Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Mizz Nina menongkah arus

SENTIASA mengutamakan kualiti dalam setiap hasil kerjanya, ternyata langkah Mizz Nina kini semakin meluas dalam memastikan kehadirannya dalam industri seni tanah air mendapat perhatian. Bukan mudah bagi empunya nama Shazrina Azman ini mahu mencipta nama. Sebab itu dia berusaha bersungguh-sungguh dalam menghasilkan suatu produk yang berkualiti dan memuaskan hati. Buktinya, album kedua Mizz Nina, Take Over, berjaya dilahirkan setelah dua tahun memerah idea dan keringat. Berbicara mengenai kelahiran album tersebut, ternyata Mizz Nina sebenarnya mempunyai satu matlamat yang jelas dalam memacu hala tuju perjalanan kariernya. “Jujurnya bukan mudah untuk menghasilkan album kedua ini. Saya menghabiskan masa selama dua tahun bagi menghasilkan sesuatu yang cukup berkualiti. “Bagi saya biarlah apa yang dilahirkan itu mampu membuktikan kebolehan kita yang sebenarnya, bukan dibuat secara tergesa-gesa," katanya pada majlis pelancaran albumnya di Kuala Lumpur baru-baru ini. Ditanya mengapa terlalu lama masa diambil sebelum album kedua itu dikeluarkan, Mizz Nina mempunyai jawapan tersendiri. “Untuk album kedua ini kami terlebih dahulu mengeluarkan single satu persatu sebelum album penuh dikeluarkan. Perkara ini adalah di atas faktor pasaran di negara ini. “Apa yang pasti, album kedua ini merupakan satu pengalaman yang sangat berharga bagi saya. “Peluang bekerjasama bersama dengan nama-nama besar industri muzik antarabangsa seperti Colby O’ Donnis, James Freeman dan Koolade banyak membantu saya dalam memahami proses penghasilan dan juga rakaman. “Ternyata kerjasama saya dan mereka merupakan satu formula yang menjadi, memandangkan kelebihan mereka bersesuaian dengan genre yang saya bawakan," katanya yang telah merakamkan dua lagu Inggeris iaitu With You dan Just Do It di London. Keluarga dan cahaya mata Jika dilihat dari usaha kerasnya, semua sudah cukup maklum bahawa Mizz Nina mahu mengejar impiannya untuk sama-sama berdiri setanding dengan artis-artis antarabangsa yang lain. Namun dalam masa yang sama, ramai juga yang menanti akan kehadiran cahaya mata dalam keluarga mereka. Jika dulu, suami tercinta, Noh daripada kumpulan Hujan pernah melahirkan keinginan untuk menimang cahaya mata, jawapan yang diberikan si isteri bakal mengundang senyuman di wajah pasangan ini. “Julai ini genap setahun ikatan kami sebagai suami isteri dan sememangnya saya mengimpikan keluarga kami diserikan lagi dengan cahaya mata. “Mungkin pada tahun hadapan, saya akan mengambil ‘cuti’ seketika daripada sebarang aktiviti seni. Ia bagi memberi perhatian kepada aktiviti keluarga pula," katanya sambil tersenyum. Mizz Nina memberitahu untuk tahun ini dia akan bertambah sibuk, sebelum mengambil peluang untuk bercuti. Malah, kini sedang merancang mengadakan konsert jelajah di seluruh Malaysia bagi mempromosikan album terbarunya itu. Selain itu dia juga bakal membuat persembahan pembukaan MTV World Stage yang akan turut dihadiri oleh Justin Bieber, Jay Park dan juga artis Korea, Kara di Sunway Lagoon pada Julai nanti.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails