Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Dilema Bella Dally

ADA orang cakap, jangan terlalu obses dengan permainan watak yang dibawakan pelakon dalam drama atau filem kerana itu lakonan semata-mata. Jangan menitiskan air mata jika pelakon itu berjaya buat anda bersedih dan jangan berdendam kalau pelakon itu membawakan watak antagonis atau hitam. Tapi masyarakat kita hari ini lebih beremosi jika ada pelakon yang berjaya membawakan watak hitam itu dengan jayanya. Pastinya menerima respons negatif kerana watak berkenaan biasanya boleh memesongkan pandangan masyarakat terhadap keseluruhan personaliti seseorang pelakon. Perkara itu juga menyebabkan tak ramai pelakon Malaysia mahu membawakan watak antagonis. Bimbang kalau berterusan dicap orang jahat. Begitu keadaannya terjadi pada si jelita Bella Dally yang merupakan antara pelakon yang kerap membawakan watak hitam di saat awal kemunculannya sejak keluar dari program realiti Pilih Kasih musim pertama. Antara puluhan drama yang dibintangi ialah Vanilla Coklat yang bersiaran di TV3 dan Serapah Dara Bulan Madu (Astro Prima) adalah contoh drama yang mempamerkan kecemerlangan Bella membawa watak antagonis. Bagaimanapun, anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini kemudiannya memutuskan untuk tidak melakonkan watak jahat selepas tiga tahun berlakon. Alasan Bella, dia tidak rela dirinya menjadi bahan eksploitasi pihak penerbit menerusi watak-watak negatif sehingga boleh menjejaskan imej dan mengundang rasa kurang senang ibu, Weana Quadra dan bapanya, Ali Abdul Wahid Daly. Adakah pemilik nama Nabilah Ali Dally ini sudah pandai demand sedangkan semua orang tahu watak hitam dalam drama itu adalah rekaan semata-mata. “Saya tak boleh bawa watak jahat selama-lamanya. Saya kena corakkan sikit resume lakonan saya. Tak bolehlah terus menerus bawa watak jahat. Contohnya, watak GRO (gadis pelayan pelanggan) perlu dihindari sebab boleh buat orang tua saya berjauh hati. “Saya kena jaga hati mereka sebab mereka banyak merestui perjalanan seni saya sejak berusia 17 tahun lagi. Janganlah salah erti kalau saya demand untuk tidak bawakan watak terlalu liar, jahat atau mendedahkan tubuh badan. “Saya akui memang watak negatif boleh buat masyarakat mudah ingat pada kita. Boleh juga menang anugerah. Tapi kalau boleh, saya nak watak baik," hujah Bella panjang lebar berhubung isu menolak watak hitam. Ditanya adakah keputusan itu dibuat kerana Bella pernah terpalit dengan gosip negatif dan didakwa sebagai kaki kelab malam dan kerap bertukar teman lelaki, pantas pelakon berusia 21 tahun ini menafikan. “Sekali lagi, jangan salah anggap dengan permintaan saya ini. Saya tak selesa kalau orang terus mengait cerita lama. Semua itu tak betul," tingkah Bella yang berdarah campuran Melayu, Pakistan dan Filipina ini. Adakah itu bermakna anak bongsu daripada dua beradik ini cuba menafikan fakta bahawa watak hitam telah memperkenalkannya sebagai pelakon, pantas Bella menggelengkan kepala. “Saya bukan jenis lupa diri semata-mata nak demand watak baik. Sebaliknya saya bersyukur sebab berada di permulaan yang betul bila dapat melakonkan watak antagonis. Watak antagonis bermula dari atas tapi watak baik, bermula dari bawah. “Pengarah cakap biar over acting kalau berlakon watak antagonis. Jadi senang nak turunkan paras watak itu kalau dapat berlakon watak baik. “Apa pun, watak antagonis ini banyak bantu personaliti saya untuk lebih terbuka dalam dunia realiti. Sebelum ini, saya sangat pemalu. Tapi bila dah lama-lama, dah okey," kata pelakon drama Friday I’m In Love yang sedang ditayangkan di TV9. Ada kualiti DALAM perkembangan yang berkaitan, pelakon filem Seru dan Gila-Gila Remaja 2 ini melahirkan rasa kesal kerana ada pihak mempertikaikan kualiti pelakon kelahiran program realiti televisyen yang disifatkan ‘kopi segera’. Katanya, kebanyakan daripada mereka ada bakat tersendiri dan masih boleh dicungkil dengan sebaiknya. “Memang setiap yang baru ada kelemahan. Tapi lebih baik kalau kelemahan itu diperbaiki dengan teguran orang berpengalaman dalam bidang lakonan. Umpama sebutir berlian, kita gilap setiap hari. Begitu juga dengan kerja pelakon, mereka juga bakal jadi pelakon terbaik kalau diberi latihan yang cukup. “Pelakon dari bintang realiti juga ada impian. Cuma mereka bertuah sebab lahir dari platform yang sudah ada nama. Dan mereka juga tak terus-terus dapat tawaran berlakon drama yang bagus. Tetap bertungkus-lumus nak bersaing dengan pelakon sedia ada. “Mereka inilah pelapis pelakon sedia ada. Tak bolehlah nak cakap kami tak ada kualiti sebab semua itu bergantung pada diri mereka sendiri," jelas pelakon yang lahir pada 27 September 1991 ini panjang lebar. Nazim kekasihku MENYENTUH tentang siapakah lelaki bertuah yang sedang bertakhta di hati Bella, menyebabkan warna kulit putih bertukar rona kemerah-merahan. Mungkin tiada apa yang perlu dirahsiakan lagi tentang siapa kekasihnya, pelakon Nazim Othman yang terlebih dahulu diketahui umum. Cinta yang mula berputik sejak mereka berlakon bersama dalam satu drama muzikal terbitan RTM iaitu Inspirasi Varsiti tahun lalu berjaya membuahkan bibit mesra sehingga ke hari ini. Ditanya tahap keselesaan Bella tatkala kisah cinta yang selalunya disembunyikan golongan figura awam dari pengetahuan umum itu bukan lagi rahsia, Bella pantas menggelengkan kepala. “Ada artis yang tak selesa untuk mendedahkan dengan siapa mereka berkawan. Saya tak kisah kalau semua orang tahu. Bukan masalah besar pun. “Tapi jangan salah sangka pula sebab apa yang saya kongsikan itu bersifat luaran saja. Tak terlalu mendalam sebab saya tak selesa kalau semua cerita cinta kami diketahui umum. Nanti orang kata nak menunjuk pula," katanya. Mengulas bagaimana cerita cinta Bella dan Nazim boleh tersebar dengan cepat? Bella memberitahu hubungan mereka dihidu oleh wartawan dan dijadikan bahan berita setelah beberapa bulan “Tapi tak semua wartawan tahu tentang kami. Yang mana tahu, tahulah. Saya tak kisah pun," ringkasnya tersenyum menutup perbualan. Awal bulan lalu, Nazim mengumumkan kekasih hatinya adalah Bella yang disifatkan seorang wanita taat dan sentiasa menerima apa juga nasihat sama ada berkaitan dengan kerjaya mahupun perhubungan dengan hati terbuka.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails