Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sisi lain Ana Raffali

"MAAF, tadi sibuk di dapur, tak perasan awak berdua dah sampai," tutur ceria Ana Raffali sewaktu menyambut ketibaan penulis dan jurugambar, Wahidah Zainal di depan rumahnya, baru-baru ini. Sekadar menyarungkan blaus longgar bercorak bunga-bunga, tidak berbaju kurung mahupun merangkul gitar kesayangannya, Ana kelihatan amat santai sambil tangan menyarung sarung tangan ketuhar. Terdengar keriuhan rumahnya umpama menjelang hari raya dengan suara anak-anak saudaranya yang bermain di ruang tamu dan kaum wanita pula sibuk di dapur yang mula mengeluarkan bau yang menyelerakan. Ana terus bergegas ke dapur bagi menyambung misi menghasilkan adunan kedua bread butter pudding untuk dihidangkan kepada keluarga. Kelihatan agak lincah di dapur, terang pemilik nama Ana Nur Hidayah Mohd Raffali, hidangan itu kegemaran keluarga terutama suaminya, Aznaim Abdullah. “Sebenarnya saya lebih gemar membuat pencuci mulut atau membakar biskut daripada memasak. Naim yang lebih hebat memasak daripada saya. “Sekarang saya suka membuat puding roti kerana ia hidangan kegemaran Naim dan dia meminta saya membuatnya sejak sebelum kami berkahwin lagi. “Resipinya mudah. Saya dapatkan daripada Internet sahaja dan mengubahnya ikut selera sendiri. Saya tambah pelbagai perasa jem pada roti yang dibakar untuk memberi kelainan," terangnya bersemangat. Ana juga amat gemar membakar kek coklat dan biskut kerana ia juga hidangan kegemaran anak kesembilan daripada 11 adik-beradik ini. Cerita Ana, beginilah dirinya setiap kali ‘bercuti’. Dia lebih gemar berada di rumah dan mengisi harinya dengan pelbagai aktiviti bersama keluarga. Pantang melihat jadualnya kosong daripada aktiviti pentas atau studio, Ana terus mengatur rancangan bersama keluarga dan keluarga mertua yang kebetulan tinggal berdekatan antara satu sama lain. Bermula dengan aktiviti `bertungkus-lumus’ di dapur, beralih ke meja makan, selalunya ia berlarutan hingga ke pertarungan di ‘pentas karaoke’ iaitu di ruang tamu rumah apabila masing-masing melontarkan vokal mendendangkan lagu kegemaran. Andai tenaga masih penuh, Ana dan keluarga beraksi bak jaguh di gelanggang badminton yang disewa sebagai aktiviti riadah untuk mengekalkan stamina. Ulat buku Umum mengetahui jika Ana tidak menjadi seorang komposer dan penyanyi, dia kini bergelar Cikgu Ana. Sikapnya yang gemar membaca membuatkan dia cenderung ke arah dunia pendidikan sebelum membuat keputusan menceburkan diri dalam bidang kesenian. “Saya memang gemar membaca. Rasa teruja apabila berada di kedai-kedai buku memilih buku penulis kegemaran. “Saya memiliki perpustakaan mini yang memuatkan beratus-ratus buah buku daripada pelbagai genre seperti perniagaan, muzik, autobiografi dan novel. “Buku sains fiksyen dan novel cinta menjadi kesukaan saya. Antara penulis kegemaran Enid Blyton, Christopher Pike dan Ray Bradbury. “Malah, penulisan lirik saya banyak diilhamkan daripada bahan bacaan terutamanya novel cinta," ujar graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) jurusan Pendidikan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL). Gitar peneman diri Walau bagaimana dia cuba melarikan diri daripada kerjanya, Ana tetap tidak dapat menolak kehendaknya untuk memetik gitar kerana ia sudah sebati dengan jiwanya. Ceritanya, idea sering kali hadir secara spontan dan dia segera mencapai gitar serta buku notanya bagi menzahirkannya sebelum terlupa.. Ana yang turut gemar melancong pasti akan membawa bersama sebuah gitar dan gitar Little Martin yang digelar Lemie menjadi teman setianya kerana saiz yang kecil dan mudah diusung ke mana-mana. “Ilham menghasilkan lagu datang dari apa-apa saja. Kadang-kadang daripada dialog novel yang saya baca, pengamatan orang sekeliling, malah ada dari tempat yang saya kunjungi. “Sebab itu Lemie sentiasa berada di sisi saya andai kata tiba-tiba mendapat ilham," ujar pemenang Anugerah Juara Lagu Ke-25 bagi lagu dendangan dan ciptaan sepenuhnya, Tolong Ingatkan Aku. Mengenai aktiviti terkini, Ana bakal memperkenalkan single terbarunya tidak lama lagi iaitu Lisa Jatuh Cinta. Single tersebut mengisahkan tentang sepasang teman baik yang mahu menaik taraf hubungan mereka sebagai kekasih - mungkinkah terhasil daripada kisah cinta Ana dengan suami tercinta?
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails