Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Kontroversi popular atau jatuhkan artis?
ADA bermacam-macam cara orang mahu popular terutamanya dalam dunia hiburan. Ini kerana, bidang itu amat mudah untuk menarik perhatian masyarakat tanpa mengira umur, bangsa dan agama.
Ramai individu yang pada mulanya kurang dikenali dalam bidang hiburan tetapi disebabkan timbulnya kontroversi ke atas mereka, maka ia secara tidak langsung telah melonjakkan popularitinya.
Bagi yang telah sedia popular, kontroversi yang tercetus juga mampu mempopularkan lagi nama mereka dalam bidang tersebut.
Pian, bekas anggota kumpulan lawak Cecupak antara contoh artis yang bertambah popular selepas dia mencetuskan kegemparan ekoran cerita-cerita sensasi mengaku menyuntik botox dan menggunakan susuk agar kelihatan lebih cantik.
Pemilik nama sebenar Mohd. Rafik Abd. Rahman, 42, itu popular dalam sekelip mata, sekali gus menenggelamkan bakat serta ketrampilannya dalam bidang lawak jenaka dan lakonan.
"Memang saya popular dalam sekelip mata kerana kontroversi itu tetapi ia tidak lama. Sebaliknya, selepas itu saya pula yang berasa tertekan kerana ramai orang yang tidak percaya serta membenci saya. Keadaan itu menyebabkan saya terpaksa beralih arah ke bidang yang lain," ujar duda anak dua ini berkongsi pengalamannya itu baru-baru ini.
Mungkin Pian ada alasan yang tersendiri mengapa dia terpaksa melupakan bidang seni sedikit demi sedikit ekoran hambatan kontroversi yang berlaku ke atasnya itu.
Sikapnya yang terlalu mudah berterus terang juga dikatakan telah memakan diri sendiri dan bertambah parah apabila tindakannya seperti memakai susuk begitu bertentangan dengan ajaran Islam.
Dia kini terpaksa menceburi bidang lain demi survivalnya dengan terbabit dalam perniagaan percetakan menerusi syarikatnya sendiri iaitu MX Noticed Sdn. Bhd. sejak hampir setahun lalu. Dunia lakonan seperti semakin terhakis dalam kerjayanya kini di mana kata Pian kalau adapun sekadar undangan menjadi pengacara majlis.
"Saya sekarang ini berada di Ipoh, Perak kerana mendalami ilmu agama dan mahu kembali ke jalan yang benar. Bagi saya, kontroversi yang tercetus hanyalah sia-sia sahaja, malah ia memberi kesan yang mendalam dalam hidup saya sehinggalah ke hari ini. Cukup-cukuplah kontroversi kerana saya tidak perlukannya lagi," katanya dalam nada bersungguh-sungguh.
Jika Pian meraih semakin banyak publisiti selepas pengakuannya itu, tetapi ia berlainan pula dengan pelakon dan model, Zarina Anjoulie yang popular mendadak setelah gambar-gambar seksinya di sebuah majalah di Indonesia tersebar luas hingga ke negara ini baru-baru ini.
Sebelum itu, tidak ramai yang mengenali Zarina atau nama penuhnya Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul ini sama ada sebagai pelakon mahupun model. Sebaliknya, selepas gambar-gambar seksi Zarina yang mendedahkan sebahagian daripada buah dadanya tersebar luas, maka sekali gus ia telah mempopularkan namanya semula.
Dia bukan sahaja popular di Indonesia, malah kini semakin menjadi perhatian ramai penerbit serta pengarah filem yang mahu menawarkannya berlakon dalam produksi masing-masing.
"Di Indonesia saya dapat bayaran (kerana bergambar seksi) tetapi di sini tidak dapat bayaran. Saya tidak peduli apa orang hendak kata kerana saya bukannya menjual tubuh. Di sini (Malaysia) pun saya selalu tampil dengan imej seksi tetapi tiada apa-apa pun," katanya sewaktu ditemui sewaktu pelancaran rancangan Bilik 7 terbitan ntv7 di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.
Sama ada secara kebetulan atau sebaliknya, selepas isu itu pelakon berdarah kacukan Melayu, Iran dan Scottish ini mendapat semakin banyak tawaran berlakonantaranya Ular arahan Jason Chong dan Amir Dan Lukman Pergi Ke Laut arahan Mamat Khalid.
Zarina yang merupakan anak kelima daripada lapan beradik ini bijak menggunakan kontroversi termasuklah cerita sensasinya yang dikatakan intim dengan penyanyi Aliff Aziz sehingga secara tidak langsung menyebabkan dia lebih popular berbanding sebelumnya.
Pelakon drama Sumpah Anak Pontianak ini menambah, dia tidak mahu bersikap hipokrit dalam menonjolkan imej seksinya bukan sahaja sewaktu dalam set penggambaran sesebuah produksi yang disertainya tetapi juga sewaktu dalam kehidupan sehariannya.
Daripada senario itu, ia seolah-olah menggambarkan tentang segelintir masyarakat memandang rendah artis seperti Zarina tetapi hakikatnya cerita-cerita kontroversi artis sepertinya yang sering menghangatkan ruangan-ruangan gosip dalam persada hiburan tanah air.
Kontroversi yang tercetus biasanya lahir daripada perbuatan seseorang artis itu sendiri. Selain kontroversi dikorek oleh media massa, ada juga artis seperti penyanyi kumpulan O.A.G, Radhi yang mengakui sendiri kesilapan dirinya kerana terbabit dalam gejala penagihan dadah.
Radhi turut berterus terang dengan masalah yang dihadapinya itu meskipun menyedari ia bakal mencetuskan cerita-cerita sensasi.
Dia dalam satu kenyataannya baru-baru ini mengakui dibelenggu penyalahgunaan dadah kepada pihak media massa selepas sekian lama memendam serta menafikan penglibatannya itu.
Dalam konteks ini, penyanyi dari Kuching, Sarawak itu bukannya mahu mencari publisiti murahan, sebaliknya mahu mencari jalan keluar daripada terus dibelenggu masalah itu.
"Sampai bila saya mahu terus dibelenggu dengan dadah? Kerana dadahlah kerjaya saya sebagai penyanyi dan pemuzik terjejas. Malah, rumah tangga saya juga hancur kerana dadah. Jalan penyelesaiannya ialah saya berterus terang dan berusaha untuk menghilangkan ketagihan dadah yang ditanggung selama ini," jelasnya.
Namun, duda dan bapa kepada seorang anak Muhd. Rifdhi Muslim, 7, ini boleh dikatakan bernasib baik kerana rata-rata peminat O.A.G. tidak menyingkirkannya. Dia terus diterima dalam persada muzik tempatan termasuklah syarikat-syarikat rakaman yang terus menaruh kepercayaan terhadap bakatnya sebagai komposer, penyanyi dan pemuzik.
Di samping itu, tidak dinafikan, penangan kontroversi kepada individu bergelar artis juga bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi, malah ia mampu mengundang tekanan yang melampau jika tidak ditangani dengan betul.
Namun setelah 'sakit kepala' memikirkan masa depan dan ke mana arah hala tuju kerjaya selepas dilanda tsunami kontroversi, tidak dinafikan ada segelintir golongan ini berjaya menaikkan kembali nama mereka.
Bagi pelakon yang baru sahaja menjejakkan kaki di dalam industri seni tanah air melalui filem Karipap-Karipap Cinta ini, ternyata dugaan yang terpaksa dihadapinya bukanlah kecil.
Kehadiran Melia Aimellia Zaidi, 19, atau lebih mesra disapa Melia di dalam bidang lakonan hanya disedari selepas kewujudan video yang didakwa merupakan dirinya dalam keadaan menghairahkan telah tersebar di Internet.
Lebih membuatkan dia terperangkap dalam masalah tersebut apabila cincin yang terdapat di dalam video itu dikatakan sama dengan cincin yang dipakainya sebelum ini.
Namun, berdiri di atas kebenaran Melia tampil memberi penjelasan dan turut berhasrat untuk menyaman pihak-pihak yang bertanggungjawab yang telah menyebarkan gambar tersebut.
Walaupun kedua-dua pihak berdamai, Miera mengakui dia memang terkejut dengan perkara tersebut malah terpaksa berhadapan dengan situasi yang sangat tertekan sehingga meretakkan hubungan dalam keluarganya.
"Saya terpaksa bangun kembali untuk membetulkan keadaan. Kontroversi menyakitkan, tetapi ia juga membuka laluan rezeki kepada saya.
"Tidak dinafikan kontroversi sememangnya mampu membuka pintu rezeki tetapi pada masa yang sama, kita juga perlu bijak menangani masalah tersebut," jelasnya yang tidak mahu dikenali melalui gosip atau kontroversi sahaja.
Apa yang penting ujarnya, biarlah orang mengenali kebolehan dirinya yang sebenar dan bukan sekadar kontroversi semata-mata.
"Bukanlah niat saya untuk mengatakan kontroversi itu tak penting tetapi kita juga perlu bersedia untuk berhadapan dengan sebarang situasi agar ia akan menjadi sesuatu yang positif," katanya.
Selain Melia, antara artis baru yang turut terpalit dengan kontroversi ialah Miera Liyana. Bermula daripada kesilapannya memilih pakaian yang hampir menampakkan buah dadanya di satu majlis anugerah, nama anak gadis ini terus panas apabila gambarnya turut tersebar pantas di Internet.
Mengakui kesilapannya itu dengan alasan mahu tampil berbeza dan tidak menyangka perkara tersebut bakal jadi kontroversi, Miera kelihatan tidak berasa bersalah.
Namun mungkin kerana lakonan yang hebat dan mantap sehingga mampu memberi impak kepada penonton, nama Miera mula naik mendadak. Berbekalkan semangat yang kuat serta bijak mengawal keadaan, Miera kini turut menjadi pilihan pengarah bagi mendapatkan khidmatnya dalam bidang lakonan.
"Saya tak nafikan kontroversi boleh menaikkan nama seseorang individu. Bagi saya, kontroversi merupakan suatu keperluan dalam memastikan diri kita masih lagi diingati oleh para peminat.
"Pada masa yang sama kita juga haruslah bersedia untuk kembali bangkit dan menunjukkan potensi sebenar diri kita," katanya yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem Dendam Orang Mati keluaran KRU Studios.
Selain kisah membabitkan dadah, bergambar seksi dan menyuntik botox, ada juga artis seperti Mislina Mustafa yang sanggup membotakkan kepalanya demi menghayati watak Zaiton Sameon yang dibawanya menerusi filem Zaiton Ceritaku.
Tindakan berani Mislina itu yang sanggup melanggar hukum agama Islam demi menghayati watak dalam lakonannya sehingga ia mencetuskan kontroversi dan masih diperkatakan sehingga ke saat ini.
Paling mengejutkan apabila dia seakan-akan tidak menghiraukan kritikan banyak pihak, sebaliknya mengakui lebih selesa dengan imej botak tersebut.
Paling teruk apabila tindakannya itu menyebabkan ada pihak yang mengaitkan dirinya sebagai seorang lesbian.
Selain dikaitkan dengan isu botak dan lesbian, Mislina juga dikecam sesetengah pihak kerana turut terlibat dalam demonstrasi yang diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengakui dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal menimpa dirinya, Mislina memberitahu dia tidak menyesal dengan apa yang telah berlaku itu.
"Saya akui saya adalah seorang yang individualistik dan saya tidak pernah takut dengan apa yang orang hendak kata mengenai diri saya. Saya memang sudah menjangkakan kesan yang akan diterima setiap kali saya membuat keputusan. Menjadi seorang aktivis itu sendiri memang pilihan saya.
"Saya sedia maklum apa yang saya lakukan dan saya bersedia menerima akibatnya," jelasnya penuh berani.
Ternyata kesemua paparan yang dikongsi oleh artis-artis terbabit memberikan kesimpulan tersendiri berdasarkan kontroversi mahupun cerita-cerita sensasi yang mereka cetuskan. Akhir sekali yang akan menjadi ukuran para peminat adalah sama ada ia seiring dengan bakat yang diketengahkan ataupun tidak?
Dalam dunia penuh persaingan, adakalanya kontroversi memberi manfaat, tetapi apakah kita sanggup muncul sebagai artis yang terkenal dengan kontroversi buruk? Fikir-fikirkan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]