Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Transformasi Tomok

SEBELUM ini, Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail dikenali sebagai seorang penyanyi. Pembabitan awal dirinya dalam industri muzik tempatan menyaksikan dia membina reputasi bersama sebuah kumpulan remaja yang diberi nama, New Boyz. New Boyz ketika itu telah mencetus fenomena tersendiri, malah Tomok yang berada pada posisi vokalis menjadi kegilaan remaja. Fenomena New Boyz bagaimanapun akhirnya tenggelam perlahan-lahan, lantas nama Tomok turut dipandang sepi. Namun jejaka itu nekad menyertai program realiti One In A Million dua tahun lalu. Percubaannya mencapai sukses apabila dinobatkan sebagai juara. Sejak itu, Tomok kembali menjadi perhatian, sementelah dia juga muncul dengan transformasi yang dilakukan. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Berkat daripada usahanya, Tomok meniti kejayaan satu demi satu. Kini, Tomok bukan sahaja bergelar penyanyi, tetapi juga seorang pelakon dan percubaan sulungnya dalam bidang lakonan juga bukan calang-calang. Dia menerima tawaran sebagai 'manusia jentera' dalam filem terbaharu berjudul Mantera (MAN Transformable Exo-Robotic Armor) yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam. Namun sebagai pelakon yang sangat baharu dalam industri, pastinya dia mempunyai pengalaman sukar untuk tampil berlakon dalam filem sains fiksyen yang banyak menggunakan teknologi imej janaan komputer (CGI) itu. "Mantera merupakan filem pertama saya, jadi memang banyak yang saya belajar. Sebagai pelakon baharu, saya akui Mantera banyak mengajar saya untuk menjadi seorang pelakon yang baik. Sehingga sekarang, saya masih lagi dalam proses pembelajaran.
"Sepanjang penggambaran filem, pelakon yang lain dan pihak produksi banyak membantu saya. Bagi saya walaupun ia merupakan watak yang agak berat dan sukar memandangkan ia percubaan pertama saya sebagai pelakon, tapi saya sahut cabaran ini. "Sebab itu, setiap perkara atau lakonan yang diperlukan, saya cuba buat yang terbaik, walaupun tiada pengalaman," ujar Tomok ketika ditemui semasa majlis pratonton di pawagam Golden Screen Cinema (GSC), The Garden, Kuala Lumpur baru-baru ini. Tambahnya, sebagai pelakon baharu juga, dia sudah bersedia menerima kritikan. "Saya terima semua kritikan yang diberi dengan positif dan menganggapnya sebagai satu proses pembelajaran untuk memantapkan ilmu lakonan saya lagi pada masa akan datang," tambahnya lagi. Berbeza Bicara anak jati Kuala Lumpur ini, ketika pertama kali ditawarkan skrip filem tersebut, memang hatinya sudah tertarik dengan jalan cerita dan konsep yang ditonjolkan. Ini kerana, baginya, selama ini, jarang sekali masyarakat atau penonton filem tempatan dihidangkan dengan genre sedemikian rupa. "Jika mahu diikutkan dari segi penyampaian filem itu sendiri, lokasi penggambaran dan konsepnya, semua memang berbeza. Selama ini, filem-filem yang ada lebih menjurus kepada genre komedi, romantik dan aksi, sebaliknya Mantera tampil sebagai filem Malaysia pertama dengan genre filem sains fiksyen berunsur robotik. "Sebab itu saya teruja sangat untuk menerima tawaran yang diberikan. Selain itu, saya juga berkesempatan untuk berlakon dengan pelakon luar negara seperti Mikail Dorojlin (Rusia), Natalya Shamrenkova (Ukraine) dan Wael Al-Masri (Dubai), sekali gus membawa nama Malaysia ke mata dunia," jelas Tomok mengenai keputusannya untuk terjun sebagai pelakon. Tutur lelaki berusia 28 tahun itu lagi, pertama kali melihat dirinya dalam layar besar, secara peribadi, dia berpuas hati dengan lakonan sulungnya. Akuinya, melakukan kesilapan merupakan perkara normal bagi orang baharu sepertinya. Nyanyian Sebagai seorang penyanyi, ujar Tomok, bidang nyanyian tetap menjadi keutamaan. Bagaimanapun, seperti banyak alasan yang diberikan anak seni, dia juga memilih untuk tidak mahu mengehadkan bakat diri hanya dalam satu bidang sahaja.
"Saya tidak mahu dikenali sebagai seorang penyanyi sahaja. Saya ingin jadi seperti idola saya iaitu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang mana beliau merupakan seorang penyanyi, pelakon, penulis lirik dan pengarah. Jadi, inspirasi itu banyak hadir dari penggiat seni sepertinya. "Jika ada tawaran dalam bidang lakonan datang lagi pada masa akan datang, dan ia kena dengan watak dan cara, apa salahnya jika saya mencuba lagi," akuinya yang kini dalam proses mengeluarkan album solo kedua. Ketika sibuk menyiapkan album kedua itu, Tomok telah pun mengeluarkan single pertamanya yang berjudul Aku Datang. Single tersebut juga digunakan sebagai runut bunyi dalam filem terbaharu, Istanbul Aku Datang yang juga akan menampilkan dirinya sebagai pelakon utama.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails