tubuh Produksi Konsep Islam
PETALING JAYA: Pendakwah bebas Akhil Hayy merancang untuk menubuhkan sebuah produksi penerbitan drama, program atau filem berlandaskan ajaran Islam.
Akhil atau nama sebenarnya Akhil Abdul Hai berkata, konsep tersebut bukan sahaja hanya dalam karya yang mahu diterbitkan itu sahaja sebaliknya perlu dipatuhi merangkumi seluruh pekerja dan krew produksi termasuklah pelakon.
"Sudah tiba masanya untuk industri hiburan di negara ini berubah dan sebagai permulaan saya mahu menubuhkan produksi yang bekerja dan menghasilkan karya mengikut cara Islam.
"Sebagai contoh, kerja-kerja penggambaran masih lagi boleh berjalan seperti biasa tetapi apabila sudah sampai waktu solat, kita berhenti sebentar. Begitu juga dengan pelakon-pelakon, mereka tidak perlu bersentuhan untuk sesebuah watak tetapi jika ia perlu, kita boleh fikirkan cara lain," katanya.
Tambah Akhil, konsep sebegini juga mestilah menjadi syarat tetap bekerja dan ia sekali gus dapat mengajak semua umat Islam dalam produksi berkenaan untuk mengamalkan ajaran Islam yang sebenar seperti melakukan ibadat bersama-sama.
"Perkara ini sebenarnya boleh dijalankan bagi mana-mana produksi sekali pun. Terpulang kepada pengarah. Tetapi sayang sekali kita sebenarnya pegangan atau pandangan yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup," ujarnya.
Sementara itu, Akhil yang kini menjadi duta kepada syarikat Duta Marli Travel & Tours Sdn Bhd sedang sibuk menguruskan perniagaannya iaitu Akhil Network Sdn Bhd.
Syarikat tersebut mengetengahkan produk-produk yang halal sebagai satu alternatif kepada semua khususnya umat Islam di negara ini.
"Sudah lama syarikat ini ditubuhkan iaitu pada Julai 2010 dan ia merupakan sebuah syarikat perdagangan yang memasarkan produk wangian bebas alkohol dan kesihatan.
"Dan produk pertama syarikat ini adalah “Akhil Perfume For Men”, “Akhil Perfume For Women” dan “Akhil Bio Foot Patch” iaitu pelekat kesihatan untuk kaki.
"Alhamdulillah, produk-produk ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan kami sedang mencari stokis-stokis dan pengedar-pengedar bagi memasarkan produk Akhil Network ini," katanya.
Fasha Sandha Doa Kejayaan Suami Sertai Lumba Kereta
PETALING JAYA: Pelakon Fasha Sandha tidak akan menghalang hobi suaminya Rizal Ashram Ramli untuk menyertai sebarang aktiviti perlumbaan kereta walaupun ia boleh membahayakan nyawanya.
Fasha atau nama sebenarnya Fasha Sandha Hassan, 28, berkata, sebagai seorang isteri, dia akan sentiasa menjadi tulang belakang suami selain percaya doanya dan keluarga mampu melindungi Rizal daripada perkara-perkara yang tidak diingini.
"Saya tidak pernah halang apa-apa yang dia mahu buat. Yang penting, saya akan menjadi tulang belakang untuk menyokongnya. Malah saya juga sanggup berpanas di atas trek litar.
"Diakui, mana-mana isteri pun akan risau apabila suami berada dalam zon bahaya, tetapi saya percaya dengan kemampuannya dan berdoa kepada Allah supaya dia selamat dan berjaya.
"Seronok juga jadi pengurus peribadi suami, asalkan dia bahagia, saya sanggup buat apa sahaja," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Rizal atau nama panggilannya, Jejai menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi dua perlumbaan di kejohanan Lamborghini Blancpain Super Trofeo Asia yang diadakan pada 18 dan 19 Ogos lalu.
Pemandu daripada pasukan Lamborghini Kuala Lumpur JH Italia itu menewaskan 18 pelumba lain dari seluruh Asia untuk memenangi perlumbaan yang diadakan di Ordos, China itu.
Kejohanan berkenaan pertama kali diadakan di Asia iaitu di Asia Litar Antarabangsa Sepang Mei lalu.
Dalam pada itu, Fasha yang turut menemani suaminya dalam kejohanan itu menganggap kemenangan Jejai adalah rezeki perkahwinan mereka dan anak dalam kandungan yang kini berusia kira-kira tiga bulan.
"Alhamdulillah syukur, kemenangan ini juga hasil daripada doa daripada keluarga kami. "Kiranya, berbaloi juga kerana inilah kali pertama saya beraya di luar negara tanpa keluarga.
"Tahun ini juga merupakan sambutan Aidilfitri yang paling seronok. Insya-Allah saya dan suami akan membuat majlis rumah terbuka bergabung dengan dua orang artis lagi," ujarnya.
Tambah Fasha, dia dan suami akan berangkat ke Guandong China pada 15 September depan untuk kejohanan seterusnya.
Dalam perkembangan lain, Fasha bersama barisan pelakon Kamal Adli, Scha AlYahya dan Fida Ibrahim bakal muncul menerusi drama Runtun Qalbu bermula 21 September depan di slot Zehra, TV3.
Afiq Muiz Tidak Terkilan Disindir Sekadar 'Artis Karpet Merah'
PETALING JAYA: Pelakon remaja, Afiq atau nama sebenarnya Muhamad Afiq Muiz Azman Shah sedikit pun tidak terkilan dengan sindiran yang diberikan sesetengah pihak terhadapnya sebagai “artis karpet merah”
Afiq, 20, berkata, walaupun dia sering dilihat muncul di kebanyakan majlis hiburan serta acara-acara melibatkan karpet merah, ia tidak bermakna dia gagal untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang lakonan.
"Walaupun saya sering dilihat kerap muncul untuk majlis-majlis hiburan, ia tidak bererti kerjaya lakonan saya tidak berjalan dengan baik. Sebenarnya banyak tawaran yang saya dapat. Orang sahaja tak tahu.
"Tetapi cakap-cakap sedemikian tidaklah menggores hati saya kerana itu perkara biasa apabila bergelar seorang artis," ujarnya kepada mStar Online.
Afiq berkata, dia tidak kisah jika orang tidak mengetahui mengenai perkembangan kerjaya seninya kerana apa yang penting dia sentiasa mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah.
Dalam pada itu, Afiq menjelaskan dia gembira kerana kerjaya lakonannya semakin bertambah baik walaupun pada mulanya ia agak perlahan.
Malah dia tidak mudah berpuas hati dengan apa yang dilakukan sebaliknya sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki diri dan mutu lakonan.
"Saya bukan sekadar ingin popular tetapi mahu serius dalam bidang lakonan tambahan pula saya masih muda dan banyak lagi ruang untuk saya memperbaiki kelemahan diri," katanya.
Ditanya mengenai tawaran berlakon filem Afiq berkata, dia belum mempunyai ilmu yang cukup untuk muncul di layar perak tetapi meletakkan sasaran sehingga tahun hadapan untuk mengambil cabaran itu.
"Saya belum bersedia untuk berlakon filem walaupun ada mendapat tawaran dan buat masa sekarang saya masih mengutip ilmu dengan berlakon telefilem dan drama bersiri bagi memantapkan mutu lakonan saya," katanya.
Sharifah Sofia gembira dahulukan anak
Melihat dari raut wajah pelakon kelahiran England, Sharifah Sofia ini yang ternyata berubah selepas hatinya terpanggil untuk berhijrah dan terus berhijab.
Seperti rindu mahu melihat dia kembali di dalam dunia lakonan setelah filem terakhir "Berani Punya Budak" menjalani penggambaran sekitar tahun 2009.
Langsung tidak merasakan sesuatu yang istimewa apabila memiliki raut wajah kacukan Inggeris- Melayu ini, Sharifah Sofia tetap menegaskan mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada rumah tangga dan kehidupan sebagai isteri dan juga ibu kepada anak perempuan Sharifah Ariana Syed Ismail dan melupakan seketika bidang lakonan.
Ikuti perkembangan terbarunya dalam temubual eksklusif bersama pelakon berjiwa kental ini!
Sebelum ini anda pernah menyuarakan keinginan untuk membuka syarikat produksi sendiri dan membuat filem yang anda inginkan. Jadi, filem apa yang anda ingin lakukan jika diberi peluang?
Itu soalan yang agak susah! Saya tidak mahu cuba membuat filem di dalam kuantiti yang banyak. Kita tengok sahaja ketika itu filem jenis apa yang sesuai. Saya sebenarnya sudah memiliki syarikat produksi sendiri tetapi banyak projek yang ditinggalkan separuh jalan kerana buat masa ini saya memang sibuk dengan jadual sebagai seorang suri rumah sepenuh masa. Tambahan pula, Arian semakin lasak. Saya perlukan masa untuk dia membesar.
Apa perkembangan terbaru anda?
Selain daripada apa yang saya sebutkan diatas iaitu menjalankan syarikat produksi sendiri saya turut baru bermula di dalam perniagaan sendiri. Saya kalau boleh tidak mahu bercerita lagi tapi saya bagi beberapa klu sahaja, kemungkinan jika diizinkan tuhan saya akan mula menjual produk untuk ibu dan bayi. Dimana akan ada label pakaian sendiri, buku masakan untuk kanak-kanak yang mana akan ada kandungan di dalam menyediakan resepi organik untuk bayi.
Bayangkan diri anda jika bukan sebagai seorang pelakon?
Seorang ibu! Maksud saya, terdapat banyak lagi pekerjaan yang saya boleh lakukan selain bergelar pelakon. Namun itu ketika saya muda, sekarang ini semuanya harus difikir untuk kebaikan Ariana. Rasanya saya memang bayangkan jika tidak berlakon menjadi seorang suri rumah sepenuh masa (Sambil tergelak)
Filem yang menjadi pilihan pada tahun ini?
"Marvel's The Avengers". Sebelum itu rasanya filem . "Transformers: Dark of the Moon". Saya tak berapa ingat kerana sekarang jarang dapat masa untuk pergi menonton filem.
Terima kasih Sharifah Sofia kerana meluangkan masa !
Sama-sama dan gembira dapat bekongsi cerita bersama anda !
Fiffy cabar diri cuba watak liar
Pelakon remaja yang kian meningkat dewasa, Fiffy Natasya cabar diri untuk mencuba pelbagai watak dalam lakonannya termasuk watak liar dan hitam.
Fiffy yang kini berusia 19 tahun telah bersetuju untuk menjayakan watak berkenaan dalam filem terbarunya, "Leftwings".
"Memang orang cakap watak hitam banyak bawa kesan buruk kepada artis kerana takut orang label artis tertentu itu 'liar'."
"Ya, saya memang takut orang kata saya liar, tapi pada masa sama, apa yang saya lakonkan itu hanya rekaan watak semata-mata. Sedangkan dalam realiti kehidupan saya sebenarnya orang biasa yang punya keluarga yang akan menegur jika saya membuat kesilapan," katanya yang dipetik daripada sebuah blog hiburan tempatan.
Menurut Fiffy, filem "Leftwings" merupakan sebuah filem muzikal Rock yang penuh dengan pengajaran terutamanya kepada golongan remaja.
Sementara itu, Fiffy menolak kontroversi untuk cepat mendapat populariti dengan mencetus kontroversi yang berbaur negatif.
"Saya tidak akan mencari publisiti murahan. Tak kisahlah rekaan saya sendiri atau orang lain. Biar lambat naik asalkan hasil kerja saya diberkati," katanya yang tidak kisah untuk bermula dari bawah demi untuk membuktikan bahawa dia benar-benar berbakat.
Filem "Leftwings" yang turut dibintangi oleh Aweera, Zouladeq, Wan Zaimie dan ramai lagi akan menemui penonton pada 30 Ogos ini.
Shahz Jaszle bakal bertunang?
Pelakon popular, Shahz Jaszle dikhabarkan bakal bertunang dengan seorang gadis bernama Redzwani Puteri.
"Saya sudah bersedia untuk mengikat tali pertunangan dengan Puteri memandangkan kedua-dua belah pihak keluarga telah merestui hubungan kami," ujar Shahz Jaszle kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut pelakon berusia 24 tahun ini, dia ingin melangsungkan majlis pertunangannya secepat mungkin selepas Aidilfitri ini.
Jelas pelakon drama "3 Janji", pada mulanya mereka telah merancang untuk berkahwin tahun ini juga tetapi keluarga pihak perempuan mahu mereka mengikut adat dengan bertunang dahulu.
"Sudah sampai seru untuk saya berkahwin. Yang sebenarnya saya tidak pernah merancang pun, malah hubungan yang terjalin antara kami sebenarnya telah lama kerana dia kawan baik saya. Setahun mengenalinya dan kami tidak pernah bercinta," katanya.
Iqram Dinzly berubah bukan untuk sertai parti politik
Ramai artis tidak kira artis lelaki mahu pun artis wanita berhijrah kearah kebaikan, dan pelakon popular, Iqram Dinzly turut sama mengikut jejak langkah baik tersebut dan mengakui dia kini lebih tenang selepas mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
Menurut Iqram, tujuannya untuk kembali ke jalan Allah S.W.T adalah untuk mendalami ilmu agama Islam dan menolak dakwaan yang mengatakan golongan artis yang berubah kearah kebaikan ini adalah kerana ingin menyertai parti politik.
"Saya kurang senang dengan dakwaan setengah pihak yang mahu mendalami Islam dengan menyertai parti politi. Kalau betul nak pelajari Islam, pergilah ke sekolah pondok atau pun mengikuti majlis-majlis ilmu yang disediakan."
"Terus-terang, saya tidaklah berubah sepenuhnya. Saya kini adalah lelaki yang mencari jawapan apa dan kenapa yang sering berbangkit mengenai Islam," katanya kepada sebuah portal hiburan tempatan.
Pelakon berusia 30 tahun ini berkata, hatinya mula terbuka untuk mendekati Tuhan dan agama bermula dari ajakan rakan-rakannya.
"Saya sudah banyak kali diajak rakan-rakan artis lain untuk menyertai kumpulan ini. Alhamdulillah, selepas menyertainya, saya merasakan perubahan pada diri saya dan saya rasa lebih tenang.
"Saya akui, sebelum ini, saya seorang yang degil tetapi selepas mendalami ilmu Islam bersama ahli kumpulan ini, saya perasan diri saya mula berubah. Saya pun seronok apabila berjumpa ustaz-ustaz di sini kerana mereka semua sempoi. Terus-terang saya katakana persatuan ini tidak sama seperti tabligh," katanya.
Iqram dan beberapa artis lain seperti Irma Hasmie, Yatt Hamzah, Siti Nurdiana dan Natasha Hudson telah menyertai kumpulan Fitrah yang ditubuhkan oleh beberapa orang artis lain yang mempunyai misi untuk belajar dan mendalami ilmu agama dengan lebih meluas.
Yusof Haslam: "Usah perbesar isu kemasukan artis asing"
Penerbit dan pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam tidak mahu isu kebanjiran artis asing terutamanya dari Singapura diperbesar-besarkan.
Dipetik daripada Harian Metro, Yusof berkata, persaingan diantara artis tempatan dan luar perlu dilihat dari sudut positif dan tidak berat sebelah supaya ia tidak memberi kesan kepada industri seni negara.
"Jika seseorang artis itu mempunyai bakat, dia tidak perlu takut. Bagi saya, jika mahu menidakkan kehadiran artis Singapura ke sini ia tidak adil."
"Ini kerana orang Melayu kita dengan negara jiran itu tiada beza cuma dipisahkan atas factor sempadan politik," katanya yang mengulas laporan sebuah akhbar tempatan pada Khamis lalu mengenai isu kebanjiran artis luar di negara ini.
Tambah Yusof lagi, hubungan artis tempatan dengan Singapura sudah lama terjalin sejak era Tan Sri P.Ramlee lagi, jadi dia tidak mahu isu ini terus diperbesarkan oleh segelintir pihak.
"Saya berpesan jangan sedap mulut atau berfikiran tidak matang pada segelintir pihak yang membesarkan isu ini."
"Setahu saya kebanyakan artis luar yang masuk ke negara ini mengikut prosedur, tetapi jika tiada permit, pihak berkenaan perlu mengambil tindakan," ujar Penerbit Skop Production Sdn Bhd.
Sementara itu, pengarah dan juga penerbit Excellent Pictures Sdn Bhd, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, kemasukan artis asing adalah kerana faktor peluang dan permintaan daripada penerbit.
"Ini sebenarnya menunjukkan penanda aras industri hiburan tempatan semakin maju sehingga memberi keyakinan kepada artis luar untuk mencuba nasib di negara ini," katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
